Pergi ke kandungan

Bunduki

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bunduki[1] (Jawi: بندقي atau بوندوکي‎) atau dukat (bahasa Itali: ducato) adalah wang logam emas atau perak yang digunakan se-Eropah dari akhir Zaman Pertengahan sampai abad ke-20. Ada berbagai macam jenis bunduki dengan kandungan logam dan nilai jual beli yang berbeza-beza. Ia diterima secara luas dalam perdagangan antarabangsa sepanjang zaman ini sebagaimana hiperpiron Bizantium dan florin Firenze, atau pound sterling Inggeris dan dolar Amerika Syarikat pada zaman moden.[2]

Bunduki perak Raja Ruggeru II
IC XC RC IN ÆTRN, gambar Yesus paras dada menghadap berlatar awan memegang Kitab Injil R•R SLS (Raja Ruggeru I) dan R•DX•AP (putera baginda) berdiri menghadap depan, memegang tongkat salib panjang di antara keduanya; AN R X sepanjang tongkat.

"Bunduki" asalnya dari bentuk kata sifat nama Arab اَلْبُنْدُقِيَّةُAl-Bunduqiyah untuk kota Venezia (jika dimelayukan: بندقيَةBundukiah)[3] cerminan hubungan perdagangan Republik pemerintah kota tersebut dengan kerajaan Uthmaniyah yang menguasai tanah-tanah Arab ketika itu.[4] Nama setempatnya ducato berasal dari bahasa Latin Pertengahan ducatus yang bererti "milik duca" turunan Latin dux; ia mula diungkapkan dalam wang ditempa pada tahun 1140 zaman pemerintahan Raja Ruggeru II penguasa Siqiliyah merangkap pembesar Apulia di mana ia memaparkan gambar Yesus dengan tulisan:

Sit tibi, Christe, datus, quem tu regis iste ducatus

("Biarlah dipersembahkan kepada-Mu, wahai Kristus, kerajaan yang Engkau perintah ini.")

Unit mata wang ini kemudiannya ditiru pembesar republik Enrico Dandolo dengan logam perak. Namun, pengunaan wang ini yang meluas seluruh kota tersebut menjadikan semua unit mata wang kota diungkapkan sebagai ducato sedangkan wang perak asal itu berganti namamenjadi grosso.[5]

  1. ^ "bunduki". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  2. ^ The two concepts of money: implications for the analysis of optimal currency areas, Charles A. E. Goodhart, European Journal of Political Economy, Jilid 14(1986) Halaman 407
  3. ^ al-Marbawi, Mohamad Idris bin Abdul Rauf (1931). "بُنْدُقِيَّةٌ". Kamus Al-Marbawi. Mesir: Syarikat Mustafa al-Babīy al-Halabīy. m/s. 66.
  4. ^ Pamuk, Sevket (2004). A Monetary History of the Ottoman Empire. Cambridge University Press. m/s. 99, 175–6. ISBN 0521441978.
  5. ^ "ducato²". Vocabolario on line (dalam bahasa Itali). Istituto della Enciclopedia Italiana. 2023. [der. di duca «doge», con riferimento alla rappresentazione, su un lato, del doge che riceve il vessillo da san Marco]. – Moneta d’oro e d’argento coniata sotto la giurisdizione di un doge; in partic., la moneta veneziana d’argento coniata dal doge Enrico Dandolo intorno al 1202 (detta in seguito grosso o matapane) e la moneta d’oro coniata dal doge Giovanni Dandolo nel 1284 (detta poi zecchino dalla metà circa del sec. 15°). Il nome passò in seguito a indicare le monete d’oro coniate in varî stati italiani e stranieri che, per il peso e il titolo, si approssimavano al ducato veneziano (per es., i ducati papali, dell’Impero, di Milano, ecc.).