Skuter
Sebuah motosikal skuter merupakan sejenis motosikal yang secara tradisionalnya mempunyai ciri-ciri seperti kerangka "boleh langkah" (step-through), roda yang saiznya tidak melebihi 16 inci, serta enjin yang terletak di bahagian belakang bawah penunggang. Walau bagaimanapun, terdapat juga reka bentuk skuter yang lebih moden yang turut menerapkan ciri-ciri bagi klasifikasi motosikal lain ke dalamnya, misalnya Yamaha Nouvo yang menyerupai sebuah motosikal kapcai.
Skuter mudah, tidak seperti skuter elektrik, bergerak melalui tenaga manusia, yang sangat berguna untuk senaman dan kesihatan.
Ciri-ciri
[sunting | sunting sumber]Enjin yang digunakan pada sesebuah skuter boleh jadi 2 lejang atau 4 lejang serta merangkumi saiz dari sekecil 50 cc sehinggalah sebesar lebih 500 cc seperti Yamaha T-Max, Honda Silver Wing dan Gilera GP800. Sistem transmisi yang digunakan pada skuter moden lazimnya adalah jenis transmisi automatik CVT, tetapi model-model skuter lama seperti Vespa serta beberapa model retro menggunakan transmisi manual berjujukan dengan penukar gear di bahagian kiri hendal yang boleh dipulas.
Jika dahulunya sistem kerangka skuter diperbuah daripada keluli ditekan, tetapi kini badan skuter diperbuat daripada plastik yang dipasang pada kerangka tiub keluli.
Boleh dikatakan hampir kesemua motosikal skuter moden menggunakan penghidup elektrik, tetapi skuter yang lebih kecil turut mempunyai penghidup tendang yang biasanya hanya digunakan ketika kecemasan seperti semasa bateri menjadi lemah. Beberapa model skuter yang lebih besar turut mempunyai ciri-ciri lebih mewah seperti sistem penggera, pemanas genggam hendal, radio serta sistem brek cegah kunci.
Sebagai usaha mengurangkan pencemaran udara, kini sudah terdapat model skuter yang menggunakan gas LPG di pasaran. Skuter elektrik jalanan berkuasa tinggi mungkin akan dikeluarkan pada masa hadapan memandangkan beberapa motosikal elektrik kecil seperti Vectrix, e-max, dan eGO (jangan terkeliru dengan Yamaha Ego) sudah dikeluarkan.[1][2]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Skuter terawal
[sunting | sunting sumber]Susur-galur yang menyerupai skuter mula dibangunkan pada rekaan motosikal sekitar 1900an. Pada tahun 1894, Hildebrand & Wolfmüller mengeluarkan kenderaan beroda dua pertama yang berjaya, dengan kerangka boleh langkah. Tangki bahan api diletakkan di bahagian tiub bawah, manakala enjin dua silinder selarinya diletakkan di bahagian bawah kerangka. Ia menggunakan enjin sekujan udara dengan radiator di bahagian atas fender belakang. Ia menjadi kenderaan beroda dua pertama yang dikelaurkan secara besar-bsearan kepada orang awam, serta menjadi antara skuter pertama yang bergantung kepada kuasa enjin daripada injak kaki. Kelajuan maksimumnya adalah 40 km/j. Roda belakangnya digerakkan oleh omboh sebagaimana lokomotif kereta api. Hanya beberapa ratus sahaja bilangan yang dikeluarkan, dan harga yang mahal serta kesukaran teknikal menjadikan usaha sama tersebut satu kegagalan kewangan bagi kedua-dua Wolfmüller dan penyokong kewangannya, Hildebrand.
Salsbury Motor Glide pula merupakan motosikal kecil yang dibina pada tahun 1936 di bahagian belakang kedai tukang paip dan pemanasan di Oakland, California, oleh E. Foster Salsbury serta penciptanya inventor Austin Elmore. Ia mempunyai badan bertutup serta transmisi automatik. Ia begitu berjaya sehinggakan pada tahun 1938 Salsbury memberikan lesen kepada beberapa pengeluar Eropah lain termasuklah Piaggio. Motor Glide merupakan skuter era Zaman Meleset, yang menjadi piawaian kepada model seterusnya. Salsbury menghasilkan skuter automatik pertama dengan sistem transmisi boleh laras berterusan (CVT).
Selepas Perang Dunia Kedua
[sunting | sunting sumber]Selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakan pembuat kapal terbang semasa zaman perang mula membina skuter, dan ini mencetus ledakan industri motosikal Jepun. Mitsubishi Silver Pigeon adalah sebuah skuter yang dibina sebahagian besarnya daripada roda kapal terbang perang serta bahagian terbuang kapal terbang perang. Ia berkongsi populariti dengan Fuji Rabbit keluaran Fuji Heavy Industries dari tahun 1946 sehingga 1968. Fuji Rabbit merupakan skuter Jepun pertama yang mampu melepasi kelajuan 97 km/j. Model seterusnya adalah antara yang tercanggih pada zaman tersebut, menampilkan penghidup elektrik, transmisi automatik serta sistem gantungan pneumatik. Sambil ekonomi Jepun berkembang, permintaan terhadap skuter merosot, dan Fuji beralih kepada industri kereta pada tahun 1958. Walaupun tidak banyak diketahui di luar Jepun, Fuji Rabbit menjadi simbol nostalgia dalam budaya pop Jepun.
Di negara Itali pasca Perang Dunia Kedua, Piaggio Vespa membentuk piawaian bagi skuter di seluruh dunia selama 35 tahun. Dipatenkan pada April 1946, ia menggunakan reka bentuk serta bahan kapal terbang. Skuter 98 cc D’Ascanio mempunyai pelbagai reka bentuk konsep radikal, termasuklah struktur penampung tegasan yang cantik. Penukar gear ditempatkan di genggam hendal kiri untuk penunggangan yang lebih mudah. Enjin ditempatkan berhampiran roda belakang, tanpa memerlukan tali sawat pacuan. Fork hadapan digantikan dengan lengan ayun yang serupa dengan roda kapal terbang bagi penukaran tayar yang lebih mudah. Roda yang lebih kecil serta jarak roda yang lebih pendek membolehkan skuter ini dikendalikan di lorong sempit serta semasa kesesakan jalan raya. Dengan menggabungkan unsur-unsur terbaik dalam reka bentuk automotif, aeronautik dan motosikal, dengan pantas Vespa menjadi ikon reka bentuk dan ekonomi. Nama tersebut dilaporkan hasil daripada percakapan presiden Piaggio semasa melihat prototaipnya, lalu berkata "Sembra una vespa", "Ia kelihatan seperti seekor tebuan".
Berbulan-bulan kemudian selepas pelancaran Vespa, pada tahun 1947, Innocenti memperkenalkan Lambretta yang menjadi pesaing utama. Skuter tersebut direka bentuk oleh Innocenti, Pengarah Amnya Giuseppe Lauro dan jurutera Pierluigi Torre. Ia mula dikeluarkan pada tahun 1947 semasa Pertunjukan Motor Paris. Lambretta 'A' dikeluarkan pada 23 Disember 1947 serta terjual sebanyak 9,000 unit setahun. Ia jimat bahan api, dengan kadar penggunaan petrol 68-76 km/liter. Kelajuan maksimumnya ialah 72 km/j, menggunakan enjin 123 cc sejukan udara. Nama Lambretta diambil sempena kawasan kejiranan di Milan di mana kilang Lambretta terletak.
Pada tahun 1980an versi terbaru skuter mula dikeluarkan dan menjadi popular terutamanya di Jepun dan negara Asia Timur Jauh. Gaya skuter sebegini mula menampilkan gaya motosikal berprestasi tinggi pada masa tersebut, malah ia berterusan sehingga kini. Dengan pelancaran Honda Ruckus, satu trend baru ke arah skuter "dirt-bike" hanyalah sekadar permulaan sahaja. Pada tahun 1988, Honda memperkenalkan reka bentuk skuter kembara yang besar iaitu Honda Helix 250 cc (juga dipanggil Spazio, Fusion atau CN250). Walaupun ia berat untuk dikendalikan pada kelajuan rendah, ia direkabentuk untuk penunggangan jarak jauh yang selesa. Kini, hampir kesemua pengeluar skuter utama menghasilkan model sedemikian, dipanggil skuter "maksi", "GT" atau "kembara". Skuter terbesar di dunia ialah Gilera GP 800, skuter dengan enjin 840 cc yang mampu memecut 100 km/j dalam masa 5.7 saat.
Skuter maksi
[sunting | sunting sumber]Satu lagi trend terkini adalah ke arah skuter yang lebih besar, dipanggil skuter maksi, dengan saiz enjin antara 250 cc sehingga saiz terbesar buat masa sekarang iaitu 839 cc (Gilera GP 800), serta menggunakan kerangka yang lebih besar daripada skuter bersaiz biasa. Trend ini bermula pada tahun 1985 semasa Honda memperkenalkan CH250 Elite/Spacy. Beberapa tahun kemudian, Suzuki melancarkan Burgman 650. Honda (600 cc), Piaggio, Yamaha, Aprilia, Kymco (700 cc) serta pengeluar lain turut mengeluarkan skuter besar dengan sesaran enjin di antara 400 hingga 850 cc.
Skuter maksi yang lebih canggih dan lebih mahal berbeza daripada skuter tradisional dari segi susunan enjin yang terletak pada kerangka dan bukannya pada lengan ayun. Susunan sebegini mampu menambah baik pengendaliannya, dengan membenarkan pusat graviti dialihkan ke hadapan serta dengan memberikan kurang tekanan pada penyerap hentak belakang. Sistem pacuan akhir diperlukan bagi menghubungkan sistem klac dengan roda belakang. Trend ke arah skuter besar dan lebih berkuasa dengan transmisi automatik sepenuhnya ini dipadankan dengan trend baru dalam reka bentuk motosikal dengan bayangan motosikal bertransmisi automatik dengan ruang barangan di dalam. Contohnya, motosikal Aprilia NA 850 dengan transmisi automatik yang menyediakan ruangan barangan di dalamnya yang mampu memuatkan sebiji topi keledar bermuka penuh.
Skuter elektrik
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1996, Peugeot melancarkan Scoot'Elec, motosikal moped elektrik pertama. Ia digerakkan oleh motor DC 2.8 kW yang mendapat kuasanya dari sebiji bateri 18V, 100Ah yang terdiri daripada 3 "monobloc" nikel-kadmium Saft. Kebanyakan bahagian badan serta gantungan menggunakan bahagian daripada skuter permulaan Peogeot, Zenith. Namun demikian, kerangkanya sedikit berbeza, dibina di sekeliling "buai kembar", serta memegang bateri bi bahagian bawah dan di antara kaki penunggang, tersembunyi di belakang kaki. Di bawah tempat duduk merupakan alat kawalan elektronik, pengecas serta kabel pengecas dengan plag piawai. Pengecas pantas (1,400 Watt) menggunakan bekalan arus ulang-alik 230V. Masa mengecas dari kosong sehingga 95% penuh adalah 2 jam, manakala masa mengecas sepenuhnya adalah 3 jam.
Nota kaki
[sunting | sunting sumber]Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Skuter |