Pergi ke kandungan

Charles Dickens

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Charles Dickens.
Untuk maklumat lanjut mengenai karya Mark Twain, sila lihat: Karya Charles Dickens.

Charles John Huffam Dickens (7 Februari 1812 – 9 Jun 1870) yang menggunakan nama pena "Boz" adalah pengarang novel British yang teragung pada zamannya. Dickens memainkan peranan yang utama dalam kepopularan novel bersiri.

Sejak kematiannya, reputasi Dickens sebagai salah satu penulis terkenal dalam sastera Inggeris semakin besar dan banyak karya-karyanya telah dianggap sebagai klasik pada hari ini. Kepopularan karya Dickens pada hari ini dapat diperlihatkan daripada fakta bahawa kesemua karyanya masih dicetak semula secara berterusan sejak penerbitan sulung. Sekurang-kurangnya 180 buah pemadanan filem dan TV berdasarkan karya Dickens mengesahkan kejayaannya. Pengarang-pengarang novel yang lain masih terpengaruh oleh karyanya, termasuk pengarang semasa yang amat berbeza seperti Anne Rice dan Tom Wolf.

Dickens sering dirujuk dengan nama akhir sahaja, seperti dengan penulis skrip British, Shakespeare.

Riwayat hidup

[sunting | sunting sumber]

Masa muda

[sunting | sunting sumber]

Dickens dilahirkan di Portsmouth, Hampshire kepada John Dickens, seorang kerani pembayaran gaji tentera, dan isterinya, Elizabeth Dickens. Sewaktu Dickens berusia lima tahun, keluarganya berpindah ke Chatham, Kent dan lima tahun kemudian, sewaktu beliau berusia sepuluh tahun, keluarganya berpindah sekali lagi ke Camden Town di London.

Tahun-tahun awal Dickens dianggapinya sebagai tempoh yang mana beliau "tidak menerima jagaan yang baik". Dickens sangat suka membaca dan biasa menghabiskan masa di luar rumahnya. Pada waktu itu, novel yang paling disukainya ialah novel Tobias Smollett dan Henry Fielding yang berkenaan dengan bangsat. Pada akhir kehidupannya, Dickens masih ingat dengan amat jelas akan orang-orang dan peristiwa-peristiwa pada masa itu dan mengatakan bahawa itu telah membantu mencergaskan fiksyennya.

Keluarga Dickens sederhana kaya dan beliau menerima pendidikan awal di sekolah swasta. Tetapi kesemua ini bertukar sewaktu ayahandanya dipenjarakan di Marshalsea yang berdekatan kerana memperolehi hutang yang disebabkan oleh keterlaluan membelanjakan wang dalam hiburan serta untuk mengekal taraf sosialnya.

Sewaktu berumur dua belas, Dickens dianggapi cukup besar dan bermula bekerja di sebuah kilang penggilap kasut yang terletaknya dekat stesen kereta api Charing Cross pada hari ini. Untuk kerja menampalkan label pada balang penggilap kasut selama sepuluh jam sehari, Dickens dibayar enam syiling seminggu. Dengan wang itu, beliau membayar tempat penginapannya serta membantu menyarakan keluarganya.

Beberapa tahun kemudian, keadaan kewangan keluarganya bertambah baik sewaktu ayahandanya menerima harta pusaka. Keluarganya kemudian meninggal Marshalsea, tetapi ibundanya meninggalkan Dickens di kilang penggilap kasut yang dimiliki oleh saudara ibundanya. Dickens tidak pernah memaafkan ibundanya terhadap peristiwa ini. Rasa geram terhadap kejadian ini serta keadaan bekerja kaum buruh kemudian menjadi tema yang utama dalam karyanya.

Dickens telah dikatakan memberitahu John Forster, pengarang biografinya: "Tiada nasihat, tiada galakan, tiada rasa senang hati, tiada sokongan daripada sesiapa yang saya dapat ingat, namun Tuhan, tolonglah saya!"

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk: Karya Charles Dickens

Pada Mei 1827, Dickens memulakan kerja sebagai kerani guaman yang berpotensi memberikannya peluang menjadi peguam. Bagaimanapun, beliau tidak suka akan profesion undang-undang dan tidak lama selepas penugasannya sebagai jurutrengkas mahkamah, Dickens menjadi seorang wartawan.

Pekerjaan wartawan melibati laporan-laporan perdebatan parlimen serta kempen pilihan raya yang kekadangnya memerlukan Dickens berjalan ke seluruh negara Britain melalui kereta kuda penumpang. Kewartawanan ini menjadi asas untuk koleksi karya pertamanya yang bertajuk "Sketsa-sketsa oleh Boz" (Sketches of Boz). Kerja menyumbang serta menyunting jurnal kemudian menjadi sebahagian besar hayatnya.

Pada awal dua puluhannya, Dickens berjaya mencapai kenamaan dengan novel sulungnya, "Kertas Pickwick" (The Pickwick Papers). Dickens kemudian berkahwin dengan Catherine Hogarth pada 2 April 1836, dan mengasaskan tempat perlindungannya di Bloomsbury. Mereka dikurniakan dengan sepuluh cahaya mata.

Pada tahun yang sama, Dickens menjadi penyunting Bentley's Miscellany, sebuah jawatan yang beliau menjawat sehingga pergaduhannya dengan pemilik pada tahun 1839. Beliau kemudian bekerja dengan dua jurnal majalah mingguan, iaitu Household Words (1850-1859) dan All the Year Round (1859-1870).

Pada 1842, Dickens melawat Amerika Syarikat buat kali pertama bersama-sama isterinya; perjalanan itu pernah diceritakan dalam travelognya, Nota Amerika (American Notes) dan merupakan asas untuk sebahagian episod dalam Martin Chuzzlewit. Pada 1856, kepopularannya membolehkan Dickens membeli rumah Gad's Hill Place. Rumah yang besar itu di Higham, Kent merupakan rumah idaman Dickens sejak masa kanak-kanak. Kawasan itu juga merupakan tempat untuk beberapa peristiwa dalam karya Henry IV, Bahagian 1 yang dikarang oleh William Shakespeare dan perhubungan kesusasteraan ini amat menggembirakan Dickens.

Dickens bercerai dengan isterinya pada tahun 1858. Pada zaman Victoria itu, perceraian merupakan sesuatu perlakuan yang tidak terfikirkan, khususnya bagi orang yang termasyhur. Bagaimanapun, Dickens meneruskan penanggungan isterinya sehingga kematian Catherine dua puluh tahun kemudian.

Selepas keruntuhan perkahwinannya, Dickens semakin rapat dengan Ellen Ternan, seorang pelakon Perancis. Oleh sebab mereka pernah bertemu pada tahun 1857, Ellen telah dianggapi sebagai sebab yang utama dalam penceraian Dickens. Ellen terus menjadi teman rapat dan kemungkinannya perempuan simpanan Dickens sehingga kematian beliau.

Pada 9 Jun 1865, semasa kembali dari Perancis untuk melawat Ellen, Dickens terlibat dalam kemalangan kereta api di Staplehurst. Enam gerabak kereta api terjunam daripada jambatan yang tengah diperbaiki. Hanya gerabak kelas pertama Dickens masih di atas landasan.

Akhir kehidupan

[sunting | sunting sumber]

Walaupun Dickens tidak cedera dalam kemalangan tersebut, beliau tidak dapat memulihkan diri daripada peristiwa tersebut. Keprolifikan penulisannya merosot kepada penyiapan karya Kawan Bersama Kami (Our Mutual Friend) dan permulaan Misteri Edwin Drood (The Mystery of Edwin Drood). Kebanyakan daripada masanya dihabiskan untuk pembacaan awam novel-novelnya yang amat disukai orang ramai.

Dickens amat terpesona kepada teater sebagai cara yang berkesan untuk orang melepaskan diri dari dunia. Persembahan bergerak Dickens menjadi amat popular dan pada 2 Disember 1867, Dickens menyampaikan pembacaan awamnya yang pertama di sebuah teater di New York City, Amerika Syarikat. Usaha dan keghairahannya dalam pembacaann yang menggunakan suara yang berlainan untuk setiap wataknya amat memeraskan dan telah dianggapi sebagai salah satu daripada sebab untuk kematian pramasanya.

Cukup-cukup lima tahun selepas kemalangan Staplehurst pada 9 Jun 1870, Dickens mati disebabkan penyakit strok. Berlawanan dengan hasratnya untuk dikebumikan di Katedral Rochester, beliau dikebumikan di Sudut Pemuisi, Westminster Abbey yang dianggapi lebih sesuai untuk seorang tokoh termasyhur. Inskripsi di makamnya tertulis: "Beliau seorang pesimpati kepada orang yang miskin, yang menderita, serta yang tertindas; dan dengan kematiannya, dunia terhilang salah satu daripada penulis England yang teragung."

Anak-anak

[sunting | sunting sumber]

Nama sepuluh cahaya mata Dickens yang dilahirkan oleh Catherine Thompson Hogarth adalah seperti berikut:

  • Charles Culliford Boz Dickens (6 Januari 1837 – 1896).
  • Mary Angela Dickens (6 Mac 1838 – 1896).
  • Kate Macready Dickens (29 Oktober 1839 – 1929).
  • Walter Landor Dickens (8 Februari 1841 – 1861).
  • Francis Jeffrey Dickens (15 Januari 1844 – 1886).
  • Alfred D'Orsay Tennyson Dickens (28 Oktober 1845 – 1912).
  • Sydney Smith Haldimand Dickens (18 April 1847 – 1872).
  • Henry Fielding Dickens (15 Januari 1849 – 1933).
  • Dora Annie Dickens (16 Ogos 1850 – April 1851).
  • Edward Bulwer Lytton Dickens (13 Mac 1852 – 1902).

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Wikisource
Wikisource