"Nurul! Tunggu la sekejap. Aku nak ikut juga." Najjah mengejar Nurul dari belakang. Agak penat juga dia berlari tadi kerana mahu mengejar gadis itu yang berjalan terlalu cepat seperti mahu mengejar sesuatu.
"Eh Najjah, dah kenapa kau berlari tadi? Kau kena kejar ke apa?" Nurul berasa hairan melihat Najjah mengejar ya dari belakang.
"Aku lari sebab nak kejar kau la. Apahal kau jalan laju sangat?" Najjah juga berasa hairan melihat Nurul berjalan laju tadi. Entah kenapa dia dapat merasakan yang gadis itu seperti sorokkan sesuatu darinya.
"Aku tak jalan laju pun. Aku jalan macam biasa je ni. Kau nak apa, Najjah?" Nurul terus duduk di kerusi yang berdekatan kerana dia berasa kasihan pula melihat keadaan Najjah.
"Tak ada apa pun. Aku saja nak ikut kau balik. Kau balik naik apa, Nurul?" Najjah mula berasa curiga bila melihat muka Nurul berubah.
Dia dapat merasakan gadis itu seperti terkejar akan sesuatu. Kalau tidak, sahabatnya itu tidak akan terburu-buru seperti tadi.
"Err aku balik jalan kaki kot. Kenapa kau tanya, Najjah?" Tiba-tiba Nurul berasa risau jika sahabatnya itu mahu pulang bersamanya.
Dia melihat jam di tangannya dan melilau sekeliling mencari kelibat suaminya. Nurul berasa risau jika lelaki itu menunggunya terlalu lama.
"Aku ingat nak balik dengan kau sekali sebab ayah aku tak dapat datang hari ni. Aku pula malas nak balik sorang-sorang. Tu yang aku kejar kau tadi."
Najjah berasa hairan melihat perangai gelisah Nurul. "Kau dah kenapa, Nurul? Aku tengok kau nampak macam gelisah je."
Dia perasan mata gadis itu dari tadi asyik melilau sekeliling seolah-olah seperti mencari sesuatu.
"Err aku tak ada apa-apa la, Najjah. Aku ok je ni." Nurul berasa risau jika Danish masih menunggunya di tempat letak motor.
Dia mahu menghubungi suaminya tetapi dia takut jika Najjah berasa curiga terhadapnya.
"Nurul! Najjah!" Tiba-tiba mereka berdua terdengar suara seseorang memanggil nama mereka lalu keduanya mencari suara tersebut.
Nurul dan Najjah berasa terkejut melihat bayangan tersebut. Nurul pula berasa tidak menyangka dapat berjumpa lagi dengan lelaki itu.
"Ikram, kau buat apa kat sini? Bukan kau dah balik ke tadi?" Najjah juga berasa terkejut dengan kehadiran Ikram.
"Aku tertinggal barang kat dalam kelas tadi. Kau dengan Nurul tak balik lagi ke? Semua orang dah balik kot." Ikram berasa kasihan melihat keadaan Nurul.
Pasti gadis itu berada dalam kegelisahan kerana tidak tahu bagaimana ingin pulang.
"Aku dengan Nurul baru je nak balik. Kan, Nurul?" Najjah menoleh ke arah Nurul yang seperti termenung.
"Hah? Ya Ikram, kami dah nak balik. Awak balik naik apa?" Nurul cuba memecahkan kesunyian di antara mereka bertiga.
"Saya balik naik motor. Awak balik naik apa, Nurul? Kalau awak tak ada kenderaan, saya boleh tumpangkan?"
"Amboi... tumpangkan Nurul je ke? Takkan kau nak biarkan aku balik sendirian? Kesianlah kat aku ni." Najjah mengerdipkan matanya berkali-kali. Ikram menggeleng kepala melihat telatah Najjah.
"Kau ingat motor aku tu muat ke tiga orang? Kau nak kita kena saman ke?" Ikram tidak tahu apa masalah gadis itu. Setiap kali dia mahu berdua-duaan dengan Nurul pasti gadis itu ada sekali.
"Kau ingat aku nak sangat ke naik motor buruk kau tu. Aku lebih rela naik bas daripada naik motor kau." Najjah berasa geram melihat Ikram. Lelaki itu suka betul cari pasal dengannya.
"Kalau macam tu kau pergilah balik naik bas. Aku boleh hantarkan Nurul balik ke rumah dia. Lagipun kesian pula tengok dia balik jalan kaki."
Ikram memandang wajah gelisah gadis itu. Dia sudah berjanji pada dirinya yang dia akan menjaga gadis itu dengan baik.
"Amboi suka hati kau je nak hantar Nurul balik. Kau ingat kau tu siapa nak hantar dia?"
Suka hati je lelaki itu mahu menghantar sahabatnya pulang ke rumah. Najjah tahu niat Ikram baik tetapi tetap tidak elok jika mereka berdua pulang dengan naik motor.
"Korang berdua ni sudah-sudah la tu. Tak penat ke asyik bergaduh je. Aku bawa tok kadi jumpa dengan korang berdua baru tahu." Pening kepala Nurul melihat perangai mereka yang seperti budak-budak.
"Tok kadi?" Terbeliak mata kedua-duanya apabila mendengar Nurul menyebut tok kadi. Nurul hampir tergelak melihat reaksi muka mereka.
"Yelah tok kadi. Aku tengok korang berdua ni macam sesuai je. Lagipun ok apa kalau korang kahwin."
Memang dari awal lagi dia melihat kedua-duanya seperti ada jodoh. Nurul hanya mampu mendoakan yang baik-baik untuk mereka berdua.
"Nurul, apa ni? Aku tak suka la. Siapa nak kahwin dengan mat poyo ni?" Najjah memang tidak suka dengan Ikram dari awal lagi. Dia tahu lelaki itu mempunyai perasaan terhadap Nurul.
"Nurul, kenapa awak cakap macam tu? Awak tahu kan saya dengan Najjah ni macam mana? Kami berdua asyik gaduh je. Takkan awak nak saya kahwin dengan dia."
Seperti Najjah dia juga tidak mahu kahwin dengan gadis itu. Sudahlah kelakuan gadis itu seperti tomboy sahaja.
"Kenapa korang tak nak kahwin pula? Sudahlah aku nak balik dulu. Najjah, kau balik dengan Ikram ye. Aku nak balik seorang." Nurul bangun dari kerusi dan melihat Najjah di hadapannya.
"Nurul, aku nak balik dengan kau. Aku tak nak balik dengan dia." Najjah memandang wajah Nurul dengan penuh berharap. Dia tidak mahu pulang dengan lelaki itu.
"Ikram, boleh tak awak tolong hantar Najjah ke rumah dia? Saya rasa kesian pula tengok dia balik jalan kaki. Boleh tak?"
"Tapi kenapa saya yang kena hantar Najjah? Habis tu awak nak balik macam mana?" Ikram tidak tahu mengapa gadis itu mahu dia menghantar Najjah pulang ke rumah.
Dia tidak mahu menimbulkan masalah dengan Najjah. Najjah juga berasa hairan dengan Nurul yang mahu Ikram menghantarnya.
Dia hanya mendiamkan diri dan malas mahu masuk campur.
"Awak tak perlu tanya kenapa. Saya cuma nak awak hantar Najjah pulang je." Nurul hanya tersenyum dan berlalu pergi meninggalkan mereka berdua.
"Kau betul-betul nak hantar aku pulang ke, Ik? Aku rasa tak payah kot kalau kau nak hantar aku. Aku tak nak susahkan kau." Najjah memandang ke arah lain. Dia malas mahu menatap muka lelaki itu.
"Biarlah aku hantar kau. Lagipun Nurul dah amanahkan aku untuk hantar kau. Jadi nak tak nak aku kena hantar kau dengan selamat." Entah kenapa Ikram berasa malu pula dengan gadis itu. Najjah juga mendiamkan diri dan berjalan bersama dengan lelaki itu.