40 : Jodoh, Rezeki dan Ajal

2.6K 204 164
                                    

BIBIR Akma terikut sekali memuncung seperti bayi itu. Jari telunjuk dan ibu jari menggomol pipi tembam di hadapannya.

"Alolo..."

Anak buahnya terpinga-pinga diperlaku begitu. Bibir sudah bergerak mahu menghisap susu. Malang sekali Akma tidak faham isyarat yang diberikan. Pipi Adam kekal menjadi mangsa keadaan. Tak cukup dengan itu, Akma melekapkan telapak tangan pada wajah si kecil.

Mulalah Adam Mirza terkebil-kebil. Dia mengalih wajah ke kiri dan kanan dek rimas.

"Alo... Tak suka ke? Semalam suka je..." soal Akma. Mata anak buahnya mula berkaca-kaca. Hidung pun kembang kempis menahan tangisan.

"Budak botak ni..." Terus Akma mendukung tubuh bulat Adam. Dikucup pipi pau Adam kemudian dia mencuit hidung kecil di hadapannya. Gadis itu tertawa halus melihat wajah suci bayi yang baru berusia lima bulan itu.

Apabila Akma bermain jari di bawah bibir Adam, bayi itu membuka mulut kerana disangkakan mahu diberi susu. Acap kali dipermainkan si Akma, tangisannya pecah.

Mata Akma membulat luas. Cepat-cepat tangannya mendodoi anak sulung Badrul itu. "Ala, sayang..."

Kepala botak Adam dikucupnya lembut. Lambatnya Nafisah memasak di dapur. Keluhan terbit di bibir merah gadis itu. "Mana susu awak ni? Saya tak tahu la."

Kelopak mata Adam yang terkelip-kelip melinangkan air mata. Perutnya lapar. Telapak tangan menggenggam tudung Akma dengan erat. Nyaring tangisan dari mulut itu memecahkan suasana bilik. Ruang rumah sewa yang kecil membolehkan tangisan Adam didengari ke segenap ruang.

"Janganlah menangis..." ujar Akma. Kaki Adam didirikan ke atas lantai katil lalu dia menggoyang-goyangkan badan itu.

Kuakkan pintu dari luar melegakan Akma. Akma masih berusaha memujuk Adam dengan menepuk belakangnya.

"Anak ibu lapar ke ni?" Wajah Adam diusap Nafisah lembut. Sapaan raut wajah Nafisah di kaca mata bayi itu meredakan tangisan. Dia tersendu-sendu melepaskan tudung Akma yang habis renyuk dibasahi air mata.

"Akma nak bagi susu juga tadi. Tapi mana susu ya?" Hujung kening digaru Akma.

Sekelip mata tangisan Adam berhenti setelah disuakan susu badan.

"Saya takde breast pump, Akma." Nafisah tersenyum nipis melihat anak lelakinya mengecilkan diri di atas riba. Sebelah tangan menanggung badan Adam, sebelah lagi mengusap pipinya yang dicemari air mata. "Kesian anak ibu. Lapar, ya?"

"Oh... Susu formula?" soal Akma.

"Lagi elok susu seorang ibu." Nafisah menjaga dirinya daripada perkara yang haram, dari susuannya itu akan menjadi darah daging Adam. Jika buruk susuannya maka kanak-kanak itu akan cenderung melakukan perkara yang buruk pada akhir dan awal kehidupan.

Setiap wanita yang menyusukan bayi hendaklah makan daripada makanan yang halal, tidak daripada yang haram. Ini kerana tabiat itu menuruti para ulama' mengikuti makanannya.

Nafisah lebih senang jika Adam hanya meminum susu dari sumbernya yang mana dijaga dengan baik oleh Badrul.

"Nak Akma belikan breast pump? Akma boleh beli online. Baru je semalam ada nampak dekat Instagram." Akma baru teringatkan itu. Telefon di dalam beg sandangnya dikeluarkan pantas. Hujung jarinya mencapai di celahan buku dan fail. Nampak sangat yang Akma ni baru sahaja pulang dari kuliyah.

"Tak payahlah Akma. Saya pun duduk rumah je ni. Alhamdulillah, ada masa lagi untuk susukan Adam," Nafisah menolak baik. Kelopak mata Adam terkatup rapat, hanya bibirnya yang bergerak menikmati makanan harian sebagai seorang bayi.

Bidadari Yang Tersingkir ✓[C]Where stories live. Discover now