Thomas Stamford Raffles
Sir Thomas Stamford Raffles (Jawi: سر تومس ستيمفرد ريفلس ; 6 Julai 1781 – 5 Julai 1826) ialah salah seorang yang menjumpai dan merekodkan Bunga Pakma bersama dengan Dr Joseph Arnold pada tahun 1816. Bunga Patma spesies itu diberi nama Rafflesia arnoldii sempena nama mereka. Bunga Pakma itu dijumpai di bandar Bangkahulu (Bencoolen) di Sumatera.
Latar belakang keluarga
[sunting | sunting sumber]Tidak banyak diketahui tentang kedua-dua ibu bapa Raffles. Bapa Raffles, Kapten Benjamin Raffles, terlibat dalam perdagangan hamba di Kepulauan Carribean, dan meninggal dunia secara mengejut ketika Raffles baru berusia 14 tahun. Kematian ayahnya menyebabkan beban hutang ditanggung keluarganya. Sejurus kemudian, Raffles mulai bekerja sebagai seorang kerani di London untuk Syarikat Hindia Timur Inggeris, sebuah syarikat perdagangan Inggeris di luar negeri. Pada tahun 1805, Raffles diarah bertugas di Pulau Pinang, sekarang merupakan sebuah negeri di dalam negara Malaysia, yang ketika itu digelar Prince of Wales Island.
Raffles di Jawa
[sunting | sunting sumber]Raffles dilantik sebagai Leftenan Gabenor Jawa pada tahun 1811 dan dinaikkan pangkat sebagai Gabenor Sumatera tidak lama kemudian, ketika British mengambil alih jajahan-jajahan Belanda ketika Belanda diduduki oleh Napoleon Bonaparte dari Perancis. Ketika memegang jawatan sebagai pentadbir Hindia-Belanda (sekarang Indonesia), Raffles menguruskan banyak hal: beliau memperkenalkan autonomi terbatas, menghentikan perdagangan hamba, mengubah sistem tanah pemerintah kolonial Belanda, menyelidiki flora dan fauna Indonesia, meneliti peninggalan-peninggalan kuno seperti Candi Borobudur dan Candi Prambanan, Sastera Jawa serta lain-lain. Dia mempelajari sendiri bahasa Melayu dan meneliti dokumen-dokumen sejarah Melayu yang mengilhamkan pencariannya akan Borobudur. Hasil penelitiannya di pulau Jawa dituliskan dalam sebuah buku berjudulkan History of Java (Sejarah Jawa), yang menceritakan sejarah Jawa. Raffles dibantu oleh pembantunya iaitu James Crawfurd dan Kolonel Colin Mackenzie.
Kembali dari Jawa
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1815 Raffles kembali ke British setelah Jawa dikembalikan ke Belanda setelah Perang Napoleon selesai. Pada 1817, dia menulis dan menerbitkan buku History of Java, yang menerangkan sejarah pulau itu sejak zaman kuno.
Tetapi pada tahun 1818, dia kembali ke Sumatera dan pada tanggal 29 Januari 1819 dia mendirikan sebuah pos perdagangan bebas di sebelah selatan Semenanjung Malaysia, yang dikenali sebagai Singapura. Hal ini merupakan langkah yang berani, berlawanan dengan keputusan British untuk tidak menyinggung Belanda di wilayah yang diakui berada di bawah pengaruh Belanda. Dalam masa enam minggu, beratus-ratus pedagang bermunculan untuk mengambil kesempatan berdagang di Singapura
Raffles menetapkan tarikh 6 Februari tahun 1819 sebagai hari tertubuhnya Singapura moden. Kekuasaan ke atas pulau itu pun kemudian diberi kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Akhirnya pada tahun 1823, Raffles kembali ke England dan Singapura telah siap untuk berkembang menjadi pelabuhan terbesar di dunia.
Raffles di England
[sunting | sunting sumber]Di England, Raffles juga merupakan pendiri dan ketua pertama Persatuan Zoologi London.
Dia meninggal sehari sebelum ulang tahunnya yang ke-45, pada 5 Julai 1826, kerana strok.
Raffles di Singapura
[sunting | sunting sumber]Di Singapura, nama Raffles banyak dipakai: Kolej Junior Raffles, Institusi Raffles, Sekolah Perempuan Raffles, Sekolah Rendah Perempuan Raffles, Hotel Raffles, Jalan Stamford, Stamford House, Bandar Raffles, stesen MRT Istana Raffles dan lain-lain lagi.
Rafflesia
[sunting | sunting sumber]Nama Raffles juga dipakai sebagai nama suatu genus daripada sekelompok tumbuhan parasit obligat, Rafflesia, untuk menghormati jasa-jasanya. Salah satu jenisnya memiliki bunga sejati terbesar di dunia: Bunga Patma atau Rafflesia arnoldi yang menjadi salah satu bunga kebangsaan Indonesia.