HAMPIR tiga hari Kayla tinggal di rumah Aryan. Hari ini dia akan pulang ke rumahnya setelah dia kembali sihat. Sepanjang dia tinggal di sini, Kayla berasa sangat gembira kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga angkatnya terutamanya Aryan.
Esok dia perlu kembali ke sekolah seperti biasa. Sementara menunggu Encik Malik datang menjemputnya, Kayla mengambil angin di kawasan kolam. Sehingga hari ini, Kayla masih enggan bercakap dengan Encik Malik. Hatinya masih terkilan kerana Encik Malik terlupa tentang tarikh penting dalam hidup mereka.
“Buat apa rendam kaki tu dalam air? Nanti kan jatuh sakit lagi...” Aryan tiba-tiba muncul di sisi Kayla.
“Abang dah habis study ke?” Tersenyum Kayla apabila Aryan duduk di sebelahnya.
Kayla tidak mahu mengganggu Aryan kerana dia tahu lelaki itu sedang sibuk membuat ulangkaji. Adel pula sudah lama keluar bersama rakan sekelasnya.
“Otak abang ni pun perlukan rehat juga. Kalau asyik belajar, takut satu apa pun tak masuk.” Aryan turut sama merendamkan kaki ke dalam air.
“Abang budak pandai. Belajar last minute pun, abang mesti dapat jawab juga.”
Aryan ketawa kecil mendengar pujian itu. Lega hati Aryan apabila melihat Kayla sudah kembali sihat dan ceria. Namun Aryan dapat merasakan Kayla sedang menyembunyikan sesuatu.
“Kayla buat apa dekat sini? Abang tengok macam ada masalah aje…” Aryan cuba mengorek masalah yang dihadapi oleh Kayla.
“Tak ada masalah. Kayla cuma sedih sebab dah nak kena balik.” Wajah Kayla jelas kelihatan sugul.
Terdiam Aryan seketika. Bukan dia tidak tahu Kayla masih lagi melancarkan perang dingin terhadap Encik Malik.
“Kayla tak sayangkan daddy ke?” Tanya Aryan dengan tiba-tiba.
Lekas Kayla menoleh ke arah Aryan. Pelik dengan soalan yang diajukan oleh Aryan.
“Mestilah Kayla sayang...” Laju Kayla berikan jawapan.
“Kalau sayang, Kayla kenalah faham dengan daddy. Daddy kerja bukan untuk orang lain tapi untuk Kayla juga. Selama ni, abang tengok daddy selalu tunaikan permintaan Kayla. Jangan marahkan daddy lagi ye,” nasihat Aryan.
Terdiam Kayla. Satu keluhan nipis terlepas dari bibirnya.
“Kayla tak marahkan daddy...” Perlahan Kayla berikan jawapan.
“Baguslah macam tu sebab kalau marahkan daddy, Kayla pun kena marahkan abang juga sebab terlupa hari jadi Kayla…”
Kayla tersenyum hambar. Tipulah kalau dia tidak kecewa apabila Aryan dan Adel langsung tidak mengingati hari jadinya beberapa hari yang lepas. Hanya Dhiya sahaja yang mengingati tarikh lahirnya.
“Kayla tak kisah kalau tak ada sesiapa pun yang tak ingat hari jadi Kayla. Kayla cuma tak suka bila daddy lupa tarikh arwah mummy meninggal,” jawab Kayla dengan rasa sebak.
Aryan semakin dihambat rasa bersalah. Dia bukan sengaja terlupa tentang hari jadi Kayla tetapi dia terlalu sibuk dengan persediaan peperiksaan.“Abang yakin, daddy pun tak sengaja. Macam abang juga tak sengaja terlupa hari jadi Kayla. Sebelum ni, setiap tahun daddy buat kenduri untuk arwah mummy. Abang minta maaf kalau buat Kayla kecewa,” pujuk Aryan.
Aryan mahu hubungan Kayla dan Encik Malik kembali pulih. Terkesan juga Kayla dengan nasihat Aryan. Sebagai seorang anak, dia sepatutnya mengalah.
“Lepas ni, Kayla kena minta maaf dengan daddy. Abang tak nak Kayla bersikap dingin dengan daddy lagi. Boleh?” Rambut panjang Kayla dielus lembut.
YOU ARE READING
Seikhlas Cinta Kayla ( Sold Out. Hanya Ada Ebook Di Esentral)
RomanceTAJUK: SEIKHLAS CINTA KAYLA PENULIS: MIA AZWARI BLURB: Mikayla Delaila, nama yang indah tetapi tidak seindah peribadinya. Degil, tamak dan sombong, itulah sikap sebenar Kayla. Dalam diam, dia mencintai anak sahabat ibu bapanya sejak kecil. Hanya Sye...