Sultan Johor
Sultan Yang di-Pertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim | |
---|---|
Wilayah/Negeri | |
Penjawat kini | |
Sultan Ibrahim III sejak 23 Januari 2010 | |
Kemahkotaan 23 Mac 2015 | |
Butiran | |
Pewaris takhta |
|
Penyandang pertama |
|
Pembentukan | 1528 |
Persemayaman | Istana Bukit Serene, Johor Bahru |
Sultan Johor (Jawi: سلطان جوهر ) ialah jawatan warisan dan raja pemerintah negeri Johor di Malaysia. Pada zaman dahulu, Sultan memiliki kuasa mutlak dan dinasihati oleh Bendahara. Pada zaman sekarang, peranan Bendahara Johor diambil alih oleh Menteri Besar Johor.
Gelaran rasmi bagi Sultan Johor ialah "Duli Yang Maha Mulia Sultan Yang di-Pertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim" (Jawi: سلطان يڠ دڤرتوان باڬي نڬري دان ججهن تعلوق جوهر دارالتعظيم )
Peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan
[sunting | sunting sumber]Menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, istilah raja digunakan untuk merujuk kepada pemerintah Kerajaan Negeri Johor, segala jajahan dan daerah takluknya.[1]
Sultan Johor yang dilantik haruslah dari kalangan berbangsa Melayu dan berdarah raja iaitu berasal dari keturunan pemerintah Johor kini (Wangsa Temenggung) serta beragama Islam. Hal ini juga turut digunapakai untuk pewaris takhta Kesultanan Johor.
Pewarisan Takhta
[sunting | sunting sumber]Dengan tergubalnya Undang-undang Tubuh Kerajaan tersebut, raja yang dilantik haruslah dari kalangan zuriat Sultan Abu Bakar ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Undang-undang turut menegaskan bahawa perlantikan orang lain selain dari keturunan zuriat Sultan Abu Bakar adalah tidak sah jika masih terdapat zuriat Sultan yang sah dan layak menjadi Sultan. Hal ini diberi pengecualian jika keturunan yang masih ada tidak layak kerana kecacatan besar (gila, buta, bisu) atau mempunyai sifat keji mengikut pandangan hukum syarak.[2]
Undang-undang turut menjelaskan sekiranya tiada langsung zuriat keturunan Sultan Abu Bakar yang layak dilantik oleh raja, maka raja hendaklah dilantik dari keturunan Temenggung Tun Daeng Ibrahim itu dari keturunan adik-beradik Sultan Abu Bakar. Jika tiada juga yang layak dari kalangan tersebut, raja hendaklah dilantik dari kalangan keturunan zuriat Temenggung Tun Abdul Rahman daripada keturunan adik-beradik Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Setiap keturunan itu pula harus dibuktikan mempunyai hubungan darah yang sah dan halal dengan raja-raja tersebut.[3]
Jika tiada juga sebarang orang yang layak untuk dilantik menjadi raja dari kalangan keturunan Sultan Abu Bakar, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan juga Temenggung Tun Abdul Rahman, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor memberi tanggungjawab kepada ahli Mesyuarat Kerajaan dan Jumaah Majlis Diraja Johor utuk membuat perlantikan dari kalangan orang biasa yang bukan berdarah raja. Raja yang baharu yang hendak dilantik tersebut haruslah seorang lelaki beragama Islam, berbangsa Melayu, rakyat negeri Johor, cukup umur, individu yang merdeka dan bukan dari kalangan hamba, mempunyai tingkah laku dan budi pekerti yang baik, serta mempunyai ilmu pengetahuan yang luas yang pandai menulis dan membaca.[4]
Lazimnya, sebelum seseorang raja itu mangkat, raja tersebut akan menetapkan penggantinya dahulu. Maka, mengikut Undang-undang Tubuh, orang yang paling layak ditetapkan sebagai pengganti Sultan Johor ialah waris iaitu anak lelaki yang paling tua umurnya.[5] Dia secara rasminya hendaklah digelar sebagai "Tunku Mahkota Johor" dan gelaran ini hanya boleh ada seorang sahaja pada satu-satu masa dan tidak boleh dikongsi atau digunakan oleh anak-anak raja yang lain yang bukan bakal pengganti raja.[6] Walau bagaimanapun, Sultan Johor berhak melantik penggantinya iaitu Tunku Mahkota Johor dari kalangan anak-anak lelaki yang lain yang tidak semestinya paling tua sekiranya dirasakan anak lelaki yang paling tua itu tidak layak mengikut undang-undang.
Jika seseorang pengganti raja itu menaiki takhta apabila raja sebelumnya mangkat dan pengganti itu masih belum berumur 21 tahun (mengikut kalendar Islam), hendaklah Jumaah Majlis Diraja mengadakan seorang pemangku dari kalangan menteri kerajaan yang tidak kira sama ada berdarah raja atau tidak. Tanggungjawab pemangku tersebut akan bertanggungjawab terhadap semua tingkah laku dan perbuatan raja yang belum cukup umur itu. Andainya raja yang belum cukup umur atau pemangku itu sendiri melakukan perkara yang bercanggah dengan undang-undang, pemangku tersebut boleh dipecat dan digantikan.[7]
Senarai sultan
[sunting | sunting sumber]Sejarah
[sunting | sunting sumber]Garis masa
[sunting | sunting sumber]Mengikut wangsa
[sunting | sunting sumber]Wangsa Melaka-Johor
[sunting | sunting sumber]Wangsa ini berasal daripada keturunan Sultan Melaka yang pertama sehingga jatuhnya Melaka di tangan Portugis. Sultan Mahmud Shah I melarikan diri ke Kampar bersama anaknya dan mangkat di sana. Anaknya Raja Muzaffar ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama dengan menggelarkan dirinya sebagai Sultan Muzaffar Shah manakala anaknya yang lain iaitu Raja Ali mengasaskan Kesultanan Melayu Johor yang dinisbahkan kepada keturunan Sultan Melaka. Baginda telah pergi ke Pahang menemui Sultan Mahmud Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah (Sultan Pahang ke-5). Baginda telah memperisterikan Puteri Kesuma Dewi (anak marhum Sultan Mansur Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jamil Shah - Sultan Pahang ke-4). Pada tahun 1529, baginda ke Hujung Tanah dan membuka Pekan Tua (Kota Kara). Baginda juga membina Kota Sayong (1535-1540) sebelum berpindah ke Kota Batu (Johor Lama) pada tahun 1540.
Wangsa Bendahara
[sunting | sunting sumber]Wangsa ini berasal dari keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid iaitu anak kepada Tun Muhammad Ali bin Sayyid Zainal Abidin Al-Idrus. Sayyid Zainal Abidin Al-Idrus ialah keturunan daripada pedagang Arab yang berasal dari Hadramaut yang berkahwin dengan Tok Mengkudu binti Tun Jenal, cucunda kepada Tun Sri Lanang. Adik beradik kepada Tun Abdul Majid iaitu Tun Muhammad mempunyai seorang anakanda yang bernama Laksamana Tun Abdul Jamil yang merupakan bapa kepada isteri Sultan Ibrahim Shah - Sultan Johor wangsa Sultan Melaka serta Tun Sayyid Jaafar yang melahirkan keturunan Temenggung Muar. Anak kepada Bendahara Tun Habib Abdul Majid iaitu Tun Abdul Jalil mengambil alih tampuk kekuasaan sebagai Sultan Johor kerana Sultan Mahmud Shah II dikatakan mangkat tanpa meninggalkan waris. Sesuai dengan peranan Bendahara iaitu bertanggungjawab bagi pewarisan diraja sekiranya Sultan mangkat tanpa waris.
Wangsa Melaka-Johor (kali kedua)
[sunting | sunting sumber]Muncul seorang yang mengaku dirinya sebagai zuriat Sultan Mahmud Shah II iaitu Raja Kechil. Baginda bertindak mengambil takhta daripada Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV lalu menjadi Sultan Johor. Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV pula diturunkan takhta dan masih dijadikan sebagai Bendahara Johor. Namun, cubaan untuk mengambil semula takhta tetap ada namun melarikan diri ke Pahang bersama adindanya Tun Zainal Abidin - pengasas kesultanan Terengganu. Namun, Sultan Abdul Jalil Shah IV mangkat di Kuala Pahang - terletak beberapa kilometer dari Pekan, Pahang.
Wangsa Bendahara (kali kedua)
[sunting | sunting sumber]Cubaan untuk menuntut takhta masih berlarutan sehingga sampai kepada anakanda Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV, Raja Sulaiman yang akhirnya meminta bantuan kepada Bugis Lima Bersaudara. Raja Sulaiman dan pakatan Bugis itu berjaya menghalau Raja Kechil ke Siak. Raja Sulaiman akhirnya ditabalkan sebagai Sultan Johor manakala salah seorang daripada Bugis Lima Bersaudara, Daeng Merewah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda atau Yamtuan Muda Riau. Kakanda Raja Sulaiman iaitu Tun Abbas dilantik sebagai Bendahara Johor.
Berikutan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, pada 29 Oktober 1830, Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar, wakil Kesultanan Johor-Riau, dan Residen Riau, wakil Belanda, menandatangani perjanjian yang memisahkan Johor dan Pahang daripada Empayar Kesultanan Johor-Riau yang berpusat di Lingga dan diperintah oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah.[8] Akibat perjanjian ini, berakhirnya Kesultanan Johor-Riau yang memerintah selama kira-kira 300 tahun lalu bermulanya Kesultanan Riau-Lingga di mana Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah menjadi Sultan Riau-Lingga pertama. Johor berada di bawah kekuasaan Temenggung manakala Pahang kekal diperintah oleh Bendahara.
Pertikaian tuntutan
[sunting | sunting sumber]Pada 6 Februari 1819, Temenggung Tun Abdul Rahman bersama Tengku Hussein dan Stamford Raffles yang mewakili Syarikat Hindia Timur Inggeris menandatangani Perjanjian 1819 di mana Tengku Hussein diangkat sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Hussein Muhammad Shah. Temenggung Tun Abdul Rahman kemudian menulis surat kepada Bendahara Tun Ali bagi memaklumkan tentang pelantikan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor. Namun, Bendahara Tun Ali membalas bahawa beliau tidak mencampuri urusan di Singapura dan beliau kekal bertuankan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang bersemayam di Daik, Kepulauan Lingga.[9] Bendahara Tun Ali mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor kerana pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah lebih mengikuti adat istiadat raja-raja Melayu berbanding Sultan Hussein Muhammad Shah yang jelas diangkat oleh Inggeris dan upacara pertabalan Sultan Hussein Muhammad Shah yang dilakukan tidak mengikuti adat-istiadat raja-raja Melayu.[10] Menurut Gabenor Negeri-Negeri Selat, Kenneth Murchison, kedudukan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor tidak pernah diakui oleh negeri-negeri Melayu lain dan baginda tidak pernah menikmati apa-apa hasil di Johor dan menjalankan kegiatan politik.[11][12]
Selepas kemangkatan Sultan Ali Iskandar Shah, pada 29 Jun 1877, Pemangku Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Archibald Edward Harbord Anson menulis surat kepada Maharaja Abu Bakar untuk meminta baginda menjadi pemerintah sementara daerah Kesang dan permintaan tersebut dipersetujui oleh Maharaja Abu Bakar.[13] Namun, keputusan ini dibantah oleh putera sulung Sultan Ali Iskandar Shah iaitu Tengku Alam kerana bertentangan dengan Perjanjian Setia 1855 di mana daerah Kesang merupakan hak milik Sultan Ali Iskandar Shah dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.[14] Untuk menyelesaikan masalah ini, satu pemilihan diadakan pada 7 November 1877 untuk memilih pemerintah Kesang yang baru. Dalam pemilihan tersebut, Temenggung Paduka Tuan Muar, Engku Ismail bin Engku Ibrahim dan penghulu-penghulu di Kesang bersetuju untuk memilih Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Kesang.[15] Pada 5 Februari 1879, Maharaja Abu Bakar diisytiharkan sebagai Pemerintah Kesang dalam satu istiadat yang diadakan di Johor Bahru dan tidak lama selepas itu daerah Kesang menjadi sebahagian daripada negeri Johor.[16] Namun, keputusan pemilihan dan pengisytiharan tersebut menimbulkan kemarahan Tengku Alam lalu tercetusnya Perang Saudara Jementah 1879 yang berakhir dengan kemenangan Maharaja Abu Bakar. Tengku Alam kemudian diampunkan dan diberikan elaun bulanan oleh Maharaja Abu Bakar dengan syarat baginda perlu sentiasa berkelakuan baik dan tidak menimbulkan kekacauan. Akhirnya, Tengku Alam tinggal di Istana Kampong Gelam, Singapura hingga akhir hayatnya. Kini, kerajaan Republik Singapura menjadikan Istana Kampong Gelam sebagai pusat kebudayaan dan muzium yang bernama Taman Warisan Melayu untuk mempamerkan warisan dan sejarah orang Melayu Singapura.
Ketemenggungan Johor
[sunting | sunting sumber]Pada 10 Mac 1855, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Tengku Ali menandatangani Perjanjian Setia 1855 di mana Tengku Ali menyerahkan sepenuhnya kerajaan Johor dan hak baginda ke atas Johor kecuali daerah Kesang kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan waris-warisnya untuk selama-lamanya. Sebagai balasan, Tengku Ali diangkat sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Ali Iskandar Shah tetapi baginda tidak boleh campur tangan dalam urusan pemerintahan Johor dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim membayar elaun bulanan kepada Sultan Ali Iskandar Shah.[17] Pada tahun yang sama, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memilih tempat yang bertentangan dengan Singapura iaitu Tanjung Puteri, Johor sebagai pusat pentadbiran beliau yang baru. Temenggung Tun Daeng Ibrahim menamakan tempat tersebut sebagai Iskandar Puteri. Nama Iskandar Puteri ini merupakan hasil gabungan nama penuh Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu Tun Ibrahim Iskandar dan nama Tanjung Puteri iaitu tempat Temenggung Tun Daeng Ibrahim mendarat untuk mencari kawasan pentadbiran.[18]
Untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai pemerintah Johor yang sah dari segi adat-istiadat Melayu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memujuk Bendahara Tun Mutahir supaya mengiktiraf kedudukan terkininya berdasarkan Perjanjian Setia 1855. Hal ini demikian kerana Bendahara ialah penaung kepada adat raja-raja Melayu.[19] Akhirnya, pada bulan Disember 1861, Temenggung Tun Daeng Ibrahim mewakili kerajaan Johor dan Bendahara Tun Mutahir mewakili kerajaan Pahang telah membuat satu perjanjian setia di mana Bendahara Tun Mutahir telah mengiktiraf Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai pemerintah Johor yang sah dan keturunan Temenggung Tun Daeng Ibrahim memerintah Johor untuk selama-lamanya. Dalam perjanjian yang sama, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Bendahara Tun Mutahir bersepakat untuk membantu antara satu sama lain jika negeri mereka diserang musuh dan jika timbul sebarang masalah antara mereka, mereka akan menyerahkan masalah mereka kepada Inggeris sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah mereka.[20]
Maharaja Johor
[sunting | sunting sumber]Ketika Temenggung Tun Abu Bakar melawat negara India dan Eropah pada tahun 1866, baginda menyedari bahawa gelaran Temenggung tidak terkenal di dunia Eropah berbanding gelaran Maharaja yang digunakan oleh raja-raja di India. Ini menyebabkan Temenggung Tun Abu Bakar ingin menggunakan gelaran baru yang lebih dikenali. Pada 18 April 1868, Temenggung Tun Abu Bakar menghantar sepupunya Ungku Haji Muhammad ibni Tun Haji Abdullah dan Dato’ Bentara, Dato’ Jaafar bin Haji Muhammad sebagai wakilnya ke Riau untuk berjumpa dengan Raja Ali Haji, seorang sejarawan Bugis dan penasihat kepada Yang Dipertuan Muda Riau bagi bertanyakan tentang adat-istiadat Kesultanan Melayu.[21]
Raja Ali Haji bersetuju dengan permintaan Temenggung Tun Abu Bakar untuk menukar gelarannya selepas beliau melakukan kajian salasilah Temenggung Tun Abu Bakar dan berpuas hati bahawa keluarga Temenggung mempunyai kuasa sebenar ke atas pentadbiran Johor dan Temenggung Tun Abu Bakar berketurunan Sultan Abdul Jalil Shah IV. Pada 7 Mei 1868, Raja Ali Haji menabalkan Temenggung Tun Abu Bakar sebagai Maharaja Johor bergelar Maharaja Abu Bakar di Teluk Belanga, Singapura. Sultan Riau-Lingga, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II memperkenan penggunaan gelaran Maharaja oleh Maharaja Abu Bakar. Pada 30 Jun 1868, Maharaja Abu Bakar memperoleh persetujuan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Harry St. George Ord berkenaan permintaannya untuk menggunakan gelaran Maharaja.[22][23]
Ketemenggungan Johor (kali kedua): Kesultanan Johor Moden
[sunting | sunting sumber]Wangsa Temenggung berketurunan Bendahara Tun Abbas ibni Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV yang juga kakanda kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.[24][25] Anakanda Bendahara Tun Abbas iaitu Temenggung Tun Abdul Jamal berkahwin dengan puteri kepada Daeng Perani iaitu Raja Maimunah.[26][27] Temenggung Tun Abdul Jamal merupakan leluhur kepada Sultan Johor Wangsa Temenggung yang kini memerintah Johor.[28][29] Cicit kepada Temenggung Tun Abdul Jamal iaitu Temenggung Tun Ibrahim menggunakan gelaran 'Daeng'. Hal ini demikian kerana gelaran 'Daeng' dipercayai lebih berpengaruh pada zaman beliau. Beliau kurang dikenali dengan gelaran 'Tun' yang diwarisi daripada bapanya sehingga menyebabkan sebahagian rakyat pada zaman sekarang menyangka beliau berketurunan Bugis secara mutlak sebelah bapanya.
Pada tahun 1885, setelah mendengar khabar angin bahawa Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Frederick Aloysius Weld ingin meletakkan seorang Residen Inggeris di Johor, Maharaja Abu Bakar membuat keputusan untuk berangkat ke England.[30] Pada 11 Disember 1885, Perjanjian 1885 antara Maharaja Johor, Maharaja Abu Bakar mewakili kerajaan Johor dan Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris, Sir Frederick Arthur Stanley mewakili kerajaan Inggeris ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London.[31] Dalam perjanjian ini, Inggeris mengiktiraf Maharaja Abu Bakar sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Abu Bakar.[32] Pada 13 Februari 1886, Menteri Besar Johor, Dato' Jaafar bin Haji Muhammad telah mengisytiharkan penggunaan gelaran Sultan oleh Sultan Abu Bakar ke seluruh negeri Johor.[33] Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar telah mengadakan istiadat menandatangani dan mengisytiharkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor di Johor Bahru, Johor.[34] Johor telah menjadi negeri Melayu pertama yang mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaan dan mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sultan Abu Bakar telah melakukan banyak pembaharuan dan pemodenan dalam sistem pentadbiran negeri Johor untuk memajukan Johor dan mengelakkan campur tangan Inggeris dalam hal-ehwal pentadbiran Johor.
Sistem pewarisan takhta
[sunting | sunting sumber]Gelaran | Nama | Tarikh Keputeraan | Tempat Keputeraan | Usia | Tempat Kemangkatan | Tarikh Berkahwin | Pasangan Diraja | Cucunda kepada | Cicinda kepada | Ciut kepada | Piut kepada |
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Tunku Mahkota Johor | Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar | 30 Jun 1984 | Johor | 40 tahun, 4 bulan dan 29 hari | N/A | 24 Oktober 2014 | Che' Puan Besar Khaleeda Bustaman | Sultan Iskandar & Enche’ Besar Kalsom Abdullah | Sultan Ismail al-Khalidi & Sultanah Aminah Ungku Ahmad | ||
Raja Muda Johor | Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim | 14 Oktober 2017 | Johor | 7 tahun, 1 bulan dan 14 hari | N/A | N/A | N/A | Sultan Ibrahim III Ismail & Raja Zarith Sofiah | Sultan Iskandar & Enche’ Besar Kalsom Abdullah | ||
Tunku Aris Bendahara Johor | Tunku Abdul Majid Idris Ismail Ibrahim | 20 Julai 1970 | Johor | 54 tahun, 4 bulan dan 8 hari | N/A | 2006 | Tunku Teh Mazni Tunku Yusuf | Sultan Ismail al-Khalidi & Sultanah Aminah Ungku Ahmad | Sultan Ibrahim II Iskandar al-Masyhur & Sultanah Maimunah Ungku Abdul Majid | ||
Tunku Temenggong Johor | Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman | 25 Disember 1987 | Johor | 36 tahun, 11 bulan dan 3 hari | N/A | N/A | N/A | Sultan Iskandar & Enche’ Besar Kalsom Abdullah | Sultan Ismail al-Khalidi & Sultanah Aminah Ungku Ahmad | ||
Tunku Laksamana Johor | kosong | kosong | Johor | kosong | kosong | kosong | kosong | kosong | kosong | ||
Tunku Panglima Johor | Tunku Abdul Rahman Hassan Jeffri | 5 Februari 1993 | Johor | 31 tahun, 9 bulan dan 23 hari | N/A | N/A | N/A | Sultan Iskandar & Enche’ Besar Kalsom Abdullah | Sultan Ismail al-Khalidi & Sultanah Aminah Ungku Ahmad | ||
Tunku Putera Johor | Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim | 30 Mei 2001 | Johor | 23 tahun, 5 bulan dan 29 hari | N/A | N/A | N/A | Sultan Iskandar & Enche’ Besar Kalsom Abdullah | Sultan Ismail al-Khalidi & Sultanah Aminah Ungku Ahmad |
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Kesultanan Melayu Melaka
- Kesultanan Johor-Riau
- Kesultanan Riau-Lingga
- Perjanjian 30 Januari 1819
- Perjanjian 7 Jun 1823
- Perjanjian Inggeris-Belanda 1824
- Perjanjian 2 Ogos 1824
- Persetiaan antara Sultan Ali dengan Temenggung Ibrahim pada Mac 1855
- Perang Saudara Jementah
- Perang Saudara Pahang
- Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor
- Sejarah Johor Moden
Catatan
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Makna Bagi Perkataan-perkataan", Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
- ^ Fasal 3, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
- ^ Fasal 4, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
- ^ Fasal 5, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
- ^ Fasal 5, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
- ^ Fasal 7, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
- ^ Fasal 10, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (26 Januari 2024), Penubuhan rungkai status pemilikan Kesultanan Johor ke atas Singapura, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/01/1204963/penubuhan-rungkai-status-pemilikan-kesultanan-johor-ke-atas-singapura
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 211
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 198
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (26 Januari 2024), Penubuhan rungkai status pemilikan Kesultanan Johor ke atas Singapura, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/01/1204963/penubuhan-rungkai-status-pemilikan-kesultanan-johor-ke-atas-singapura
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 281
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 282
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 288
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 295
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 249-251
- ^ Zuraidah Mohamed (22 November 2017), Iskandar Puteri bandar raya ke-14, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/353911/iskandar-puteri-bandar-raya-ke-14
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 335
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 337-338
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 171
- ^ R.O. Winstedt (2020), A History of Johore (1365-1895): Re-edited version, halaman 172
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 275
- ^ Buyong Adil, Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 123
- ^ Buyong Adil, Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 403
- ^ Buyong Adil, Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 153
- ^ Buyong Adil, Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 403
- ^ Buyong Adil, Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 403
- ^ Suzana Haji Othman, Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 434
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 298-299
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 302
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 304
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 305
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 313-314