Pergi ke kandungan

Mate

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Seguampa berisi daun mate berseduh air

Mate (disebut [ma.té]. juga dikenali sebagai chimarrão atau cimarrón) merupakan sejenis minuman seduh berkafein dihasilkan dalam kalangan orang-orang Guaraní dan Tupí di benua Amerika Selatan; ia dihasilkan daripada daun tumbuhan spesies Ilex paraguariensis serta dihidangkan dengan bekas dan penyedut khas. Minuman ini terkenal sebagai minuman kesihatan. Ia biasanya diminum di Argentina (di mana ia dikenali sebagai suatu "minuman kebangsaan" negara tersebut),[1] Uruguay, Chile, Bolivia, Paraguay dan selatan Brazil, malah juga sejauh Syria dan Lubnan hasil para imigran yang berhijrah ke sana.[2]

"Mate" berasal dari perkataan Bahasa Quechua "matí" yang merujuk kepada sejenis labu (Lagenaria vulgaris).

Sewaktu Paraguay berada di bawah jajahan Sepanyol, Wizurainya sedar bahawa orang asli di sana lebih bertenaga semasa membuat pekerjaan, malah lebih kuat lagi dari tentera Sepanyol sendiri. Beliau kemudian dapat tahu mereka ini gemar meminum teh herba yerba mate. Para paderi Jesuit cuba mengharamkan minuman ini kerana menganggapnya sebagai suatu ketagihan. Namun, apabila mereka sedar tentang kelebihan minuman ini mereka telah menanamnya secara besar-besaran. Mereka juga menyelidiki tanaman tersebut dengan lebih mendalam dan telah menjadikannya tanaman utama bagi 30 perkampungan di bawah kawalan mereka.

Kini, minuman ini bukan sahaja terdapat di Amerika Selatan sahaja malah telah dieksport ke Amerika Syarikat dan merupakan minuman kegemaran masyarakat Latino di sana.

Cara penyediaan

[sunting | sunting sumber]
Pokok yerba mate (Ilex paraguariensis) yang tumbuh meliar.

Tumbuhan yang menjadi bahan asas untuk minuman ini ialah suatu pokok bernama Ilex paraguariensis; ia tumbuh di beberapa kawasan serata Amerika Sealatan terutamanya utara Argentina (Corrientes, Misiones), Paraguay, Uruguay and selatan Brazil (Rio Grande do Sul, Santa Catarina, Paraná and Mato Grosso do Sul). Daun pucuk yang dilihat sudah mencapai kesesuaiannya akan dipetik dan dikeringkan sebelum dibungkus.

Penyeduhan

[sunting | sunting sumber]

Daun yerba mate kering dikisar menjadi serbuk sebelum diisi dalam bekas khas (juga dipanggil mate, guampa atau cuia) - bekas ini secara tradisinya diperbuat daripada labu parang, namun terdapat juga rekaan moden yang dperbuat daripada seramik, besi ataupun kaca.

Penyediaan cerek air untuk menyeduh serbuk yerba dengan air panas.

Bekas ini dipenuhi separuh hingga tiga suku isipadu bekas agar air seduhan cukup berperisa apabila ditambah air selebihnya sebelum ditutup dan diterbalikkan agar serbuk lebih halus menimbul di atas; bekas kemudiannya dicondongkan agar longgokan serbuk melandai memudahkan partikel lebih halus dihirup. Selepas itu, barulah air panas boleh ditambahkan[3] - suhu yang ditetapkan untuk menyeduh serbuk daun mate ialah pada sekitar 70 hingga 85 °C (158 hingga 185 °F) tanpa mencapai takat didih.[4]

Penghidangan

[sunting | sunting sumber]

Setelah beberapa lama, air seduhan ini boleh sedia diminum menggunakan sejenis penyedut minuman khas yang berlubang halus dipanggil bombilla untuk menapis partikel lebih besar daripada terhirup. Serbuk mate ini masih boleh digunapakai lagi selepas air seduhan ini diminum, di mana air panas boleh ditambah lagi dan lagi sehinggalah serbuk tersebut dirasa sudah hilang perisanya.

Air ini secara tradisinya diminum terus (mate amargo - "mate pahit"), namun gula atau madu adakalanya boleh juga ditambah untuk menambahkan rasa manis (sebagai mate dulce) mahupun juga kulit limau atau kulit oren, atau kopi.

Sekiranya mate diminum dalam suatu keramaian, lazimnya ia akan diminum oleh tuan rumah terlebih dahulu sebelum labu bekas diisi semula dengan air panas dan diberi kepada semua hadirin.

  1. ^ "Ley 26.871 - Declárase al Mate como infusión nacional". InfoLEG (dalam bahasa Sepanyol). Ministry of Economy and Public Finance. Dicapai pada 7 Oktober 2010.
  2. ^ Barceloux, Donald (3 Februari 2012). Medical Toxicology of Drug Abuse: Synthesized Chemicals and Psychoactive Plants. John Wiley & Sons. ISBN 978-1-11810-605-1.
  3. ^ Brooke, Elizabeth (24 April 1991). "Yerba Mate, Ancient Antidote To South America's Heat". The New York Times. Dicapai pada 28 Mei 2011.
  4. ^ "Traditional Method". ma-tea.com. Dicapai pada 30 Mei 2013.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]