Pergi ke kandungan

Rejimen Askar Wataniah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Rejimen Askar Wataniah
Simbol Rejimen Askar Wataniah
Aktif1 Jun 1958 (ditubuhkan)
Negara Malaysia
KesetiaanTentera Darat Malaysia
JenisPasukan Simpanan Angkatan Tentera
PerananSebagai pasukan pelapis kepada Tentera Darat Malaysia.
Pusat latihanPUSWATAN, Ipoh, Perak
Moto"Berkhidmat Untuk Negara"
Laman webhttp://aw.army.mil.my/

Rejimen Askar Wataniah (RAW) atau juga Askar Wataniah (AW) merupakan satu pasukan simpanan di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dahulunya dikenali sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD). Askar Wataniah merupakan benteng kedua dalam pertahanan dalam perkhidmatan TDM. Sejajar dengan Dasar Pertahanan Negara masa kini, Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM) telah mengeluarkan konsep Angkatan Simpanan keseluruhannya serta menggariskan peranan dan tugas Pasukan Simpanan Angkatan Tentera (PSAT). Konsep yang telah digariskan oleh Bahagian Pasukan Simpanan (J8), Markas ATM itu juga menetapkan bahawa PSTD akan mengandungi dua komponen iaitu Simpanan Angkatan Tetap (SAT) dan Simpanan Sukarela atau juga disebut di bawah Seksyen 195(1)(a) Akta AT, 1972 sebagai Askar Wataniah Malaysia. Dengan itu, peranan dan tugas yang digariskan untuk PSTD adalah juga merupakan peranan dan tugas Askar Wataniah.

Pasukan Sukarela yang pertama ditubuhkan di Semenanjung Tanah Melayu adalah di Pulau Pinang iaitu Penang Volunteers dan kemudiannya telah diikuti oleh negeri Johor, Kedah, Kelantan dan juga negeri-negeri Melayu Bersekutu yang lain. Di negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan Malay States Volunteer Rifles (MSVR) yang terdiri daripada orang Eropah, Cina, Melayu dan Serani. Selepas itu, penggabungan antara Malayan Volunteer Infantry dan Malay States Volunteer Regiments dilaksanakan serta dinamakan Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF).

Perang Dunia Kedua telah menjadi faktor yang menggerakkan penubuhan Volunteer Corps di negara ini dari gagasan MVF, P&PWVF serta FMSVF dan inilah sejarah pasukan Sukarela sehinggalah tertubuhnya Pasukan Pertahanan Tempatan (Local Defence Corps), Home Guard serta Rejimen Askar Wataniah dan gabungan organisasi tersebut dikenali sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD).

Pada tahun 1952 kerajaan telah memperkenalkan konsep kerahan tenaga melalui penguatkuasaan National Service Ordinance. Apabila Home Guard dibubarkan dalam tahun 1958, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah memperkenalkan konsep Askar Wataniah. Pada 1 Jun 1958 Askar Wataniah ditubuhkan secara rasmi. Perubahan demi perubahan dilaksanakan terhadap Askar Wataniah untuk mengemaskini dan memantapkan Angkatan Tentera Malaysia mengikut keperluan semasa.

Sejajar dengan misi Pasukan Simpanan Sukarela TD, Askar Wataniah telah menggariskan peranan yang perlu dimainkan oleh pasukan dan setiap anggotanya, peranan Askar Wataniah adalah untuk membantu Angkatan Tetap seperti berikut:

  • Berperanan menyediakan keanggotaan yang diperlukan terutama semasa darurat atau perang sebagai angkatan sebaris dengan Angkatan Tetap.
  • Sentiasa bersedia untuk dimobilisasikan dan diaturgerak bagi membantu Angkatan Tetap apabila keadaan memerlukan.
  • Bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa awam semasa kecemasan dan bencana alam.

Rangka struktur AW telah disusun semula mengikut Arahan Penyusunan Semula yang dikeluarkan oleh pemerintahan. Struktur AW adalah terdiri daripada Batalion Infantri Siri 300 AW, Rej Siri 500 AW, dan elemen Bantuan Tempur AW, Bantuan Perkhidmatan kecuali Gerakhas, KAGAT dan PUTD. AW juga terdiri dari Rejimen Pakar Jurutera dan Rejimen Pakar Semboyan. Dalam masa kecemasan, unit-unit pakar AW akan diaktivasikan untuk berfungsi bagi mengendalikan perkhidmatan penting awam. Elemen-elemen AW adalah terdiri daripada kategori-ketegori seperti berikut:

a. Elemen Pasukan Tempur

b. Elemen Pasukan Bantuan Tempur

c. Elemen Pasukan Bantuan Perkhidmatan

d. Elemen Pasukan Pakar

Pasukan Tempur

[sunting | sunting sumber]

Kategori ini terdiri dari pasukan-pasukan infantri yang ditubuhkan mengikut ciri-ciri organisasi pasukan Tetap. Pasukan yang diletakkan di bawah kategori ini akan mempunyai kebolehan dan menjalankan tugas-tugas tempur secara bersendirian (independent task) pada bila-bila masa diperlukan. Pasukan tempur adalah terdiri dari Rejimen (Rej) Siri 500 AW, Batalion Infantri (Bn Inf) Siri 300 AW dan Skuadron (Skn) Armor Diraja, pasukan yang diaktivikasikan mengikut keperluan dan operasi semasa keadaan yang kritikal.


Batalion Siri 300 Infantri Askar Wataniah - Terdapat lima buah batalion ini. Tujuan penubuhan adalah untuk menjaga keselamatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dan keselamatan sempadan Malaysia/ Thailand. Perjawatan Batalion ini dianggotai oleh anggota kerahan. Batalion yang ditubuhkan adalah:

  • Bn 301 Inf (AW)
  • Bn 302 Inf (AW)
  • Bn 303 Inf (AW)
  • Bn 304 Inf (AW)
  • Bn 305 Inf (AW)

Pada 12 Januari 2008 Batalion ini telah dibubarkan dan distrukturkan semula kepada sebuah rejimen baru dalam Kor Infantri Tentera Darat (TD) yang dinamakan Rejimen Sempadan (Border Regiment). Rejimen Siri 500 Askar Wataniah - Elemen ini berperanan sama seperti pasukan-pasukan infantri Angkatan Tetap. Terdapat 16 rejimen Siri 500 AW di seluruh Malaysia pada ketika ini. Setiap rejimen mempunyai tiga batalion yang ditempatkan di beberapa lokasi.

Rejimen Siri 500 Askar Wataniah - Elemen ini berperanan sama seperti pasukan-pasukan infantri Angkatan Tetap. Terdapat 16 rejimen Siri 500 AW di seluruh Malaysia pada ketika ini. Setiap rejimen mempunyai tiga batalion yang ditempatkan di beberapa lokasi.

  • Rej 501 AW - Kem Tebrau Johor Baharu.
  • Rej 502 AW - Kem Sg. Buluh Selangor.
  • Rej 503 AW - Kem Jalan Tambun Ipoh.
  • Rej 504 AW - Kem Bukit Keteri Kangar.
  • Rej 505 AW - Kem Force 136 Pekan Pahang.
  • Rej 506 AW - Kem Pangkalan Chepa Kota Bharu.
  • Rej 507 AW - Kem Bukit Perwira Kota Kinabalu.
  • Rej 508 AW - Kem Jalan Rasah Seremban.
  • Rej 509 AW - Kem Lebuhraya Peel Pulau Pinang.
  • Rej 510 AW - Kem Sri Rejang Sibu.
  • Rej 511 AW - Kem Ria Kompleks Kuching.
  • Rej 512 AW - Kem Padang Midin Kuala Terengganu.
  • Rej 513 AW - Kem Bukit Pinang Kedah.
  • Rej 514 AW - Kem Bukit Beruang Melaka.
  • Rej 515 AW - Jalan Buku Lima Kuala Lumpur.
  • Rej 516 AW - Kem Kukusan Tawau.


Skuadron Armor Diraja - Kor Armor Diraja telah mewujudkan satu Skuadron Armor (Askar Wataniah) yang diintergrasikan di setiap Rejimen Armor sebagai skuadron keempat bagi tiap-tiap rejimen tersebut. Hanya satu Skuadron Tank (Askar Wataniah) masih belum diwujudksn kerana ianya berasaskan kepada penubuhan rejimen tank. Skuadron-skuadron tersebut terletak di Port Dickson, Kuantan, Sungai Petani, Kuching dan Kota Belud, Sabah.

Pasukan Bantuan Tempur

[sunting | sunting sumber]

Kategori ini mengandungi pasukan-pasukan Bantuan Tempur AW yang ditubuhkan mengikut ciri-ciri pasukan Tetap (diintergrasikan ke pasukan tetap). Pasukan yang tergolong dalam kategori ini adalah Semboyan Medan, Jurutera Medan, Artileri, Polis Tentera dan Risik. Semboyan - Skuadron Semboyan Medan AW telah ditubuhkan untuk mewujudkan barisan kedua pasukan pengendali komunikasi:

Semboyan - Skuadron Semboyan Medan AW telah ditubuhkan untuk mewujudkan barisan kedua pasukan pengendali komunikasi:

Rejimen Semboyan Diraja Pakar Telekom (RSDTP) adalah di antara salah sebuah organisasi di dalam pasukan Askar Wataniah Tentera Darat. Rejimen ini mempunyai organisasinya yang tersendiri iaitu terdiri daripada Markas Rejimen dan Skuadron-Skuadron Semboyan Pakar Telekom Ke 15, 16, 17 dan 18 (AW).

  • Markas Rejimen, Kem KEMENTAH Kuala Lumpur.
  • Skuadron Pakar Telekom Ke-15 (AW), Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
  • Skuadron Pakar Telekom Ke-16 (AW), Tangga Batu, Melaka.
  • Skuadron Pakar Telekom Ke-17 (AW), Taiping, Perak.
  • Skuadron Pakar Telekom Ke-18 (AW), Kuala Terengganu, Terengganu.


Kor Jurutera Diraja - Kor ini mewujudkan Skuadron Jurutera Medan AW dan Rejimen Pakar dengan melatih anggota sukarela dalam aspek kejuruteraan medan. Skuadron Jurutera Medan AW ditemparkan di:

  • 21 Skuadron RAJD (AW), Kajang, Hulu Langat, Selangor.
  • 22 Skuadron (AW), Kluang, Johor.
  • 23 Skuadron (AW), Kuala Terengganu, Terengganu.
  • 24 Skuadron (AW), Taiping, Perak.

Artileri - Kor Artileri Diraja telah mewujudkan empat Bateri Medan Askar Wataniah, satu Bateri Medium dan satu Bateri Pertahanan Udara Aras Rendah (PUAR) AW, Bateri-Bateri AW ini ditetakkan di bawah tiap-tiap Rejimen Artileri Tetap sebagai bateri keempat masing-masing bertempat di Kota Bharu, Taiping, Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur.


Risik – Kor Risik Diraja telah menubuhkan 1 Kompeni Perisikan Diraja AW yang diintegrasikan ke batalion KRD (Tetap). Unit ini terdapat di Sungai Petani dan dikenali sebagai 12 Kompeni Perisikan Divisyen (AW).


Polis Tentera – Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah menubuhkan 4 Kompeni di lokasi berikut.

  • 11 Kompeni KPTD (AW) - Kem Lok Kawi, Sabah dan Kem Kuching, Sarawak
  • 12 Kompeni KPTD (AW) - 2 Rejimen KPTD Kem Sungai Ara, Penang
  • 13 Kompeni KPTD (AW) - 4 Rejimen KPTD, Kem Sungai Buloh Selangor
  • 14 Kompeni KPTD (AW) - 7 Kompeni KPTD Kem Tebrau, Johor dan Kem Batu 10 Kuantan, Pahang

Elemen Pasukan Bantuan Perkhidmatan

[sunting | sunting sumber]

Kategori ini mengandungi pasukan perkhidmatan Logistik. Pasukan yang tergolong dalam kategori ini adalah terdiri dari unit-unit AW dari Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Kor Kesihatan Diraja (KKD), Kor Ordnans Diraja (KOD) dan Kor Jurutera Letrik dan Jentera (KJLJ).


Kor Perkhidmatan Diraja - Kor ini mempunyai lima Kompeni Angkut AW, satu Kompeni Bekalan dan satu Platun Hantaran Udara AW. Empat daripada Kompeni Angkut AW tersebut telah diletakkan di tiap-tiap Markas Batalion KPD Tetap, manakala Kompeni Angkut AW yang kelima diletakkan di bawah 93 Bn Angkut, Kompeni Bekalan AW pula adalah untuk mendukung keperluan Depoh Bekalan Pusat dan juga Markas-Markas Formasi.

Kor Ordnans - Kor ini telah menubuhkan Lima buah Kumpulan Ordnans Briged (KOB) AW yang mana empat daripadanya sebagai menampung keperluan empat Markas Divisyen Infantri dan diletakkan di bawah kawalan kumpulan Ordnans Divisyen, manakala satu lagi adalah menempung keperluan Depoh Pengkalan Ordnans dan diletakkan di bawah kawalan Depoh Pusat Ordnans berkenaan. Unit ini ditempatkan di Kuching, Taiping, Melaka dan Kuantan.


Kor Jurutera Letrik Dan Jentera - Kor ini telah menubuhkan Lima Worksyop Medan AW di mana empat daripadanya ditubuhkan untuk menampung keperluan empat Divisyen Infantri dan diletakkan di bawah kawalan Worksyop Divisyen. Satu lagi Worksyop Medan AW diletakkan di bawah kawalan Worksyop Pusat.


Kor Kesihatan Diraja - Kor Kesihatan telah menubuhkan empat Kompeni Medan Perubatan AW (Komp Ubat AW) diletakkan di bawah Batalion-Batalion ubat tetap yang sedia wujud. Seterusnya penubuhan Kompeni Ubat AW yang baru adalah mengikut penubuhan Batalion Ubat Tetap apabila ianya ditubuhkan dalam TDM. Empat kompeni ini ditempatkan di:

  • 11 Kompeni Ubat, Kuching, Sarawak.
  • 12 Kompeni Ubat, Kampus Kesihatan, USM Kubang Kerian, Kelantan. (diaturgerak dari Kem Lapangan Terbang Sungai Petani pada tahun 2003)
  • 13 Kompeni Ubat, Kluang, Johor.
  • 14 Kompeni Ubat, Kuantan, Pahang.

Elemen Pasukan Pakar

[sunting | sunting sumber]

Kategori ini mengandungi pasukan-pasukan pakar, khusus untuk menentukan perkhidmatan-perkhidmatan penting (Essential Services) negara seperti perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan pelabuhan, pengendalian air, bekalan tenaga letrik dan perkhidmatan keretapi akan terus diselenggarakan walaupun negara diancam oleh kekacauan, darurat atau peperangan, Pasukan-pasukan yang tergolong dalam kategori ini seperti berikut:

  • Rejimen Semboyan Diraja Pakar Telekom (AW) berperanan untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi penting di dalam negara dapat diselenggarakan semasa pengisytiharan darurat dan semasa negara menghadapi bencana alam. Rejimen ini sentiasa berhubung rapat dengan Telekom Malaysia Berhad (TMB) yang kini dikenali sebagai TM. Keanggota pasukan ini terdiri daripada kakitangan TM.
  • Rejimen Pakar Jurutera ini di bawah pentadbiran Markas RAJD Senggara Perhubungan (SP), Kem Bukit Haigate Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur dan dipecahkan kepada unit:
    • 40 RAJD (AW) Pelabuhan. Unit ini ditubuhkan di pelabuhan-pelabuhan utama negara. Keanggotaan terdiri daripada kakitangan pekerja pelabuhan Kuantan, Klang, Pulau Pinang, Bintulu dan Kuching.
    • 50 RAJD (AW) Keretapi. Unit ini bertanggungjawab bagi menyelenggarakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semasa darurat. Keanggotaan unit ini adalah kakitangan KTMB.
    • 60 RAJD (AW) Air. Unit ini khusus untuk dianggotai oleh pekerja Bekalan Air disetiap negeri dan kawasan di Malaysia.
    • 70 RAJD (AW) Elektrik. Unit ini khusus untuk dianggotai oleh pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan penyedia perkhidmatan elektrik di Sabah dan Sarawak.

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)

[sunting | sunting sumber]

PALAPES ditubuhkan di 12 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai pusat pengeluaran pegawai graduan yang terlatih dalam ilmu ketenteraan sebagai sumber tenaga bagi Angkatan Tetap dan Simpanan. IPTA yang mempunyai unit PALAPES adalah:

Universiti Malaya (UM)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Universiti Sains Malaysia (USM)

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)

Universiti Utara Malaysia (UUM)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Pasukan Sasaran Penting

[sunting | sunting sumber]

Untuk menampung keperluan anggota dalam mengawasi keselamatan negara di kawasan strategik dan kepetingan negara, anggota AW telah dikerah sepenuh masa untuk menjaga keselamatan di kawasan berkenaan. Pusat Kawalan Sasaran Penting (SP) diwujudkan dan diletakkan di bawah pentadbiran Markas Pemerintahan Briged seperti berikut:

  • 1 Briged
  • 3 Briged
  • 6 Briged
  • 7 Briged
  • 8 Briged
  • 11 Briged

Konsep dan Jenis Latihan

[sunting | sunting sumber]

Konsep latihan yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada latihan asas ketenteraan untuk menyediakan anggota dan pasukan yang terlatih serta mampu bergandingan dengan pasukan tetap sekiranya diperlukan. Latihan-latihan Askar Wataniah dilaksanakan mengikut kemampuan dan kesesuaian masa yang telah ditetapkan. Antara latihan dan kursus adalah seperti berikut:

  • Latihan Perajurit Muda Sukarela (APMS) - Setiap anggota perlu menjalani latihan APMS selama 30 hari berterusan atau melalui latihan tempatan selama 240 jam iaitu syarat untuk pengiktirafan sebagai Prebet.
  • Latihan Tempatan - Latihan ini dilaksanakan di lokasi berdekatan kediaman anggota Sukarela. Latihan dijalankan pada masa yang bersesuaian terutama pada cuti hujung minggu. Latihan dilaksanakan dalam tempoh antara 2 hingga 12 jam sehari. Jumlah latihan ini dilaksanakan tidak melebihi 240 jam setahun (pasukan bukan teknikal) dan tidak melebihi 360 jam (pasukan teknikal).
  • Latihan Berterusan - Latihan ini dijalankan secara berterusan dalam tempoh masa tidak kurang daripada 72 jam dan tdak melebihi 14 hari bagi setiap individu dalam setahun.
  • Latihan Tahunan - Latihan ini dijalankan secara berterusan pada setiap tahun sebagai kemuncak aktiviti latihan. Latihan tersebut dilaksanakan tidak melebihi 15 hari setiap tahun bagi seseorang individu. latihan ini dilaksanakan secara berkelompok dengan mengaplikasikan kemahiran ilmu medan perang, muslihat dan pengendalian senjata serta latihan rejimental.
  • Latihan Anggota Pakar - Anggota Pakar hanya perlu mengikuti latihan kem tahunan selama 15 hari setahun.
  • Kursus Kerjaya - Kursus ini merupakan kursus wajib sebagai syarat dan sokongan untuk kenaikan pangkat dalam perkhidmatan.
  • Kursus Fungsional - Kursus ini merupakan satu kursus sampingan bagi meningkatan pengetahuan dan kemahiran dalam ketenteraan.

Lagu Askar Wataniah

[sunting | sunting sumber]

Berkhidmat Untuk Negara


Ini Satu Harapan

Dari Barisan Sukarelawan

Penuh Semangat Dan Keyakinan

Berdiri Sebagai Pahlawan


Mari Muda Dan Mudi

Menyahutlah Seruan Pertiwi

Tak Kira Keturunan Ataupun Bangsa

Berkhidmat Dengan Bangganya


Kamilah Sukarelawan

Juga Sukarelawati

Kami Rela Berhadapan

Berundur Tak Sekali-Kali


Ini Azam Dan Janji

Menjadi Satu Sumpahan Kami

Taat Dan Bersedia Setiap Masa

Berkhidmat Untuk Negara


Lagu :

Lirik :

Faedah-faedah yang diperolehi

[sunting | sunting sumber]

• Imbuhan Elaun.

• Elaun Latihan Tempatan

• Elaun Latihan Berterusan dan Kem Tahunan

• Elaun Perjalanan

• Elaun Pakaian

• Saguhati Tahunan (Bounty)

Majikan dan Aspek Perundangan Angkatan Sukarela

[sunting | sunting sumber]

Angkatan Sukarela melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM walaupun cara perlaksanaan latihan agak berbeza di antara satu sama lain namun matlamatnya adalah supaya dapat menyediakan Pasukan Simpanan yang lengkap demi untuk mendukung peranan utama yang ditetapkan iaitu membantu Angkatan Tetap dan bersiap sedia dikerah untuk berkhidmat apabila keadaan memerlukan. Bagi menentukan peranan itu dapat direalisasikan, ATM memerlukan anggota sukarela yang komited, mampu meluangkan masa, berpandangan positif dan bersedia turun padang. Selain itu ATM juga memerlukan sokongan padu serta kerjasama majikan-majikan untuk melepaskan pekerja mereka melibatkan diri di dalam bidang ketenteraan. Usaha majikan menggalakan serta memberi sokongan membenarkan pekerja-pekerja mereka melibatkan diri di dalam Angkatan Sukarela sudah tentu dapat membantu bukan sahaja kepada ATM bahkan untuk negara. Bagi menggalakkan anggota sukarela menghadiri latihan, pindaan terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 telah dilaksanakan. Pindaan terhadap Seksyen 201B dan seksyen 201C telah dikuatkuasakan pada 15 Ogos 2005 yang mewajibkan majikan memberi pelepasan kepada pekerja-pekerja mereka menghadiri latihan dan penugasan Angkatan Sukarela.

  • Seksyen 201B Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan yang menghalang pekerjanya menjalani latihan Angkatan Sukarela boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM 6000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
  • Seksyen 201C Akta ATM 1972 menerangkan mana-mana majikan yang menamatkan pekerjaan pekerjanya yang merupakan Angkatan Sukarela semata-mata kerana pekerja itu mengikuti latihan atau pertugasan, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 6000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
  • Peraturan 41 Bab C Perintah Am, 1974 telah memperuntukan cuti tanpa rekod selama 30 hari oleh Ketua Jabatan kepada seseorang pegawai atau kakitangan kerajaan yang dikehendaki menghadiri latihan atau khemah tahunan pasukan-pasukan sukarela.

Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat. Bagi menjamin keselamatan, kestabilan dan mengekalkan kedaulatan bukan sekadar perlu kesedaran malah ianya menuntut lebih daripada itu daripada setiap individu masyarakat. Peranan dan tanggungjawab tidak hanya terhad kepada kemampuan memikul senjata dengan kekuatan fizikal di barisan hadapan sahaja malah melalui penghayatan ianya boleh diterjemah dan diaplikasikan mengikut kemampuan dan patriotisme walau di tahap mana seseorang itu berada.

Rekod negara pernah mencatatkan perkhidmatan cemerlang anggota-anggota AW (siri 300) dalam perjuangan menentang pengganas komunis di sempadan. Sekadar menyebut satu nama besar Prebet Lelias (PGB) dan ribuan kawan-kawannya yang sanggup bergadai nyawa demi tanahair tercinta menggambarkan bahawa patriotisme tidak terhad kepada pasukan mana yang sedang seseorang itu berkhidmat.

Justeru, penubuhan, peningkatan dan pembangunan AW tidak boleh diragui sebagai ketumbukan barisan kedua yang ampuh yang mampu menggerakkan jentera-jentera sokongan kepentingan awam berfungsi seperti biasa di kala negera berada dalam saat genting. Peranan Pasukan Simpanan Sukarela ATM adalah elemen cegah rintang yang terbaik dengan struktur organisasinya yang mantap dan boleh dipercayai.

Pembangunan dan perkembangannya mempunyai hala tuju yang jelas. Apa yang penting adalah komitmen individu yang telah menyahut cabaran ini jujur dan rela hati ingin berbakti kepada ibu pertiwi. Bukan kerana lain-lain maksud seperti ingin menambahkan pendapatan atau keistimewaan-keistimewaan tertentu sebagai seorang tentera yang pastinya komitmen sebegini akan menjadi longgar dan tidak kekal lama.

Realiti yang harus diterima adalah ramai dari kalangan AW ‘hangat-hangat tahi ayam’ terhadap tanggungjawab yang harus mereka lunasi sebagai anggota AW. Ada yang menganggotai Pasukan PALAPES hanya sekadar untuk memenuhi ko-korikulum universiti malah ada juga dengan niat untuk menambah wang saku. Walhasilnya setelah tamat pengajian, tauliah yang disandang dibuang entah ke mana.

Tidak dinafikan untuk berjaya di dalam perkhidmatan AW ini memerlukan komitmen yang tinggi dengan sokongan dan dorongan terutamanya majikan-majikan di mana anggota-anggota bernaung. Kekangan kerja dan birokrasi majikan terutama dalam organisasi swasta banyak membantutkan semangat dan keinginan seseorang anggota AW untuk turut cergas pada setiap aktiviti yang dilaksanakan. Untuk berada dalam situasi menang-menang apa yang perlu disemat dalam fikiran ialah ‘jika tidak boleh buat semua janganlah ditinggalkan semua’ aktiviti yang telah ditetapkan dalam skim latihan. Sebenarnya untuk memahirkan seseorang anggota AW, kerajaan telah membelanjakan jumlah wang yang banyak justeru sangat rugi sekiranya seseorang itu tidak member komitmen yang sepatutnya atau melakukan sambil lewa.

Ancaman kepada keamanan negara pasca merdeka terutamanya era millenium tidak lagi berpaksikan ancaman luaran yang ingin menjajah secara fizikal tetapi ‘kelihatan’ ia bergerak halus melalui ideologi politik yang dimainkan oleh rakyat negara sendiri yang sanggup menggadaikan kesejahteraan demi sebuah kuasa.

Institusi keselamatan negara juga tidak terlepas dari turut dipersendakan bukan sahaja dengan mendedahkan maklumat-maklumat berdarjah kepada negara luar malah memperlekehkan segala usaha pembangunan pertahanan yang dirancang. Menjadi lebih malang bila ada yang berani mempertikaikan jasa pejuang-pejuang zaman kritikal dengan menterjemah kepada fakta sejarah menjadi sebaliknya. Implikasinya amat besar terhadap sejarah kemerdekaan negara kerana jika tidak dibendung, fenomena ini akan mengelirukan pemikiran generasi terkini yang sedang diberi kefahaman tentang konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menuntut semua rakyat bersatu hati jiwa dan raga demi kesejahteraan negara tercinta.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]