Bab 29

391 78 8
                                    

DARI tadi lagi Mawar terjengah-jengah di pintu bilik, menunggu sosok tubuh suami. Sejak petang tadi, Zayn masih belum jejak ke bilik.

Mana Zayn ni...

Sejurus dia melabuhkan punggung di birai katil setelah hampir 15 minit bermundar-mandir, tiba-tiba kelibat Zayn muncul di muka pintu. Masih berseragam loreng. Nampak gayanya Zayn belum mandi.

Zayn buka langkah menuju ke arah almari lalu tuala mandi dicapai dan disangkut pada leher.

"Awak baru nak mandi ke? Kenapa lambat naik?" tanya Mawar, intonasi perlahan. Nampak ketegangan pada wajah Zayn, buat dia sedikit goyah.

"Makan."

Mendengar jawapan yang cukup ringkas itu, Mawar angguk dua kali. Sebenarnya sejak tadi perutnya sudah meragam. Hendak turun, namun mengingatkan kata-kata Puan Zahra buatkan niatnya terbatal. Zayn pula tidak ada memanggilnya untuk turun makan sekali. Selalunya, pasti Zayn akan tunggu dia, dan makan bersama.

"Nanti saya nak keluar kejap, boleh?"

"Malam-malam macam ni? Pergi mana? Saya tak izinkan," tegas Zayn. Langkah diteruskan menuju ke bilik mandi.

"Saya... nak tengok gerai burger dekat simpang taman tu buka ke tak... tapi kalau tak buka, saya terus balik. Boleh eh? Kejap... je!"

"Mawar boleh tak kalini awak dengar cakap saya?"

Intonasi suami yang mula meninggi membuatkan Mawar spontan mengangguk laju. Kata ayah zaman kanak-kanak dahulu, polis garang! Mungkin hari ini baru Mawar dapat lihat belang Zayn. Gerun pula.

Tangan naik menekan pinggang dalam diam. Tidak terlalu menonjol supaya tak disedari Zayn. Bantal tidur diperbetulkan sebelum kepala dilabuhkan dalam keadaan mengiring. Daripada menahan lapar, lebih baik dia tidur.

Sejurus tiba di muka pintu bilik air, langkah Zayn terhenti serta-merta. Ekor mata dikerling memandang si isteri yang diam berbaring di atas katil. Buku lima di sisi tubuh digenggam kuat. Mawar yang minta dia untuk jadi sekejam ini!


TERASA bahu ditepuk lembut berkali-kali, dengan berat mata dicelik memandang empunya suara yang asyik menyeru namanya berulang kali.

Zayn labuhkan duduk di birai katil. Mawar buka mata, terus plastik bungkusan makanan yang dipegang dihulurkan kepada isteri.

Melihat huluran itu, Mawar jelas terpinga-pinga. Dengan kadar perlahan, tubuh yang mengiring tadi kini bangkit bersandar di kepala katil.

"Nak ke tak nak? Kalau tak nak, tak payah. Saya makan." Berdirinya Zayn ingin berlalu keluar dari bilik, tubuh Mawar yang kendur tadi berubah tegak.

"Awak! Nak..." Comforter yang menutup kaki diselak sebelum Mawar lekas-lekas turun dari katil. Tubuh tinggi Zayn didekati dengan mata tidak lari dari memandang bungkusan plastik yang tersangkut di jari suami. "Awak beli burger ke?"

Zayn angguk sekali.

Masuk ruangan dapur, tangannya belum sempat lagi hendak menekan suis lampu, Mawar sudah menarik kerusi meja makan.

"Awak nak rasa?" Buka saja bungkusan burger, Mawar gigit terlebih dahulu. Mulut yang penuh naik melengkung tersenyum. Sedap!

"Bila awak keluar pergi beli?" tanya Mawar dengan mulut yang masih padat dengan gigitan yang ketiga. Makanan pun tidak sempat dikunyah habis, terus ditelan.

Melihat gelagat isteri, Zayn geleng kepala. Lapar sungguh gayanya. Kesian pula. Mujurlah dia masih ada rasa simpati, pukul 12 tengah malam pun sanggup lagi keluar mencari sesuatu untuk alas perut si isteri. Dia tahu Mawar lelapkan diri hanya kerana menahan lapar.

"Aih Zayn? Tak tidur lagi?" Munculnya Puan Zahra, kunyahan Mawar serta-merta berubah dengan kadar perlahan. Anak mata laju dialihkan memandang makanan di tangan. Tidak berani hendak bertentang mata sejak kejadian siang tadi. Sehingga kini masih terasa pijar di kulit pipinya.

Puan Zahra kerling pada menantu sekilas. "Untung Mawar kan? Buat jahat dekat suami pun, suami masih sanggup keluar carikan makanan."

"Mawar tahu Mawar tak layak dapat layanan macam ni daripada Zayn kan? Tak rasa malu ke, sayang? Hm?" Puan Zayn tongkatkan kedua-dua tapak tangan di birai meja makan.

Zayn alihkan pandangan tanpa sepatah bicara. Bukan dia tidak mahu mempertahankan isteri, tapi bukan ke Mawar sendiri yang hendak dibuang? Masih jelas di telinga, masih terngiang-ngiang di kepala akan setiap patah bicara perbualan Mawar dan Raffael pada siang tadi. Memang Mawar yang minta untuk dibuang! Sekelumit pun Mawar tidak ambil peduli jika hilang dia.

'I tak cintakan dia. Kalau dia nak buang I pun, lagi I suka. I boleh jaga diri sendiri. Eh tak perlu tunggu dia buang I lah, I dulu yang pergi nanti. Zayn Raffael adalah suami yang tak diundang. Sekelumit pun I tak kisahlah setakat hilang dia.'

Dan... Mawar boleh jaga diri sendiri. Sepatutnya dia tidak perlu menyusahkan diri untuk keluar pada waktu malam begini semata-mata hanya kerana mencari makanan sebagai alas perut. Tetapi memandangkan dia sedar bahawa, pergaduhan bukanlah tiket untuk dia lupakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

"Dengar sini Mawar. Aku... ada calon isteri yang lebih baik untuk Zayn. Lebih baik dari kau. Kau beruntung, aku tak suruh Zayn lepaskan kau. Apa yang kau buat pada aku, pada Zayn, pada Fara adalah sesuatu yang susah aku nak terima, Mawar. You don't deserve my son. Anak aku berhak yang lebih baik."

Mendengarkan itu, Mawar tunduk menekur meja. Makanan yang ditelan melalui kerongkong sudah hilang perisanya. Tak terasa apa. Setiap bicara Puan Zahra dia harus terima dengan hati terbuka. Semuanya benar belaka. Tiada satu pun yang silap.

"Kau okey ke kalau aku kenalkan Zayn pada calon menantu pilihan aku?" tanya Puan Zahra lagi. Kening dijongket sekali menanti jawapan.

Burger yang masih separuh di tangan, Mawar genggam perlahan. Kepala langsung tak diangkat memandang mama. Malah matanya kekal tersorot memandang permukaan meja. Ulas bibir bawah diketap rapat sejurus kepalanya laju mengangguk tanda setuju.

Jika Zayn tiada bantahan, kenapa dia perlu menghalang?

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: 7 days ago ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Dia, Zayn RaffaelWhere stories live. Discover now