38 : Pendosa dan Syurga

1.3K 200 52
                                    

Lagi setapak, hilanglah lantai yang dipijak. Badan itu akan jatuh menghempas ke bumi dari tingkat enam hostel lelaki. Jantung Amir Farhan berdegup hebat. Air mata jadi kering dek tamparan bayu malam.

Jari yang menggenggam bingkai tingkap dilepaskan perlahan-lahan.

Baik ayah mahu pun ibu, semua tidak mempercayai diri itu. Atikah makin seronok menuduh satu fitnah besar. Habis rakan bilik memalau Amir gara-gara perbuatan hina tunang sendiri. Nama dijaja seperti seorang penzina. Demi Allah, sentuh Atikah sekali pun tidak pernah inikan pula mahu buat gadis itu hamil.

Amir menurunkan kelopak mata.

"Amir?"

Suara garau itu menyapa malamnya yang sepi. Jawapan tidak diberikan, mulut terus diketap rapat.

Badrul tersenyum nipis lalu memegang pergelangan tangan Amir erat. Dia terpanggil untuk ke kiub bilik itu apabila malam melewati namun apa yang dilihat hanyalah seorang lelaki terpacak di luar tingkap. Hanya sedikit tempat pijakan yang membolehkan Amir kekal berdiri di luar bangunan. Daripada tingkap aras teratas itu, mata mereka disajikan dengan permandangan malam bangunan hostel lelaki yang berderetan dan jalan yang dihiasi lampu kekuningan.

"Aku percaya kau tak buat semua ni," ucap Badrul.

Amir menggeleng lemah. Mata putih kemerahan kerana menanggung lebatnya tangisan.

"Aku tahu kawan aku tak buat semua ni." Apabila lengan Badrul melingkar di belakang Amir, linangan air mata mula menitis kembali. Tubuh dua lelaki itu terpisah dengan bingkai tingkap yang terbuka.

Kelopak mata dipejam erat. Tangisan pecah di bahu lelaki yang direndahkan selama ini. Amir tewas dengan pahit ujian kehidupan. "Kenapa kau datang sini?" Terhinjut-hinjut bahu Amir.

"Aku risaukan kau. Aku sayang kau. Masuklah bilik balik," pujuk Badrul.

"Aku minta maaf," bisik Amir. Egonya terpaksa diturunkan. Dia sudah tidak betah terjerut dengan dosa terhadap Badrul apatah lagi Akma. "Aku tak nak hidup dah..." Bahu Badrul ditolak menjauh lalu telapak tangannya menghapuskan air mata.

"Kau jangan nak buat benda bodoh." Badrul bertindak menarik bahu Amir ke dalam hingga lelaki itu tersembam ke atas lantai. Dengan pantas tingkap bilik dikatup, penyelaknya dinaikkan segera. Ringisan kesakitan Amir langsung tidak dipedulikan.

"Biar aku mati..." rintih Amir. Kaki lemah dipaksa berdiri, tangan pula menolak tubuh Badrul yang menghadang tirai bilik. "Tepi..."

DUSH

Wajah Amir terteleng ke kanan tidak semena-mena. Lebam pukulan abang Atikah ditambah oleh Badrul pula pada malam itu.

"Kau sedar tak apa yang kau cakap ni, Mir?" soal Badrul.

Amir menyentuh pipinya yang berdenyut. Mata kekal memandang lantai bilik. "Aku nak mati."

"Mati bukan jalan penyelesaian. Mati tu pintu kepada alam barzakh. Mati tu permulaan hidup yang berpanjangan di akhirat sana. Kau dah sedia nak mati?" Badrul masih berdiri membelakangi tingkap. Tangannya digenggam erat dek marah yang meruap.

"Aku dah tak nak hidup," bisik Amir.

"Amir, aku pun kena fitnah. Orang fitnah aku berzina dengan Nafisah dalam hotel. Berapa ramai mengata aku dan percaya pendustaan tu? Aku lagi kesiankan Nafisah. Dia dah lah mengandung, kena tahan tekanan orang sekeliling pula... Tapi aku tahu keadaan ni cuma sementara. Lambat laun kebenaran akan tersingkap juga," luah Badrul. Begitu lelaki itu mahu Amir fikir dengan lebih terbuka. Setiap dari ini hanyalah ujian, setiap orang pula telah ditetapkan ujian masin-masing.

Bidadari Yang Tersingkir ✓[C]Where stories live. Discover now