Bab 9 - Pengakuan

340 48 15
                                    

KEESOKAN hari, Abang Hafiz datang lagi ke klinik. Kata Kak Ani, selagi tidak lengkap borang kes, selagi itulah Abang Hafiz perlu datang. Kedatangannya kali ini ada senyuman. Mungkin sebab sudah kenal dan dia tahu yang aku ini juga kesayangan kakak angkatnya, Kak Ani.

Tetapi, aku sudah tidak menguruskan kes Abang Hafiz lagi. Kak Ani ambil alih sepenuhnya. Aku menyiapkan kerja aku. Sesekali, bila terpandang, kami berbalas senyum.

"Bila nak kahwin?"

Aku terdengar Kak Ani menyoal. Selamba badak betullah Kak Ani ni. Dalam hati aku sudah terbit rasa tidak senang. Abang Hafiz itu, kan ... baru kehilangan jari-jari tangan. Tidak sensitifkah soalan begitu diajukan padanya? Abang Hafiz tidak berkecil hati, ke?

"Nantilah, kak ...." balasnya bersahaja.

"Hasrat Hafiz nak hantar mak ayah ke Mekah dah termakbul. Bolehlah kumpul duit untuk kahwin pula. Jangan lambat-lambat, nanti jadi bujang terlajak." Kak Ani, kalau tak menyakat orang, memang bukan Kak Ani namanya!

"Insya-Allah, kak. Kalau ada orang nak ..."

Eh, kalau tak ada orang nak ... nak juga aku offer diri. Jangan risaulah, bang. Orang baik macam abang, ramai sahaja orang nak. Aku bercakap sendiri, dalam hati.

"Sudahlah tak kaya, jari pun tak ada ..." Abang Hafiz menyambung kata.

Halah, halah ... sedihnya!

"Mir!"

Tersentak aku. Kak Ani ni kan ... Nasib baik aku bukan jenis yang melatah. Kalau tak ... tidak fasal aku tersebut nama Abang Hafiz. Buat malu sahaja terkantoi!

"Ya, kak."

"Nak tak orang macam Abang Hafiz?"

Allahuakbar, Kak Ani! Soalan membunuh, ni! Nak jawab apa? Takkan nak kata, 'nak"? Jatuh harga diri sebagai perempuan. Tapi, kalau cakap 'tak' ... tentu Abang Hafiz kecil hati. Kak Ani ni memang buat aku serba salah.

Akhirnya, aku pilih untuk berlaku jujur. Terserahlah kepada Abang Hafiz untuk menilai diri aku bagaimana.

"Akak punya soalan ..." Aku mulakan dengan tawa. Kulihat, Abang Hafiz juga ketawa. Lega sedikit hati aku. "Okey je, kak. Lelaki baik macam Abang Hafiz ni, siapa sahaja yang tak nak." Jawapan umum. Aku tak kata aku nak, dan aku tak kata aku tolak. Kan?

"Hah, dengar tu!" Kak Ani pandang Abang Hafiz. Dia hanya melayang senyum tipis.

"Saya sebenarnya ... dah bertunang, kak."

Fuh, macam disambar kilat jantung aku! Tunang orang, kau! Sengaja agaknya bagi statement meraih simpati tadi. Nasib baik aku bukan jenis menggedik terus kata, 'Nak!' Apa motif entah Abang Hafiz mengada buat ayat-ayat macam menagih perhatian!

"Tapi ... tak tahulah kak ...." Abang Hafiz tertunduk. Suaranya merudum.

"Kenapa ni ..." Suara Kak Ani juga sudah mulai sayu. Daripada mood bersenda, ketawa ... suasana jadi sayu.

"Saya tak rasa nak teruskan."

Kak Ani diam. Aku juga. Kami masing-masing memandang pada Abang Hafiz yang terus menunduk. Entah dia sedang merenung tangannya yang tak berjari, atau sedang menyembunyikan wajah yang sedang berduka.

Lama kami menanti bicara Abang Hafiz yang seterusnya. Kak Ani juga seperti memberi seluas-luas ruang buat Abang Hafiz meluah tanpa dia berniat memotong percakapan adik angkatnya itu.

"Saya ... dah cacat, kak. Kerja apa sahaja yang boleh saya, buat? Tanggungan nanti, bukan hanya dia, tapi adik-adik saya juga. Tak mungkin saya nak lepaskan semua itu. Kadang-kadang, terfikir juga ... orang macam saya tak perlu berkahwin. Fokus pada keluarga sahaja. Kasihan anak orang jika bernikah dengan saya. Entah macam mana masa depan."

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now