Perempuan Melayu Terakhir
Perempuan Melayu Terakhir | |
---|---|
Pengarah | Erma Fatima |
Penulis | Hishamuddin Rais |
Lakon layar | Syed Azidi Syed Abdul Aziz |
Dihasilkan oleh | Erma Fatima |
Dibintangi | |
Sinematografi | Teoh Gay Hian |
Disunting oleh | Kamaruddin Abu |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Primeworks Studios |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 119 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa |
Perempuan Melayu Terakhir adalah sebuah filem drama romantik Malaysia 1999 arahan Erma Fatima. Dibintangi oleh Vanida Imran, Eizlan Yusof dan ramai lagi.
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Haikal yang telah menjadi duda setelah isterinya, Linda, yang berketurunan Caucasian, meninggal dunia apabila melahirkan anak perempuan mereka, Sofia. Linda, yang amat meminati budaya Melayu mahu Sofia dibesarkan di dalam suasana Melayu sebenar (berbeza daripada definisi Melayu suaminya). Oleh itu, Haikal ke Terengganu untuk mencari erti Melayu. Di sana juga, Haikal mencari idea untuk membuat suatu pementasan teater yang berkaitan dengan budaya Melayu.
Sewaktu di Terengganu, Haikal yang tinggal di resort Pak Engku menemui Mustika lalu jatuh hati kepadanya, tetapi Mustika telah bertunang dengan Engku Leh (anak Pak Engku), seorang fundamentalis agama. Ini menyebabkan Haikal dalam dilema dan Mustika juga harus memilih antara Haikal atau Engku Leh. Mustika mengenali Engku Leh sejak mereka berada di asrama lagi tetapi, sekembalinya Engku Leh dari London, Engku Leh lebih mengutamakan hal-hal keagamaan dan menentang sekeras-kerasnya unsur-unsur yang melalaikan dan yang membawa kemungkaran. Konflik timbul apabila Mustika masih ingin mengekalkan dan menyayangi budaya Melayu seperti tarian dan kesenian sedangkan Engku Leh mahu dia menjadi perempuan yang taat dengan agama. Engku Leh bertindak ekstrem dengan membakar pentas kesenian di resort ayahnya sendiri kerana tidak mahu menggalakkan percampuran di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Mustika menyatakan dia tetap mengharapkan Engku Leh berubah seperti dahulu dan kembali kepadanya.
Di tengah-tengah konflik ini, Haikal mulai tertarik dengan kebijaksanaan dan sifat-sifat peribadi Mustika yang melambangkan seorang perempuan Melayu yang sempurna. Pada satu malam, Mustika yang didalam dilemma bermain gamelan seorang diri apabila Haikal datang kepadanya. Haikal menyatakan bahawa bunyi gamelan Mustika seolah-olah memanggil dirinya dan dia tidak meminta untuk mencintai Mustika tetapi perasaan itu lahir dengan sendirinya. Namun begitu, Mustika yang masih berpegang dengan adat ketimuran dan setianya kepada Engku Leh memohon agar Haikal sedar yang dia adalah tunangan orang. Walau bagaimanapun, Haikal yang masih tidak putus asa, menggunakan tipu muslihat untuk membawa Mustika ke Kedah (kampung Haikal) untuk melihat anaknya, Sofia. Haikal mahu Mustika menjaga dan membesarkan anaknya dalam suasana Melayu seperti yang diinginkan Linda. Haikal ingin memberi patung wayang kulit Ramayana dan Sitadewi kepada Mustika tetapi tidak mengenali watak Ravana.
Sekembalinya dari Kedah, orang-orang Engku Leh telah melaporkan kepadanya bahawa Mustika telah kembali dengan membawa seorang bayi. Mereka melihat bahawa Mustika dan Haikal seolah-olah tertarik kepada satu sama lain. Haikal meminta Mustika untuk menemaninya bertemu Pak Engku pada malam itu tetapi bayinya telah diculik oleh Engku Leh dan dibawa ke pondok. Mustika dan Haikal terus mencari Sofia ke tempat Engku Leh dan di sana berlakulah pertengkaran dan pergaduhan di antara Haikal dan Engku Leh. Mustika berjaya mencari Sofia tetapi cemas apabila pergaduhan di antara Haikal dan Engku Leh semakin rancak. Kehadiran Pak Engku meredakan suasana dan Engku Leh kembali tenang.
Haikal menemui Mustika sebelum pulang ke Kuala Lumpur dan tahu bahawa Mustika tetap akan setia dengan Engku Leh. Setelah beberapa tahun berlalu, Haikal berjaya mementaskan teaternya yang bertajuk "Perempuan Melayu Terakhir" yang dibintangi oleh artis-artis terkenal. Teater ini mengisahkan tentang dilemma di antara dirinya, Mustika dan Engku Leh di mana akhirnya Engku Leh dan Mustika menjadi suami isteri yang sah. Pada masa yang sama, Mustika dan Engku Leh bersedia untuk diijab kabulkan dengan penuh istiadat. Pak Engku menjemput Haikal untuk menghadiri majlis perkahwinan Mustika dan Engku Leh.
Haikal membawa Sofia bersamanya ke Terengganu sekali lagi. Mereka menghadiahkan patung wayang kulit Ramayana dan Sitadewi kepada mempelai. Perasaan cinta di antara Mustika dan Engku Leh bertambah erat dengan ikatan yang sah dan segala kisah lama berkaitan Haikal hanyalah menjadi memori. Pada akhirnya, Haikal yang duduk bersama Sofia, menerangkan kepada anaknya yang kecil tentang patung Ravana yang dipegangnya. Dia menyatakan bahawa Mustika dan Engku Leh adalah seperti Sitadewi dan Ramayana dan dirinya adalah Ravana. Ravana sentiasa cuba untuk mencuri Sitadewi daripada Ramayana, ada kalanya menyamar sebagai pendeta... dan pernah sekali Ravana berjaya menculik Sitadewi, tetapi Sitadewi tetap kembali kepada Ramayana.
Pelakon
[sunting | sunting sumber]- Vanida Imran sebagai Mustika
- Eizlan Yusof sebagai Haikal
- Ahmad Yatim sebagai Pak Engku
- Azri Iskandar sebagai Engku Leh
- Nanu Baharuddin sebagai Zulaika
- M. Nasir sebagai Pelakon Pentas
- Tiara Jacquelina
- Jit Murad
- Zahim Albakri
- Normala Samsudin sebagai Pembaca Berita
- Azri Iskandar sebagai Engku Leh
- Hasnul Rahmat sebagai Pelakon Teater
Anugerah dan pencalonan
[sunting | sunting sumber]Anugerah | Kategori | Penerima | Keputusan |
---|---|---|---|
Festival Filem Malaysia ke-14 | Cerita Terbaik | Syed Azidi | Menang |
Sinematografi Terbaik | Teoh Gay Hian | Menang | |
Penataan Seni Terbaik | Hamir Soib & Zuraini Anuar | Menang | |
Pelakon Harapan Lelaki | Eizlan Yusof | Menang | |
Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 | Pengarah Terbaik | Erma Fatima | Menang |