Pergi ke kandungan

Biota Ediakara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kehidupan sewaktu Zaman Ediakara seperti yang dibayangkan oleh para penyelidik sekitar era 1980-an.

Biota Ediakara (sebelum ini dikenali sebagai biota Vendia) merupakan sebuah klasifikasi tempoh taksonomi yang terdiri daripada semua bentuk kehidupan yang terdapat di Bumi semasa tempoh Ediakara (s. 635–538.8 juta tahun dahulu (jtd)). Biota tersebut adalah terdiri daripada organisma-organisma yang berbentuk tiub dan pelepah, dengan kebanyakannya tidak dapat bebas bergerak.[1][2] Terdapat sebilangan jejak fosil biota tersebut ditemui di seluruh dunia, dan jejak-jejak fosil tersebut memberi indikasi kepada kewujudan organisma multisel kompleks terawal yang diketahui. Istilah "biota Ediakara" telah menerima kritikan daripada beberapa ahli sains kerana penggunaan istilah tersebut yang tidak konsisten, mengecualikan sesetengah fosil sewenang-wenangnya, dan tidak berupaya untuk ditakrif dengan tepat.[3]

Tikar sianobakteria-rumpai moden yang ditemui pada tasik masin di tepi pantai Laut Putih

Biota Ediakara mungkin telah mengalami pancaran evolusi dalam satu peristiwa yang berlaku sekitar 575 jtd dengan nama cadangannya letupan Avalon.[4][5] Peristiwa ini berlaku sejurus Bumi bebas daripada pengglasieran menyeluruh pada tempoh Kriogen. Biota Ediakara ini sebahagian besarnya hilang sejurus berlakunya peristiwa perkembangan pesat biodiversiti yang dikenali sebagai letupan Kambria. Kebanyakan pelan badan haiwan yang wujud pada masa kini sudah muncul dalam rekod fosil pada tempoh Kambria bukannya tempoh Ediakara. Hal ini bermakna biota makroorganisma pada tempoh Kambria dijangka telah menggantikan hampir kesemua organisma yang berdominasi pada rekod fosil tempoh Ediakara, walaupun hubungan antara biota-biota pada kedua-dua tempoh geologi tersebut masih diperdebatkan.

Fosil Charniodiscus hampir tidak dapat dibezakan daripada tekstur "kulit gajah" pada acuan tersebut.

Organisma-organisma tempoh Ediakara paling awal muncul sejak sekitar 600 jtd dan berkembang pesat sehingga fosil organisma tersebut lesap jejaknya sewaktu fasa peralihan yang berdekatan tempoh Kambria sekitar 538.8 jtd. Komuniti Ediakara yang berpelbagai spesiesnya ditemui pada tahun 1995 di Sonora, Mexico, ditarikhkan kira-kira 555 juta tahun, kira-kira sama dengan tempoh masa fosil Ediakara yang ditemui pada Bukit Ediacara di Australia Selatan dan Laut Putih di pantai Rusia.[6][7][8] Walaupun terdapat fosil saki baki biota Ediakara yang dijumpai selewat pertengahan tempoh Kambria (510–500 jtd), komuniti fosil Ediakara yang tinggi biodiversitinya hilang daripada rekod pada penghujung tempoh Ediakara sehingga hanya meninggalkan sedikit sahaja serpihan ekosistem yang pernah berkembang.[9] Pelbagai hipotesis wujud untuk menjelaskan kehilangan biota ini, termasuk kepincangan bukti dari aspek pemeliharaan, persekitaran yang berubah-ubah, kemunculan pemangsa, serta terdapatnya persaingan kemandirian dengan bentuk hidupan lain. Suatu pensampelan stratum Ediakara Akhir merentasi Baltica (< 560 jtd) yang dilaporkan pada tahun 2018 telah mencadangkan terdapat proses diversifikasi organisma, bertepatan dengan keadaan-keadaan yang berkaitan rapat dengan produktiviti keseluruhan yang rendah, daripada produktiviti keseluruhan tersebut tinggi peratusan produktiviti disumbang oleh bakteria, yang seterusnya mungkin membawa kepada kepekatan tinggi bahan-bahan organik terlarut di lautan.[10]

Rekonstruksi biota Ediakara di Muzium Field di Chicago
Pena laut, sejenis knidaria moden yang mempunyai persamaan dengan Charnia

Proses pengkategorian organisma Ediakara pada pokok kehidupan telah terbukti mencabar; malah tidak dapat dipastikan bahawa kebanyakan daripada mereka adalah haiwan, dengan terdapat cadangan yang mereka merupakan sejenis kulampair (simbion kulat-alga), alga, protista yang dikenali sebagai foraminifera, kulat atau koloni mikrob, atau makluk perantaraan antara tumbuhan dan haiwan.[11] Morfologi dan tabiat beberapa taksa (cth. Funisia dorothea) mencadangkan terdapatnya hubungan biota Ediakara dengan Porifera atau Cnidaria (cth genus Auroralumina ).[12][13][14] Genus Kimberella pula mungkin menunjukkan persamaan dengan moluska, dan terdapat organisma lain yang dianggap mempunyai simetri dua hala walaupun bersifat kontroversi. Kebanyakan fosil makroskopik berbeza secara morfologi daripada bentuk hidupan pada tempoh masa kemudian, ini kerana fosil-fosil tersebut menyerupai bentuk cakera, tiub, beg berisi lumpur atau tilam bergegebar. Disebabkan oleh kesukaran untuk menyimpulkan hubungan evolusi antara organisma-organisma tersebut, beberapa ahli paleontologi telah mencadangkan bahawa organisma-organisma tersebut mewakili susur galur yang telah pupus sepenuhnya yang tidak menyerupai mana-mana organisma hidup. Ahli paleontologi Adolf Seilacher mencadangkan sebuah kategori peringkat subalam berasingan yakni subalam Vendozoa (kini dinamakan semula sebagai subalam Vendobionta)[15] dalam hierarki Linnaeus untuk biota Ediakara. Jika organisma-organisma misteri tersebut tidak ada keturunan, bentuk anehnya mungkin dilihat sebagai "eksperimen yang gagal" dalam kehidupan multisel, dengan kehidupan multisel kemudiannya berkembang secara bebas daripada organisma bersel tunggal yang tidak berkaitan.[16] Kajian pada tahun 2018 mengesahkan bahawa salah satu fosil yang paling menonjol dan ikonik pada zaman itu iaitu Dickinsonia mempunyai kolesterol,[17] dan hal ini mencadangkan terdapat pertalian antara biota ini dengan haiwan, kulat atau alga merah.[18]

Xenofiofora bersel tunggal di Jurang Galapagos
  1. ^ Watson, Traci (28 October 2020). "These bizarre ancient species are rewriting animal evolution". Nature (news). 586 (7831): 662–665. Bibcode:2020Natur.586..662W. doi:10.1038/d41586-020-02985-z. PMID 33116283.
  2. ^ Stratigraphic chart 2022 (PDF) (Laporan). International Stratigraphic Commission. February 2022. Dicapai pada 22 April 2022.
  3. ^ MacGabhann, Breandán Anraoi (January 2014). "There is no such thing as the 'Ediacara Biota'". Geoscience Frontiers. 5 (1): 53–62. doi:10.1016/j.gsf.2013.08.001. Dicapai pada 12 March 2023. |hdl-access= requires |hdl= (bantuan)
  4. ^ "Two explosive evolutionary events shaped early history Of multicellular life" (Siaran akhbar). January 2008.
  5. ^ Shen, Bing; Dong, Lin; Xiao, Shuhai; Kowalewski, Michał (2008). "The Avalon explosion: Evolution of Ediacara morphospace". Science. 319 (5859): 81–84. Bibcode:2008Sci...319...81S. doi:10.1126/science.1150279. PMID 18174439.
  6. ^ McMenamin, M.A.S. (14 May 1996). "Ediacaran biota from Sonora, Mexico". Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America. 93 (10): 4990–4993. Bibcode:1996PNAS...93.4990M. doi:10.1073/pnas.93.10.4990. PMC 39393. PMID 11607679.
  7. ^ McMenamin, M.A.S. (2018). Deep Time Analysis: A Coherent View of the History of Life. Cham, Switzerland: Springer Geology. ISBN 978-3-319-74255-7.
  8. ^ Narbonne, Guy (2008). "The Gaskiers glaciation as a significant divide in Ediacaran history and stratigraphy". 33rd International Geological Congress. Oslo. http://www.cprm.gov.br/33IGC/1342961.html.
  9. ^ Conway Morris, Simon (1993). "Ediacaran-like fossils in Cambrian Burgess Shale–type faunas of North America". Palaeontology. 36 (31–0239): 593–635.
  10. ^ Bekker, Andrey; Sokur, Tetyana; Shumlyanskyy, Leonid; Christopher K. Junium; Podkovyrov, Victor; Kuznetsov, Anton; Love, Gordon D.; Pehr, Kelden (4 May 2018). "Ediacara biota flourished in oligotrophic and bacterially dominated marine environments across Baltica". Nature Communications. 9 (1): 1807. Bibcode:2018NatCo...9.1807P. doi:10.1038/s41467-018-04195-8. ISSN 2041-1723. PMC 5935690. PMID 29728614. Unknown parameter |displayauthors= ignored (bantuan)
  11. ^ Pflug (1973). "Zur fauna der Nama-Schichten in Südwest-Afrika. IV. Mikroscopische anatomie der petalo-organisme". Palaeontographica (B144): 166–202.
  12. ^ Droser, M.L.; Gehling, J.G. (21 March 2008). "Synchronous aggregate growth in an abundant new Ediacaran tubular organism". Science. 319 (5870): 1660–1662. Bibcode:2008Sci...319.1660D. doi:10.1126/science.1152595. PMID 18356525.
  13. ^ Dunn, F.S.; Kenchington, C.G.; Parry, L.A.; Clark, J.W.; Kendall, R.S.; Wilby, P.R. (25 July 2022). "A crown-group cnidarian from the Ediacaran of Charnwood Forest, UK". Nature Ecology & Evolution. 6 (8): 1095–1104. doi:10.1038/s41559-022-01807-x. PMC 9349040 Check |pmc= value (bantuan). PMID 35879540 Check |pmid= value (bantuan).
  14. ^ Amos, Jonathan (25 July 2022). "Ancient fossil is earliest known animal predator". bbc.co.uk. BBC News. Dicapai pada 7 August 2022.
  15. ^ Seilacher, A. (1992). "Vendobionta and Psammocorallia: lost constructions of Precambrian evolution". Journal of the Geological Society, London. 149 (4): 607–613. Bibcode:1992JGSoc.149..607S. doi:10.1144/gsjgs.149.4.0607.
  16. ^ Narbonne, Guy (June 2006). The Origin and Early Evolution of Animals. Department of Geological Sciences and Geological Engineering. Queen's University. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-07-24. Dicapai pada 2016-09-08.
  17. ^ Bobrovskiy, Ilya; Hope, Janet M.; Ivantsov, Andrey; Nettersheim, Benjamin J.; Hallmann, Christian; Brocks, Jochen J. (21 September 2018). "Ancient steroids establish the Ediacaran fossil Dickinsonia as one of the earliest animals". Science. 361 (6408): 1246–1249. Bibcode:2018Sci...361.1246B. doi:10.1126/science.aat7228. ISSN 0036-8075. PMID 30237355. |hdl-access= requires |hdl= (bantuan)
  18. ^ Gold, D.A. (2018). "The slow rise of complex life as revealed through biomarker genetics". Emerging Topics in Life Sciences. 2 (2): 191–199. doi:10.1042/etls20170150. PMID 32412622.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]
  • Derek Briggs; Peter Crowther, penyunting (2001). Palæobiology II: A synthesis. Malden, MA: Blackwell Science. m/s. Chapter 1. ISBN 978-0-632-05147-2. OCLC 43945263. — Excellent further reading for the keen – includes many interesting chapters with macroevolutionary theme.
  • McMenamin, M.A.S. (1998). The Garden of Ediacara: Discovering the first complex life. New York: Columbia University Press. ISBN 978-0-231-10558-3. OCLC 3758852. — A popular science account of these fossils, with a particular focus on the Namibian fossils.
  • Wood, R.A. (June 2019). "The rise of animals: New fossils and analyses of ancient ocean chemistry reveal the surprisingly deep roots of the Cambrian explosion". Scientific American. Jil. 320 no. 6. m/s. 24–31.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  • Ediacara Biota on In Our Time at the BBC, 2009, radio program