"Aneh ya, sepertinya aku pernah mendengar nama itu. Tapi di mana ya?" Dahlia bersuara kecil dalam perjalanannya pulang ke tempat asalnya. Sebaik sahaja mendengar nama Han Lee Po, dirinya bagai disentak deja vu. Namun anggapan itu ditepis Dahlia begitu sahaja. Bukan hal yang penting baginya.
Saat kelibat Merpatika yang sedang sibuk mencarinya kelihatan, baru Dahlia teringat tujuan sebenar dia masuk ke dalam hutan tadi. Sepertinya dirinya sendiri yang tertarik untuk menerjah masuk ke situ. Namun setelah berjumpa dengan Han Lee Po, perasaan itu hilang begitu sahaja.
"Hei, ke mana perginya kau tadi?" Merpatika mendengus geram. Menyusahkannya sahaja perlu mencari gadis seorang ini.
"Sengaja aku mengambil angin di dalam sana tadi." Jawab Dahlia acuh tak acuh. Sekiranya tiada apa berlaku, tiadalah hendak hal itu diperbesar.
"Usahlah engkau menggalang leher minta disembelih, Dahlia. Kau lupa ya? Kau tiba ke sini juga atas kesilapan sendiri yang menonong masuk hutan ikut firasat hati sendiri. Bila hendaknya engkau belajar dari kesilapan?" Merpatika yang gundah gulananya dahsyat bagaikan mahu gugur jantung sebentar tadi akibat kehilangan Dahlia bertambah berang menyaksikan tingkah laku gadis itu yang sengaja menjolok sarang tebuan.
Dahlia terkedu. Bicara Merpatika itu ada benarnya, tidak dapat dia nafikan namun nada suaranya mampu menyalakan cebisan kecil api amarah di jiwa.
"Aku selamat pergi dan pulang bukan? Usahlah kita bertikam lidah kerana perkara kecil sebegini." Dahlia membalas ringkas tidak mahu bertekak. Sungguh tidak Dahlia tahu entah apa masalah Si Merpatika itu.
Merpatika memandang Dahlia geram. Ikutkan hati mahu sahaja diketuk kepala gadis itu. Namun Dewi yang muncul secara tiba-tiba menoktahkan pergaduhan kecil antara mereka.
"Tengku, silahkan." Dewi bersuara ringkas. "Ampun Tengku, kuda Tengku turut hilang beberapa hari selepas kehilangan Tengku sendiri. Maka kuda yang baru kami sediakan, lebih baik buat Tengku." Sambung Dewi lagi. Sebelah tangannya masih memegang tali kekang kuda tersebut, menariknya untuk berdiri di hadapan Dahlia.
Tanpa berlengah, Dahlia segera menunggang kuda tersebut. Mujur Merpatika sempat mengajarnya teknik menunggang kuda sebelum tiba ke majlis keraian. Biarpun selalu bertelingkah dan bertikam lidah, burung merpati gergasi itu juga telah banyak berjasa kepadanya. Maka kebiasaannya api amarah Dahlia terhadap Merpatika terpadam begitu sahaja apabila teringatkan tentang jasa merpati putih itu.
Kuda ditunggang. Dua pengawal istana berkawal di bahagian hadapan Dahlia, Dewi disisinya, Merpatika pula di bahagian belakang bersama tiga orang pengawal. Kesemuanya menjadi pendamping Dahlia dalam perjalanannya menuju ke Kampung Empat Puncak.
_______________________•••____________________
"Ke mana perginya Kakanda Dahlia, hai kakanda Arjuna?" Ratna menarik hujung sampin pelekat biru Arjuna yang sepertinya masih tidak jemu bertukar bicara dengan beberapa orang ternama. Gadis itu melilau matanya mencari kelibat Dahlia namun tidak kelihatan. Sudahlah ketinggiannya ibarat setengah batang pokok pisang, samar-samar sahaja yang mampu dilihatnya dalam keadaan sebegitu.
Arjuna menoleh memandang ke bawah. Hanya kepala kecil Ratna kelihatan kerana gadis itu masih terpusing-pusing mencari kakanda kesayangannya.
"Sebentar ya.." Arjuna memberi isyarat menggunakan telapak tangannya ke arah beberapa orang ternama yang menjadi rakan bualnya itu. Tangan kecil Ratna digapai lembut seraya dia berjalan beberapa tapak menjauhi golongan ternama itu. Ratna didukungnya dengan baik.
"Kau tidak boleh menggelar kakanda Dahlia begitu lagi." Arjuna bersuara perlahan, tidak berbisik namun tidak juga mampu didengari orang sekeliling. Suasana yang agak riuh-rendah dengan suara orang ramai turut menenggelamkan suara Arjuna namun masih mampu didengari oleh Ratna.
Ratna berkerut. Keningnya terangkat sedikit.
Arjuna tersenyum nipis. "Selebihnya biarlah rahsia. Risau kau tiada mengerti akan bicaraku. Namun kakanda Dahlia harus kau gelar sebagai Tengku Puteri mulai hari ini." Terang Arjuna dalam bahasa yang mudah difahami gadis kecil itu.
"Sepertinya aku juga tidak melihat kelibat Tengku Puteri. Ke mana perginya beliau?" Arjuna turut melilau sama mencari Dahlia. Namun matanya jatuh pada kelibat Iskandar yang berada tidak jauh dari kedudukan mereka. "Ayuh kita persoalkan hal ini pada kakanda Iskandar." Arjuna mengajak Ratna.
Langkah kaki diorak menuju ke arah Iskandar dalam kerumunan beberapa orang di situ. Ratna melambai girang dengan senyuman berseri apabila Iskandar berpaling ke arah mereka.
"Assalamualaikum, apa khabar?" Arjuna mendahului salam. Huluran tangan Arjuna disambut baik oleh Iskandar. Sempat dia mencuit pipi Ratna sekuat hatinya hingga merah pipi gadis tersebut. Benar-benar suka menyakat.
Ratna menumbuk Iskandar namun pemuda itu buat tidak endah sahaja. Hujung bibirnya tersenyum simpul. Geli hati dengan gelagat Ratna. "Waalaikumussalam, baik." Segera Iskandar menyambut salam Arjuna.
"Apakah kau tahu ke mana perginya Tengku Puteri? Sepertinya tadi dia turut berada di sini. Apakah sudah dia pulang ke istana menguruskan pelbagai hal?" Arjuna segera ke topik utama tanpa berlengah.
"Ratna merinduinya. Katanya mahu bertemu dengan kakanda Dahlia." Arjuna menyambung lagi. Ratna pula mengangguk mengiyakan.
"Ratna yang rindukah atau kau yang rindukan Tengku Puteri?" Iskandar berseloroh. Wajahnya selamba memandang Arjuna atas bawah. Tidak cukup dengan Ratna, Arjuna pun dia mahu sakat.
Kaki Iskandar disepak Arjuna cukup untuk membuat pemuda itu berganjak ke belakang. Terhambur tawanya menyerlahkan baris giginya yang putih bersih, geli hati menyakat orang.
"Kelakar, kelakar." Arjuna mengetap bibir geram. Ikutkan hati mahu sahaja diketuk kepala pemuda itu. Ketawa sakan menyakat orang.
"Betul-betulla kakanda Iskandar. Kami benar-benar mahu mencari Kakanda Dah-- eh, Tengku Puteri. Maksud aku Tengku Puteri." Ratna menghembus nafas berat. Geram dengan perangai Iskandar. Berselorohnya tiada henti.
"Baiklah, baiklah." Iskandar mengesat air matanya akibat ketawa berlebihan. "Kata Dewi, dia akan menemani Tengku Puteri ke Kampung Empat Puncak atas permintaan seorang penduduk kampung tersebut yang mendambakan kunjungan Tengku Puteri ke situ." Jelas Iskandar panjang sambil membetulkan tanjaknya.
"Ah iyakah begitu." Arjuna mengangguk perlahan. "Jikalau begitu ayuhlah ke sana kita. Kau mahu bertemu sama Tengku Puteri ya?" Arjuna menyoal Ratna biarpun tahu sudah bahawasanya gadis kecil itu pasti bersetuju dengan cadangannya.
"Kau tahukah jalannya?" Iskandar memandang sinis. Bibirnya meleret sedikit ke bawah. Ini kerajaan Wantachitra. Taman permainan bagi dirinya, bukan Arjuna.
"Kau mahu turut serta sebenarnya, bukan?" Arjuna bagai tahu sungguh bicara Iskandar yang bagai udang di sebalik batu itu. Menggunakan alasan mahu menjadi penunjuk jalan padahal dia mahu turut serta bersama.
Koyak lagi bibir Iskandar dengan senyuman. Bijak Arjuna meneka. Hatinya tidak mahu menolak peluang bersama dengan Arjuna dan Ratna lagi setelah beberapa hari terpisah. Selagi masih berpeluang menyakat Ratna, usahlah disia-siakan.
"Ayuhlah, sekali." Arjuna mengajak. Mereka bergerak ke arah kuda milik Iskandar. Satu lagi kuda dipinjam dari orang untuk Arjuna memandangkan pemuda itu datang ke mari bertemankan pengangkutan laut dan bukan kudanya.
Namun langkah mereka terhenti. Sesusuk tubuh besar datang menapak di hadapan mereka bertiga. Terhalang sinaran mentari oleh susuk tubuh sasa itu.
Ratna menggenggam baju melayu milik Arjuna. Pemuda itu dipeluknya kuat. Aura pemuda berbadan sasa dihadapan mereka sungguh kuat dan mengerikan bagi seseorang seperti Ratna. Namun Arjuna dan Iskandar kekal tenang. Baru mereka sedar, bagaimana ngerinya aura pemuda berbadan sasa ini. Sungguh lain daripada yang lain. Berbeza dengan manusia biasa.
"Temenggung Tarawangsa... Arjuna Akasia ya?" Soal Raja Sang tersenyum manis menyerlahkan taring giginya yang besar dan tajam.
_______________________•••____________________
"Jauh lagikah perjalan ini?" Soal Dahlia memecah sunyi yang sepertinya tiada penghujung itu. Sepanjang perjalanan, tiada satu nyawa pun yang berbicara. Hanya bunyi tapak kaki kuda dan Merpatika serta kicauan burung yang menjadi madah buat telinga si pendengar.
"Ada lebih kurang dalam beberapa depa, Tengku. Usah risau,kita hampir tiba di sana." Dewi membalas dengan nada mendatar seperti kebiasaannya.
Mereka meneruskan perjalanan hinggalah seorang pengawal istana yang berada di barisan hadapan menarik tali kekang kudanya, menoktahkan langkah haiwan tunggangannya itu. Dahlia segera menoleh.
"Ada apa?" Dewi mendahului bicara. Masing-masing bersedia menerima sebarang kemungkinan.
"Ah, tiada apa. Cuma ingin patik beritahu bahawa kita sebenarnya sudah tiba di destinasi." Terang pengawal istana yang bermisai panjang atas bahagian bibirnya itu.
Dahlia berkerut. 'Sudah tiba? Mana?' Senandikanya bersuara perlahan. Matanya melilau memandang sekeliling mencari papan tanda Kampung Empat Puncak namun tidak kelihatan.
Mereka hanya berada dalam satu jalan yang hampir menyamai bentuk sebuah bulatan namun tidak seberapa sempurna bulatannya. Jalan yang sedari tadi agak kecil dan sempit kini sedikit terbuka dan luas untuk memuatkan beberapa ekor kuda dalam satu baris.
"Ah, baru patik teringat!" Dewi menepuk dahinya. Dia memandang semula ke arah pengawal istana tersebut. Kedua-dua mereka mengangguk serentak.
"Siapa lagi di antara kalian yang pernah hadir ke kampung ini?" Dewi bersuara separa lantang menyoal pengawal-pengawal istana yang lain. Dua lagi di antara mereka mengangkat tangan masing-masing ke paras dada, memberi isyarat mereka faham maksud bicara Dewi itu.
"Ampun Tengku, izinkan kami membuka pintu gerbang Kampung Empat Puncak." Dewi menunduk sedikit sebelum dia dan lagi tiga orang pengawal istana bergerak ke posisi masing-masing.
Dewi menapak di bahagian utara. Tiga yang lainnya mengambil posisi masing-masing di barat, timur dan selatan kawasan bulat tersebut. Sebaik sahaja mereka berdiri di tapak masing-masing, tombak perak mereka dihentam ke tanah sekali. Tidak terlalu kuat hentamannya, cukup sekadar menghasilkan bunyi sahaja.
Kemudian masing-masing bertukar tempat mengikut arah lawan jam. Dewi yang asalnya di bahagian utara mengambil posisi di bahagian barat pula. Posisi asalnya diambil oleh pengawal dari timur. Begitulah juga untuk pengawal yang lain. Sekali lagi tombak mereka dihentam ke tanah.
Pergerakan yang sama diulangi oleh mereka hinggalah Dewi tiba di bahagian utara semula. Sebaik sahaja tombak perak dihentam ke tanah untuk kali yang keempat, pintu gerbang yang begitu gah dan tinggi mulai kelihatan. Berdirinya pintu itu betul-betul di hadapan bahagian utara, tapak Dewi berpijak. Bahkan bunyi geseran dari pintu tersebut turut kedengaran.
Dahlia terkedu. 'Apakah ini keajaiban yang biasa untuk penduduk di sini?' Suara hati Dahlia meloncat kegirangan. Betapa indahnya pintu gerbang itu tertera ukiran 'Kampung Empat Puncak' di bahagian atasnya. Bahkan ukirannya bukan sekadar ukiran biasa, malah ibarat sungai, terdapat aliran biru jernih yang kilaunya mampu membutakan mata sesiapa sahaja yang melihatnya.
Aliran ini mengalir hingga ke bahagian bawah pintu gerbang tersebut. Ternyata terdapat sungai kecil dan sempit di bahagian bawah pintu gerbang di mana tempat terbenamnya kaki pintu tersebut. Ternyata kawasan kampung itu indah belaka. Terpana Dahlia dibuatnya.
"Utusan dari istana Wantachitra, Tengku Puteri Seri Dahlia datang bertandang!" Dewi lantang bersuara di hadapan pintu gerbang tersebut. Seluruh pengawal Kampung Empat Puncak turut tunduk melutut, menerima Tengku Puteri sebagai tetamu kehormat mereka petang itu.
Orang ramai mula berpusu-pusu memenuhi ruangan hadapan. Masing-masing teruja menyaksikan keberangkatan tiba Tengku Puteri ke kampung mereka.
"Memang begitukah caranya untuk masuk ke kampung ini? Ajaib sungguh namun pendapat beta, sukar untuk urusan keluar masuk ke kampung ini ya." Dahlia bersuara namun matanya masih tidak lekang menatap sekelilingnya. Indah tiada terkata.
Dewi berkerut kecil. Aneh. Menyaksikan tingkah laku Tengku Puteri yang kelihatan agak takjub melihat keindahan dan keajaiban kampung ini membuatkan Dewi mati kata. "Tengku..."
Dahlia menoleh memandang Dewi, menantinya menghabiskan bicaranya.
"... pernah datang ke mari." Dewi menyambung. "Apakah Tengku lupa akan kampung ini dan cara untuk memasukinya?" Soalan Dewi mengunci mulut Dahlia dari terus memuntahkan kata. Lidah Dahlia kelu terkunci tidak mampu berbicara.
Merpatika turut sama terkedu. Sudah! Kedua-dua Dahlia dan Merpatika terlupa untuk mengambil kira hal itu. Tiada di antara mereka yang tahu tentang keberangkatan tiba puteri sebenar ke sini suatu ketika dahulu.
Dahlia menyabitkan kesalahan pada dirinya sendiri atas kecuaiannya dalam menjalankan tugas. Jikalau dilihat semula, ada benarnya bicara Dewi itu. Puteri Seri Dahlia, puteri kerajaan ini di mana tempat bersemayamnya adalah di istana. Kampung terhampir dengan istana pula ialah Kampung Empat Puncak. Masakan puteri sebenar tidak pernah menjejakkan kakinya ke sini?
Menyedari Dahlia yang kelu tanpa bicara, Merpatika berdehem kecil memberi isyarat untuk Dahlia segera membuka mulut. Tidak kiralah apa pun alasannya, asal diterima akal, bedal sajalah. Yang penting dapat memadamkan bibit curiga Dewi.
"Ah iya! Beta lupa. Akibat terlalu lama tidak datang ke mari, memori beta seolah terkunci di lubuk terdalam." Dahlia tersengih kecil. Jantungnya bagai mahu luruh namun sedaya upaya dia cuba menyelamatkan keadaan.
Merpatika menoleh ke arah bertentangan. 'Alasan jenis apa itu?! Terkunci di lubuk terdalam? Berselorohkah gadis ini?!' Suara batin Merpatika pasrah mendengar bicara Dahlia. Sungguh tidak bernas jawapan yang diberikan. Buat malu sahaja. Tidak tahulah mahu sorok mukanya di mana.
Dewi ternganga kecil. Kerutnya sedikit kurang berbanding sebelumnya namun curiganya masih belum padam sepenuhnya. Aneh ya Tengku Puteri hari ini. "Baiklah jikalau begitu, Tengku." Dewi mengiyakan sahaja bicara Dahlia.
"Ayuhlah kita masuk. Usah menunggu lama di luar." Ajak Dewi selaku hulubalang yang menjaga rombongan mereka pada hari itu. Dahlia menarik nafas lega. Begitu juga dengan Merpatika. Mereka kemudiannya mula melangkah masuk ke dalam kawasan Kampung Empat Puncak.