"ASSALAMUALAIKUM isteri abang..."
Mendengar suara lunak sang suami menerjah gegendang telinga, Mawar celik mata. Perlahan kepala diangkat menoleh ke arah tubuh tinggi Zayn yang masih lengkap berseragam loreng digital sedang menghampirinya.
Jam dinding dikerling. Zayn sudah pulang dari kerja. Dia pula selepas naik daripada makan tengah hari bersama Puan Zahra, Fara dan Fahad tadi terus terperap di dalam bilik. Itu saja caranya untuk dia cuba mengelak dari bertembung dengan Fahad lagi. Masuk hari ini, sudah tiga hari. Sepanjang itulah, Fahad tidak habis habis cuba mencari peluang.
"Mawar okey?" Zayn duduk di birai katil. Kata mama, Mawar tidak berapa sihat.
"Mama cakap dekat abang, dua tiga hari ni isteri abang ni tak banyak bercakap. Senyum pun dah susah nak nampak. Mawar sakit ke?" tanya Zayn. Plastik makanan diletak di atas tilam.
"Apa tu?" Mawar jenguk sedikit ke depan ingin melihat isi di dalam plastik lutsinar yang dipegang Zayn sedari tadi.
Zayn senyum segaris. "Bukalah, tengok."
"Takoyaki?" Mawar menahan riak keterujaan yang hampir terpamer pada wajah.
Mendengar suara Mawar begitu, Zayn sudah lepas gelak. Walaupun Mawar cuba sembunyikan riak keterujaan, tapi melihat saja mata si isteri yang membesar itu cukup meyakinkannya, Mawar suka. Mawar sukakan makanan. Comel!
"Jom, turun makan!" ajak Zayn. Baru saja dia berura-ura hendak bangkit dari birai katil, iphone milik Mawar berdering membatalkan niatnya. Dikerling sekilas nama yang tertera pada skrin.
Raff <3
Sekali lagi matanya sempat menangkap wajah terkejut Mawar bila melihat sebaris nama itu. Ini kali pertama Raffael menghubunginya selepas dia mendirikan rumahtangga.
"Angkatlah," kata Zayn sepatah, memberi izin bila melihat Mawar memandang wajahnya.
Butang hijau digesek ke kiri. Mawar mengubah posisi, membelakangi Zayn.
"Raff..."
"I-I... I minta maaf Raff."
"Betul Raff... I cintakan you, tapi..."
"Raff? Raff? Hello... Raff!"
Tangan Mawar naik mengesat birai mata yang mula basah.
Zayn tunduk memandang plastik makanan di riba. Telinga menangkap bunyi air hidung yang ditarik oleh sang isteri di belakang. Mawar menangis lagi? Penumbuk dikepal menahan perasaan. Siapa pun pemilik nombor telefon di sebalik talian, jika berada di depan matanya ketika ini, pasti pecah wajah itu dia kerjakan.
Nafas dihirup dalam sebelum berpaling memandang Mawar yang duduk bersila membelakanginya.
"Mawar... ni abang belikan untuk Mawar ni. Nanti dah sejuk tak sedap tau?" Lembut suara garau itu memujuk si isteri dengan menggunakan makanan sebagai umpan.
"Awak turunlah dulu." Tidak berjaya menahan perasaan, getaran suara Mawar jelas kedengaran.
"Abang takkan tinggalkan isteri abang menangis sorang-sorang. Nak menangis, menangis dengan abang. Abang pun boleh menangis kalau isteri abang nak." Ibu jari kasar Zayn naik mengusap air mata jernih Mawar yang perlahan mengalir menimpa pipi.
Mawar ketap gigi. Melihat air mata Zayn yang turut bertakung di birai mata, Mawar larikan pandangan. Tangannya laju naik menghapuskan air mata sendiri. Dada bidang milik suami ditolak perlahan menjauh. Kenapa Zayn perlu menangis bersama dia?
Tidak. Zayn menangis kerana terluka. Kau yang bodoh, Mawar!
"Abang letak makanan ni dekat dapur. Nanti Mawar turun makan, ya?"
YOU ARE READING
Dia, Zayn Raffael
Romance"Berhenti lah menjadi pelangi untuk saya yang buta warna." -MAWAR NASUHA "Mawar bukan buta warna... cuma abang bukan pelangi yang Mawar cari." -ZAYN RAFFAEL