WAJAH di sebalik pantulan cermin itu aku tatap dengan wajah yang tersipu malu. Entahlah mengapa, aku kagum dengan hasil seni tangan umi. Umi mendandankanku pada hari ini dengan solekan yang ringkas tetapi sangat menarik.
Tidak aku duga juga umi mempunyai bakat mengandam selain daripada menjahit. Hendak harapkan aku menyolek diri sendiri, memang tidak jadi apalah. Mungkin Luth pun tidak mahu berjalan denganku nanti apabila melihat wajahku lagak patung opera itu nanti.
"Kalau siang Haira, kita tak boleh guna solekan berat. Kalau malam bolehlah sebab wajah kita disinari dengan lampu dan bukannya sinaran matahari. Sinaran matahari ni bila kena muka di siang hari, memang akan nampaklah kalau wajah kita comot ke bercapuk ke nanti. Sebab itu umi alaskan muka kamu dengan mosturizer dan sembur wajah kamu dengan face mist ni."
Aku mengagguk-angguk mendengar penerangan daripada umi yang sudah seperti beauty consultant itu. Kalau hendak harapkan aku tahu-menahu akan hal sebegitu, memang tidaklah. Silap-silap, jenama produk kosmetik di Malaysia ini juga aku tidak tahu.
"Kita ni Haira, sebagai perempuan kena jaga penampilan. Lagi-lagi untuk suami. Selain jaga perut dan bawah perut dia, kita kena jaga mata dia juga. Hidangkan suami kita dengan pandangan yang indah dan menarik. Jangan suami balik rumah kita sambut dia dengan bau bawang dan tumisan di dapur, kasihan dia."
Baik ya tuan-tuan dan puan-puan, selamat datang ke kursus rumah tangga yang akan disampaikan oleh Puan Rokiah iaitu umi saya yang comel ni. Hati kecilku berbisik nakal.
"Sebelum dia balik, kita kena mandi dan pakai wangi-wangi. Selain menjaga penampilan diri, kita juga kena jaga persekitaran rumah agar bersih dan selesa. Tak apa kalau kita tiada bakat untuk mendeko rumah, asalkan kita tahu untuk pastikan rumah kita bersih. Deko tu, slow-slow boleh belajar." Umi sudah pun menepek pipiku dengan sejenis serbuk berwarna merah muda. Aku tidak tahu apa nama bendanya itu. Mulut umi juga memberi nasihat seiring dengan kelincahan tangannya melayangkan berus besar itu pada tulang pipiku.
Dalam hati, rasa kagum menyelimuti hati apabila mengenangkan umi sungguh bijak dalam menguruskan rumah tangga. Mesti arwah abah dahulu sungguh bangga beristerikan umi. Sudahlah baik, berbakat pula.
"Lagi satu, umi akui kita sebagai seorang perempuan suka meluahkan kepada suami jika kita ada masalah di tempat kerja ke, masalah dengan anak-anak ke atau seangkatan dengannya. Memang fitrah wanita suka meluahkan emosi yang menyarat di dada. Tetapi harus diingat, bila suami baru balik kerja lagi-lagi dengan wajah penat tu, kita jangan terus hembus mereka dengan luahan masalah kita."
"Kalau nak luah juga, tunggu waktu yang sesuai. Tunggu dia dah siap makan dan mandi semua, baru kita duduk dengan dia. Belai dia dan manja-manja dengan dia. Jangan lupa bawa secawan air juga untuk dia. Sudah tenang semuanya, baru kita mulakan penceritaan. Penceritaan dari hati ke hati. Percayalah Haira, jika semua pasangan suami isteri mengaplikasikan kaedah ini, tiadalah masalah komunikasi dan salah faham akan berlaku." Nasihat umi yang menyentuh cuping telinga itu menghadirkan rasa kehangatan ke dalam hati ini.
Haish! Aku nak belai dan manja-manja dengan Luth yang beku tu? Luth tu, bukan kucing umi! Tapi, adik-beradik beruang polar dekat lautan Antartika tu. Umi ni pun... Entah-entah bila umi sendiri kenal perangai Luth yang itu, mesti umi tak sanggup nak keluarkan nasihat macam ni lagi. Haha.
Tetapi apabila memikirkan kembali bait bicara umi, sesungguhnya abah seorang lelaki yang bertuah kerana mengenali wanita sebaik umi. Sekurang-kurangnya, abah tak perlu risaukan bila tinggalkan umi. Umi isteri yang baik buat abah. Insya Allah, pahala abah sentiasa berterusan kerana umi sentiasa mendoakan abah, bisik hati kecilku.
YOU ARE READING
Lockdown Moment (TERBIT)
ActionKAPTEN LUTH ASYRAF | HAIRA SOFIA Terbitan : Fajar Pakeer Semesta memberi isyarat setiap orang yang kita temui dalam hidup, pasti hadir membawa perasaan atau pergi menyerah dek kenyataan. Seakan-akan segala kebetulan yang terjadi bagaikan mimpi. Siap...