Ratu Melawati menyaksikan keberangkatan tiba Sultan Muadzam Shah dan Tengku Putera Han Li Yan. Semua yang berada di sekeliling tunduk hormat untuk beberapa sela waktu sebagai tanda hormat. Lampu minyak tanah sudahpun dinyalakan bagi menyimbah bumi dengan sinaran mentol kuning. Sebahagian yang lain ada juga yang menyalakan unggun api bagi mengekalkan kehangatan tatkala pawana sejuk mula menggigit.
"Bagaimana keadaan di dalam sana?" Soal Sultan Muadzam Shah ringkas. Matanya memandang ketua pengawal itu tegas. Samar- samar cahaya dari mentol lampu minyak tanah menyinari renungan tajam Tuanku Sultan. Ketua pengawal pula hanya menjelaskan sekadar apa yang perlu dia bicarakan. Namun gugupnya jelas kelihatan. Itulah padahnya apabila berani buat jahat tanpa cukup bersedia menanggung risikonya.
Sejenak kemudian Ratu Melawati menjelaskan segalanya kepada kedua Sultan Muadzam Shah dan Putera Han. Terselit juga firasat tidak sedap hatinya dalam bicaranya secara berbisik. Perbincangan antara dua pemimpin dan seorang kerabat diraja itu dilakukan secara berasingan daripada orang ramai. Sungguh situasi yang jarang sekali berlaku.
Memandangkan perbincangan kecil-kecilan antara Ratu Melawati dan Sultan Muadzam Shah serta Putera Han Li Yan telahpun berakhir, ketua pengawal itu mula mengumpul sedikit keberaniannya untuk bersuara. Biarpun cadangan awal hanyalah untuk menangkap biawak, siapa sangka kini buaya turut terjerat sama dalam pukatnya?
"Ampun Tuanku beribu ampun. Andai benar berita yang tiba di pengetahuan patik ini, seandainya benar puteri Kerajaan LuoYang berada di kampung kita ini, dengan berbesar hati akan kami serahkan beliau pada Tunku Putera Han Li Yan." Bicaranya ketua pengawal itu diatip dengan cermat agar mudah ditangkap oleh pemimpin kerajaan itu.
Sultan Muadzam Shah berkerut. "Bukankah terdapat penularan wabak penyakit di sini? Masakan Tengku Puteri Han Li Po tidak terjebak sama dan mampu dibiar lepas?" riak wajahnya serius jelas terlukis aneh dengan bicara ketua pengawal itu.
"Apakah kau berani bersulam dusta dalam bicara kau ketika ini? Andai Tengku Puteri Han Li Po kau biar lepas, masakan kau tidak biar lepas anakanda beta? Tengku Puteri Seri Dahlia? Dan penduduk lainnya?" Ratu Melawati pula mencelah cuba menggunting koyak kain yang sudah berlubang.
Ketua pengawal itu terdiam sejenak. Jelas jiwanya bagai sedang dilambung ombak besar. Bukan orang biasa lawan saingnya ketika ini, namun pemimpin kerajaan. Tambah pula pagi dengan kerabat diraja kerajaan luar.
"Andai benar apa yang kau bicarakan, izinkan beta mengutus dua orang terhandal beta untuk masuk ke dalam sana dan mengesahkan kesahihan bicara kalian." Ratu Melawati menyambung lagi.
"Seandainya kalian enggan bersetuju, kalian akan dikira berdusta dengan menyebar berita palsu semata. Pada tika itu, akan beta titahkan tentera beta untuk ceroboh ke mari." Sultan Muadzam Shah pula mencelah. Jelas dia sekepala dengan Ratu Melawati.
Kesemua pengawal masih kekal diam tercegat tanpa sebarang respons. Masing-masing mengerling memandang ketua pengawal, mengharapkan bicara balas terbaik daripada wakil mereka sendiri.
"Baiklah jikalau begitu, Tuanku Sultan dan Tuanku Ratu. Silahkan tampil kedua utusan itu ke mari, akan patik sendiri pimpin mereka ke dalam sana." tenang lagak ketua pengawal itu, bersahaja.
Padanya, adalah lebih baik untuk membenarkan kedua utusan itu masuk berbanding menaruh segalanya dengan barisan tentera Sultan Muadzam Shah yang semestinya bukan lawan mereka. Rancangannya, setelah kedua utusan itu masuk nanti, tahulah dia cara untuk mengunci mulut mereka tatkala mereka berjaya membongkar rahsia rancangan sebenar kelak.
————————————•••————————————
Dahlia berlari pantas keluar dari bilik Seroja sedang bertarung nyawa menuju ke arah bilik air surau kampung itu. Tangannya memegang sebuah besen berisi air yang agak kotor. Dia perlu menukar semula air di dalam besen itu. Dalam perjalanannya juga dia memerlukan kain tambahan kerana kain yang lainnya semua telahpun kotor dengan darah.
YOU ARE READING
Dusta Puteri Palsu
AdventureDari masa hadapan ke masa lampau. Mustahil tetapi telah pun berlaku. Sangkanya boleh pulang selepas mengadap Tuanku namun kehilangan Sang Puteri menjadi misteri. Takhta tetap harus ada pemegangnya. Ancaman kerajaan musuh terus menerus memaksa Dahlia...