BAB 4 (TW)

783 96 20
                                    

ZHAFRAN TERKAKU APABILA mendengar penerangan yang disampaikan oleh doktor pediatrik itu. Bagai mahu terhenti deruan nafasnya apabila setiap kata-kata doktor itu menusuk masuk koklea telinga.

Anaknya Zarif, overdose ubat.

Sepuluh biji pil ubat yang telah dijumpai dalam perut kecilnya menyebabkan mata Zhafran terbelalak untuk seketika.

Kenapa boleh jadi sampai begini sekali?

Mujur saja isterinya cepat mengambil tindakan pantas sebaik saja Zarif mengalami tindak balas di rumah tadi. Kini Zarif berada dalam keadaan stabil.

Betapa hancur hatinya sebagai seorang bapa apabila Zulaikha menelefonnya sambil menangis, mengatakan mulut Zarif mengeluarkan buih bagai terkena sawan.

Namun, ianya bukan sawan malah terlebih dos ubat yang boleh meragut nyawa anaknya jika terlambat.

Zhafran mengepalkan kedua-dua tangannya dek rasa amarah yang mula memenuhi diri.

"Ubat siapa yang Ayep makan, Zu?" soal Zhafran sebelum mengerling isterinya yang terduduk di kerusi hospital.

"Zu tak pasti abang, Zu tak sempat nak perhatikan Zarif tadi. Maafkan Zu," tutur Zulaikha dengan mata yang sembap. Dadanya terasa mahu pecah dengan keadaan anak sulungnya itu.

"Susah sangat ke nak jaga Zarif? Tu belum yang dalam perut tu keluar, macam mana ni Zu?" keluh Zhafran panjang sebelum meraup mukanya.

Lelah.

Letih.

Anak seorang pun tak tahu nak jaga.

"Maafkan Zu, bang..." Semakin sebak rasa memenuhi dada. Air mata kembali jatuh menghentam pipinya yang sudah sedia basah. Esakannya turut berbunyi seiring dengan air mata yang laju turun.

Tangan dibawa ke perut yang buncit dan sarat menunggu masa sebelum dielus perlahan.

"Maafkan Zu, abang..." Sekali lagi ayat itu diulang.

Zhafran menghela nafas panjang sebelum mengambil duduk di sebelah isterinya. Bahu Zulaikha dipeluk dari tepi dan diusapnya perlahan. Kepala itu ditarik dapat ke dada bidangnya.

"Shhh, don't cry. Abang tak sepatutnya cakap begitu, maafkan abang," ujar Zhafran setelah lama berdiam diri dan hanya membiarkan tangisan isterinya yang semakin mendayu-dayu.

"Zu minta maaf..."

"Ya sayang, it's not your fault. Nanti abang jumpa doktor dan tanya jenis ubat apa yang Ayep termakan tu. Jangan risau, anak kita tak akan apa-apa." Dia cuba memujuk Zulaikha walaupun hatinya tidak yakin dengan kata-katanya sendiri.

"Zu cuai, Zu tak pandai jaga anak kita," rintih Zulaikha. Zhafran hanya menggeleng sebelum mencium tepi kepala Zulaikha yang bertudung itu.

"Dah sayang, stop blaming yourself," tegas Zhafran berkata dalam pujukannya.

Zulaikha yang tersedu-sedan hanya mendiamkan diri sambil mengesat air matanya yang masih mengalir laju.

Dia tahu, masih tersisa amarah Zhafran dalam diri lelaki itu.

"Abang nak jumpa doktor dan lepas tu abang akan balik rumah terus. Zu temankan Ayep malam ni boleh?" soal Zhafran sambil menatap wajah basah isterinya.

Zulaikha hanya mengangguk tanpa membantah.

"Nanti abang bawakkan pakaian Zu ya." Zulaikha angguk sekali lagi.

"Abang balik dulu. Kalau ada apa-apa, call abang terus," pesan Zhafran sambil menghulurkan tangannya ke hadapan wajah Zulaikha.

Tangan itu dipegang dan dicium penuh hormat. "Hati-hati abang."

Badai Bahagia (SU)Where stories live. Discover now