Pergi ke kandungan

Subramaniam (dewa)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dewa Murugan atau Dewa Subrahmanya.

Dewa Subrahmaṇya (Tamil: முருகன்) (Bahasa Malayalam: മുരുകൻ), atau juga dikenali sebagai Dewa Murugan, Kartikeya, Skanda, Guha, Gāṅgeya (anak Gaṅgā), Swaminatha (Guru kepada bapanya sendiri) merupakan salah seorang Dewa dalam kepercayaan Hindu. Dewa Subramaniam ialah dewa peperangan dan kemenangan Hindu, yang disembah terutamanya oleh orang Tamil di India Selatan, Sri Lanka, Mauritius, Malaysia, Singapura dan Pulau Reunion. Enam tempat-tempat suci-Nya yang paling penting di India adalah kuil Arupadaiveedu di Tamil Nadu. Di Sri Lanka, penganut Hindu serta Buddha menghormati sejarah suci kuil Nallur Kandaswamy di Jaffna dan kuil Kataragama ( juga dalam bahasa Sinhala " Katharagama Devalaya " ) yang terletak di pendalaman selatan.[1] Salah satu kuilnya yang paling terkenal di Malaysia adalah Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves yang sering menjadi tumpuan ramai pada hari Thaipusam. Setiap kali perayaan Thaipusam di Malaysia, berhala dewa Murugan akan diarak dengan meriah dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee ke Kuil Sri Subramaniyar Swami, Batu Caves.

Di Karnataka dan Pulau Pinang, ia dikenali sebagai Subramaniam (Bahasa Kannada: ಸುಬ್ರಹ್ಮಣ್ಯ) (Bahasa Telugu: సుబ్రహ్మణ్య) dengan sebuah kuil di Kukke Subramanya yang dikenali untuk upacara ular shanti khusus kepada-Nya. Di Bengal, Odisha dan Maharashtra, ia popular dengan nama Kartikeya (bermakna anak pada Krittika')).[2] (Sanskrit Kārtikēya "son of Kṛttikā" Tamil: Kārttikēyaṉ).

Asal-Usul

[sunting | sunting sumber]

Dewa Subrahmaṇya dipercayai seorang dewa purba. Rujukan mengenainya didapati dalam inskripsi batu dan mata wang dari kurun ke-1 hingga ke-5 Masihi. Hari keenam bulan lunar dikenali sebagai Ṣaṣṭhi ialah hari suci untuk penyembahan Dewa ini (sama seperti dewa-dewa ular). Dewa Subrahmaṇya juga dikatakan telah berkahwin dengan seorang gadis rimba bernama Vaḷḷiamma. Wahana (atau kenderaannya) ialah burung merak. Kuil-kuil Subrahmaṇya juga sering wujud di atas bukit. Semua faktor ini menunjukkan kemungkinan Dewa ini ialah seorang dewa yang berkaitan dengan penyembahan ular dan penyembahan pokok.[3]

Dewa Subrahmaṇya ialah anak Dewa Śiva dan Dewi Pārvatī yang lahir untuk mengalahkan Tārakāsura. Dewa Śiva dan Dewi Pārvatī terpaksa bertapa bersungguh-sungguh dan berdoa untuk mendapatkan Subrahmaṇya sebagai anak Mereka. Kisah kelahiran Subrahmaṇya menunjukkan peranan penting doa dan pertapaan dalam memperolehi cahaya mata. Dewa Subrahmaṇya dikatakan telah lahir di sebuah belukar yang ditumbuhi rumput rumputan seperti anak panah, (maka dia mendapat nama Śaravaṇabhava) dan dibelai oleh enam orang ibu yang suci gugusan bintang Kṛttikā (Pleiadas). Maka, dewa ini juga bernama 'Kārttikeya' dan 'Ṣaṇmāthura'. Bagi menghisap susu dari enam orang ibu-Nya, Bayi ini mendapat enam kepala, dan mendapat nama 'Ṣaḍānana' atau 'Ṣaṇmukha' (Enam muka). Ketika masih muda, Subrahmaṇya telah dilantik sebagai komando angkatan tentera dewa dan mendapat nama 'Devasenāpati'. Dengan senjata-Nya yang berkuasa, Śakti, dewa ini mengalahkan dan menghapuskan Tārakāsura, dan demikian mendapat nama 'Śaktidhara' dan 'Tārakāri'. Keremajaan dan ketampanan-Nya mendapatkan-Nya nama 'Kumāra' atau 'Sanatkumāra'. Dewa ini juga dikenali sebagai 'Śkanda' kerana dia seorang pahlawan yang berani dan seorang yang telah memperolehi sakti akibat kesuciannya. Dewa ini menyukai orang-orang yang suci dan golongan Brāhmaṇa dan oleh itu, dikenali sebagai 'Subrahmaṇya'. Pada suatu ketika, dewa ini juga mendedahkan kejahilan Dewa Brahma akan ayat-ayat suci Veda, dan oleh itu, mendapat nama 'Brahma Śāstā.[4] Dalam tradisi mistik, Dewa ini dipanggil sebagai Guha kerana Dia menetap di dalam gua (Guha) hati penganut-penganut-Nya.

Matlamat utama penjelmaan Subrahmaṇya ialah untuk menewaskan kejahatan dan membebaskan golongan dewa yang berada dalam tahanan setan. Tiga setan-setan, Surapadma, Simhamukha dan Tarakasura mewakili tiga faktor utama kejahilan, iaitu ego yang mementingkan diri sendiri, kemarahan, dan ilusi. Skanda menghapuskan factor-faktor kejahilan ini dengan tombak-Nya yang umpama ilmu.[5]

Nakkirar, seorang penyair Tamil, memberikan maksud enam muka Shanmukha. ‘Satu muka-Nya menghilangkan kegelapan dan kejahilan dunia dan meneranginya dengan cahaya; yang kedua memberikan rahmat kepada para penganut, yang ketiga melindungi Yajna; yang keempat membincangkan tentang Ilmu Atman; yang kelima menghapuskan kejahatan; dan  keenam melihat dengan penuh cinta muka Valli, isteri-Nya.”[6]

Dewa ini sering digambarkan sebagai seorang budak lelaki yang berkepala satu dan bertangan dua atau berkepala enam dan bertangan dua belas. Burung merak dan tombak-Nya juga sering diberikan keutamaan. Seekor ayam jantan menghiasi bendera-Nya.

Simbolisme Subrahmaṇya

[sunting | sunting sumber]

Dewa Subrahmaṇya menggambarkan keadaan kerohanian yang tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Secara etimologi, perkataan 'Subrahmaṇya' bermaksud 'seorang yang mendorong perkembangan rohani seseorang'. Hanya orang yang telah mencapai puncak kerohanian yang tertinggi boleh membantu perkembangan rohani orang lain. Menurut mitologi, Subrahmaṇya ialah Anak Tuhan yang lahir untuk menyelamatkan dunia daripada keganasan Tārakāsura. Ini sesungguhnya benar daripada segi kerohanian.[7]

Enam kepala Subrahmaṇya secara simbolik bermaksud lima pancaindera dan akal yang mengawal segala aktiviti manusia. Apabila pancaindera dan akal dikawal dan dipelihara manusia mencapai kemuliaan dan keagungan. Inilah maksud dewa yang berkepala enam ini.

Menurut psikologi Yoga, terdapat enam pusat tenaga psikik dalam badan manusia yang dinamakan sebagai chakra. Enam pusat ini ialah:

  1. Mūlādhāra, di dubur
  2. Svādhiṣṭhāna, pada akar organ kelamin
  3. Maṇipūra, di pusat
  4. Anāhata, berdekatan jantung
  5. Viśuddha, di tekak
  6. Ājñā, antara kening)
  7. Sahasrāra, di ubun atau puncak kepala

Apabila seorang Yogi dapat membangkitkan tenaga psikik ini ke pusat yang tertinggi di Sahasrāra, dia akan melihat Śiva dan Śakti. Meskipun, tenaga ini wujud dalam semua manusia, dalam kebanyakan orang, tenaga-tenaga ini tertumpu di tiga pusat-pusat rendah sahaja. Dalam manusia yang sempurna, aliran tenaga-tenaga ini ke semua Cakra menjadi lancar dan seragam sehingga tahap kesedaran rohani orang itu meningkat tinggi. Subrahmaṇya mencerminkan keadaan kesedaran rohani yang sempurna ini.[8]

Manusia hanya mempunyai dua tangan. Namun, dengan kuasa akalnya, manusia mampu mencipta pelbagai alatan untuk membantunya melakukan pelbagai aktiviti secara serentak. Inilah yang dicerminkan oleh dewa yang bertangan dua belas ini iaitu kemampuan luarbiasa manusia. Gabungan enam kepala dan dua belas tangan mengajar kita bahawa manusia yang sempurna ialah seorang yang bukan sahaja Yogi yang hebat tetapi juga seorang pekerja yang hebat![9]

Subrahmaṇya mempunyai dua orang isteri: Vaḷḷi dan Devasenā. Vaḷḷi ialah anak seorang ketua orang asli yang menjalankan pertanian. Devasenā pula seorang puteri Indra iaitu penghulu segala dewa. Ini menunjukkan bahawa Tuhan tidak membezakan antara miskin dan kaya, penduduk biasa dan orang bangsawan. Tuhan menyayangi semua orang dengan sama rata. Tambahan lagi, ini juga menunjukkan bahawa seorang pemerintah memerlukan kedua-dua pertanian dan perindustrian di samping angkatan pertahanan yang kuat untuk memajukan negaranya dan melindungi rakyatnya.

Tombak yang tajam dan berkilat merupakan senjata yang digunakan oleh Devasenāpati untuk mengalahkan angkatan musuh-Nya. Tombak secara simbolik bermaksud ilmu dan kebijaksanaan yang diperlukan untuk menghapuskan setan kejahilan.

Kenderaan-Nya ialah burung merak yang sering kali berdiri dengan sebelah kakinya di atas kepala seekor ular, haiwan melambangkan simbol masa lalu burung merak itu sendirinya sesuatu yang menentang masa; penunggangan burung merak menunjukkan Subrahmaṇya sebagai entiti berada di luar dan dalam masa menjangkaui segala keduaan.[10]

Dalam psikologi, ular sering dikaitkan sebagai simbol nafsu dan burung merak pula ialah simbol kekuatan kesucian. Sebagai Skanda, dewa ini ialah penjelmaan kekuatan kesucian dan brahmacharya dan oleh itu, Dia menunggang seekor burung merak. Burung merak dengan bulunya yang cantik menjadi simbol ciptaan yang gemilang. Maka, dewa yang menunggang burung merak ialah Tuhan Maha Esa, Pencipta Alam ini.

Kesusasteraan Tamil Sangam

[sunting | sunting sumber]

Tolkāppiyam, kemungkinan sastera klasik Tamil yang terawal, menyebut tentang Ceyyavan ('si merah') yang dipercayai sebagai Subrahmaṇya. Sastera-sastera Tamil Sangam yang dipercayai ditulis antara kurun ke-3 hingga ke-5 S.M. menyanyikan keagungan Subrahmaṇya sebagai "dewa berkulit merah yang menunggang burung merak biru, yang sentiasa muda dan berseri-seri" sebagai "dewa kegemaran orang Tamil". Menurut Tirumurukāṟṟuppaṭai (c. 400–450), sebuah karya penyair Nakkirar, Muruga dipanggil sebagai dewa bukit-bukau dan seorang remaja abadi. Muruga juga disebut dalam beberapa sastera Sangam lain seperti ParipāṭalAkanaṉūṟu dan Purananuru.

Kesusasteraan Veda dan Purana

[sunting | sunting sumber]

Atharvaveda memanggil Kumāra sebagai Agnibhū kerana Agni (api) mendukungnya apabila Dia lahir. Menurut, Shatapatha Brahmana, Subrahmaṇya ialah anak Rudra dan enam muka Rudra.Taittiriya Aranyaka mengandungi serangkap mantera Gayatri untuk Shanmukha. Chandogya Upanishad merujuk kepada Skanda sebagai "Jalan ke Ilmu". Baudhāyana dalam Dharmasūtra memangil Skanda sebagai Mahāsena ("Yang memiliki angkatan tentera yang besar") dan Subrahmaṇya ("dikasihi oleh orang Brahmin"). Dalam bab Āraṇyaparvan dalam Mahabharata, lagenda Kartikeya Skanda diberikan secara terperinci. Riwayat Kartikeya juga diberikan dalam Skanda Purana. Rujukan kepada Muruga juga boleh dilihat dalam Arthasastra oleh Kautilya, karya-karya Patanjali, dan karya klasik Kumārasambhava oleh Kalidasa. Dalam Bhagavad Gita, Sri Krishna berkata, "Dalam kalangan general, Aku ialah Skanda, Dewa peperangan."[11]

Kuil-kuil Utama

[sunting | sunting sumber]

Terdapat enam buah kuil utama Dewa Subrahmaṇya yang dikenali sebagai Āṟupaṭai vīṭu (Tamil) di negeri Tamil Nadu di India Selatan. Enam kediaman suci ini disebut dalam karya Tamil Thirumurugatrupadai, ditulis oleh Nakkeerar dan juga dalam Thirupugal, karya klasik oleh Arunagirinathar. Enam kediaman suci ini ialah Thiruthani, Swamimalai, Palani, Pazhamudircholai,Thirupparankunram dan Thiruchendur.

Kuil Lokasi Huraian
Thiruthani Murugan Thiruthani, daerah Thiruvallur Berdekatan bandar Chennai, selepas pertempuran dengan golongan Asura, Muruga berehat di sini dan kemudiannya berkahwin dengan VaỊỊi. Penganut-penganut akan mendaki 365 anak tangga untuk pergi ke kuil di atas bukit ini. Pada suatu ketika dahulu, kuil ini berada di bawah naungan pemerintah-pemerintah Vijayanagara dan zemindar-zemindar tempatan.

Menurut lagenda, Dewa Skanda telah mengajar bahasa Tamil kepada Agastya Muni di bukit ini. Oleh itu, Dia juga disembah di kuil ini sebagai Veeramurthy, Gnanamurthy and Acharyamurthy.

Swamimalai Murugan Swamimalai, daerah Thanjavur Berada 5 km dari Kumbakonam di sisir sungai Cauvery, kuil ini dibina di atas bukit buatan manusia. Tempat ini menandakan peristiwa di mana Dewa Muruga menjelaskan maksud Pranava Mantra 'Om' kepada bapa-Nya, Dewa Śiva.

Kuil utama untuk Swaminatha Swami terletak di puncak bukit pada ketinggian 60 kaki (18 m) dan kuil-kuil untuk ibu-Nya Meenakshi (Parvathi) dan bapa-Nya Sundareswarar (Śiva) berada di kaki bukit. Terdapat enam puluh anak tangga menuju ke kuil ini menandakan kitaran enam puluh tahun dalam kalendar Tamil.

Kuil ini dipercayai wujud sejak zaman Sangam dari kurun ke-2 S.M. dan dipercayai telah diubahsuai oleh Parantaka Chola I. Kuil ini telah mengalami kerosakan teruk semasa peperangan Anglo-Peranchis di antara Hyder Ali dan orang British pada tahun 1740. Kini, kuil ini diuruskan oleh Hindu Religious and Endowment Board oleg Kerajaan Tamil Nadu.

Perayaan tahunan utama di kuil ini ialah Vaigasi Visakam.

Palani Murugan Pazhani, 56 km di barat Dindigul Kuil ini dibina di atas bukit Palani di mana 'Dhandayuthapani' berada dalam keadaan meditasi, dengan memegang sebatang kayu ('danda') sebagai senjatanya ('ayutha'). Selepas bergaduh dengan keluarganya kerana sebiji buah mangga, Muruga telah datang ke bukit ini. Arca Dhandayuthapani di kuil ini telah dibuat oleh Bhogar, seorang wali dengan menggunakan sembilan jenis bahan mineral yang dikenali sebagai Navabashanam.
Pazhamudircholai Murugan Pazhamudircholai, daerah Madurai Kuil ini berada 16 km di utara Madurai. Kuil ini terletak di atas sebuah bukit kecil di mana sebatang sungai kecil bernama Nupura Gangai mengalir. Dewa Murugan kedua-dua isterinya disembah di kuil ini. Dewa Muruga di Pazhamudircholai telah dipuji dalam sastera-sastera Tamil purba seperti Silappathikaram, Ettuthokai dan Pattupattu.

Menurut lagenda, Avvaiyar, penyair wanita Tamil telah bertemu dengan Dewa Muruga di tempat ini.

Thirupparamkunram Murugan Thiruparankunram, 5km dari daerah Madurai Kuil ini bertempat di atas sebuah bukit di mana Dewa Muruga berkahwin dengan Devasenā, puteri Dewa Indra. Nakkeerar dikatakan telah menyembah Dewa Muruga di kuil ini.

Satu ciri pelik kuil ini ialah dalam kuil utama terdapat arca Śiva dan Viṣṇu bertentangan muka, sesuatu yang amat jarang. Di luar kuil di hadapan Dwajasthambam atau Kodi Maram terdapat arca besar burung merak (kenderaan Muruga), Nandi (kenderaan Śiva) dan Moosika (kenderaan Ganesha) yang telah diukir daripada batu besar.

Sundarar dan Sambandar juga telah menyanyikan Tevaram (ayat-ayat suci Tamil) di kuil ini.

Thiruchendur Murugan Thiruchendur, 165km di selatan daerah Madurai Terletak di pantai berdekatan Tuticorin, di mana dahulunya wujud Gandhamadana Parvatam or Santhanamalai (Bukit Cendana). Bukit ini ialah tempat di mana Dewa Subrahmaṇya memuja Dewa Śiva sebelum bertempur dan memenangi Surapadma.Tumpahan darah Surapadma telah menjadikan tanah di tempat ini berwarna merah.
[sunting | sunting sumber]

India Selatan

[sunting | sunting sumber]

Murugan adalah lebih popular dalam kalangan orang Tamil yang merujuknya sebagai Thamizh Kadavul (Dewa Tamil). Antara nama-nama dewa ini dalam bahasa Tamil ialah Seyon, Senthil, Vēlaṇ, Kumāran, Saravaṇa, dan Arumugam. Subramanya juga seorang dewa utama dalam kalangan Hindu di utara Kerala, Karnataka, Andhra Pradesh dan Telengana. Upacara seperti "nagaradhane" adalah amat unik di bahagian Uttara Kannada di Karnataka.

India Utara

[sunting | sunting sumber]

Pengaruh Skanda dalam agama dan budaya boleh dilihat sejak zaman Gupta. Dua orang raja Gupta dikenali sebagai Kumaragupta dan Skandagupta. Ukiran-ukiran zaman Gupta di kuil-kuil Ellora mempunyai beberapa arca dan ukiran Skanda. Mata wang yang mengandungi imej Skanda juga telah ditemui dari empayar Kushan yang memerintah wilayah yang kini dikenali sebagai Peshawar, dan empayar Yaudheyas, satu kerajaan di wilayah Punjab. Sebagai Dewa peperangan, Skanda amat popular dalam kalangan kerabat raja dan pemerintah-pemerintah seperti dinasti Ikshvaku, empayar Gupta dan suatu dinasti di Andhra.

Namun, kepopularan Kartikeya di India Utara mula berkurangan sejak zaman Pertengahan. Kini, penyembahan-Nya hanya wujud di beberapa bahagian Haryana. Di pekan Pehowa, Haryana terdapat sebuah kuil yang amat popular untuk Skanda. Namun, oleh kerana Skanda di kuil ini ialah seorang Brahmachari, golongan wanita tidak dibenarkan untuk memasuki kuil ini. Kuil-kuil Skanda juga berada di Achaleshwar, berdekatan Batala di Punjab dan di atas bukit Parvati, di Pune, Maharashtra. Satu lagi kuil Subrahmaṇya yang popular ialah Kartik Swami Mandir di Panchavati, di Nashik, Maharashtra. Di Maharashtra juga, golongan wanita dihalang untuk memasuki kuil-Nya.

Murugan ialah salah seorang dewa yang popular dalam kalangan orang Tamil di Malaysia dan lain-lain negara di Asia Tenggara seperti Singapura dan Indonesia. Perayaan Thaipusam telah diiktiraf sebagai cuti umum di negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan. Selain penganut-penganut tempatan, orang-orang Hindu dari seluruh dunia, seperti India, Australia, Singapura, Thailand dan Eropah juga mengunjungi Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves semasa Thaipusam.

Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves merupakan suatu kuil utama dan ikonik di Malaysia. Sebuah patung Dewa Murugan setinggi 42.7 meter (140 kaki) telah didirikan pada Januari 2006 di Batu Caves. Ia adalah patung Dewa Muruga yang tertinggi di dunia.

Selain Batu Caves, terdapat 3 lagi kuil Murugan yang terkenal di Malaysia iaitu:

  • Kuil Kallumalai Temple di Ipoh, Perak,
  • Kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Pulau Pinang; dan
  • Kuil Sannasimalai di Melaka

Perayaan-Perayaan Utama

[sunting | sunting sumber]

Thaipusam

[sunting | sunting sumber]
Thaipusam di Batu Caves

Thaipusam ialah sebuah perayaan yang disambut khususnya oleh orang Hindu berketurunan Tamil pada hari bulan purnama dalam bulan Thai (Januari / Februari) apabila bintang Pusam berada di puncaknya. Perayaan ini disambut dengan meriah di kuil-kuil Murugan bagi menandakan peristiwa Dewi Parvati memberikan sebatang tombak atau Vel kepada Murugan untuk mengalahkan Surapadman. Seperti yang dipercayai ramai, Thaipusam bukanlah hari lahir Murugan. Murugan dipercayai telah lahir pada Vaikhasi Vishakam dalam bulan Vaikhasi (Mei/Jun).

Asal-Usul

[sunting | sunting sumber]

Agasyta Muni hendak membawa dua buah bukit iaitu Sivagiri dan Saktigiri ke kediamannya di selatan India. Beliau mengarahkan pengikutnya, Idumban dari keturunan Asura untuk mengangkut kedua-dua bukit itu. Idumban merupakan salah seorang daripada beberapa Asura yang masih hidup selepas pertempuran antara Murugan dan Surapadman. Idumban, selepas bertaubat, menjadi seorang penganut Dewa Murugan.

Ketika ini, Murugan telah melarikan diri ke India Selatan selepas dikalahkan oleh abang-Nya Ganesha dalam pertandingan mengelilingi dunia. Dengan marah, Murugan menduduki Tiru Avinankudi, di kaki bukit Sivagiri. Kemudian, Murugan berpindah ke bukit Palani dan menetap di sana sebagai seorang petapa.

Sementara itu, Idumban, menurut arahan gurunya, Agastya Muni menjunjung kedua-dua bukit Sivagiri dan Saktigiri pada bahunya menggunakan sebatang kayu. Apabila dia tiba di kaki bukit Palani, dalam keadaan penat, dia letakkan bebannya ke atas tanah, dan berehat. Apabila Idumban bersedia untuk meneruskan perjalanannya, dia tidak dapat mengangkat bukit-bukit itu. Dewa Murugan yang ingin menguji kecekalan dan ketaatan Idumban kepada gurunya, telah menghalangnya daripada mengangkat bukit-bukit itu.

Selepas mencuba beberapa kali untuk mengangkat bukit-bukit itu, Idumban akhirnya mendapati seorang budak lelaki di atas bukit. Idumdan mengarahkan budak itu untuk turun ke bawah agar dia dapat mengangkat bukit itu, tetapi budak itu enggan. Akhirnya, satu pertempuran hebat tercetus antara mereka dan budak itu mengalahkan Idumban. Selepas dihidupkan semula oleh budak itu, Idumban sedar bahawa budak itu ialah sebenarnya Dewa Murugan. Dengan penuh iman, Idumban berdoa kepada-Nya:

  • Sesiapa yang menjunjung pada bahunya, sebuah kavadi, seperti mana Idumban membawa bukit, dan melawat kuil Palani dengan bernazar, mesti dirahmati oleh Murugan; dan
  • Idumban harus diberikan kedudukan khas untuk berdiri di kaki bukit itu sebagai penjaganya.

Sejak itu, penganut-penganut Murugan membawa persembahan mereka di atas bahu sebagai kavadi. Tradisi ini telah tersebar dari Palani ke semua kuil-kuil Murugan.

Kavadi berasal daripada perkataan 'kaavu' dan 'tadi' yang bermaksud sebatang kayu untuk menjunjung barang. Pada zaman dahulu, orang akan menjunjung barang di atas bahu dengan menggunakan sebatang kayu panjang, batang tebu atau batang buluh. Terdapat pelbagai jenis kavadi. Kavadi yang paling ringkas mempunyai sebatang kayu panjang dengan dua buah bakul atau periuk yang diikat pada setiap hujungnya. Kavadi yang lebih besar dan mahal pula dihiasi dengan bunga-bungaan, bulu burung merak, loceng-loceng dan ada kalanya dalam bentuk kereta pedati. Antara Kavadi yang popular ialah Paal Kavadi (Susu), Teertha Kavadi (air suci), Panneer Kavadi (air mawar), Mayil Kavadi (kavadi yang dihiasi bulu burung merak), Pushpa Kavadi (kavadi yang dihiasi bunga-bungaan) dan karumbu totthi (batang tebu yang digunakan untuk menjunjung bayi).

Kavadi yang dijunjung oleh para penganut Murugan mengingatkan beban seseorang, seperti bukit-bukit yang dijunjung oleh Idumban. Para penganut percaya bahawa Dewa Murugan akan meringankan beban hidup seseorang yang membawa Kavadi. Persembahan kavadi semasa Thaipusam dianggap sebagai suatu ibadat yang penting.

Secara tradisi, persediaan untuk menjunjung Kavadi bermula empat puluh lapan hari (dikira sebagai satu mandala) sebelum hari Thaipusam. Para penganut akan menjalani disiplin penyucian fizikal dan mental seperti mengawal pancaindera, berpuasa penuh atau memakan makanan vegetarian, buah-buahan dan susu dalam kuantiti yang sederhana, menghindari rokok, minuman keras atau sebarang bahan-bahan yang memabukkan, mengamalkan brahmacharya (kawalan nafsu syahwat), mandi air sejuk. Orang lelaki juga tidak akan bercukur atau memotong rambut ketika berpuasa. Selain itu, seseorang juga perlu melakukan aktiviti berdoa pada waktu pagi dan senja, melakukan japa (mengulangi mantera suci), menyanyikan ayat-ayat suci Kantha Sashthi Kavacam, Kavadi Sindu, Tirupugal dan Kandar Anubhuti, dan mengingati Dewa Murugan.

Mereka yang berhajat akan menjunjung dan mengarak ''Kavadi' dan mendaki bukit atau tangga-tangga kuil seperti di Batu Caves. Selain itu ada juga yang menjunjung periuk berisi susu 'pal kudam'. Mereka akan membayar nazar sekiranya niat , hasrat dan doa tercapai pada tahun tersebut.

Amalan Menusuk Badan

[sunting | sunting sumber]

Amalan menusuk badan dengan benda-benda tajam ialah sesuatu yang sering dipertikaikan. Agama Hindu sesungguhnya tidak mengalakkan penderaan badan yang melampau. Menurut Bhagavad Gita, 17.6: "Ketahui bahawa mereka yang tidak dapat membezakan baik buruk, mendera semua anggota badan mereka dan juga Aku (iaitu Tuhan) yang menghuni badan, sebagai manusia yang bersifat setan." Disiplin-disiplin fizikal seperti berpuasa adalah penting setakat ini menguatkan minda seseorang. Seseorang yang tidak mudah terjejas dengan kepanasan atau kesejukan, keseronokan atau kesakitan, ialah seorang yang amat cekal. Orang itu akan dapat mengharungi suka duka kehidupan dengan tabah dan tidak mudah mengalah. Apabila seseorang banyak berfikir tentang badannya, pemikiran dan mentalnya akan menjadi lemah.

Hinduisme melarang penganutnya untuk melakukan sesuatu secara melampau. "Sarvam atyanta garhitam" bermaksud "sesuatu yang melampau adalah tidak baik". Penderaan dan pengabaian badan bukanlah suatu sifat baik. Sebaliknya, badan yang kuat dan sihat diperlukan untuk mengamalkan agama dan disiplin kerohanian. Menurut Hinduisme, "Sharīramādyam khalu dharmasādhanam" - "Badan merupakan alat utama untuk mengamalkan agama atau dharma". Oleh itu, manusia perlu menjaga badannya dan tidak patut melukakan atau mendera badannya. Malah Hinduisme juga mengajar bahawa badan manusia adalah kuil Tuhan, kerana Tuhan menghuni badan manusia sebagai Atman.

"Udambinai Munnam Izhukkendru Irundhaen'

Udambinukku Ullae Uru Porul Kandaen

Udambullae Uththaman Koyil Kondan Endru

Udambinai Yaanirundhu Ombukindraenae."

Bermaksud, " Mula-mula aku menganggap badan sebagai suatu kekotoran. Kemudian, aku menyedari bahawa Tuhan berada dalam badanku. Dalam badanku, Tuhan bertahkta di sebuah kuil. Sejak itu, aku memuja dan memelihara jasad fizikalku." (Thirumanthiram ayat 725)

Subrahmaṇya-ṣaṣṭhī

[sunting | sunting sumber]

Āṣāḍha śukla ṣaṣṭhī (dalam bulan Oktober/November) ialah satu hari suci untuk penyembahan Subrahmaṇya. Oleh itu, hari ini juga disebut sebagai Subrahmaṇya-ṣaṣṭhī atau Skanda-ṣaṣṭhī. Perayaan ini amat popular di negeri Tamil Nadu. Mereka yang mengidamkan anak lelaki yang baik atau ingin menyembuhkan anak yang sakit, dinasihati untuk mengamalkan perayaan ini. Persembahan lampu-lampu pelita, pakaian, dan ayam jantan (untuk dibela) ialah keistimewaan perayaan ini.[12]

Para penganut yang ingin merentasi sesuatu masalah atau bahaya dalam kehidupan mereka akan bernazar untuk membawa kāvaḍi, sebatang kayu dengan dua buah bakul di setiap hujungnya. Mereka menghindari aktiviti seksual, mengemis makanan dan persembahan untuk Dewa Skanda dan berjalan kaki tanpa kasut ke kuil Subrahmaṇya yang biasanya berada di atas bukit. Setibanya di kuil, mereka akan mempersembahkan bahan-bahan yang telah dibawa kepada Dewa Muruga.[13]

Kuil Subrahmaṇya di Tirucandūr (Thiruchendur ) menyambut perayaan ini sebagai tanda kemenangan Skanda dalam pertempuran dengan Surapadma atau Tārakāsura. Sempena enam hari pertempuran itu, penganut-penganut akan berpuasa dan bertapa selama enam hari. Mereka akan tinggal di kuil dan berpuasa selama enam hari. Pada hari Skandaṣaṣṭhī, mereka tidak akan meminum walau setitik air pun.[14]

Pada hari ini, babak-babak pertempuran dan kemenangan Dewa Skanda terhadap Surapadma akan dilakonkan di tepi pantai.

Menurut satu pendapat lain, perayaan ini jatuh pada Caitra śukla ṣaṣṭhī (dalam bulan Mac/April), tetapi jarang disambut pada hari itu.

  1. ^ "Rare Sri Lankan idol recovered". BBC News. 11 June 2008.
  2. ^ Cage of Freedom By Andrew C. Willford
  3. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 (ms.338)
  4. ^ ibid(ms.338)
  5. ^ Cultural Heritage of India IV (ms.310)
  6. ^ ibid(ms.310)
  7. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism Vol.3 (ms.338)
  8. ^ ibid
  9. ^ ibid
  10. ^ ibid
  11. ^ Bhagavad Gita, Bab 10 Ayat 24
  12. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 (ms.341)
  13. ^ ibid
  14. ^ ibid

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]