Pergi ke kandungan

Kebangkitan di Soweto

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hector Pieterson (13) yang cedera yang membawa maut, salah seorang mangsa pertama, di cepong oleh Mbuyisa Makhubo pada 16 Jun 1976, diiringi Antoinette Pieterson (17). Gambar oleh Sam Nzima. http://www.southafrica.info/ess_info/sa_glance/history/hector-pieterson.htm Diarkibkan 2006-07-18 di Wayback Machine

Kebangkitan di Soweto, rusuhan di Soweto atau pembunuhan beramai-ramai di Soweto yang bermula pada Jun 1976 merupakan merupakan siri pertembungan di Soweto, Afrika Selatan, antara remaja kulit hitam dan pihak berkuasa Afrika Selatan. Rusuhan yang membantah polisi Parti Kebangsaan dan regim aparteid ini menjadi titik hitam dalam sejarah Afrika Selatan.

16 Jun kini diraikan sebagai Hari Belia di Afrika Selatan.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Soweto merupakan sebuah penempatan township yang terletak 24 km dari bandar raya Johannesburg. Keadaannya ketika itu amat menyedihkan dengan keluarga yang hidup di rumah tanah liat atau kadbod, jangkitan yang berleluasa dan persekitaran yang penuh dengan gengster. Ini ditambah pula dengan penduduknya yang sangat padat mencecah satu juta orang (Thompson 202).

Keadaan di situ sangat daif, dan penerimaan terhadap kaum kulit hitam lebih teruk. Sesuatu mesti berubah, malangnya, perdana menteri, John Vorster (Gerhart 1), tidak berbuat apa-apa tentangnya.

Punca kebangkitan

[sunting | sunting sumber]

Punca yang paling utama ialah disebabkan regim aparteid di bawah Menteri Pendidikan Bantu iaitu P.W. Botha ingin memperkenalkan bahasa Afrikaans di sekolah-sekolah kononnya sebagai langkah integrasi nasional. Ini telah dibantah oleh para pelajar di Soweto yang menganggap bahasa Afrikaan sebagai bahasa "bangsa penindas" (Bruton 1).

Selain itu terdapat faktor-faktor yang lain. Antaranya, para pelajar kian bosan dengan keadaan sekolah yang semakin sesak dengan keciciran pelajar yang tinggi, kurikulum pendidikan yang bersifat perkauman dan kemudahan sekolah yang tidak mencukupi. Tambahan pula ideologi BMC semakin mendapat sokongan di kalangan para pelajar berkulit hitam (Scholtz 1). Di samping itu, remaja di penempatan ini benci dengan dasar-dasar aparteid dan melihat ibu bapa mereka menjadi mangsa penindasan regim aparteid. Mereka mahukan kebebasan dan merasakan mereka tidak akan kehilangan apa-apa sekiranya memberontak (Scholtz 1).

Peristiwa rusuhan Soweto

[sunting | sunting sumber]

Pada pukul 9.30 pagi tanggal 16 Jun 1976, para pelajar telah mengambil tindakan. Berpuluh ribu para pelajar membawa sepanduk telah berhimpun di luar sekolah. Pada mulanya demonstrasi ini bermula sebagai perhimpunan yang aman. Tetapi keganasan berlaku apabila pihak polis tiba untuk menyuraikannya. Tanpa sebarang amaran, pihak polis dengan kejamnya telah menembak para penunjuk perasaan ini dengan peluru hidup. Dalam usaha untuk melindungi diri mereka, para pelajar mula membaling ranting kayu, batu-bata, beg sekolah ke arah pihak berkuasa. Pertempuran yang berlaku telah berlarutan selama beberapa jam.