"YA saya?" Nabila meletakkan jari telunjuknya di bibir sebagai isyarat supaya Iqbal senyap sebentar. Iqbal yang galak mengusik isterinya di meja makan hanya patuh. Gurauan mereka terhenti apabila telefon Nabila berdering berkali-kali.
"Erina? E-ri-na..." Berkerut dahi Nabila cuba mengingati nama yang disebut oleh si pemanggil. Isyarat mulut juga dihantar kepada Iqbal agar si kepala bijak itu turut sama berfikir.
Dahi Iqbal juga sama seperti isterinya. Dia memejam mata seketika sebelum dia teringatkan sesuatu.
"Saif?" Iqbal membuat gaya mulut namun dia masih ragu. Sudahlah dia tak tau siapa si pemanggil. Dia sebut Saif pun kerana dia ingat itu nama bekas tunang adik-beradik susuannya itu.
Nabila segera memetik jari tanda apa yang Iqbal katakan itu benar. Senang kerja tak payah perah otak. Tanya sahaja si suami yang berotak kamus.
"Erina yang warna rambutnya blonde sikit ke?" Nabila cuba mendapatkan kepastian dari si pemanggil. Iqbal melihat Nabila terangguk-angguk sedikit apabila gerangan di talian muka bercakap panjang.
"Pregnant, kurus-kurus, bulu mata lentik. Rasanya memang itu Erina yang saya kenal. Sekarang dia dekat mana ya?" Merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada panggilan itu, Iqbal segera menghantar mesej kepada Hazim.
'Dik, jaga anak achik kejap.'
'Nak iPhone baru.'
Iqbal berdecit perlahan. Senang betul buat duit budak ni.
'Pilih. Nain or Twinnie.'
Tak sampai sesaat, laju sahaja Hazim membalas.
'TWINNIE!!!'
Iqbal tersenyum kemenangan. Tahu sangat Si Hazim tu nak lari dari Nain. Bukan apa. Jaga Nain rasa macam jaga kembar tiga! Penat dia ya ampun...Patutlah Rihana masih kurus tak berubah. Melayan Nain seharian pun boleh bakar semua kalori yang dia makan.
"Abang." Iqbal segera mengangkat kepala. Matanya di sapa dengan wajah penuh kerisauan Nabila.
"Erina sakit?" Iqbal cuba mengagak dan Nabila segera mengiyakan.
"Dari hospital ke panggilan tadi?"
"Ya, abang. Abang, jom pergi hospital." Pinta Nabila sedikit gusar.
"Abang okay je. Kita tunggu adik datang jaga twinnie dulu. Tapi..." Iqbal menunduk sekejap seperti memikirkan sesuatu.
"Kenapa hospital call sayang?" Nabila cuma mengangkat bahu. Dia pun pelik juga. Nak kata rapat, hanya dua kali mereka pernah bertemu.
Kali pertama ketika dia membuat pemeriksaan kesihatan di klinik Saif. Pada waktu itu, dia ada memberikan nombornya pada Erina. Kali kedua mereka bertemu empat mata di sebuah kafe kerana Erina ingin meluahkan apa yang dipendam.
"Dekat sana, kita dapatkan jawapan. Tak ada masa nak bincang." Sampai sahaja Hazim ke kediaman mereka, terus Nabila dan Iqbal bergerak ke hospital yang dikatakan. Keadaan agak lengang. Mungkin kerana sudah larut malam.
Wad kecemasan dituju.
"Erina Azman?"
"Ya betul. Tadi saya dapat panggilan yang Erina dirawat di sini." Setelah memberikan beberapa maklumat lepada pegawai bertugas, Nabila dan Iqbal segera dibawa ke wad yang menempatkan Erina.