Spaniel Bretagne
Nama lain | Anjing Bretagne Brittany Anjing Bretagne Perancis Brittany Perancis | ||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Perancis | ||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Spaniel Bretagne,[a] anjing Bretagne, atau brittany[b] ialah satu baka gundog Perancis daripada jenis spaniel yang dibiakbakakan terutamanya untuk pemburuan burung.[2][3]
Ia dikembangkan pada antara abad ketujuh belas dengan kesembilan belas di Bretagne di Perancis barat laut dan diiktiraf secara rasmi pada awal abad kedua puluh. Baka ini telah berkembang dengan berbeza di Amerika Syarikat. Di sana ia dapat dirujuk sebagai brittany Amerika.[perlu rujukan]
Spaniel Bretagne dikembangkan di Bretagne, sebuah provinsi di Perancis barat laut, pada antara abad ke-17 dengan abad ke-19, kemudian diiktiraf secara rasmi pada awal abad ke-20. Terdapat dua jenis berlainan dalam baka ini, iaitu brittany Perancis and brittany Amerika, yang berbeza dari segi pengakuran dan warna lapis bulu yang diterima. Brittany Perancis digunakan untuk burung tanah tinggi dan arnab sementara brittany Amerika digunakan hanya untuk pemburuan burung tanah tinggi.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Nama "brittany" diterbitkan sempena rantau Bretagne (bahasa Inggeris: Brittany ) di Perancis barat laut yang merupakan asal usul anjing ini. Imej anjing berwarna jingga dan putih mirip brittany yang memburu dan mengutip buruan pertama kali dilihat pada dewangga dan lukisan dari abad ke-17. Catatan bertulis dan tentu sah pertama tentang brittany berasal daripada perihal perburuan yang ditulis oleh Reverend Davies pada tahun 1850. Beliau memerihalkan perburuan dengan anjing kecil "berekor kontot" yang menuding dan merupakan anjing pengutip cemerlang. Pada sekitar masa sama, brittany moden dikhabarkan telah dibiakbakakan dengan pengawanan dengan seter Inggeris.[4]
Brittany pertama kali diiktiraf sebagai baka pada tahun 1907 apabila seekor jantan jingga dan putih bernama Boy didaftarkan di Perancis. Hasilnya, piawaian pertama dirangka pada tahun sama. Amerika mengiktiraf brittany pada tahun 1931 dan baka ini diluluskan oleh American Kennel Club pada tahun 1934. Pada tahun 1982, unsur "spaniel" secara rasmi digugurkan daripada namanya.[5]
Perihal
[sunting | sunting sumber]Penampilan
[sunting | sunting sumber]Brittany ialah anjing kecil dengan kepala jenis spaniel, ekor kontot, dan penampilan gempal.[2][3]
Kebanyakan brittany lahir dengan ekor panjang yang kemudiannya dipotong sehingga sepanjang 3–10 sentimeter (1.2–3.9 in), namun kadang-kadang lahir dengan ekor pendek.[2][3]
Warna lapis bulu baka ini berbeza-beza: lapis bulu jingga dan putih atau hati dan putih ialah yang paling lazim pada brittany Amerika; warna lain termasuk jingga kemerah-merahan dan hati kemerah-merahan, kesemuanya dapat diterima dalam gelanggang pertunjukan.[2][3] Piawaian brittany Amerika menetapkan triwarna dengan hati, jingga, dan putih yang dapat diterima dengan peletakan warna sangat spesifik.[6] Brittany Perancis juga terdapat dengan warna putih dan hitam.[2][3]
Saiz
[sunting | sunting sumber]Brittany ialah anjing bersaiz sederhana dengan susur galur Amerika (setinggi 17.5–20.5 inci (44–52 cm) pada paras kelasa menurut piawaian AKC yang diterima pakai pada tahun 1990[6]) yang cenderung lebih besar dan mempunyai kepala lebih gempal berbanding dengan susur galur Perancis (setinggi 17–20.5 inci (43–52 cm)) dan betinanya berada di hujung bawah. Brittany bertubuh elok dan sihat mengekalkan berat antara 30–45 paun (14–20 kg) bergantung pada ketinggian.[7] Pada umumnya, brittany adalah lebih kecil daripada seter tetapi bertungkai lebih panjang daripada spaniel.[5]
Jenis
[sunting | sunting sumber]Ramai pembiak baka membezakan antara brittany "Amerika" dengan anjing jenis "Perancis". Walaupun pada umumnya diiktiraf sebagai subset bagi baka sama, terdapat perbezaan yang dapat dikecam antara kedua-duanya. "Brittany Amerika" telah dibiakbakakan untuk menjadi biasanya lebih besar daripada "brittany Perancis".[8]
Perangai
[sunting | sunting sumber]Brittany pada asalnya dibiakbakakan sebagai anjing pemburu dan terkenal kerana mudah dilatih dan bersifat manis. Baka ini pada umumnya lebih sensitif terhadap pembetulan berbanding dengan pemburu lain dan pembetulan kasar kerap tidak diperlukan.[9]
Kesihatan
[sunting | sunting sumber]Sebuah kajian Perancis tahun 2015 mendapati purata jangka hayat sebanyak 12.6 tahun.[1] Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 pula mendapati purata jangka hayat sebanyak 11.1 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[10]
Sebuah kajian Amerika Utara yang melibatkan lebih daripada sejuta ekor anjing mendapati bahawa brittany cenderung terhadap displasia pinggul dengan 4.22% brittany yang menghidap displasia pinggul berbanding dengan 3.52% secara keseluruhan.[11] Sebuah lagi kajian Amerika Utara yang meneliti lebih daripada 250,000 catatan siku mendapati bahawa brittany mempunyai kadar ke-14 paling rendah bagi displasia siku daripada 60 baka dengan 1.7% brittany yang menghidap displasia siku.[12]
Sebuah kajian Amerika Utara mendapati bahawa brittany mempunyai insiden paling tinggi bagi glaukoma berbanding dengan anjing lain dengan 0.95% brittany yang menghidap glaukoma berbanding dengan 0.89% secara keseluruhan.[13]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Jawi: سڤانيئل بريتاڽ ; Perancis: épagneul breton ; bahasa Inggeris: Brittany spaniel
- ^ Jawi: انجيڠ بريتاڽ; بريتاني ; bahasa Inggeris: brittany
Rujukan
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing Bretagne |
- ^ a b c Leroy, Grégoire; Phocas, Florence; Hédan, Benoît; Verrier, Etienne; Rognon, Xavier (18 November 2014). "Inbreeding impact on litter size and survival in selected canine breeds" [Impak pembiakbakaan dalam terhadap saiz dan kemandirian perinduk pada baka anjing terpilih]. The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 203 (1): 74–78. doi:10.1016/j.tvjl.2014.11.008. ISSN 1532-2971. PMID 25475165. S2CID 27631883. min=11.34 ± 4.28 median=12.58
- ^ a b c d e "Standard FCI N°95 EPAGNEUL BRETON" [Piawaian FCI No. 95 Spaniel Bretagne] (pdf) (dalam bahasa Perancis). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 5 Mei 2003. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ a b c d e "FCI-Standard N°95 EPAGNEUL BRETON (Brittany Spaniel)" [Piawaian FCI No. 95 Spaniel Bretagne] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Miller, John; Triquet, Raymond. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 5 Mei 2003. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ Riddle, Maxwell (1974). The Complete Brittany Spaniel [Spaniel Bretagne Lengkap] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. m/s. 28. ISBN 9780876050651. OCLC 1102836.
- ^ a b "Brittany" [Brittany]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Februari 2015.
- ^ a b "Brittany Standard" [Piawaian Brittany] (PDF). American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ "Brittany" [Brittany] (dalam bahasa Inggeris). United Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Mac 2016. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ Thoms, Jerry. "The French Brittany" [Brittany Perancis]. The Gundog Mag (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Jun 2007. Dicapai pada 4 Mac 2024.
- ^ Kilcommons, Brian; Wilson, Sarah (1 September 1999). Paws to Consider: Choosing the Right Dog for You and Your Family (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Warner Books. m/s. 132–133. ISBN 9780446521512. OCLC 40331068.
- ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check
|pmc=
value (bantuan). PMID 38302530 Check|pmid=
value (bantuan). S2CID 267382263 Check|s2cid=
value (bantuan). - ^ Witsberger, Tige H.; Villamil, J. Armando; Schultz, Loren G.; Hahn, Allen W.; Cook, James L. (15 Jun 2008). "Prevalence of and risk factors for hip dysplasia and cranial cruciate ligament deficiency in dogs" [Prevalens dan faktor-faktor risiko bagi displasia pinggul dan kekurangan ligamen krusiat kranium pada anjing]. Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Perubatan Veterinar Amerika. 232 (12): 1818–1824. doi:10.2460/javma.232.12.1818. ISSN 1943-569X. PMID 18598150. S2CID 11682638.
- ^ Oberbauer, Anita M.; Keller, G. G.; Famula, Thomas R. (24 Februari 2017). Loor, Juan J. (penyunting). "Long-term genetic selection reduced prevalence of hip and elbow dysplasia in 60 dog breeds" [Pemilihan genetik jangka panjang mengurangkan prevalens displasia pinggul dan displasia siku pada 60 baka anjing]. PLOS One (dalam bahasa Inggeris). PLOS. 12 (2): e0172918. Bibcode:2017PLoSO..1272918O. doi:10.1371/journal.pone.0172918. ISSN 1932-6203. PMC 5325577. PMID 28234985. S2CID 45459111.
- ^ Gelatt, Kirk N.; MacKay, Edward O. (18 Februari 2004). "Prevalence of the breed-related glaucomas in pure-bred dogs in North America" [Prevalens glaukoma berkaitan dengan baka pada anjing baka tulen di Amerika Utara]. Veterinary Ophthalmology (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 7 (2): 97–111. doi:10.1111/j.1463-5224.2004.04006.x. ISSN 1463-5224. PMID 14982589. S2CID 46589186.