Ochazuke
Ochazuke (茶漬け ) atau chazuke adalah nama makanan Jepun atau cara makan berupa nasi putih dengan lauk sekadar yang dituang air teh hijau, dashi atau air panas. Yūzuke adalah sebutan lain untuk nasi yang dituangi air panas.
Lauk diletakkan di atas nasi sebelum dituang air teh (teh hijau atau hōjicha), dashi atau air panas. Lauk yang digunakan misalnya umeboshi, tsukemono, shiozake, nori, tsukudani, shiokara, wasabi, tarako (mentaiko).
Ochazuke merupakan makanan alas perut misalnya untuk antara dua waktu makan atau sewaktu masih lapar sebelum tidur. Di gerai makan tradisional atau di tempat mandian air panas, tetamu sering ditawar dengan ochazuke untuk meneutralkan rasa mulut sebaik menikmati makanan mewah yang enak-enak.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Kononnya ochazuke berasal daripada makanan yang boleh cepat dimakan oleh pegawai industri perdagangan pada zaman Edo yang selalu sibuk, tetapi lapar dan tiada waktu yang lama ketika waktu makan. Kebiasaan makan ochazuke timbul dengan sendirinya apabila pegawai yang bekerja hampir seharian penuh dan sewaktu berehat pun masih diperhatikan oleh pihak atasan. Pejabat-pejabat banyak yang mempunyai kebiasaan menyediakan sayur masin (tsukemono) di dalam mangkuk besar dari kayu yang boleh diambil sebanyak mungkin oleh pegawai sebagai lauk. Kebiasaan ini dikatakan berhubungan dengan lahirnya kebiasaan menuangkan air teh ke dalam nasi agar makanan cepat habis dan sayur masin tidak lagi berasa terlalu masin. Pada waktu itu, ochazuke dianggap sebagai makanan kelas bawahan. Majikan dan kalangan atasan tidak mahu makan ochazuke secara terang-terangan, walaupun dimakan juga sebagai alas perut kalau terpaksa.
Cara memakan nasi yang dituang kuah sebenarnya sudah wujud sejak zaman Heian. Di dalam sastera klasik Makura no sōshi dan Genji monogatari juga sudah muncul pernyataan yūzuke (nasi yang dituang air panas). Pada abad pertengahan juga terkenal dengan makanan bernama hōhan (芳飯, 法飯 ) yang berupa nasi putih atau nasi dengan lauk 7 jenis sayuran yang dipotong-potong kecil dan dituang dashi. Hōhan adalah salah satu jenis masakan penganut Buddha (shōjinryōri) yang dimakan sami di kuil agama Buddha. Hōhan salah satu makanan yang disajikan dalam masakan shōjinryōri dan honzenryōri. Orang yang memakannya boleh minta menambah semangkuk lagi jika belum kenyang. Di Wilayah Nagano, hōhan hingga sekarang masih disajikan sebagai salah satu jenis masakan Buddha di kuil agama Buddha seperti Zenkōji. Hingga kini di Okinawa, masih boleh ditemui makanan sejenis yang disebut sēfan (菜飯 ) atau nameshi.
Ochazuke segera dari kilanh yang dipanggil Ochazuke no moto mula dikenali di Jepun sejak tahun 1970-an. Bungkusan berisi sayuran yang dikeringkan dengan teknik freeze drying (pengeringan beku), teh matcha dan dashi dalam bentuk serbuk. Orang yang ingin memakan ochazuke hanya perlu menuangkan isi ke dalam semangkuk nasi dan menyiramnya dengan air panas.
Pada tahun 1990-an, ochazuke segera mula dihasilkan dengan pelbagai perasa, seperti ramen, masakan Cina hingga teh oolong. Ochazuke segera lengkap dengan arare untuk meniru ochazuke ala Kyoto yang disebut bubuzuke. Butiran beras yang dibuat arare atau potongan kecil mochi yang digoreng berbau harum hingga ditambahkan di atas nasi sewaktu membuat bubuzuke.
Kebiasaan ochazuke
[sunting | sunting sumber]Di Kyoto, tawaran makan Bubuzuke (ochazuke) bagi tetamu yang datang bertandang adalah usiran secara halus agar tetamu cepat pulang. Tawaran tuan rumah untuk makan ochazuke sebaiknya ditolak tetamu dengan sopan dan cepat meminta diri. Jika sudah terlanjur dihidangkan, ochazuke harus dihabiskan secepatnya, tidak ditambah, dan harus segera berundur untuk pulang.
Di Jepun, suara yang dikeluarkan sewaktu makan pelbagai jenis mi atau makanan berkuah tidak dianggap melanggar kesopanan. Sebaliknya, orang yang makan ochazuke (dan bubur) sambil mengeluarkan suara dianggap tidak sopan. Hal ini mungkin disebabkan kuah yang lebih sedikit dari nasi. Sewaktu makan ochazuke, dinasihatkan agar tidak bersuara dan sebaiknya mangkuk diangkat berhampiran mulut lalu disengetkan agar nasi masuk ke dalam mulut dengan sendirinya, dan dikunyah sebentar sebelum ditelan. Penggunaan penyepit menyebabkan orang harus menyedok nasi sehingga menimbulkan suara.
Penghasilan ochazuke segera Nagatanien terus berusaha untuk menghapus mitos memakan ochazuke dengan tidak bersuara. Sejak tahun 1990-an, iklan ochazuke segera yang ditayangkan di televisyen selalu menonjolkan lelaki gagah atau wanita cantik yang memakan ochazuke sambil mengeluarkan suara. Iklan serupa juga diudarakan di radio walaupun mengundang kontroversi. Sebahagian orang memprotes bunyi orang makan ochazuke yang dianggap tidak sopan, tetapi sebahagian lagi mengaku ingin makan ochazuke dengan cara begitu akibat pengaruh iklan.
Pelbgai
[sunting | sunting sumber]- Mori Ōgai, sasterawan Jepun ternama pada zaman Meiji suka menikmati ochazuke dengan manju (pau isi kacang merah). Manju dibelah empat dan diletakkan di atas nasi serta disiram dengan air teh hijau.
- Oda Nobunaga khabarnya selalu makan ochazuke sebelum berperang.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- (Inggeris) Japanese tea culture Diarkibkan 2012-05-13 di WebCite Sejarah ochazuke