Buli Balik
Buli Balik | |
---|---|
Pengarah | Afdlin Shauki |
Penulis | Afdlin Shauki |
Lakon layar | Afdlin Shauki |
Dihasilkan oleh | Ahmad Puad Onah Hans Isaac Afdlin Shauki Lazizah Ahmad (eksekutif) |
Dibintangi | Afdlin Shauki Hans Isaac Nasha Aziz AC Mizal Patrick Teoh Umie Aida |
Sinematografi | Indra Che Muda |
Disunting oleh |
|
Muzik oleh |
|
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Primeworks Studios |
Tarikh tayangan | 26 Januari 2006 (Malaysia)[1] |
Masa tayangan | 110 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM 1.5 juta |
Pecah panggung | RM 2.3 juta |
Buli Balik ialah sebuah filem komedi drama Malaysia 2006 arahan dan lakonlayar oleh Afdlin Shauki terbitan bersama Grand Brilliance, Vision Works dan Tall Order Productions.[2][3][4] Kesinambungan dari filem Buli (2004), ia berkisarkan tentang pereka perisian komputer, Nordin yang kini memiliki tahap keyakinan yang tinggi setelah memperoleh saham dalam syarikat perisian komputer, Michaelsoft, manakala Roy, yang sering membuli Nordin sejak zaman kanak-kanak, terselamat daripada kemalangan maut, namun hilang ingatan akibat kemalangan itu.[5]
Filem ini dibintangi oleh Afdlin sendiri bersama Nasha Aziz, Hans Isaac dan turut dibintangi oleh Umie Aida, AC Mizal dan Patrick Teoh. Ia ditayangkan pada 26 Januari 2006. Seperti satu filemnya terdahulu iaitu Buli (2004), Buli Balik juga mendapat sambutan menggalakkan di pawagam.[6][7] Filem ini telah memenangi 3 anugerah di Anugerah Skrin 2006 termasuk Filem Terbaik.[8]
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Selepas melanggar lari Roy dalam filem pertama tanpa mengetahui yang dia masih hidup, Rudy telah melarikan diri secara tersilap dan terus menuju ke Bukit Aman. Menyedari yang dirinya sedang diburu oleh polis, Rudy terjun ke sungai dan menghilangkan diri. Roy, yang ketika itu sedang diburu oleh polis atas sebab-sebab kaitannya dengan rompakan Alled Asian Bank (AAB), dibawa ke hospital akibat kecederaan daripada kemalangan, dia ditemani oleh Nordin. Sebaik sahaja tiba di hospital, Nordin telah dimaklumkan oleh doktor bahawa Roy telah kehilangan 80% daripada ingatannya dan tiada harapan untuk hidup. Dalam keadaan hampa, Nordin kini berasa lega dan berpuas hati kerana tiada sesiapapun boleh mengganggunya lagi dan tidak lagi takut kepada Roy kerana Roy terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Enam bulan berlalu, Nordin kini menjadi ahli perniagaan berjaya setelah menjadi rakan kongsi bosnya, Tan Sri Michael di Michaelsoft. Shaf, rakan serumah Nordin kini menjadi pembantu peribadinya selepas berhenti kerja di Persatuan Automobil Malaysia (AAM). Tan Sri Michael pula telah bergelar artis rakaman dan merakamkan album pertamanya yang memuatkan lagu-lagu yang bertemakan cinta. Pada masa yang sama, Nordin menyertai pertandingan kuiz Siapa Salah Kena Karan! dan dinobatkan sebagai pemenang setelah menewaskan pesaingnya, Cik Hanum Dari Langkawi.
Rudy, yang kini dalam buruan polis, menyamar dan menyembunyikan diri di rumah kebajikan warga emas, dan menjadi kegilaan Pak Osman, namun air mukanya berubah apabila dia mula mengecam muka Nordin dari tempat kemalangan Roy. Esok harinya, Nordin telah menghadiri sesi terapi yang dikendalikan oleh Dr. Kam. Suatu hari, Nordin terkejut kerana terserempak dengan Roy di hospital dan dia tidak percaya yang Roy masih hidup. Air muka Rudy juga berubah apabila dia ternampak gambar Roy dalam akhbar Harian Metro dan menyedari bahawa dia telah dikhianati oleh Roy semasa rompakan Allied Asian Bank (AAB) tidak lama dahulu, dan memutuskan untuk mencarinya.
Nordin bertemu dengan Dr. Selina untuk membawa pulang Roy ke rumahnya. Nordin telah dimaklumkan oleh Dr. Selina hanya mereka yang rapat dengan Roy boleh membantu memulihkan ingatannya. Kemudian, Shaf cuba mengambil kesempatan terhadap Roy. Rudy kemudian menyamar sebagai kakitangan Michaelsoft dengan niat untuk mencari Roy dan Nordin. Tan Sri Michael terjumpa sekeping gambar, dan terkejut bahawa setiausahanya, Soosie sudah berkahwin dengan Rudy. Tanpa disedari oleh Tan Sri Michael, Soosie menghampirinya dari arah belakang dan memukulnya dengan kasut tumit tingginya. Nordin bersama-sama dengan Dr. Ika dan Dr. Selina memutuskan untuk membawa Roy untuk beriadah dengan harapan untuk memulihkan kembali ingatannya. Roy kemudian menuju ke kawasan perhutanan yang terpencil dan menjumpai rumah lamanya, di situlah Roy terkenang kembali kehidupan zaman kanak-kanaknya apabila dia menceritakan yang dia pernah menjadi mangsa penderaan bapanya.
Nordin dan Roy kemudian menuju ke sekolah lama mereka di mana mereka berdua belajar bersama-sama. Mereka terkenangkan zaman remaja mereka yang mana Roy sering membuli Nordin. Mereka kemudian berkunjung ke padang bola di mana mereka pernah menghabiskan masa mereka bermain ragbi. Selepas bertengkar dengan Nordin, Roy didatangi oleh seorang bekas mangsa bulinya dan rakan-rakannya. Shaff dan tunangnya, Farah pulang ke rumah namun mendapati rumahnya berselerak lalu menghubungi Nordin, namun berlaku pertengkaran antara mereka. Shaff kemudian diculik oleh Rudy. Nordin pulang ke rumah menaiki teksi.
Roy terus menuju ke rumah lamanya dan bertemu semula dengan bapanya yang tidak sihat. Namun kehadirannya disambut dingin oleh bapanya, yang kemudiannya merotannya. Roy bapanya bertengkar tentang masa lalu, namun Dr. Selina dan Dr. Ika datang untuk menenangkan Roy. Shaff dan Tan Sri Michael dijadikan tebusan oleh Rudy, yang mahu mencari Roy yang mengkhianatinya semasa rompakan Allied Asian Bank. Dia juga mahu mencari Nordin yang telah menggagalkan rancangannya. Rudy kemudian memberitahu Tan Sri Michael bahawa Soosie ialah isterinya.
Semasa bekerja di pejabat, Nordin menerima panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali. Dia kemudian berjumpa dengan Dr. Ika untuk meluahkan segala masalahnya. Rudy kemudian memasang bom jangka kepada Shaff dan Tan Sri Michael, dan menghubungi Nordin. Nordin kemudian berasa tidak sedap hati namun ditenangkan oleh Dr. Ika. Nordin kembali beraksi di pentas kuiz Siapa Salah Kena Karan!, kali ini bersama juara bertahan, Profesor Irwan Nirwan Kushirwan. Ramlah Ram membuat penampilan khas dengan mengajukan soalan terakhir kepada peserta. Nordin kemudian menjawab soalan berkenaan kuda dan telah dinobatkan sebagai pemenang, seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai. Nordin dan Dr. Ika meraikan kejayaan, namun berakhir dengan tragedi apabila Rudy mengacukan pisau dan menjadikan Dr. Ika sebagai tebusan. Nordin kemudian menjadikan Ramlah Ram sebagai tebusan untuk membuktikan bahawa dia ialah kakak Rudy yang menyamar sebagai Ramlan Ram.
Dr. Ika dan Ramlah Ram berjaya melepaskan diri daripada Rudy dan Nordin. Nordin mempertahankan dirinya daripada Rudy yang cuba mahu menikamnya. Dia meminta Rudy supaya mengambil wang kemenangannya dan tidak lagi menganggunya. Roy datang menyelamatkan keadaan, namun Nordin ditikam oleh Rudy kerana dia mahu membalas dendam terhadap Roy dan Nordin. Roy dan Rudy kembali bertemu selepas 6 bulan, dan mereka bermusuh sesama sendiri. Nordin kemudian mencabut wayar elektrik dan memberi renjatan elektrik kepada Rudy. Rudy kemudian ditangkap oleh polis selepas sekian lama dalam buruan. Nordin kemudian menyedari terdapat kesan darah di belakangnya. Roy dan Nordin sempat bergurau walaupun Roy mengetahui bahawa bekas rakan sekerjanya di Michaelsoft dalam keadaan yang lemah dan tidak bermaya.
Soosie cuba membuka pintu van dan menemui Tan Sri Michael dan Shaf, dan berjaya ditangkap oleh rakan-rakan terapi Nordin. Apabila mereka ternampak bom, mereka melarikan diri, namun salah seorang daripada mereka meminta agar bertenang kerana dia ialah bekas anggota Unit Pemusnah Bom di Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mengetahui ajalnya hampir tiba, Nordin sempat memberikan sepatah dua kata kepada Dr. Ika dan rakan-rakan terapinya buat kali terakhir. Nordin menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Pelakon
[sunting | sunting sumber]Pelakon utama
[sunting | sunting sumber]- Afdlin Shauki sebagai Nordin[9][10]
- Hans Isaac sebagai Masron"Roy" Dasuki, Bekas kawan Nordin dan pembuli yang mempunyai masalah ingatan selepas kemalangan [11]
- Nasha Aziz sebagai Dr. Ika[10]
- AC Mizal sebagai Rudy, Ketua penjenayah yang melarikan diri daripada polis dan menyamar sebagai Ramlah di Rumah Kebajikan dan Ramlan sebagai Pengawal Keselamatan
- Umie Aida sebagai Dr. Selina, Doktor yang merawat Roy
- Patrick Teoh sebagai Tan Sri Michael, Ketua Pegawai Ekeskutif (CEO) Michaelsoft dan majikan kepada Nordin dan Suzy
- Ako Mustapha sebagai Shaf, Kawan Nordin yang dahulu bekerja pemandu AAM kini sebagai pengurus beliau
- Syanie sebagai Farah, Teman wanita Shaf
- Sharifah Shahirah sebagai Ila, Adik kepada Dr Ika
- Harith Iskander sebagai Dr. Kam @ Kamarul, Pakar terapi kepada Nordin dan pesakit lain
- Soraya Dean sebagai Suzy, Setiausaha Tan Sri Michael dan Perempuan simpanan Rudy
Penampilan istimewa
[sunting | sunting sumber]- Ramlah Ram sebagai dirinya sendiri
- Ahmad Tarmimi Siregar sebagai Haji Dasuki,Ayah kandung Masron "Roy" .Beliau sering mendera roy dari kecil sehingga awal remaja
Pelakon undangan
[sunting | sunting sumber]- Adibah Noor sebagai Pengacara rancangan kuiz Siapa Salah, Kena Karan!?
- Adlin Aman Ramlie sebagai Asmat/Ketua Sekuriti Michaelsoft
- Nur Fazura sebagai Cik Hanum Dari Langkawi
- Riezman Khuzaimi sebagai Profesor Madya Irwan Nirwan Kushirwan
- Zaibo sebagai Pak Osman Orang Tua Gatal
- Nadia Mustafar sebagai Jururawat I
- Nell Ng sebagai Jururawat II
- Aziz M. Osman sebagai sahabat kumpulan terapi I
- Harun Salim Bachik sebagai sahabat kumpulan terapi II
- Wahid Senario sebagai sahabat kumpulan terapi III
- Hanny Harmi sebagai sahabat kumpulan terapi IV
Pelakon sampingan
[sunting | sunting sumber]- Christina Orow sebagai Pembaca Berita
- Zikri Adib Kurnia sebagai Roy kecil
- Syed Abdul Hakim sebagai Nordin remaja
- Adly Bakri Shaary sebagai Roy remaja
- Azman Arshad sebagai Mat Gigi
- Mazalan Zulkifli sebagai Mat Gelap
- Azrul Sharin sebagai Sekuriti I
- Rashid Salleh sebagai Buli Hunter
- Mohd Faiz Mamat sebagai rakan remaja Roy I
- Mohd Zhafir Safarudin sebagai rakan remaja Roy II
- Aizam Syamsul Aksan sebagai rakan remaja Roy III
Penerbitan
[sunting | sunting sumber]Buli Balik ialah sebuah filem usaha sama antara Grand Brilliance dan Vision Works, milik Afdlin Shauki dan Tall Order Production, milik Hans Isaac.[12] Nasha Aziz turut melaburkan sahamnya dalam penerbitan filem ini melalui syarikat Vision Works.[13] Filem yang menelan belanja RM1.5 juta dan menjalani penggambaran selama 35 hari di sekitar ibukota, Cyberjaya dan Port Dickson, Negeri Sembilan dari Januari hingga Februari 2005.[13][1] Menariknya, lokasi yang dipilih, biarpun bukan tepat tumpuan tetapi kelihatan mahal dan bergaya. Sehari sebelum tamat penggambaran, Afdlin telah mengalami kecederaan apabila dihempap tiang lampu ketika di lokasi Port Dickson. Beliau terpaksa dikejarkan ke hospital. Bagaimanapun, sebaik selesai x-ray, dia kembali ke lokasi.[13]
Skrip filem ini mula ditulis oleh Afdlin sebaik sahaja Buli tamat tayangan di pawagam.[14] Watak-watak sampingan yang dipilih untuk membintangi filem tersebut bukanlah calang-calang orang. Hampir kesemuanya adalah pelakon berkaliber yang mempunyai reputasi unggul dalam dunia perfileman tanah air. Antaranya termasuklah nama-nama seperti Harun Salim Bachik, Ida Nerina, Umie Aida, Harith Iskander dan Patrick Teoh. Malah pengarah Aziz M. Osman turut dijemput membintangi filem sambungan Buli itu, menurut Afdlin, dia berbangga apabila ramai kalangan pelakon yang dipelawa, menerima tawaran membintangi filem tersebut.[13] Filem ini juga ditujukan oleh Afdlin khas untuk ibunya.[15] Penyanyi, Ramlah Ram membuat penampilan khas. Afdin mengakui ibunya, Fadzilah Jelani ialah peminat setia Ramlah.[16]
Keluaran dan sambutan
[sunting | sunting sumber]Buli Balik ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 26 Januari 2006 hiingga kejayaan komersial.[17][18] Filem ini berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM1.5 juta di pawagam, tidak lama selepas tayangan perdana rasmi.[19][20]
Zainuri Misfar, menulis untuk Berita Harian mengatakan bahawa filem ini "bukan sekadar ketawa suka-suka".[2] Chan Sue Ching dari Cinema Online mengulas: "Buli Balik mempunyai salah satu premis menarik yang mempunyai semua tombol dan skru di tempatnya untuk bergerak maju ke hadapan".[21] Hafidah Samat dari New Straits Times dalam ulasannya mengatakan Buli Balik ialah "sebuah kesinambungan yang menyentuh hati dan lucu".[22]
Runut bunyi
[sunting | sunting sumber]Runut bunyi filem Buli Balik mengandungi 8 lagu, dengan 5 daripadanya dinyanyikan oleh Afdlin Shauki, dimuatkan dalam album Fuuyo!.
- Senarai lagu
- "Waras" — Afdlin Shauki
- "Mangsa Keadaan" — Afdlin Shauki
- "Tiada Lagi" — Afdlin Shauki
- "Cerita Ku Ingat" — Afdlin Shauki
- "Hingga Ke Akhirnya" — Afdlin Shauki
- "Pada Senyummu" — Radiostar
- "Naluri" — Pacai
- "U Sure Or Not" — Patrick Teoh
Anugerah
[sunting | sunting sumber]Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2006 | Festival Filem Malaysia ke-19[23] | Filem Terbaik | Buli Balik | Tercalon |
Pengarah Terbaik | Afdlin Shauki | Tercalon | ||
Pelakon Lelaki Terbaik | Menang | |||
Lakon Layar Terbaik | Tercalon | |||
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Hans Isaac | Menang | ||
Anugerah Skrin 2006[24] | Filem Terbaik | Buli Balik | Menang | |
Pengarah Terbaik | Afdlin Shauki | Menang | ||
Pelakon Lelaki Terbaik Filem | Tercalon | |||
Lakon Layar Terbaik Filem | Menang |
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b "Catatan penerbitan Buli Balik". Filemkita. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-27. Dicapai pada 7 Februari 2010.
- ^ a b Zainuri Misfar (4 Februari 2006). "Buli Balik bukan sekadar ketawa suka-suka". Berita Harian. Dicapai pada 25 Oktober 2019.
- ^ Radin Sri Ghazali (1 Februari 2006). "Buli Balik... Membawa reformasi kepada erti 'sekuel'". mStar Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-09-27. Dicapai pada 1 Februari 2013.
- ^ Meor Shariman (12 Januari 2006). "Big man, bold strides". The Malay Mail. Dicapai pada 2 November 2019.
- ^ Nor Akmar Samudin (19 Februari 2005). "Buli Balik". Harian Metro. Dicapai pada 6 Disember 2019.
- ^ Buli Balik lucu dan tragis Diarkibkan 2018-02-07 di Wayback Machine Utusan Malaysia (31 Januari 2006). Diperoleh pada 7 Februari 2010.
- ^ Clarence Y.K. Ngui (1 Februari 2006). "Made for the 'big' screen". Malaysian Business. Dicapai pada 2 November 2019.
- ^ Zul Husni Abdul Hamid; Farihad Shalla Mahmud (23 Disember 2006). "Buli Balik filem terbaik". Berita Harian. Dicapai pada 2 November 2019.
- ^ Shakilawati Abd Rahman (15 Januari 2006). "Afdlin bijak buai emosi penonton". Metro Ahad. Dicapai pada 2 November 2019.
- ^ a b Norhadiani Baharom (17 Januari 2006). "Nasha, Afdlin serasi dalam Buli Balik". Harian Metro. Dicapai pada 6 Disember 2019.
- ^ Meor Shariman (27 Januari 2006). "Hans at his best in 'Buli Balik'". The Malay Mail. Dicapai pada 28 November 2019.
- ^ Zainuri Misfar (26 Januari 2006). "Buli Balik bukan Baik Punya Cilok". Berita Harian. Dicapai pada 19 Julai 2010.
- ^ a b c d Wanda Idris (19 Februari 2005). Buli Balik pemegang saham pegang watak utama Diarkibkan 2017-09-27 di Wayback Machine Utusan Malaysia. Diperoleh pada 19 Februari 2011.
- ^ Sharifah Arfah (5 April 2004). "Get set for 'Buli II'". New Straits Times. Dicapai pada 19 Julai 2020.
- ^ Abdul Aziz Itar (14 Januari 2006). Buli Balik Afdlin dedikasikan untuk ibu Diarkibkan 2018-02-07 di Wayback Machine Utusan Malaysia. Dicapai pada 7 Februari 2010.
- ^ Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed (29 Januari 2006). "Ibu Afdlin minat Ramlah Ram". Berita Harian. Dicapai pada 28 Oktober 2019.
- ^ Meor Shariman (2 Februari 2006). "Buli Balik a big hit". The Malay Mail. Dicapai pada 28 November 2019.
- ^ Buli Balik director, film win top awards The Star (Malaysia) (23 December 2006). Retrieved on February 7, 2010.
- ^ Zainuri Misfar (6 Februari 2006). "Buli Balik 'meletup' di pawagam". Berita Harian. Dicapai pada 19 Julai 2010.
- ^ Hartati Hassan Basri (1 Februari 2006). "5 hari kutip RM1 juta". Harian Metro. Dicapai pada 6 Disember 2019.
- ^ Chan Sue Ching (23 September 2008). "Buli Balik (2006)" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 13 November 2009.
- ^ Hafidah Samat (26 Januari 2006). "A touching, funny sequel". New Straits Times. Dicapai pada 6 Disember 2019.
- ^ Mohammad Arif Nizam Abdullah (7 Ogos 2006). Festival Filem Malaysia ke-19 diungguli pencalonan GBSB Diarkibkan 2017-02-02 di Wayback Machine Utusan Malaysia. Dicapai pada 17 Februari 2015.
- ^ MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH dan SHAZRYN MOHD. FAIZAL (22 Disember 2006). Bakal dominasi anugerah Gubra, Sepet dan Episod Terakhir? Utusan Malaysia. Diperoleh pada 1 Januari 2007.