Lupus eritematosus sistemik
PENAFIAN: Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor atau pakar perubatan bertauliah mengenai kesihatan anda. Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera. |
Lupus eritematosus sistemik | |
---|---|
Pengelasan dan sumber luaran | |
ICD-10 | M32 |
ICD-9 | 710.0 |
OMIM | 152700 |
P. Data Penyakit | 12782 |
MedlinePlus | 000435 |
eMedicine | med/2228 emerg/564 |
MeSH | D008180 |
Penafian perubatan |
Lupus eritematosus sistemik (SLE/LUPUS) adalah radang teruk (keradangan kronik) yang disebabkan oleh penyakit autoimun yang mana sistem pertahanan badan yang tidak normal melawan tisu badan sendiri.
Lupus Eritematosus Sistemik atau systemic lupus erythematosus (SLE) ialah suatu penyakit autoimun yang ditandai oleh adanya episod-episod peradangan kronik yang semakin teruk ("exacerbate"), yang seterusnya reda ("remission") dan mungkin berlaku pada pelbagai sistem dalam tubuh. Kompleks imun yang terbentuk dan terendap, serta autoantibodi yang beredar, menyebabkan kerosakan tisu dan kegagalan fungsi organ-organ. Penyakit ini melibatkan Ginjal, sistem saraf pusat, kulit, sel dan pembuluh darah, otot dan tulang (muskuloskeletal), paru-paru dan pleura, sistem kardiovaskular, dan sistem gastrousus.
Etiologi:
[sunting | sunting sumber]Penyakit ini lebih kerap berlaku pada kaum wanita berbanding dengan kaum lelaki dan biasanya bermula ketika usia antara 20 tahun hingga 40 tahun. Sebagaimana kepelbagaian organ yang terlibat, lupus eritematosus sistemik tidak mempunyai etiologi yang tunggal. Penyebab penyakit saling berkait dan kemungkinan dicetuskan oleh faktor-faktor genetik (keturunan), autoimun, hormon, dan sekitaran serta pendedahan kepada virus, dadah (Procainamide, Hydralazine dan Isoniazid) atau toksin. Adakalanya penyakit ini bersifat idiopatik (tanpa etiologi yang nyata).
Tanda-tanda dan Gejala:
[sunting | sunting sumber]Pesakit mengalami waktu-waktu keaktifan penyakit yang diselangi oleh masa-masa keredaan. Semasa keaktifan penyakit, pesakit kelihatan lemah, mengalami penurunan berat badan dan demam. Tanda-tanda umum di kulit ialah ruam kupu-kupu (eritema di pipi dan hidung), lesi makulopapul di muka, leher dan tungkai badan. Vaskulitis di hulu kuku ("nail bed") jari, petekia (bintit-bintit ungu di kulit), dan bula (lepuhan berair) mungkin juga terlihat pada beberapa pesakit. Kesensitifan terhadap sinar matahari (fotosensitiviti) boleh menimbulkan ruam di kulit. Alopesia mungkin juga berlaku. Atralgia (rasa sakit di sendi) dan poliartritis (peradangan di pelbagai sendi) biasanya bersifat simetri. Keadaan ini menyerupai artritis reumatoid, tetapi biasanya lebih ringan, dan tanpa berlaku hakisan. Peradangan otot yang berlaku umumnya bersifat subklinikal, tetapi adakalanya mungkin berlaku miopati dan atrofi otot. Penglibatan renal (ginjal) berlaku pada lebih kurang separuh pesakit lupus eritematosus sistemik. Pengendapan kompleks imun menyebabkan perubahan-perubahan histologi dan peradangan ginjal. Glomerulonefritis membran menyebabkan berlakunya sindrom nefrotik dan kegagalan fungsi ginjal yang semakin meningkat secara perlahan-lahan sehingga timbulnya tanda-tanda hematuria, proteinuria dan akhirnya ginjal mungkin tidak berfungsi sama sekali, khususnya pada kes-kes parah. Lesi pada sistem saraf akibat pengendapan kompleks imun menyebabkan kelainan pada fungsi mental. Gejala-gejala yang mungkin terlihat ialah psikosis, dementia, epilepsi, dan gangguan kognisi. Neuropati pada sistem saraf periferi juga boleh berlaku. Penglibatan sistem kardiovaskular menyebabkan berlakunya perikarditis dan efusi perikardium. Aterosklerosis pramatang pada pesakit yang dirawat dengan kortikosteriod boleh menimbulkan infarksi miokardium. Kelainan-kelainan yang jarang-jarang berlaku ialah miokarditis dan endokarditis Libman-Sacks. Penglibatan paru-paru dan pleura menyebabkan pneumonitis dan pleurisi; dan penglibatan gastrousus pula menyebabkan gejala-gejala nausea yang tidak khas untuk penyakit ini. Vaskulitis parah di saluran usus boleh menimbulkan nekrosis, perliangan dan perdarahan atau hemoraj.
Penyiasatan:
[sunting | sunting sumber]Diagnosis penyakit ini harus dibezakan daripada penyakit-penyakit autoimun yang lain. Oleh sebab lupus eritematosus sistemik melibatkan pelbagai sistem tubuh, pengenalpastian terperinci dibuat berdasarkan gejala-gejala (misalnya ruam di kulit, kesensitifan terhadap sinaran matahari, artritis, kelainan ginjal, pleurisi dan kelainan neurologi) dan ujian-ujian makmal (ujian hematologi: kiraan darah lengkap, ujian pengkoagulatan, kadar pengendapan eritosit; ujian tindak balas imun: ujian antibodi antinuklear, ujian lateks, ujian komponen-komplemen, ujian antibodi terhadap DNA; biopsi kulit dan X-ray). Pemeriksaan air kencing pada kes yang melibatkan ginjal menunjukkan adanya endapan urinari, proteinuria dan sel darah merah.
Rawatan:
[sunting | sunting sumber]Pesakit harus mengelakkan faktor-faktor yang mungkin memparahkan lagi keadaan penyakit, seperti pendedahan kepada sinar matahari pada mereka yang fotosensitif, trauma, pembedahan, kehamilan dan keresahan. Dadah penskrin sinar matahari berkesan untuk melindungi sebahagian pesakit yang fotosensitif. Pesakit asimptomatik atau yang tidak teruk keadaannya mungkin tidak perlu diberi sebarang rawatan. Dadah salisilat dan agen-agen antiperadangan bukan steroid (NSAID) mungkin berguna untuk mengurangkan gejala-gejala artritis dan serositis. Dadah kortikosteroid topikal mungkin diperlukan untuk merawat beberapa manifestasi kulit, manakala dadah imunosupresif (sitotoksik) pula mungkin diperlukan untuk beberapa manifestasi ginjal. Walau bagaimanapun, dadah imunosupresif mempunyai beberapa kesan sampingan yang mungkin boleh memparahkan keadaan penyakit dan pemberiannya memerlukan pengawasan doktor pakar.