BAB 04 : DEBARAN CINTA

34 6 0
                                    

Zhareef pandang pantulan diri melalui cermin sisi. Betulkan rambut. Kemudian pakai songkok. Terpaksa dia berpuas hati dengan apa yang tersarung ditubuhnya malam ini demi air muka abahnya.

"Abang Reef memang dah handsome. Pakai warna macam ni lagilah menyerlah. So, jangan bimbang. Bila Lia datang nak ambil Abang Reef, Lia tahu abang akan senyum tak berhenti." Zhalia di luar memujuk. Bagaikan abangnya itu budak tadika. Zhareef balas dengan menarik hidung adiknya. Pantas Zhalia menolak kuat. Menyuruh abangnya segera keluar kerana beberapa orang penyambut tetamu sudah siap menunggu di luar.

Zhareef ukir senyum geram. Pandai bagi idea macam-macam tapi bab temankan abang sendiri hampeh. Rela habiskan masa dekat pasaraya. Bila majlis dah tamat barulah Zhalia akan datang semula. Geram dengan Zhalia tak habis lagi tapi dia tetap lemparkan senyum kepada wakil acara sebaik keluar dari perut kereta. Riak muka mesra ditunjuk agar orang yang menunggu tidak berasa segan.

"Maaf lambat sampai," ucap Zhareef kesal. Gara-gara bergaduh dengan Zhalia masa pun berlalu begitu saja.

"Tak apa Encik Zhareef. 8.30 baru majlis mula. Jadi tak lewat dah." Wakil tersebut membalas mesra. Lalu Zhareef kumpulkan semangat serta lebarkan senyum.

Dengan penuh wibawa dia melangkah masuk ke dewan Gamelan bersama beberapa orang tetamu VIP. Masing-masing segak berbaju melayu. Dia pun tak terkecuali. Baju melayu berwarna dusty green yang dipilih adiknya rasa kena pula dengan kulitnya yang tak gelap dan tak putih sangat. Pakaian kebangsaan itu tersarung kemas di tubuh dan tiba-tiba sahaja dia rasa bersemangat. Apatah lagi kemunculannya disambut dengan suara alu-aluan yang begitu merdu. Pantas sahaja dia tujukan mata ke arah pengacara majlis di pentas utama.

Tidak nampak kerana dia masih lagi jauh. Tak sabar pula hendak melihat wajah pemilik suara. Sebelum benar-benar tiba di mejanya sempat dia kerling wajah pengacara majlis. Tak berjaya di tangkap apabila tetamu di meja hulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. Zhareef ukirkan senyum seraya berjabat mesra. Sebaik labuhkan punggung dia pandang ke kiri dan ke kanan. Menghadiahkan senyuman kepada anak-anak yatim yang diraikan.

Alunan suara pembukaan yang mendayu-dayu begitu memanggil-manggil hatinya. Pantas matanya diarah ke pentas utama. Kelihatan susuk di depan rostrum seakan dikenalinya. Apabila pemilik suara berundur ke belakang memberi laluan kepada seorang ustaz untuk membaca doa dadanya mula berdegup kencang. Saat wanita itu diam menadah tangan sambil mengaminkan doa hatinya berbunga rasa gembira.

Zhareef tak lekang melihat. Orang lain khusyuk menadah tangan mengaminkan doa dia pula tujukan mata ke arah pengacara majlis. Ada debaran kuat menyentak dada apabila bibir wanita itu tersenyum sebaik meraup muka.

Detak yang muncul tak beri kerjasama. Dia tidak mahu faham tetapi debaran sebegini mengingatkan dia akan debaran cinta yang pernah dia kuburkan bertahun-tahun lamanya. Nampaknya perasaan ini kembali muncul setelah wajah yang jauh di depan sana tak mampu dia buang.

Dia yakin itulah wanita yang dia selamatkan di tangga bangunan hotel. Suara itu dia tidak cam kerana kelmarin ia dibuat-buat. Tetapi saat ini dia cukup teruja. Alunan yang terlontar keluar buat dia tak senang duduk. Bahkan solekan yang melatari wajah itu membuat matanya tak mahu berkelip. Apatah lagi pakaian yang membalut tubuh susuk berkenaan seperti raja sehari.

Serta merta bibirnya tersenyum penuh makna. Melihat warna pakaian mereka yang sama pula terus dadanya bergendang irama gembira tak terkata. Lantas kepalanya mula mengingati insiden yang telah berlalu.

Adakah ini jodoh yang di tunggu-tunggu. Setelah sekian lama dia matikan rasa untuk bercinta alih-alih malam ini dia merasakan sesuatu yang sukar untuk dijelaskan. Dia lorekkan senyuman apabila wajah itu tiba-tiba sahaja memanah matanya saat menyebut namanya lalu menghadiahkan sekuntum senyuman. Terus jantungnya jatuh bergolek dan hilang entah ke mana.

AIR MATA KASIHWhere stories live. Discover now