Dia masih lagi di atas katil. Geletar badannya sudahpun surut. Tapi dia masih lagi tak mampu untuk bangun. Hatta untuk membuka lampu biliknya sendiri. Maka terbiarlah dia dalam kegelapan. Jadi, bila Rahman dan Chin datang mengetuk pintu, dia masih lagi kaget di atas katil. Berselubung dengan selimut, mengharapkan sekeping kain itu mampu melindunginya dari ketakutan yang menguasai ruang semesta.
Rahman dan Chin memaksa diri mereka masuk, tanpa menunggu Jamal yang masih lagi terpaku di atas katil. Mereka berdua saling berpandangan, lalu Chin membuka lampu dan Rahman duduk di katil sebelah Jamal. Dia berdehem, sambil menyusun kata, tapi tiada respon dari lelaki itu.
Chin yang berdiri di sebelah mula bersuara, "Jamal?"
Tapi tetap tiada respon. Jamal masih lagi hanyut dalam arus ketakutan. Sehingga ia menguasai gerak langkah lelaki itu. Chin dan Rahman berpandangan sekali. Masing-masing seperti buntu, apa yang perlu dilakukan. Akhirnya Rahman mengalah, dan mula memegang siku kawannya itu.
Apa yang berlaku membuatkan mereka bertiga terkejut. Jamal bagaikan direnjat elektrik membuatkan dia terus bersandar di hujung katil. Selimut yang membaluti tubuhnya tadi teralih, mendedahkan wajahnya yang pucat. Ketakutan seperti sedang menguasai seluruh tubuh lelaki itu. Yang kini kelihatan seperti anak kecil lagaknya.
"Jamal, ni aku ni, Rahman. Chin ada sebelah aku ni."
Bila Jamal mula sahaja bersuara, Jamal dan Rahman saling berpandangan. "Buk....buk...buktikan!"
Terketar-ketar bibir Jamal, sehingga kata-kata yang dikeluarkan mulutnya pun sekerat-sekerat dalam nota yang tinggi. Walaupun bunyi yang keluar dari mulut Jamal itu seperti jeritan budak belum baligh, tapi tak ada gelak ketawa yang hadir. Yang ada hanyalah ketakutan yang perlahan-lahan merayap dalam diri Rahman dan Chin. Sehingga jelas pada kerutan di dahi mereka.
"Jamal, kau masih ingat tak masa kita masih di akademi? Masa tu kita keluar senyap-senyap ke Mall Rajawali. Kau nak sangat jumpa awek tu, siapa nama dia?"
Rahman mula mengatur kata. Mengharapkan memori manis itu mampu menawar racun ketakutan yang sudahpun menjalar ke seluruh tubuh Jamal. Tapi Jamal tidak memberikan respons. Lelaki itu masih lagi dalam perangkap ketakutan.
"Ui, awek dia cun siak. Free hair tu. Dah macam amoi aku tengok. Manyak lenglui maa. Kau ingat tak Jamal, siapa nama dia?" Chin pula mencelah.
Akhirnya Jamal tersenyum, serta merta menghentikan ketar di bibirnya. "Maimunah," jawabnya pendek, tapi mengundang ketawa dari Rahman dan Chin.
"Awek high class, nama kampung!" tutur Chin diselang seli ketawa terbahak-bahak darinya dan Rahman. Betullah kata orang, ketawa itu berjangkit. Perlahan-perlahan ia merebak dari satu orang ke orang yang lain. Jamal yang dari tadinya dikurung dunia ketakutan mula bergerak keluar dari kurungan. Tersengih mulutnya mengenangkan nama bekas kekasihnya itu.
Ketawa mereka berterusan, buat beberapa minit. Dari berdua sahaja yang ketawa, lama-lama Jamal pun turut serta. Duduknya tak lagi berlutut, perlahan-perlahan dia beralih dari bucu katil, menuju ke tengah, menghampiri kedua-kedua kawannya yang sedang galak ketawa.
Bila ketawa mereka surut, Rahman terus memegang bahu Jamal. Kawannya tak tersentak seperti tadi, sebaliknya tersenyum. "Kau dah ok Jamal?" soal Rahman.
Jamal sekadar mengangguk, tak menawarkan sebarang jawapan.
"Aku nak kau ceritakan sebenarnya pada kami, apa yang berlaku," tutur Rahman lagi.
Jamal terdiam sekejap. Seperti sedang mengumpul jawapan. Rahman dan Chin masing-masing diam. Menunggu dengan penuh sabar. Pada fikiran Jamal ketika itu, dia mahu melupakan terus memori yang beracun. Tapi, dia pun tahu, yang mana mungkin memori sebegitu boleh hilang dengan cepat. Ia akan kekal lama, perlahan-lahan merembeskan racun ketakutan dalam dirinya. Sehingga boleh membunuh mentalnya yang sihat.
YOU ARE READING
Koleksi Cerpen
Mystery / ThrillerLepas ni, semua cerpen yang aku tulis, aku akan letak kat sini.