Hugh Thompson, Jr.
Hugh C. Thompson, Jr. adalah seorang juru terbang helikopter yang berkhidmat dalam Tentera Darat Amerika Syarikat semasa Perang Vietnam. Beliau dikenali kerana peranannya menghentikan Pembunuhan Beramai-ramai di My Lai apda 16 Mac 1968 semasa beliau memberikan bantuan tinjauan helikopter semasa operasi ketenteraan di perkampungan Song My di Vietnam.
Hugh Thompson dilahirkan pada 15 April 1943 di Atlanta, Georgia. Dia menyertai Tentera Laut Amerika dalam tahun 1961 sebelum berpindah khidmat ke Tentera Darat Amerika untuk menjadi seorang juruterbang helikopter. (Tentera Laut Amerika memerlukan kelayakan lulusan university untuk menjadi juruterbang helikopter, tetapi Tentera Darat membenarkan bukan graduan untuk menjadi juruterbang helikopter dengan cara melantik Pegawai Waran untuk calon-calon juruterbang helikopter yang tidak mempunyai kelayakan kelulusan universiti)
Hugh Thompson meminta secara sukarela untuk menyertai Unit Tinjauan Udara dan ditugaskan ke Batalion Udara ke-123 yang ditugaskan ke 11 Briged Infantri, Divisyen Americal di Vietnam. Pada 16 Mac 1968, unit tersebut ditugaskan memberikan bantuan kepada Pasukan Petugas Barker yang menjalankan operasi cari dan musnah di kawasan Song My. Hugh Thompson menjadi juruterbang sebuah helikopter peninjau LOH (disebutkan sebagai “Loach”) jenis OH-23 Raven dengan dua orang anak kapal, Sarjan Glenn Andreotta yang menjadi ketua awak-awak dan guner pintu Spc Lawrence Colburn
Pada pagi 16 Mac 1968, Hugh Thompson dengan diiringi oleh dua buah helikopter UH-1 Huey yang dilengkapkan senjata melakukan penerbangan bantuan untuk operasi yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Barker di kawasan Song My. Tugas Hugh Thompson adalah untuk mengenal pasti kedudukan musuh dengan cara membuat penerbangan rendah supaya ditembak oleh musuh agar kedudukan mereka dikenal pasti. Tetapi pada pagi tersebut, Hugh Thompson tidak ditembak oleh musuh.
Semasa membuat penerbangan di perkampungan My Lai 4, Thompson melihat orang awam Vietnam bergelimpangan, tetapi ada yang masih hidup. Thompson mendaratkan helikopternya dan bersama-sama Andreotta dan Colburn pergi meletakkan penanda berwarna hijau untuk isyarat kepada pasukan perubatan memberikan rawatan. Semasa berjalan balik ke helikopternya, Thompson melihat Kapten Ernest Medina maju ke arah orang awam cedera di lokasi yang ditandakan oleh Thompson dan menembak mati mangsa.
Thompson menerbangkan semula helikopternya ke kampung My Lai dan setelah mendaratkan helikopternya pergi bersemuka dengan Leftenan Stephen Brooks (Pegawai Pemerintah 2 Platun) yang sedang bersedia untuk meletupkan sebuah rumah yang penuh dengan orang awam yang berada dalam ketakutan. Thompson mengarahkan Colburn dan Andreotta mengacukan mesingan M-60 mereka ke arah Brooks dan askar-askarnya dengan arahan supaya menembak askar-askar yang enggan mematuhi perintah berhenti membunuh orang-orang awam. Walaupun Thompson berpangkat lebih rendah daripada Brooks, perintahnya dipatuhi.
Thompson kemudiannya meminta dua buah helikopter bersenjata (“gunship”) dipandu oleh Dan Millians dan Brian Livingstone untuk mendarat supaya boleh membawa keluar 11 orang awam yang berjaya diselamatkan. Semasa hendak terbang keluar dari kawasan kampung, Andreotta ternampak seorang kanak-kanak yang masih hidup di kalangan timbunan mayat di dalam sebuah parit tali air. Thompson mendarat dan menyelamatkan kanak-kanak tersebut dan 3 buah helikopter tersebut membawa mangsa yang terselamat ke Hospital di Quang Ngai. Thomson membuat laporan pembunuhan kepada pegawai pemerintahnya, dan aduan dibuat kepada rantaian pemerintahannya dan akhirnya pembunuhan beramai-ramai itu dapat dihentikan.
Selepas Insiden My Lai
[sunting | sunting sumber]Selepas My Lai, Thompson ditugaskan terus menerbangkan misi tinjauan LOH dengan helikopter OH-23 Raven. Misi ini memang merbahaya dan mencabar. Ramai yang berpendapat Thompson dikekalkan dalam misi loh sebagai balasan kerana campur tangan beliau semasa insiden My Lai. Tetapi Thompson tidak mengeluh kerana dia menyertai misi LOH secara sukarela. Thompson ditembak jatuh sebanyak 5 kali dan kali terakhir mengalami keretakan tulang belakang.
Thompson dipulau oleh sebilangan pegawai tentera kerana membuat aduan mengenai Insiden My Lai. Thompson mengalami tekanan psikologi berkaitan perkhidmatan perang beliau di Vietnam. Namun, beliau berkhidmat selama 13 tahun lagi did alam Tentera Darat.
Pingat Kehormatan
[sunting | sunting sumber]Dalam tahun 1998, 30 tahun selepas tragedi di My Lai, Thompson dan Colburn diberikan pingat Soldier's Medal sebagai pengiktirafan ke atas keberanian mereka menghentikan pembunuhan di My Lai. Pinggan Andreotta diberikan kepada pewarisnya. (Andreotta mati terbunuh 3 minggu selepas kejadian My Lai apabila helikopternya ditembak jatuh meletup ketika terhempas.) Dalam tahun 1998, Colburn dan Thompson kembali semula ke My Lai dan bertemu beberapa orang yang mereka selamatkan 30 tahun sebelumnya, termasuklah Do Hoa, kanak-kanak yang diselamatkan daripada parit tali air pada hari kejadian.
Dalam tahun 1999, Thompson dan Colburn menerima anugerah the Peace Abbey Courage of Conscience Award. Dalam tahun 1998, Colburn dan Thompson kembali semula ke My Lai dan bertemu beberapa orang yang mereka selamatkan 30 tahun sebelumnya, termasuklah Do Hoa, kanak-kanak yang diselamatkan daripada parit tali air pada hari kejadian.
Dalam temu bual tahun 2004 dalam rancangan televisyen "60 Minutes," Thompson menyatakan kesalnya mengenai kejadian di My Lai, dan menyatakan dia masih tidak boleh memaafkan tindakan salah yang dilakukan oleh askar-askar kompeni “C” 1-20 Infantri pada hari tersebut.
Thompson berkhidmat sebagai seorang kaunselor di Jabatan Hal Ehwal Veteran Louisiana dan dalam tahun 2003 memberikan ceramah di Akademi Tentera Laut Amerika di Annapolis mengenai Etika profesional Ketenteraan (Professional Military Ethics)
Thompson meninggal dunia pada 6 Januari 2006, kesan daripada kanser di Alexandria, Louisiana. Colburn yang kekal bersahabat baik dengan Thompson berada di sisi Thompson semasa beliau menghembuskan nafas terakhir. Thompson dikebumikan dengan penghormatan tentera termasuk tembakan meriam 21 das dan terbang lintas oleh helikopter tentera darat.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Linder, Douglas (1999) The Heroes of My Lai (first-hand report by Thompson) The My Lai Courts-Martial 1970.
- Bock, Paula (March 10 2002) The Choices Made: Lessons from My Lai on drawing the line Seattle Times Magazine
- My Lai Pilot Hugh Thompson via All Things Considered, NPR .
- Goldstein, Richard (January 7 2006) Hugh Thompson, 62, Who Saved Civilians at My Lai, Dies. New York Times
- Find-A-Grave profile
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Michael Bilton & Kevin Sim, Four Hours in My Lai. Penguin Books, 1992.
- Trent Angers, The Forgotten Hero of My Lai: The Hugh Thompson Story. Acadian House Publishing, 1999.