BERPISAH saja layar iphone dari telinga, tawa garau Raffael meletus perlahan. Skrin yang menyala diamati bersama senyuman yang tak lekang dari wajah. Bagai ditelah, Mawar masih menaruh perasaan terhadapnya walau pada awalnya hatinya sedikit ralat tatkala melihat Zayn dan Mawar berdua pada tempoh hari.
Bangkit dari bangku yang terletak di laluan susur gajah universiti, Raffael menghayun langkah menuju ke kereta.
"Sir!"
Zack menghampiri dengan nafas yang tercungap-cungap. Berdiri di depan Raffael, Zack bongkokkan badan menahan mengah. Dari jauh dia kejar Raffael.
"Allah, Zack. Kena kejar dengan Ju On ke apa kau ni?"
"Nasib baik sir belum balik lagi. Saya nak sir tengok sekilas assignment saya sekejap, boleh?" Laju jemari Zack menari di atas skrin telefon pintarnya. Dokumen dibuka sebelum disua ke arah pensyarahnya.
Sambil telefon pintar itu dipegang Zack, jari Raffael punya hanya naik bergerak menggeser skrin.
"Presentetion nanti tolong jangan baca bulat-bulat macam apa yang awak buat ni. Saya tak nak karangan macam ni. Perkataan yang perlu italic, tolong italickan."
Kunci kereta dikeluarkan dari poket lalu ditekan.
"Tu je ke, sir?" tanya Zack kepada Raffael yang sudah membuka pintu kereta yang sedia untuk melangkah masuk.
"Waktu bekerja saya dah habis, sambung tanya esok."
"Tapi sir, esok dah—"
Belum sempat ayatnya bertemu noktah, kereta milik Raffael sudah meluncur laju ke atas jalan.
*
SELESAI mengerjakan solat isyak, seperti biasa, pasti ada sedikit sebanyak nasihat yang cuba disampaikan kepada si isteri. Walaupun sedar akan hubungan mereka tidak terlihat seperti pasangan halal yang sepatutnya, namun tidak pernah dia lupa akan amanah dan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Bukan sahaja menjadi seorang pemimpin, malah menjadi seorang pendidik dan pembela juga adalah salah satu kewajipannya terhadap isteri.
'Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.' (Riwayat Ahmad)
'Suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan kelak ia akan ditanya (dimintai pertanggungjawaban) tentang mereka.' (Riwayat Al-Bukhari)
"Petang tadi... waktu abang balik, abang senyum tengok isteri abang duduk dekat luar. Walaupun Mawar bukan tunggu abang, tapi masa tu Mawar baru saja selesai beri makan Lulu kan?"
"Abang suka bila tengok Mawar suka dengan apa yang abang suka. Dulu dalam rumah ni, tak ada siapa-siapa pun yang sukakan kucing. Termasuk papa. Waktu abang kecil dulu, papa pernah buang kucing abang. Abang menangis. Lepastu papa cakap yang abang ni anak manja. Mawar jangan buat abang macam tu ya? Abang manja..."
Mendengarkan itu, Mawar yang sejak tadi menahan riak wajah kosong, kini meletus sedikit tawa halusnya yang tidak sengaja terlepas. Namun hanya seketika sebelum riaknya kembali seperti asal. Jari-jemari runcignya bergerak melakar-lakar permukaan sejadah yang berbulu.
"Nabi Muhammad cakap, setiap makhluk kita kena sayang." Perlahan suara Mawar berkata.
"Ayah dengan Abang Naufal pun sukakan kucing. Tapi dulu kami tak bela kucing, sebab tak mampu. Abang Naufal pun masih sekolah. Ayah sorang je yang tanggung kami berdua selepas arwah ibu meninggal. Arwah ibu pun suka sangat dengan kucing."
Mawar dongak kepala memandang si suami yang duduk bersila bertentangan dengannya. "Terima kasih sebab bawa balik Inspektor Lulu untuk saya."
Zayn ketawa suka. "Terima kasih je?"
"Habis tu...?"
Zayn senyum lagi. Tangan Mawar disebalik telekung sembahyang ditarik ke dalam genggaman. "Boleh tak lepasni kalau nak bagi makan Tuan Inspektor kat luar tu, Mawar tutup sikit kepala. Tak kisahlah pakai tuala ke... ya?"
"Tapi kan... dalam pagar?"
"Pagar tu pun ada lubang-lubang, sayang. Kalau abang duduk kat luar pun, abang boleh skodeng apa yang awak buat kat dalam."
Mawar diam.
"Abang tak paksa Mawar pakai tudung. Pakai je towel abang, buat tutup kepala je. Tak perlu lilit lilit pun."
"Boleh, sayang?" tanya Zayn sekali lagi bila melihat Mawar seakan termenung memandang ke arah lain.
Mawar akhirnya mengangguk akur.
Biarpun sekadar menerima jawapan tanpa suara, Zayn tetap mampu tersenyum lega. Kata Naufal, Mawar hanya perlu dididik dengan kelembutan. Itu yang dia sedang usahakan ketika ini dan memang benar, semakin hari, Mawar yang hari ini bukanlah Mawar yang dia kenal pada hari pertama mereka diijabkabulkan. Semakin lembut layanannya pada si isteri, semakin reda api kemarahan di dalam diri wanita itu.
"Abang suka Mawar yang sekarang."
Berkerut dahi Mawar menerima pujian sebegitu. "Apa pula saya yang sekarang? Dulu dan sekarang sama sajalah."
"Dulu Mawar garang banyak. Sekarang Mawar garang sikit je," gurau Zayn sambil mengangkat jari telunjuk dan ibu jari menunjukkan simbol 'sedikit'.
Mawar mencebik. "Sekarang pun saya masih garang banyak tau! Cuma tak kena masa je. Tengoklah nanti."
Zayn lepas gelak. "Tak apa, Mawar nak garang banyak pun abang tetap suka. Mawar nak marah abang hari-hari pun abang tetap suka. Sekali abang lafaz akad untuk isteri abang, itu bermakna abang dah sedia untuk terima seadanya kelebihan emosi seorang wanita."
"Lagipun dari dulu abang dah practice dengan mama dan Kak Fara. Abang dah handal nak hadap perangai perempuan. Abang lagi pro dari papa."
Masuk kali ini, sudah dua kali Zayn ada menyebut perihal 'papa'. Muncul juga tanda tanya di benak fikiran Mawar. Sepanjang hampir sebulan menjadi isteri Zayn, dia belum pernah lihat wajah ayah mentuanya.
"Kenapa... saya tak pernah tengok papa? Papa pun polis juga ke?" tebaknya. Manalah tahu jika ayah mentuanya ada terlibat dengan operasi yang menyebabkan dia tidak pernah berpeluang untuk berkenalan.
Riak Zayn berubah tidak sampai sesaat sebelum dikaburi dengan senyuman tak berperisa. "Taklah. Papa ada je, cuma bukan dekat sini."
"Oh, papa outstation ke?" naif suara itu bertanya. Tidak berniat apa-apa selain perasaan ingin tahu.
"Ya, sayang. Papa outstation. Dah, jom tidur. Abang mengantuk dah ni. Penat sikit harini, banyak report abang kena buat." Tidak menunggu si isteri bangkit, dia terlebih dahulu bangun dan menyimpan kopiah ke dalam almari. Sejadah Mawar turut diambil dan dilipat lalu disangkut ke kerusi.
Henyak punggung pada sofa. Mawar yang masih duduk di lantai menanggalkan telekung sembahyang dari kepala bersuara. "Tapi saya lapar."
"Eh, abang lupa. Tadi mama pesan suruh turun makan kan? Abang pun tiba-tiba lapar ni."
Mawar mengangguk. "Tadi saya nak tolong mama, mama tak bagi. Mama suruh saya teman awak dalam bilik. Padahal awak sibuk dengan kertas kerja. Lepastu bila saya turun balik mama halau saya balik naik atas." Tak tersedar mulutnya laju mengadu panjang pada si suami.
Melengkung naik bibir Zayn saat mendengar suara itu berceloteh. Jarang sekali dia boleh mendengar omelan panjang daripada Mawar. Siku naik menongkat pada peha dan tangannya ditekap ke sisi wajah, menompang kepala sambil tunak memandang ke arah isteri yang masih duduk bersimpuh di atas lantai.
"Jomlah, saya lapar ni. Tengok, tengok, ada yang kena telan nanti kang," bidas Mawar yang menyedari tindak-tanduk Zayn dari jauh.
"Telanlah abang. Abang redha."
"Tak nak turun sudah, saya lapar!" Campak saja telekung sembahyang ke atas katil, Mawar melangkah keluar dari bilik.
Zayn geleng kepala seraya tertawa suka. "Eh budak ni... main campak aje. Abang gigit nanti, tahulah." Kaki melangkah menghampiri katil sebelum telekung sembahyang Mawar dilipat dua dan disidai pada ampaian kecil bersebelahan bilik mandi.
*
LANGKAH masuk saja di ruang dapur, wajah Fara dulu yang terhidang di depan mata.
"Kau ni tahu turun makan je kan? Kau ingat orang dalam rumah ni balaci kau?" bisik Fara keras.
"Memang kau balaci aku pun. Kau tak nak laki kau kena cium, kau diam. Tak laki kau aku cium, kau yang aku cium nanti. Nak kena cium dengan aku ke?" Mawar dekatkan wajah pada Fara membuatkan wanita itu berundur beberapa langkah ke belakang.
"Bodoh kau ni, Mawar. Macam manalah Zayn tu boleh kahwin dengan perempuan gila tak siuman macam kau ni?!"
"Kau ni memang nak kena cium dengan aku ni. Mulut tak ada insuran." Kepala Fara ditarik mendekat.
"Eh Mawar! Kau dah gila?! Zayn! Tolong Zayn! Mamaaa!" Teriak Fara sambil tangannya cuba menolak-tolak tangan Mawar dari sisi kepalanya.
"Bising-bising apahalnya ni Fara?" Puan Zahra muncul bersama jug kosong di tangan. Baru 5 minit dia tinggalkan dapur mencari jug air di dalam almari penyimpanan barang-barang kaca.
"Ada lipas, mama!" Teriak Mawar pula. "Kak, lipas kak!" Telunjuk ditala ke arah kaki Fara.
"Zayn!" Kali ini Puan Zahra pula berteriak.
Zayn muncul dengan wajah yang jelas terpinga-pinga dengan kekecohan di ruangan dapur itu.
"Awak! Ada lipas!" Tubuh Zayn didekati sebelum lengan sasa itu ditarik ke dalam pelukan. "Saya geli!"
"Manaaa?" Zayn meliarkan mata.
"Cepat cari, Zayn... Ya Allah hai... dah lama tak nampak lipas dalam rumah ni, ni muncul dari mana pulak ni?" Susah hati suara Puan Zahra lagaknya.
"Tak ada lipas lah! Mawar tipu! Tadi dia cuba nak cium Fara! Menantu mama ni lesbian! Zayn, bini kau bengkok Zayn!" Lantang suara Fara menceritakan hal sebenar.
Membulat mata Mawar mendengarnya. Fara tuduh dia lesbian? Ini dah melampau ni!
"Eeee! Mana ada! Kita sayang suami kita! Kita sukakan lelakilah!" Balas Mawar pula. Lengan Zayn dipeluk erat.
Zayn disebelah pula sudah tersenyum simpul. Mawar sayang abang? Suka!
"Ah tak payah nak membongak kau dekat sini! Memang kau nak cium aku tadi kan?!"
"Fara...! Kalau iyepun rindukan Fahad, jangan Mawar pun kamu nak tuduh dia nak cium kamu!" bidas Puan Zahra.
"Eeee mama ni! Memang Mawar tu nak cium Fara tadi tau!"
"Ya Allah kak... daripada saya cium akak, baik saya cium suami saya."
Cup!
Terkedip-kedip Zayn saat bibir si isteri mendarat di pipinya. Tidak semena kerusi meja makan dipegang Zayn.
"Kak, pegang Zayn kak. Zayn nak rebah ni!" Pekik Mawar. Sempat bibirnya naik senyum mengejek pada Fara.
"Tak kuasa akulah! Kau punya gila, dengan adik aku sekali berjangkit gila!" Sembur Fara sebelum berlalu meninggalkan ruangan dapur.
"Fara tu dah kenapa?" tanya Puan Zahra musykil sambil membawa dulang berisi gelas ke meja makan.
Puk!
Belakang tubuh si anak dibidas sekali. "Yang ini sorang pun mengada-ngada!"
Zayn menyeringai sakit. "Aduh!"
"Sayang... sakit..."
Mawar kemam bibir menahan tawa. Kaki dihayun menuju ke rak pinggan. Malaslah dia nak melayan Zayn.
Puk!
Sekali lagi terdengar pukulan mama hinggap pada tubuh Zayn. "Pergi panggil kakak kamu!"
"Aduhh! Sakit ma...! Sayang... help me..."
"Zayn Raffael!"
Sebaik sahaja suara Puan Zahra memetir, Zayn bingkas bangkit dari kerusi dengan sengihan tak lekang dari wajah. Menyenget tubuh tinggi itu berjalan meninggalkan ruangan dapur.
Puan Zahra kerling pada menantu di sebelah. "Anak syurga, Mawar."