MIKAYLA yang baru sahaja melangkah masuk ke ruang wad yang menempatkan kakak iparnya terhenti langkahnya saat pandangannya dijamahkan dengan abangnya yang tertidur di birai katil Orked dengan hanya berbantalkan lengan sasanya. Sudah tiga hari berlalu, sejak kemalangan itu berlaku tetapi lelaki itu tidak sekalipun berganjak dari menunggu kakak iparnya.
Nafas dihela, dia yakin Mattheo sedang di ambang rasa sedih meskipun dia tahu lelaki itu tidak mahu menunjukkannya.
Beg berisi mangkuk tingkat yang dikirimkan sang ibu dibawa dengan berhati-hati menuju ke arah abangnya sebelum beg tersebut diletakkan ke atas meja kecil bersebelahan dengan katil hospital yang menempatkan Orked yang masih terbaring kaku.
Selama tiga hari ini, tubuh genit itu langsung tidak menunjukkan sebarang pergerakan mahupun tindak balas. Badannya kaku seakan mayat sahaja, hanya bunyi mesin yang memenuhi segenap ruangan wad tersebut.
"Asalamualaikum kak Eloise, Kayla datang melawat akak. Kayla harap akak cepat bangun ya, kami semua rindukan akak." Perlahan sahaja dituturkan kata-kata tersebut, dengan niat tidak mahu menganggu lena Mattheo memandangkan sejak kebelakangan ini, Mikayla sedar abangnya itu lebih memilih untuk bergadang berbanding tidur. Baru hari ini, dia nampak lelaki itu melelapkan mata. Mungkin sudah mencecah limitnya.
Wajah jelita Orked yang terlihat dengan kesan-kesan luka dan lebam yang mulai membaik dipandang sayu. Luluh hatinya melihat kakak iparnya diuji dengan keadaan sebegini. Begitu kuatnya hidup seorang Orked kerana mampu bertahan hidup setelah apa yang dihadapinya.
Baru sahaja hendak dipegang tangan kakak iparnya, niatnya segera dimatikan memandangkan tangan wanita itu selamat berada di genggaman abangnya. Tidak kunjung lepas sejak beberapa hari yang lalu.
"Kak Eloise... abang pun rindukan akak. Cepatlah sedar, kembali kepada kami semula. Kami rindukan akak," suara Mikayla terdengar lirih, tubir matanya terasa hangat kerana empangannya sudah dipenuhi dengan air mata. Sedaya-upaya tangisan ditahan agar tidak mengalir.
Selama tiga hari ini, dia juga tidak berhenti mengunjungi kakak iparnya dengan harapan pada hari yang dia melawat itu, wanita itu akan bangkit dari komanya. Mikayla tidak mahu putus harapan, dia yakin yang Orked masih mahu hidup. Hanya sahaja wanita itu memerlukan semangat untuk teruskan berjuang. Kerana itu, Mikayla tidak berhenti mendoakan kesembuhan kakak iparnya serta tidak putus memberikan kata-kata semangat kepada wanita jelita itu.
"Kayla, bila sampai?" Suara garau itu terdengar serak membuktikan Mattheo sudah lama dibuai mimpi, kelopak matanya digosok perlahan sebelum kepalanya diangkat dari lengannya yang sudah terasa kebas. Mikayla pantas menyeka air matanya, wajahnya dipaksa mengukirkan senyuman tawar.
"Tadi, Kayla saja taknak ganggu abang rehat. Sambunglah rehat, kesian abang dua tiga hari ni abang Theo tak cukup tidur." Ujarnya yang mendapat gelengan dari Mattheo, sempat direnggangkan urat-urat lehernya sehingga rasa pegal sedikit berkurang.
"Abang dah cukup rehat. Mama dengan papa tak datang?" Soalnya, air botol mineral berjenama Evian digapai dari atas meja kecil yang tidak jauh darinya lalu diteguk sehingga air tersebut tinggal sedikit sahaja. Tiba-tiba sahaja tekaknya terasa kering mungkin kerana terlalu berlamaan tidur.
"Abang Theo tak perlu tipu Kayla, Kayla boleh nampak dengan mata kepala Kayla sendiri mata abang nampak penat, tak cukup tidur. Kalau abang nak, Kayla boleh gantikan abang jaga kak Eloise malam ni. Abang balik, rehat dan tidur. Esok datang semula." Pelawa Mikayla yang turut mendapat tolakan dari Mattheo. Dia masih bersikeras dengan keputusannya, dia sudah memutuskan akan menjaga Orked sehingga isterinya bangkit dari koma.
Bawah mata lelaki itu jelas sudah berubah warna namun tetap sahaja dinafikan. Mikayla menarik nafas lama sebelum dihembus perlahan.
"Fine, tapi nanti Kayla suruh Riduan hantarkan bantal dan selimut untuk abang. Abang Theo guna sahaja sementara duduk di hospital ni, sekurang-kurangnya abang tak perlu lagi tahan pakai lengan je." Ujarnya lagi, baru sahaja layar telefon ingin dinyalakan. Mattheo terlebih dahulu bersuara mencegah.
YOU ARE READING
MRS MATTHEO KNIGHT
Romance[ON-GOING] WARNING: BACAAN MATANG. ADA SEDIKIT SCENE ROMANCE 18SX BERSERTA ISU-ISU SENSITIF (ROGOL, ABUSE). BACA MENGIKUT KESESUAIAN UMUR. JIKA MASIH BERKERAS, IA NYA MENJADI TANGGUNGJAWAB PEMBACA SENDIRI. - "Theo's property, forever." Mattheo Dim...