Black Dahlia
Elizabeth Short "Black Dahlia" | |
---|---|
Kelahiran | Hyde Park, Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat | 29 Julai 1924
Meninggal dunia | c. 15 Januari 1947 (umur 22) Los Angeles, California, Amerika Syarikat[1] |
Dikebumikan | Mountain View Cemetery, Oakland, California |
Pekerjaan | Pelayan |
Ibu bapa | Cleo Short (bapa) Phoebe Mae Sawyer (ibu) |
The Black Dahlia merupakan nama timangan yang diberi kepada Elizabeth Short (29 Julai 1924-15 Januari 1947) yang merupakan seorang mangsa pembunuhan warga Amerika. Kes bunuh Short menerima publisiti yang meluas pada tahun 1947. Nama timangan tersebut diberi kepada Short selepas kematiannya oleh pihak akhbar berdasarkan gambaran ngeri kes pembunuhannya. Nama timangan "The Black Dahlia" juga mungkin berasal dari sebuah filem misteri pembunuhan noir, "The Blue Dahlia" yang ditayangkan pada bulan April 1946. Mayat Short dijumpai di dalam keadaan yang ngeri, dengan badannya dipotong kepada dua bahagian pada bahagian pinggang pada 15 Januari 1947 di Leimert Park, Los Angeles, California. Pembunuhan Short yang tidak dapat diselesaikan telah menimbulkan spekulasi yang besar, sejurus menyumbang kepada bilangan suspek yang banyak, beberapa buku, adaptasi filem dan televisyen. Pembunuhan Short merupakan salah satu kes-kes pembunuhan yang tertua (yang tidak dapat diselesaikan) di dalam sejarah Los Angeles.
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Short dilahirkan di Boston dan merupakan anak perempuan ke-3 daripada 5 anak perempuan Cleo dan Phoebe May (Sawyer) Short. Dia membesar di kawasan luar bandar Medford, Massachusetts. Bapa dia merupakan pembina padang golf mini sehingga waktu kejatuhan Wall Street 1929, di mana dia kehilangan duit yang banyak. Pada satu hari tahun 1930, dia memberhentikan keretanya di sebuah jambatan dan semenjak itu, dia dianggap membunuh diri. Phoebe Short dan anak-anaknya berpindah ke sebuah pangsapuri yang lebih kecil dan bekerja sebagai penyimpan kira untuk menampung kehidupan mereka. Tidak lama kemudian, mereka menerima sepucuk surat minta maaf daripada Cleo dan pada masa itu, barulah mereka tahu dia berada di dalam keadaan hidup di California.
Disebabkan gangguan penyakit asma dan bronkitis, Elizabeth Short telah dihantar ke Miami pada umur 16 tahun untuk menghabiskan cuti musim sejuk di sana. Untuk tempoh 3 tahun yang seterusnya, dia tinggal di Florida semasa bulan musim sejuk dan menghabiskan masa yang selebihnya di Medford. Semasa dia berumur 19 tahun, dia memulakan perjalanan ke Vallejo, California untuk tinggal bersama bapanya yang berkerja berdekatan sebuah limbungan kapal Pulau Mare di Teluk San Francisco. Pada awal tahun 1943, Short dan bapanya berpindah ke Los Angeles, tapi kemudiannya meninggalkan bapanya berikutan satu pertengkaran. Dia berkerja di sebuah kedai di kem Cooke, berdekatan Lompoc, California. Selepas itu, dia berpindah ke Santa Barbara, di mana dia ditahan pada 23 September 1943 untuk kesalahan meminum minuman keras di bawah umur. Pihak berkuasa juvana menghantar dia balik ke Medford. Namun begitu, dia sebaliknya pergi ke Florida dan sekali-sekala melawat Massachusetts.
Semasa dia berada di Florida, dia terjumpa Major Matthew Michael Gordon, Jr. yang merupakan seorang anggota tentera udara Amerika Syarikat. Pada ketika itu, dia sedang berlatih dan bersedia untuk Operasi Teater China Burma India. Short memberitahu rakan-rakannya bahawa dia telah menulis surat untuk meminta Short untuk berkahwin dengannya, semasa dia sedang memulihkan diri dari nahas kapal terbang di India. Short bersetuju atas cadangan tersebut, tapi Gordon meninggal dunia di dalam nahas kapal terbang yang kedua pada 10 Ogos 1945, seminggu sebelum Jepun menyerah kalah pada Perang Dunia Kedua.
Short pulang ke Los Angeles pada Julai 1946 untuk melawat Leftenan Joseph Gordon Flicking, yang dia kenali di Florida. Flicking ditempatkan di pangkalan udara rizab tentera laut, Long Beach. Short menghabiskan 6 bulan yang terakhir di selatan California, kebanyakkannya di kawasan Los Angeles.
Semasa dan selepas peristiwa pembunuhan
[sunting | sunting sumber]Pada pagi 15 Januari 1947, mayat bogel Short telah dijumpai dalam dua bahagian di sebuah lot kosong di bahagian barat South Norton Avenue, pertengahan jalan Coliseum dan barat jalan ke-39 Leimert Park, Los Angeles, California. Penduduk tempatan Betty Bersinger menemui mayat tersebut pada pukul 10 pagi semasa dia berjalan bersama anak perempuannya yang berusia 3 tahun. Bersinger pada mulanya, ingat mayat tersebut adalah sebuah patung. Apabila beliau mendapati ia merupakan seorang mayat, dia terus menghubungi pihak polis daripada sebuah rumah yang berdekatan.
Mayat Short telah dikerat pada bahagian pinggang dan juga disalirkan darah sepenuhnya. Mayat tersebut dengan jelasnya telah dibasuh oleh pembunuh Short. Muka Short telah dikelar dari bahagian sudut mulut hingga telinganya, mencipta kesan "senyuman Glasgow". Short mempunyai beberapa luka pada bahagian paha dan buah dada, di mana kesemua bahagian telah dihiris keluar dengan sepenuhnya. Bahagian bawah mayat Short telah diletakkan dalam jarak 1 kaki daripada bahagian atas mayat dan bahagian usus Short telah disusun secara kemas di bawah bahagian punggungnya. Mayat tersebut telah digayakan dengan posisi tangan diletak di bahagian atas kepala, bahagian siku pada sudut 90 darjah dan kakinya terkangkang luas. Para detektif telah menjumpai satu sarung simen berdekatan yang mengandungi cecair darah. Lokasi pembunuhan tersebut juga menunjukkan bekas tumit kaki selain dari kesan tayar.
Sesi autopsi mendedahkan ketinggian Short pada 5 kaki 5 inci, berat badan sebanyak 52 kilogram, bermata biru, berambut coklat dan reput gigi yang teruk. Selain daripada itu, terdapat kesan ikatan di bahagian buku lali, pergelangan tangan dan leher. Tengkorak Short tidak pecah. Akan tetapi, dia mempunyai luka ringan di bahagian depan dan kanan kulit kepala dengan pendarahan di bahagian tengah kepala, selaras dengan kesan pukulan sesuatu objek. Kematian Short disahkan berpunca daripada kecederaan muka dan kepala.
Berikutan penemuan mayat Short, wartawan-wartawan Los Angeles Examiner menghubungi ibunya, Phoebe Short dan memberitahu dia bahawa anaknya telah memenangi pertandingan ratu cantik. Hanya selepas mereka puas menemu ramah dia (untuk mendapatkan sebanyak maklumat yang boleh tentang Short), barulah mereka memberitahu bahawa anaknya telah dibunuh. Pihak akhbar tersebut menawarkan tiket penerbangan dan tempat penginapan kepada ibu Short, sekiranya dia sanggup pergi ke Los Angeles untuk membantu siasatan polis. Ini hanya merupakan satu lagi taktik pihak akhbar untuk melindungi kepentingan mereka agar berita Short dimiliki oleh mereka sahaja. Akhbar William Randolph Hearst, Los Angeles Herald-Express dan Los Angeles Examiner masing-masing mensensasikan berita Short dengan butiran-butiran berikut: Short yang berpakaian sut telah dilihat kali terakhir di dalam pakaian "skirt ketat dan blaus lut sinar", Short dikenali dengan nama "Black Dahlia" dan seorang wanita yang rakus mengejar glamor di Hollywood Boulevard.
Pada 23 Januari 1947, seorang pemanggil yang mendakwa dirinya pembunuh Short telah menghubungi editor Los Angeles Examiner, untuk menyuarakan kerisauan terhadap populariti berita Short. Dia membuat tawaran untuk mengepos barang-barang milik Short kepada editor tersebut. Keesokan harinya, satu paket yang mengandungi sijil kelahiran Short, kad bisnes, fotograf, nama--nama pada kepingan kertas dan sebuah buku alamat dengan nama Mark Hansen di atasnya telah tiba di pejabat Los Angeles Examiner. Hansen, seorang kenalan dari sebuah rumah yang pernah diginapi oleh Short dan kawan-kawannya, terus menjadi suspek utama kes. Terdapat juga orang lain yang mengirim surat kepada pihak akhbar tersebut dengan tandatangan "the Black Dahlia Avenger", selepas nama tersebut diberi oleh pihak akhbar. Pada 25 Januari, beg tangan milik Short dan satu kasut telah dilaporkan dijumpai di atas sebuah tong sampah di belakang lorong berdekatan dengan Norton Avenue. Barang-barang tersebut kemudiannya ditemui di sebuah tempat pembuangan.
Disebabkan populariti kes tersebut, beberapa wanita dan lelaki telah mengakui diri mereka sebagai pembunuh Short. Pihak polis juga menerima banyak maklumat daripada penduduk awam setiap kali pihak akhbar menyebut tentang kes Short, buku atau filem yang berkaitan diterbitkan. Sarjan John P. St. John, seorang detektif yang menyiasat kes tersebut sehingga beliau bersara berkata: "Ia adalah amat menakjubkan mengenai bilangan orang yang menawarkan saudara mereka sebagai suspek kes".
Short dikebumikan di Mountain View Cemetery, Oakland, California. Selepas adik-beradik Short berkahwin, Phoebe Short berpindah ke Oakland untuk tinggal berdekatan kubur anak perempuannya. Dia akhirnya kembali ke bahagian pantai timur pada tahun 1970-an, di mana dia terus hidup sehingga dia berumur 90-an.
Khabar angin dan kesilapan konsep yang popular
[sunting | sunting sumber]Berdasarkan laporan surat khabar, Elizabeth Short diberi nama timangan "Black Dahlia" di sebuah farmasi Long Beach, California pada pertengahan tahun 1946, daripada permainan perkataan di dalam filem "The Blue Dahlia". Laporan siasatan peguam daerah Los Angeles menyatakan bahawa nama timangan tersebut digunakan oleh para wartawan untuk menutup kes pembunuhan tersebut. Wartawan Los Angeles Herald-Express, Bevo Means yang menemu ramah kenalan Short di farmasi itu, telah dikreditkan atas penggunaan nama "Black Dahlia".
Sekumpulan orang, di mana tiada satu pun dari mereka yang mengenali Short, telah menghubungi pihak polis dan akhbar ,dan mendakwa mereka telah melihat Short di dalam "tempoh anggapan di mana Short hilang" antara tarikh kehilangan 9 Januari dan tarikh kematian 15 Januari. Pihak polis dan peguam mengetepikan setiap dakwaan ini dan di dalam sesetengah kes, mereka yang disoal siasat telah tersilap mengenal wanita lain sebagai Short.
Pelbagai buku kisah benar jenayah mendakwa Short tinggal atau melawat Los Angeles pada masa yang berlainan di pertengahan tahun 1940-an. Semua dakwaan ini tidak mempunyai bukti yang kukuh dan ditolak oleh pasukan penyiasat kes. Sebuah dokumen di fail peguam daerah Los Angeles yang bertajuk "Gerak-geri Short sebelum 1 Jun 1946" menyatakan Short berada di daerah Florida dan Massachusetts dari September 1943 hingga awal bulan 1946 dan mempunyai butiran penuh tentang kehidupan dan pekerjaan dalam tempoh ini. Walaupun Short dipaparkan sebagai pelacur oleh kenalan dan penulis buku jenayah.Peguam juri Los Angeles membuktikan bahawa Short tidak pernah terlibat dalam kegiatan pelacuran dan salah faham ini timbul akibat kekeliruan Short dengan satu wanita lain yang mempunyai nama yang sama.
Salah satu khabar angin yang meluas juga menyatakan Short tidak dapat melakukan hubungan seks disebabkan kecacatan kongenital yang menyebabkan sistem pembiakan terbantut. Fail peguam Los Angeles menyatakan sesi soal siasat bersama 3 orang lelaki yang pernah mengadakan hubungan seks dengan Short,termasuklah seorang polis yang merupakan seorang bekas suspek kes. Fail FBI juga mengandungi penyataan daripada salah seorang kekasih Short.Menurut fail yang dijumpai di pejabat peguam daerah dan Jabatan Polis Los Angeles, sesi autopsi Short menunjukkan bahawa Short mempunyai sistem pembiakan normal walaupun tedapat sedikit masalah. Autopsi tersebut juga menunjukkan Short tidak pernah mengandung, berbanding dakwaan sebelum dan selepas kematiannya.
Suspek pembunuhan
[sunting | sunting sumber]Siasatan pembunuhan Short dikendalikan oleh Jabatan Polis Los Angeles. Sebanyak 60 lelaki (anggaran) telah mengakui diri mereka sebagai pembunuh Short. Daripada bilangan tersebut, sebanyak 25 orang dianggap sebagai suspek benar oleh peguam daerah Los Angeles. Semasa tempoh siasatan, beberapa orang telah dikeluarkan dari senarai 25 orang tersebut dan beberapa suspek baru diperkenalkan. Suspek-suspek yang masih berada di dalam senarai perbincangan para penulis dan pakar termasuklah Walter Bayley, Norman Chandler, Leslie Dillon, Joseph A. Dumais, Mark Hansen, Dr. Francis E. Sweeney, George Hill Hodel, kawan Hodel Fred Sexton,[15] George Knowlton, Robert M. "Red" Manley, Patrick S. O'Reilly, dan Jack Anderson Wilson.
Teori dan kes pembunuhan lain yang mungkin berkaitan
[sunting | sunting sumber]Sesetengah pengarang buku jenayah mengesyaki kaitan antara pembunuhan Short dan "Cleveland Torso Murders", yang berlaku antara tahun 1934 dan 1938. Disebabkan jumlah kes pembunuhan yang banyak sebelum dan selepas kematian Short, pihak penyiasat asal turut merujuk kepada kes pembunuhan Cleveland pada tahun 1947 dan selepas itu menolak hubungan antara kedua-dua kes. Walau bagaimanapun, terdapat bukti baru yang mengaitkan bekas suspek kes pembunuhan Cleveland, Jack Anderson Wilson (dikenali sebagai Arnold Smith) dan dia disiasat oleh Sarjan John P. St. John pada tahun 1980. St. John berkata dia hampir menangkap Wilson untuk pembunuhan Short tetapi dia mati di dalam satu kemalangan api pada 4 Februari 1982.
Penulis kisah jenayah, Steve Hodel (anak lelaki kepada George Hill Hodel) dan William Rasmussen telah mengemukakan kaitan antara pembunuhan Short, pembunuhan tahun 1946 dan pengeratan badan Suzanne Degnan yang berumur 6 tahun di Chicago. Kapten Donahoe dari pasukan polis Los Angeles membuat kenyataan secara terbuka bahawa beliau percaya terdapat kaitan antara pembunuhan Short dengan "The Lipstick Murders". Antara bukti-bukti yang dikemukakan oleh beliau adalah mayat Short telah dijumpai di Norton Avenue, 3 blok dari timur Degnan Boulevard. Degnan merupakan nama akhir budak perempuan Chicago. Terdapat persamaan antara nota ugut Degnan dengan "The Black Dahlia Avenger".Kedua-dua kes menggunakan kombinasi huruf besar dan kecil (nota ugut Degnan berbunyi "BuRN This FoR heR SAfTY"):BRTFRRSTY dan mengandungi huruf "P" yang cacat dan satu perkataan yang mirip sepenuhnya.Pembunuh bersiri, William Heirens yang telah disabitkan kesalahan dan meringkuk di dalam penjara seumur hidup, yang ditangkap pada umur 17 tahun untuk pencerobohan sebuah rumah mendakwa dia telah didera oleh pihak polis, dipaksa untuk mengaku dan dijadikan kambing hitam untuk kes pembunuhan Degnan.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- https://en.wikipedia.org/wiki/Black_Dahlia (versi bahasa Inggeris)
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- The FBI's Black Dahlia files from the FBI's Freedom of Information Act site.
- "Somebody Knows" episode a 1950 radio program on the case.
- "Black Dahlia". Find a Grave. Dicapai pada June 10, 2013.
- The Black Dahlia (filem)
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamasevered