Seminggu sudah berlalu sejak hari Zafirah dan Tuah keluar berjalan. Walaupun mereka berdua tidak melakukan apa-apa aktiviti selain makan dan tengok wayang, Zafirah tetap rasa gembira sehinggalah hari ini. Tak sabar pula Zafirah nak cuti. Ke mana dia dan Tuah perlu pergi kali ini?
Bunyi loceng yang berdenting membuatkan Zafirah mendongak. Baru nak suap mi segera masuk mulut, tiba-tiba ada pelanggan masuk pula. Zafirah mula bangkit untuk ke kaunter hadapan.
Sempat Zafirah mengerling ke arah lelaki yang bertubuh tegap, terbongkok-bongkok mencari sesuatu di rak mi segera. Dia sekadar berlalu ke kaunter, menunggu pelanggan itu untuk membuat pembayaran. Zafirah mengerling ke arah jam tangannya. Sikit lagi syifnya nak habis.
"Iqi, jumpa tak?" soal seorang lagi pelanggan yang baru masuk. Nampak gaya pakai lanyard itu, macam pelajar universiti. Ini mesti cari mi segera untuk menjadi sajian ketika mengulang kaji ni.
"Tak adalah, Pet," balas si Iqi yang masih mengintai rak itu. Tidak lama kemudian, Iqi terus bangkit dan berpaling ke arah kaunter. Apabila mata Zafirah memandang wajah itu, dia terus ternganga.
"Eh, bukan awak bisu ke?" soal Zafirah dengan agak kuat. Ya, Zafirah memang cam muka lelaki ini. Lelaki yang menggunakan bahasa isyarat dengannya, bertanya tentang ramen berperisa carbonara tempoh hari! Macam mana pula boleh bersuara? Mata Zafirah mula memandang lelaki itu dari atas sampai ke bawah. Wah, ini maksudnya dia kena tipu!
Iqi hanya mampu menggaru belakang lehernya, lalu mengangkat kedua belah tangannya untuk membuat isyarat kepada Zafirah.
Saya tak pernah cakap saya bisu mahupun pekak.
Kening Zafirah terus berkerut. Dia mula memandang lelaki itu dengan lama. Perlahan-lahan lelaki bernama Iqi itu mengukir senyuman.
"Saya sakit tekak masa tu. Dan saya tak gunakan bahasa isyarat, saya tulis nota dalam telefon. Awak yang assume saya OKU dan mula berbahasa isyarat dengan saya," tutur Iqi dengan senyuman lebar.
Zafirah hanya diam. Ya tak ya juga. Zafirah yang membuat tanggapan bahawa lelaki itu tidak boleh berbicara melalui lisan dengannya. Liur diteguk perlahan. Ya Allah, malunya! Tapi, kenapa mamat ini tak klarifikasikan yang dia bukan orang kurang upaya? Maka, Iqi juga salah dalam hal ini! Siap membalas dalam bahasa isyarat lagi! Kalau tak kurang upaya, macam mana pula dia pandai berkomunkasi menggunakan bahasa isyarat?
"Alang-alang ni, saya nak tanya, memang 7Eleven ni tak restock ramen ke?"
Zafirah menggeleng perlahan. "Stok belum masuk," balas Zafirah mendatar. Matanya masih merenung Iqi tajam.
Atau Iqi seperti dia? Mempunyai ahli keluarga yang berkomunikasi dengan bahasa isyarat?
Iqi mula mengalihkan matanya daripada terus memandang gadis di belakang kaunter itu. Matanya kini memandang Pet.
"Tak ada. Macam mana ni. Aku betul-betul mengidam nak makan ramen, Pet," ucap Iqi sambil memegang perutnya. "Macam mana kalau anak kita tergugur nanti?"
Zafirah terus mengucap panjang. Dia terus memandang lelaki bernama Pet dan lelaki bernama Iqi silih berganti. Kunyit?! Atau Iqi adalah perempuan menyerupai lelaki?
Zafirah mula menunduk sedikit untuk mengintai leher Iqi. Mana tahu, ada halkum. Kalau ada halkum, sah! Kunyit!
Apabila matanya terpandang halkum yang timbul di tengah-tengah tengkuk Iqi, Zafirah mengucap lagi. Matanya terus memandang Iqi yang turut memandangnya. Ya Allah, punyalah kacak, tapi sukakan kaum sejenis? Sampai tahap delusional boleh mengandung pula tu! Astaghfirullahalazim!
Matanya mula melirik ke arah Pet pula yang mempunyai cambang dan sangatlah tidak kemas.
Allahuakbar! Sukakan lelaki berhutan pula tu!
Tak semena, Zafirah rasa mual. Gelinya! Zafirah paling tak suka lelaki yang bercambang! Kalau bercambang rapi, dia tak kisah. Ini macam hutan tropika dia tengok!
Bunyi tawa meledak dengan kuat membuatkan bahunya tersentak. Zafirah terus memandang Iqi yang menekan perutnya sendiri. Kening Zafirah yang sememangnya sudah berkerut semakin mengernyit. Matanya mula melirik ke arah rakan sekerjanya, Kimi yang keluar dari bilik staf. Pasti lelaki itu risau jika Iqi adalah pelanggan mabuk seperti semalam.
"Aduh... Pet, sakit perut aku."
"Yang kau melalut macam tu, kenapa? Kesian dia." Pet mula mengeluh sambil mengerling ke arah Zafirah dan Kimi.
"Maaf, ya. Dia tengah gila, minggu exam. Dan kami normal. Saya masih sukakan perempuan. Dia pun sama. Jangan marah, ya," sambung Pet dengan kekok. Pet mula menepuk bahu Iqi sekali. "Jomlah, cari dekat lain. Aku rasa ada je dekat lain."
Iqi mula menyeka air matanya. Dia terus memandang Zafirah sambil mengangkat kedua belah tangannya.
Jumpa lain kali, cik comel manis.
Zafirah hanya mencemik. Memandang kedua orang lelaki itu keluar daripada kedai serbaneka.
"Aku ingat mamat mabuk tadi. Fuh, trauma kes semalam," ujar Kimi sambil melurut dadanya. Zafirah hanya mengangguk. Walaupun kejadian yang dimaksudkan itu berlaku ketika dia tidak bertugas, tetapi apabila dia mendengar cerita rakan-rakan sekerjanya melalu grup WhatsApp, dia juga naik ngeri.
"Eh, kau dah boleh start kemas barang. Aku boleh take over. Lagi 10 minit kau nak habis syif. Nanti ayah kau sampai, aku panggilkan," kata Kimi sambil menghalaunya masuk ke bilik staf di belakang. Zafirah hanya mengangguk.
Perlahan-lahan kakinya berjalan ke arah bilik staf. Apabila Zafirah selamat duduk di kerusi, dia hanya mampu melepaskan keluhan. Habis kembang mi segeranya. Ini semua gara-gara si Iqi itu! Bedebah punya manusia. Berani dia gelakkan Zafirah?
YOU ARE READING
Promise (OG)
RomanceSECRET SANTA atau SECRET CRUSH. Sejujurnya, Zafirah tidak pernah menyangka Tuah a.k.a Mr Heartbreaker akan menjadi Secret Santanya. Dan paling tidak boleh habis difikir bahawa Tuah langsung tiada usaha untuk menjadikan misi itu sebuah mister. Boleh...