SEHARIAN Mawar cuba menarik perhatian si suami untuk berbual. Fikirnya, bila dah serah diri, terpujuk juga hati suami. Rupanya tidak. Zayn masih lagi dingin dengannya sejak semalam. Sepatah yang dia tanya, sepatah juga Zayn jawab. Segala mesej dan panggilan Raffael pun langsung tak dihiraukan.
Tangan naik menompang dagu, memerhati Puan Zahra yang sedang duduk bertinggung di tanaman. Susunan berbagai jenis pokok bunga yang ditanam lurus mengikut tembok pagar rumah menaikkan lagi seri, membuatkan dia sendiri tak puas pandang.
"Tengok mama bercakap dengan pokok bunga, Mawar teringatkan ayah dekat kampung. Ayah suka betul berborak dengan ayam kesayangan dia." Usai ayat bertemu noktah, Mawar tertawa sendiri. Rindunya ayah...
Mendengar celoteh menantu, Puan Zahra tersenyum sendiri. Tubuh dibawa bangkit berdiri sebelum langkah diorak mendekati meja batu yang sedang diduduki Mawar.
"Mawar rindukan ayah?" tanya Puan Zahra usai melabuhkan duduk. Melihat raut wajah Mawar, jelas tampak susah hati walau cuba diceriakan. Seakan sedang sarat menanggung rindu.
Mawar tarik senyum paksa. "Lama tak jumpa ayah."
"Mawar ajaklah ayah datang sini sekali-sekala. Suruh Naufal bawakan ayah," cadang Puan Zahra.
"Naufal susah nak dapat cuti, ma... Kalau nak suruh ayah datang sini naik bas pun, Mawar risaulah..."
Mendengarkan itu, Puan Zahra hanya mampu mengangguk faham. Tidak tahu hendak menolong dengan apa cara lagi. Mata melilau ke sekeliling mencari akal. Mawar menantu kesayangan, sudah tentu dia juga susah hati.
Baru saja dua ulas bibir terbuka ingin membuka bicara, bunyi kereta memasuki halaman rumah mematikan niatnya. Keluar saja tubuh berseragam loreng dari perut Mitsubishi Lancer berwarna putih itu, Puan Zahra sengih lebar. "Amboi tuan! Sombongnya!"
Daripada wajah berkerut tegang, riak Zayn serta-merta berubah ceria. Baru nak sambung merajuk dengan isteri, mama ni kacau daun betul.
Tubuh mama didekati sebelum tunduk menyalami tangan si ibu. "Laparlah, ma." Perut berotot di sebalik seragamnya dipegang.
"Masuklah makan, harini Mawar yang masak untuk kita."
Mendengarkan itu, terjungkit kening tebal Zayn. Yang sebenarnya dia senang mengawal riak sebenar wajah. Dalam hati dah berbunga, cuma malas nak tunjuk pada isteri. Marahnya masih belum reda.
"Oh ya?"
Mawar angguk laju. Sejurus itu, lekas-lekas dia bangkit dari duduk sebelum tangan Zayn ditarik hingga ke dapur.
"Awak suka udang masak merah kan? Saya buat dua lauk untuk awak. Satu lagi, udang masak lemak cili padi."
Perlahan Zayn tarik kerusi sebelum duduk dilabuhkan. Sudu kuah dicedok sedikit sebelum dikecap ke mulut. Sedap! Cukup rasa. Pedas pula tu.
"Macam mana? Okey ke?" tanya Mawar.
Bibir mencebik spontan. Zayn jungkit bahu. "Bolehlah. Buat makan dalam hutan, sedaplah ni."
Berubah muka Mawar.
Zayn kerling wajah Mawar sekilas. Sedar akan perubahan wajah isteri. Hati dijentik rasa tidak senang.
"Oh, tak apalah. Awak makan yang sambal merah ni je. Yang tu nanti saya minta tolong mama ejaskan." Baru saja mangkuk berisi udang masak lemak cili padi itu dipegang ingin dibawa pergi, Zayn pula menghalang.
"Eh, jangan menyusahkan mama. Letak, saya makan," suruh Zayn. Kerusi meja makan ditarik sebelum punggung dilabuhkan. Laju saja lauk di dalam mangkuk dicedok ke dalam pinggan. Banyak pula tu. Seperti gaya orang kebulur lagaknya.
Melihat si suami yang berselera menjamah masakannya, Mawar cebik bibir dalam diam.
PULAS tombol pintu bilik, dan saat daun pintu terkuak sedikit, Mawar kerut dahi.
"Dah gelap...?" desisnya.
Menggagau tangannya mencari suis lampu.
Tap!
"Ctt..!"
Mendengar decitan Zayn, Mawar berpaling memandang suami yang sudah berbaring di atas katil.
"Eh! Awak dah tidur?" tanya Mawar sejurus melangkah mendekati katil bersama mug coklat panas di tangannya.
"Kenapa buka lampu?" Dengan suara parau, Zayn menyoal perlahan dengan mata yang masih tidak mampu dikuak luas. Silau akan cahaya lampu yang memancar. Bukan dia tidak sedar air yang dibawa si isteri.
Mawar labuhkan duduk di birai katil. "Saya buatkan awak air coklat. Minum dulu jap, lepastu sambung tidur."
"Mawar awak tak nampak ke yang saya dah tidur? Tolonglah Mawar, harini saya penat. Tolong tutup balik lampu tu."
"Tapi saya dah buat air untuk aw—"
"Now, Rose. Please."
Mawar kelu serta-merta. Mata bergerak memandang mug di tangan. Ternyata Zayn benar-benar masih marahkannya. Tak beri apa-apa jawapan, Mawar letakkan mug ke atas meja lampu bersebelahan dengan katil sebelum tubuh bangkit dibawa menuju ke arah suis lampu utama bilik.
Berpatah balik ke arah katil sejurus bilik disimbahi dengan cahaya lampu tidur, terlihat Zayn sudah bersandar di kepala katil sambil menyisip air coklat panas yang dibancuhnya.
Terkedip-kedip Mawar berdiri di sisi katil. Apa yang dia sedar, apa saja yang dia buat, minuman mahupun makanan, pasti Zayn akan telan juga.
Tanpa Mawar tahu, Zayn sebenarnya lebih berganda dijentik rasa serba salah. Kalau selama ini melihat air mata isteri mengalir pun buat dia panas hati, inikan pula jika dia sendiri hendak melayani Mawar sebegini rupa. Tidak tergamak pula rasanya.
"Kalau minum dalam hutan mesti sedap kan?" Mawar berseloroh sebelum tawanya meletus kecil. Niat hendak bergurau. Sebelum Zayn sindir dia, lebih baik dia sindir diri sendiri dahulu.
Zayn diam tanpa bicara. Usai titisan terakhir menyentuh kerongkong, Zayn hulur mug yang sudah kosong pada Mawar. Wajah naif isteri diamati seketika.
"Abang minta maaf."
"Hah?" Berlapis dahi Mawar. Dah kenapa tiba-tiba minta maaf? Kening dijungkit sebagai tanda tanya.
"Apa saja yang isteri abang buat, abang telan. Tak pernah sekalipun apa yang isteri abang buat, tak kena dengan tekak abang. Semuanya sempurna. Kalau masakan ibu menjadi nombor satu, maka masakan yang menjadi nombor dua adalah, masakan isteri. Kalau dalam hutan dapat masakan isteri, itu adalah satu nikmat Tuhan yang tak terhingga."
"Dan.. lauk udang masak lemak cili padi tadi, sedap sayang... esok buat lagi, ya?" Kali ini baru suara garau Zayn berubah lembut dan meleret. Seperti selalu.
Tahu, Mawar pasti makan hati dengannya sejak siang tadi.
Mawar telan liur. Zayn dah tak marahkan dia lagi ke? Senyuman yang hendak terukir cuba ditahan serentak kepala bergerak mengangguk laju. Hati yang selama ini dibalut rasa susah hati kini kembali terasa tenang. Nafas lega dihela dalam diam.
"Saya minta maaf tentang haritu... saya—"
"Mawar masih tak mampu lupakan dia kan? Tak apa, abang faham. Walau macam mana sekalipun, abang akan tetap tunggu Mawar."
Mendengarkan itu, Mawar gigit dinding pipi. Jari di riba bermain sesama sendiri.
"Abang belikan Mawar ni. Bukalah." Zayn hulur satu bungkusan kepada Mawar.
"Apa ni?" Sambil mulut bertanya, seiring dengan jemarinya yang bergerak membuka bungkusan pemberian suami.
Saat bungkusan sepenuhnya terbuka, pupil mata Mawar membesar sedikit. Tudung shawl berbagai-bagai warna itu dibelek laju. Semua warna ada! Biar betul?
Kepala diangkat memandang wajah Zayn yang sedari tadi memerhati tingkahnya.
"Banyaknya awak beli..."
Zayn ukir senyum manis. "Abang nak Mawar cuba setiap warna pada hari yang berbeza."
"Zayn..."
"No excuse. Hilang satu warna, abang merajuk lagi," ugut Zayn.
"Baiklah Tuan Inspektor... saya Mawar yang menurut perintah," jawab Mawar perlahan, lemah. Bangkit dari birai katil, Mawar menuju ke almari, laci bahagian tengah dibuka, di mana laci yang jarang benar dia buka. Sejurus shawl pemberian Zayn pelbagai warna itu diletakkan ke dalam ruangan laci, mata Mawar tertancap pada satu majalah.
Gulp!
Majalah wanita!