Pergi ke kandungan

Sultan Muhammad IV

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sultan Muhammad IV
Sultan Muhammad IV ibni al-Marhum Sultan Muhammad III
Pemerintahan 10 Februari 1899 - 23 Disember 1920
Pendahulu Sultan Mansur
Pengganti Sultan Ismail
Raja Muda Tiada
Pasangan m. (first) 1888, H.H. Sultanah Zainab binti Muhammad Amin (b. 1877; d. at the Istana, Kota Bharu, 23rd July 1928, bur. Royal Cemetery, Kampung Langgar), née Nik Wan Zainab binti Nik Wan Muhammad Amin, crowned as Sultana at Istana Balai Besar, Kota Bharu, 15th February 1916, daughter of Nik Wan Muhammad Amin bin Wan ‘Abdu’l gallaran Ngah. m. (second) Cik Jarah binte Encik Yusuf. m. (a) (repud. before 1907) Wan Serang Bulan
Anakanda
Sultan Ismail
Tengku Embong
Tengku Kembang Petri
Sultan Ibrahim
Tengku Yusoff
Tengku Zubaidah
Tengku Zainab
Tengku Mahmud
Tengku Muhammad
Nama penuh
Sultan Muhammad IV ibni al-Marhum Sultan Muhammad III
Ayahanda Sultan Muhammad III ibni al-Marhum Sultan Ahmad
Bonda Tengku Sofia binti al-Marhum Tengku Putih
Keputeraan (1870-05-23)23 Mei 1870
Kota Bharu, Kelantan, Malaya British
Kemangkatan 23 Disember 1920(1920-12-23) (umur 50)
Kota Bharu, Kelantan, Malaya British
Dimakamkan Makam Diraja Langgar, Kota Bharu, Kelantan, Malaya British
Agama Islam
Cap Mohor Diraja Kelantan dan tandatangan oleh Sultan Muhammad IV ibni al-Marhum Sultan Muhammad III. Pada Cap mohor ini tertera "Al-Wathiq billah al-‘Aziz al-Sultan Muhammad Khalludullah mulkuhu wa ‘adluhu wa fadhluhu wa hasanatuhu ibn al-Marhum al-Sultan Muhammad Kelantan sanah 1329"

Sultan Muhammad IV ibni al-Marhum Sultan Muhammad III atau Tuan Long Senik ialah putera Long Kundur (Sultan Muhammad III). Baginda diputerakan pada 23 Mei 1870 oleh bondanya, Tengku Ampuan Kelantan Tengku Sofia binti Raja Long Putih Pattani. Baginda dilantik menjadi Tengku Sri Indra Mahkota pada tahun 1890 dan seterusnya ke jawatan Raja Muda Kelantan pada 25 Julai 1898 oleh ayahanda saudaranya, Sultan Mansur. Baginda telah menaiki takhta pada tahun 1899 [1] menggantikan ayahanda saudaranya dengan gelaran Raja dan Yang Di-Pertuan Kelantan tetapi hanya mula memakai gelaran Sultan, pada tahun 1911, setelah menandatangani perjanjian dengan British untuk mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kelantan dengan syarat baginda menerima Penasihat British.[2] Baginda memerintah sehingga tahun 1920.[3]

Dalam zaman pemerintahan baginda Kelantan mencapai kemajuan yang pesat dalam bidang rohani dan jasmani yang menuju kearah permodenan, dengan sistem pemerintahan yang lebih demokrasi, kemas dan teratur dengan pembukaan pejabat-pejabat dan sekolah-sekolah yang menjadi asas yang kukuh untuk Kelantan berkembang maju di zaman-zaman berikutnya.

Penyelesaian Pertikaian Dalaman

[sunting | sunting sumber]

Semasa pemerintahan baginda, pertikaian dalaman berkaitan pewaris takhta dan jawatan dalam kerajaan yang berlarutan sejak zaman pemerintahan Sultan Muhammad III telah berjaya ditangani melalui beberapa langkah yang diambil baginda. Baginda telah menyusun semula Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Anggota majlis mesyuarat itu terdiri daripada raja sebagai pengerusi dan kerabat diraja dan orang-orang berpengaruh seperti berikut:-

  1. Raja Kelantan (Tuan Long Senik bin Sultan Muhammad III)
  2. Raja Muda Kelantan (Tengku Zainal Abidin bin Sultan Muhammad III)
  3. Tengku Sri Indra (Tengku Ismail bin Tuan Long Senik)
  4. Tengku Petra Dalam Kebun (Tengku Abdul Jaafar bin Sultan Muhammad II)
  5. Tengku Chik Penambang (Tengku Chik bin Tengku Bongsu Bin Tengku Temenggong Long Tan Bin Sultan Long Yunus)
  6. Tengku Sri Maharaja (Tengku Long Mahmud bin Sultan Ahmad)
  7. Tengku Petra Semarak (Tengku Long Idris bin Sultan Ahmad)
  8. Tengku Sri Perkerma Raja (Tengku Long Sulaiman bin Sultan Ahmad)
  9. Tengku Temenggung (Tengku Long Salleh bin Sultan Ahmad
  10. Tengku Besar Indra Raja (Tengku Besar Tuan Yusoff bin Sultan Ahmad)
  11. Tengku Bendahara (Tengku Chik Tuan Abdullah bin Sultan Ahmad)
  12. Datuk Menteri (Nik Hassan bin Mohd Salleh}
  13. Mufti[4]

Campurtangan Asing

[sunting | sunting sumber]

Perluasan Kuasa Siam

[sunting | sunting sumber]

Pertikaian dalaman yang berlarutan sejak pemerintahan Sultan Muhammad III dan Sultan Mansur telah memberi ruang pada Kerajaan Siam untuk meluaskan semula pengaruh di Kelantan.[5]. Langkah Tuan Long Senik yang meminta bantuan Siam semasa proses peralihan kuasa selepas kemangkatan Sultan Mansur meningkatkan lagi pengaruh Siam. Siam telah membantu Tuan Long Senik dengan menghantar seorang pesuruhjaya, sebuah kapal perang dan askar ke Kota Bahru.[6].

Perluasan Kuasa British

[sunting | sunting sumber]

Selain Siam, pihak British juga berusaha untuk meluaskan pengaruh di Kelantan dengan campur tangan di dalam peralihan kuasa Sultan sejak kemangkatan Sultan Ahmad.[7] Walaubagaimanapun, usaha tersebut dilakukan secara halus kerana British masih terikat dengan Perjanjian Burney 1826 yang ditandatangani dengan Siam.

Permulaan Sistem Penasihat

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1902, Siam dan British telah menandatangani perjanjian baru yang dikenali sebagai Perjanjian Siam-British 1902. Berikutan perjanjian ini, Kelantan telah dipaksa untuk mendatangani Perjanjian Siam-Kelantan 1902 yang membolehkan Siam melantik seorang penasihat berbangsa British di Kelantan.[8] Pada 25 Julai 1903, W. A. Graham, Penasihat Siam untuk kerajaan Kelantan, H W Thomson, Penolong Penasihat dan Mom Chao Charoon, Timbalan Pesuruhjaya Monthon Nakorn Sri Tammarat, tiba di Kelantan bagi menandakan bermulanya sistem penasihat.[9]

Perkembangan Negeri

[sunting | sunting sumber]

Semasa Zaman Penasihat Siam (1903-1909)

[sunting | sunting sumber]
  • 1904: Pasukan polis Kelantan dibesarkan dengan anggota berjumlah kira-kira 200 orang yang separuh daripadanya di lengkapi dengan senjata moden iaitu rifel. Mereka ditempatkan di Balai Polis Pusat di Kota Bahru dan 5 balai kecil.[10]
  • 1904: Sebuah bangunan sekolah Melayu telah dibina di Padang Bank (Padang Merdeka), Kota Bharu. Ianya dikendalikan oleh Dato' Mohd Ghazali bin Mohd Ariffin yang kemudiannya menjadi Pengarah Pelajaran Pertama Kelantan (1922-1930).
  • 1905: Beberapa buah bangunan mahkamah telah ditubuhkan di Kota Bharu, iaitu Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Balai bertempat di Istana Balai Besar. Mahkamah Tengah dan Rendah di MAIK, Kelantan di Jalan Sultan dan sebuah Mahkamah Rendah telah didirikan di Batu Mengkebang, Ulu Kelantan.
  • 1906: Kerajaan Negeri Kelantan dengan persetujuan Sultan Muhammad IV telah mengeluarkan wang pitis sendiri untuk kegunaan orang ramai. Pitis ini diperbuat daripada timah berbentuk bulat berkeping dan berlubang, bernilai 5 keping bersamaan 1 sen.
  • 1907: Sebuah pasar telah dibina di kawasan Jalan Post Office Lama (sekitar Hotel Diamond Puteri) di tepi Sungai Kelantan. Pasar ini telah dirobohkan pada tahun 1930an setelah pasar baru di Jalan Temenggong dan Dato Pati dibina.

Semasa Zaman Penasihat British (1909-1920)

[sunting | sunting sumber]
  • 1909: Akibat Perjanjian British dan Siam tahun 1909, sempadan Kelantan dianjakkan dari Bukit Menara ke Sungai Golok. Akibatnya Sungai Padi dan Tabal diserah kepada Siam manakala Jeli iaitu bekas jajahan kerajaan Legeh diserah kepada Kelantan.
  • 16 Julai 1910: Kerajaan Kelantan telah siap membina sebuah Jambatan merentangi Sungai Keladi menghubungkan Bandar Kota Bharu dengan kawasan-kawasan tepi pantai dikenali dengan Gertak Mason mengambil sempena nama Penasihat British.
  • 1913: Jalan Keretapi menghubungkan Tumpat dengan Bukit Remah di Tanah Merah, Kelantan siap dibina. Pembinaan jalan keretapi ini adalah hasil rundingan Sultan Muhammad Ke IV dengan Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu
  • 1914: Sebuah jalan keretapi dari Tumpat ke Thailand telah dibina.
  • 24 Disember 1915: Sultan Muhammad IV telah menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, sebuah institusi keagamaan yang tertua di negara ini. Tujuan utamanya ditubuhkan ialah untuk mengembangkan syiar Islam dengan lebih teratur.
  • Julai 1916: Sultan Muhammad IV telah bersetuju dan berkenan menggunakan gelaran Darulnaim untuk negeri Kelantan dengan sebutan Kelantan Darulnaim.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  • Dr Cheah Boon Kheng (2001). The Encyclopedia of Malaysia : Early Modern History (1800-1940). Editions Didier Millet. ISBN 981301847X.
  • Shahril Talib (2003). History of Kelantan (1890-1940). The Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society. ISBN 9839961489.

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Shahril Talib, 2003, ms 43
  2. ^ The Encyclopedia of Malaysia: Early Modern History (1800-1940), ms 93.
  3. ^ The Encyclopedia of Malaysia: Early Modern History (1800-1940), ms 93.
  4. ^ Shahril Talib, 2003, ms 50
  5. ^ Shahril Talib, 2003, ms 51
  6. ^ Shahril Talib, 2003, ms 47
  7. ^ Shahril Talib, 2003, ms 41
  8. ^ Shahril Talib, 2003, ms 59
  9. ^ Shahril Talib, 2003, ms 61
  10. ^ Shahil Talib, 2003, ms 63


Penyandang Terdahulu Sultan Kelantan
1899 – 1920
Penyandang Kemudian
Sultan Mansur Sultan Ismail