Pergi ke kandungan

Anjing McNab

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing McNab
Nama lainAnjing gembala McNab
Anjing ternakan McNab
Collie McNab
Negara asalAmerika Syarikat
Trait
Berat Jantan 35–65 lb (16–29 kg)
Betina 30–50 lb (14–23 kg)
Tinggi Jantan 18–25 in (46–64 cm)
Betina 16–21 in (41–53 cm)
Bulu Licin, pendek, atau sederhana
Warna Hitam, merah, atau kuning bulu dengan tanda-tanda putih, dan triwarna
Jangka hayat 13–15 tahun
Pengelasan dan piawaian
Tidak oleh mana-mana kelab kenel utama
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing McNab,[a] juga dikenali sebagai anjing gembala McNab atau collie McNab, ialah anjing gembala yang berasal dari Hopland, Kaunti Mendocino, California Utara. Anjing McNab dibiakbakakan untuk menahan keadaan sukar yang terdapat di California seperti haba, gerigis, sekoi, dan rupa bumi lasak. Sehingga baru-baru ini, anjing McNab kurang terkenal di luar California, tetapi, dalam tiga dekad terakhir, telah menyaksikan peningkatan kepopularan dan penyebaran geografi bagi baka ini.

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Penampilan anjing McNab dapat berbeza-beza. Anjing ini bersaiz sederhana dengan betina yang berdiri setinggi 16–21 inci (41–53 cm) pada paras bahu dan berukuran seberat 30–50 paun (14–23 kg) dan jantan yang berdiri setinggi 18–25 inci (46–64 cm) pada paras bahu dan berukuran seberat 35–65 paun (16–29 kg). Anjing ini mempunyai pelbagai set telinga daripada telinga mencucuk hingga telinga terkelepai dan segala-galanya antara kedua-dua itu. Ekornya sama ada pendek (kontot secara semula jadi atau mekanikal) atau panjang. Anjing McNab terdapat dengan warna hitam, merah, kuning buluh, biru, ungu lembut, dan sabel dengan variasi-variasi warna padu, putih tambahan atau putih dan sawo matang tambahan (triwarna). Matanya cukup renggang, berbentuk badam, dan berwarna perang, hazel, atau tembaga. Lapis bulu anjing McNab adalah rapat, padat, dan tahan cuaca. Ia dapat mempunyai lapis bulu pendek tunggal licin, lapis bulu ganda pendek, atau lapis bulu tunggal sederhana panjang, tetapi helaian bulunya tidak pernah panjang. Salah satu ciri distingtif anjing McNab ialah kaki mirip kucing, yang menyumbang kepada ketangkasannya.[1]

Status baka

[sunting | sunting sumber]

Anjing McNab buat masa ini tidak diiktiraf sebagai baka terpiawai oleh mana-mana kelab anjing utama, termasuk American Kennel Club (AKC).

Pada tahun 2014, sekumpulan pembiak baka dan penggemar anjing gembala McNab telah mengasaskan McNab Shepherd Registry (MSR). Menurut MSR, matlamat mereka adalah untuk meneruskan penambahbaikan, kemajuan, dan kebajikan anjing gembala McNab. MSR ialah sesuatu yang dikenali sebagai "pejabat pendaftaran pengasas" kerana mereka secara eksklusif menggunakan penanda-penanda genetik yang ditemukan dan pengesahan DNA untuk pendaftaran.

Mulai tahun 2014, MSR bekerja dengan Mars Veterinary dalam sebuah kajian dalam percubaan untuk mengasaskan tunjuk tanda genetik unik untuk anjing gembala McNab. Sampel-sampel yang dikumpulkan daripada anjing McNab di seluruh Amerika Syarikat dinilai untuk tunjuk tanda genetik masing-masing dan didapati menyokong pewujudkan tunjuk tanda baka unik untuk anjing McNab. Selain itu, anjing teruji juga dinilai untuk trait-trait fizikal tertentu dan lebih daripada 100 mutasi penyebab penyakit untuk membantu mewujudkan garis asas untuk ini dalam populasi anjing McNab.[2]

Dua ekor anjing gembala McNab merah dan putih

Anjing gembala McNab memerlukan lebih banyak senaman fizikal dan rangsangan mental harian berbanding dengan banyak baka lain. Anjing McNab pekerja kerap berlari sejauh berbatu-batu sehari dan menggunakan kemahiran penggembalaannya untuk mengawal haiwan ternakan dan ia dapat menjadi resah jika terasing atau terabai. Tidak seperti sesetengah baka gembala lain, anjing McNab adalah tidak hiperaktif. Asalkan anjing McNab melalui banyak senaman, ia berpuas hati untuk tidur di sisi pemiliknya dengan mata berjaga-jaga dan pelindung.

Anjing McNab kerap terikat dengan erat dengan ahli keluarganya, termasuk haiwan peliharaan lain dalam isi rumah. Ia mempunyai rasa wilayah yang tajam dan jarang merayau menjauh dari rumah. Ia juga lebih berkemungkinan untuk mempertahankan wilayah dan ahli keluarganya berbanding dengan banyak baka gembala yang lebih sensitif.

Anjing McNab dapat menjadi tegas dan kuat menuntut dan ia berprestasi terbaik dengan penjaga yang tegas, tekal, dan mahir dalam kaedah positif pelatihan anjing yang tidak mencetuskan naluri anjing McNab untuk menolak halangan. Anjing McNab, yang amat cerdas dan cepat belajar, perlu menyenamkan otaknya sama seperti tubuhnya. Keluarga yang mempertimbangkan anjing McNab sebagai anjing peliharaan perlu memperuntukkan banyak masa untuk diluangkan bersama dengan anjing mereka.[3]

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]
Anjing gembala McNab triwarna

Anjing McNab ialah anjing tahan lasak tanpa masalah kesihatan spesifik baka. Purata jangka hayatnya ialah 13–15 tahun.

Anjing McNab mungkin membawa gen mutan MDR1 dan dapat menjadi sangat peka terhadap ivermektin yang merupakan ramuan lazim dalam ubat-ubatan pencegahan cacing jantung. Ubat ini dan yang lain-lain dapat menyebabkan masalah kesihatan serius atau bahkan kematian.[4] Ujian DNA yang menunjukkan sama ada seseekor anjing mempunyai mutasi itu tersedia melalui Kolej Perubatan Veterinar Universiti Negeri Washington. Ujian ini dapat diselesaikan dengan mengirimkan sapuan pipi melalui pos.[5]

Anjing McNab mempunyai gaya penggembalaan bermata longgar dan cenderung untuk bekerja dengan lebih bebas daripada banyak baka gembala. Ia mahir dalam kedua-dua penggiringan dan penumitan haiwan ternakan, yang bermakna bahawa ia dapat mengubah haiwan ternakan dari hadapan atau berada di belakan haiwan ternakan dan menggiring haiwan ternakan tersebut ke hadapan. Dengan asal usul pembiakbakaan untuk menggembala biri-biri, pengendali haiwan ternakan secepatnya mendapati bahawa sifat berani dan kebolehan kerja anjing McNab menjadikannya unggul untuk penggembalaan lembu. Anjing McNab juga digunakan untuk penggembalaan angsa, kambing, llama, dan pengumpulan kuda dari padang ragut. Anjing McNab, yang terkenal dengan daya ketahanan luar biasanya, telah menjadi terkenal kerana menempuh jarak lebih daripada seratus batu sehari untuk menggiring kawanan ternakannya.[6]

Anjing McNab menjadi semakin popular dalam dunia sukan anjing. Kehebatan dan ketangkasan olahraga cemerlangnya sekali dengan kecerdasan tinggi menjadikannya pesaing unggul. Anjing McNab kini berjaya bertanding dalam ujian ketangkasan, penyelaman limbungan, pertandingan anjing cakera, penggembalaan, lure coursing, penarikan kereta luncur salji anjing, skijoring, dan flyball. Ia juga merupakan pesaing luar biasa dalam perburuan bangsal dan kerja hidung. Ramai peladang ranco bersaing dengan anjing McNab dalam sukan penggembalaan anjing ranco yang agak baru, iaitu apabila anjing dan pengendali berkuda bekerja sebagai satu pasukan untuk menggembala tiga ekor lembu melalui lima halangan dan kemudian ke dalam treler haiwan ternakan.[7]

Anjing gembala McNab hitam dan putih

Reputasi anjing McNabssebagai anjing "segala cuaca" yang tidak kenal lelah juga membuka jalan kerja baharu untuk anjing ini: Pencarian dan penyelamatan. Buat masa ini, anjing McNab bekerja sebagai anjing pencari bukti, anjing kadaver, anjing arkeologi, dan anjing penggeledahan kawasan untuk orang hilang. Apabila banyak baka lain terpaksa dikeluarkan daripada pencarian kerana anjing tersebut penat, satu-satunya batas untuk anjing McNab ialah paras tenaga pengendalinya.

Sebagai tambahan kepada kegiatan di atas, anjing McNab kini menjadi lebih lazim sebagai anjing khidmat, yang menunjukkan kepekaan terhadap keperluan perubatan dan psikologi manusia.

Alexander McNab meninggalkan tanah air beliau Scotland pada lewat abad ke-19, untuk berumah ladang di ranco biri-biri seluas 10,000 ekar yang terletak di Sanel Rancho, yang kemudian menjadi Hopland, California. Dalam pencarian untuk mengembangkan anjing gembala yang dapat menangani keadaan mencabar di ranco beliau. McNab dengan sesuai memanggil anjing beliau "McNab Shepherd" ("anjing gembala McNab").

Pada awal tahun 1900-an, McNab yang sudah tua menyerahkan ranco itu kepada anak bongsu beliau, John McNab, iaitu seorang peguam dan penjaga ternakan yang menghidupkan semula gaya pembiakbakaan bapa beliau. Penghalusan anjing gembala McNab diteruskan dan anjing tambahan diimport dari Scotland untuk tujuan pembiakbakaan dan perladangan ranco.[8]

Lama-kelamaan, anjing McNab terbukti sebagai anjing gembala unggul yang padanya peladang ranco California mula bergantung dengan yakin. Kini, baka ini tersebar ke seluruh Amerika Syarikat dan Kanada dengan segelintir anjing McNab yang bekerja sebagai anjing haiwan ternakan di Jerman dan sesetengah anjing McNab sukan di Jepun.

  1. ^ Jawi: انجيڠ مکنب; bahasa Inggeris: McNab dog; mcnab
  1. ^ Christine Hartnagle Renna (2008). Herding Dogs: Selecting and Training the Working Farm Dog (dalam bahasa Inggeris). Kennel Club Books. m/s. 52. ISBN 978-1593787370.
  2. ^ "The McNab Genetic Study". McNab Shepherd Registry (dalam bahasa Inggeris). Mcnabshepherdregistry.com. Dicapai pada 2 April 2024.
  3. ^ Carol Davis (2007). Farm Dogs: A Celebration of the Farm's Hardest Worker (dalam bahasa Inggeris). Voyageur Press. m/s. 14. ISBN 978-0760328019.
  4. ^ Lowell J. Ackerman (1999). The Genetic Connection: A Guide to Health Problems in Purebred Dogs (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Hospital Haiwan Amerika. m/s. 111. ISBN 978-0941451932.
  5. ^ "Breeds affected by the MDR1 mutation" (dalam bahasa Inggeris). Kolej Perubatan Veterinar Universiti Negeri Washington. Dicapai pada 2 April 2024.
  6. ^ Janet Vorwald Dohner (2016). Farm Dogs: A Comprehensive Breed Guide to 93 Guardians, Herders, Terriers, and Other Canine Working Partners (dalam bahasa Inggeris). Storey Publishing. m/s. 219. ISBN 978-1612125923.
  7. ^ Jeanne Joy Hartnagle-Taylor (2014). Herding Dogs of the World: 107 Breeds From Around the Globe (dalam bahasa Inggeris). Rope the Moon Publishing. m/s. 79. ISBN 978-0989880084.
  8. ^ Justine Frederiksen (5 Mac 2016). "Meet Ukiah's craft canine: the McNab Shepherd". Ukiah Daily Journal (dalam bahasa Inggeris). Ukiah, California, Amerika Syarikat. Dicapai pada 2 April 2024.