Akbar Agung
Akbar | |
Nama: | Jalaluddin Muhammad Akbar |
Jawatan: | Maharaja Empayar Mughal |
Tarikh lahir: | 15 Oktober 1542 |
Tempat lahir: | Umarkot, Sindh |
Tarikh kematian: | 27 Oktober 1605 |
Diganti oleh: | Jahangir |
Pasangan: |
Jodhabai (?) atau Jodhi Bibi |
Anak-anak: |
Jahangir (L) |
Jalaluddin Muhammad Akbar (Parsi: جلال الدین محمد اکبر), (panggilan lain termasuklah Jellaladin, Celalettin) juga dikenali sebagai Akbar Agung (Akbār-e-Azam) (15 Oktober, 1542 – 15 Oktober, 1605) adalah anak kepada Humayun yang telah menjadi pemerintah Empayar Mughal daripada 1556 hingga 1605.
Walaupun hanya berumur 13 tahun ketika menaiki takhta, namun beliau dianggap sebagai pemerintah yang teragung dan terhebat bagi Empayar Mughal. Dalam tempoh pemerintahannya, beliau telah berjaya menghapuskan ancaman daripda Sher Shah (seorang Afghan yang pada satu ketika berjaya merampas kuasa daripada ayah beliau, Humayun daipada 1540-1555), di samping mengalahkan Hemu, seorang pemerintah Hindu dalam Pertempuran Panipat yang Pertama. Selain daripada itu, beliau juga dapat mengukuhkan kedudukan beliau dengan memansuhkan pembayaran cukai jizyah kepada orang bukan Muslim dan berjaya mendapatkan perhatian pemerintah kasta Rajput yang amat berkuasa, dengan mengahwini seorang puteri Rajput.
Bagaimanapun, sumbangan Akbar yang paling diingati adalah terhadap kesenian dan agama di India. Beliau memulakan sejumlah besar penulisan sastera, termasuklah Akbar-nama dan Ain-i-Akbari, dan mengumpulkan pelbagai karya seni dari seluruh pelusuk dunia untuk disimpan didalam koleksi Empayar Mughal. Tidak ketinggalan, Akbar telah memerintahkan pembinaan bangunan-bangunan yang mengkagumkan, termasuklah Panj Mahal. Dikenali dengan ketoleransian terhadap agama-agama yang lain, Akbar telah memelihara kuil-kuil hindu. Beliau juga telah mengadakan debat agama di mana para ulama' memperdebatkan masalah keagamaan dengan mubaligh agama-agama yang lain. Di samping itu, Akbar telah memperkenalkan agamanya sendiri iaitu Din-i-Ilahi "Agama Tuhan". Oleh sebab agama itu dilihat hanya untuk memuja dan mengagungkan dirinya sendiri, agama itu tidak mendapat sambutan dan lenyap dengan singkat selepas kematiannya.
Awal kehidupan
[sunting | sunting sumber]Akbar dilahirkan di Umarkot, Sind, hasil perkahwinan antara Maharaja Mughal Humayun dan isteri pertamannya, iaitu Hamida Banu Begum pada 15 Oktober, 1542. Pada 1540, Humayun tinggal dalam buangan setelah mengalami kekalahan dalam beberapa pertempuran dengan pemimping Afghan Sher Shah. Akbar tidak pergi ke Parsi bersama dengan orang tuanya, tetapi sebaliknya dibesarkan seketika oleh bapa saudaranya Askari dan isterinya di kawasan yang susah, Afghanistan, tidak pula di Parsi yang penuh dengan kemewahan dan kesenangan. Beliau menghabiskan masa remajanya dengan mempelajari cara untuk berburu, bertempur, tetapi tidak pernah belajar untuk membaca dan menulis. Bagaimanapun, Akbar membesar dan menjadi matang sebagai seorang pemimpin yang berfikiran luas, mempunyai minat yang mendalam terhadap kesenian, seni bina dan muzik, dan mempunyai visi yang luas yang sanggup bertoleransi dengan pelbagai pandangan.
Berikutan dengan kekacauan akibat dari perwarisan takhta Islam Shah daripada ayahnya, Sher Shah, Humayun menguasai semula Delhi pada 1555, dengan mengetuai pasukan tentera yang sebahagiannya disediakan oleh sekutu Parsinya, Shah Tahmasb. Hanya beberapa bulan selepas itu, Humayun meninggal dunia dalam satu insiden. Akbar menggantikan ayahnya pada 14 Februari, 1556, di tengah-tengah situasi dalam peperangan menentang Sikandar Shah untuk menebus hak sebagai pewaris takhta Mughal. Akhirnya, Akbar yang ketika itu berusia 13 tahun berjaya dan diistiharkan sebagai "Shahanshah" ("Raja Bagi Segala Raja" di dalam bahasa Parsi).
Pada 5 November 1556, 80km ke utara Delhi, seangkatan Tentera Mughal menewaskan sebuah tentera Hindu yang dipimpin Jeneral Hemu demi menyerahkan Akbar takhta India di Pertempuran Panipat Kedua.
Ketika Akbar manaiki takhta, hanya sebahagian kecil bekas jajahan Kerajaan Mughal masih dibawah takluknya, lalu baginda bernekad untuk mengembalikan kawasan-kawasan lama itu ke dalam kuasa Mughal. Baginda meluaskan Kerajaan Mughal dengan penaklukan Malwa (1562), Gujarat (1572), Benggala (1574), Kabul (1581), Kashmir (1586), dan Kandesh (1601), dan beberapa negeri yang lain. Untuk setiap negeri itu, baginda meletakkan seorang wizurai baru, yang mana baginda mengawal pentadbiran mereka.
Akbar tidak berhajat untuk membiarkan para menterinya terlalu berpusat di Delhi, lalu baginda memindahkan kementeriannya ke Fatehpur Sikri, berdekatan Agra, namun apabila langkah ini terbukti tidak mencapai matlamat, baginda menubuhkan "kerajaan bergerak" supaya dapat memerhatikan perkembangan di dalam negaranya. Baginda menggalakkan perdagangan dan telah membahagikan tanah-tanah untuk memudahkan urusan percukaian. Baginda turut menitahkan agar para pengutip cukai tidak mengambil cukai lebih daripada yang sepatutnya.
Pertelingkahan dengan Hemu
[sunting | sunting sumber]Pada awal pemerintahan Akbar, beliau mengambil keputusan untuk menghapuskan ancaman daripada dinasti Sher Shah dan juga mengepalai askar untuk menentang yang terkuat di antara tiga musuhnya, iaitu Sikandar Shah Suri, di Punjab. Beliau meninggalkan kota Delhi di bawah pemerintahan pemangkunya Tardi Beg Khan.
Sikandar Shah Suri tidak berapa mengambil perhatian terhadap Akbar, seringkali dia berundur apabila dihampiri oleh Akbar. Bagaimanapun, Hemu, seorang pahlawan Hindu yang berkasta rendah, telah melancarkan serangan mengejut ke atas Tardi Beg Khan yang tidak bersedia dan menyebabkan Tardi terpaksa berundur dari Delhi. Hemu, yang melancarkan serangan bagi pihak Adil Shah Suri, salah seorang daripada saudara Sikandar, di samping telah berjaya memenangi 22 pertempuran secara berturut-turut, melantik dirinya sendiri sebagai raja, iaitu Raja Vikramaditya.
Khabar tentang penyerahan Delhi tersebar dengan cepat sekali ke pemerintah Mughal itu. Beliau telah dinasihatkan supaya berundur dahulu ke Kabul, yang secara umumnya agak selamat. Bagaimanapun, Bairam Khan mempunyai pandangan yang berbeza dan mendesak Akbar supaya menentang penceroboh dan mendapatkan kembali pusat pentadbiran mereka itu. Akbar bersetuju dengan Bairam, dan meneruskan kemaraan ke Delhi. Untuk menaikkan moral askar-askarnya, Akbar mengambil langkah yang pelik dengan mengarahkan salah seorang askarnya supaya membuat/mereka imej Hemu, yang mana imej itu akan diisi dengan serbuk bedilan dan akan dibakar. Semasa perjalanannya, beliau telah disertai oleh Tardi Beg Khan dan askarnya yang ikut berundur. Tardi menasihatkan Akbar supaya berundur ke Kabul tetapi telah ditolak oleh beliau. Tardi akhirnya telah dihukum mati oleh Bairam Khan atas tuduhan pengecut, walaupun Abu Fazl dan Jahangir merekodkan bahawa mereka percaya tindakan Bairam menggunakan isu pengunduran ke Kabul adalah untuk menghapuskan pesaingnya itu.
Askar Akbar berjaya menewaskan Hemu yang ternyata mempunyai jumlah tentera yang lebih besar dalam Pertempuran Panipat yang Kedua, yang terletak 50 batu dari Delhi pada 5 November 1556. Satu panah telah menusuk ke mata Hemu. Dia telah dibawa kehadapan Akbar dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah dipancung. Sesetengah sumber mengatakan bahawa Bairam sebenarnya yang memancung Hemu. Kepala Hemu telah dihantar ke Kabul manakala badannya telah dipamerkan di sebuah tiang gantung yang disediakan istimewa untuk tujuan ini. Lebih ngeri lagi, Akbar telah mengikut tradisi Khanate yang terdahulu, seperti Genghis Khan, dengan membina "tiang kemenangan" yang diperbuat daripada kepala askar-askar musuhnya yang terbunuh.
Akbar telah mendapat lebih daripada 1,500 Gajah Perang dalam kemenangan itu. Gajah-gajah perang itu kemudiannya digunakan untuk menentang Sikandar Shah pada waktu pengepungan di Mankot. Sikandar menyerah diri dan terselamat daripada dibunuh oleh beliau. Dia hidup hingga dua tahun selepas itu di sebuah kawasan yang dikurniakan oleh Akbar. Pada 1557, ancaman terakhir terhadap Akbar ialah Adil Shah, saudara kepada Sikandar. Adil Shah terbunuh dalam satu pertempuran di Bengal. Serentak dengan itu, seluruh Hindustan berada di dalam tangan Akbar walaupun ketika itu beliau baru berumur 15 tahun.
Bairam Khan
[sunting | sunting sumber]Akbar hanya berumur 13 tahun ketika menjadi maharaja. Maka, general beliau telah memangku tugas memerintah sehingga beliau dewasa. Pemangku maharaja ialah Bairam Khan, seorang bangsawan Syiah Turkoman yang telah berjaya menyelesaikan masalah pertikaian tentang takhta dan meningkatkan disiplin di kalangan tentera Mughal. Beliau memastikan yang kuasa pemerintah sentiasa dipusatkan dan mampu untuk mengembangkan sempadan empayar dengan arahan dari ibu kota. Langkah ini diambil untuk memperkukuhkan Empayar Mughal yang baru sahaja pulih.
Penghormatan yang diberi kepada pemangku raja itu, bukanlah secara keseluruhan. Ramai orang telah merancang plot untuk membunuhnya. Banyak penulisan telah mengkritik beliau, terutama dari segi agamanya. Kebanyakan yang tinggal di istana adalah Sunni, Bairam pula adalah seorang Syiah. Justeru itu, beliau tidak disukai oleh orang kebanyakan. Bairam maklum tentang hal ini dan melantik seorang syeikh Syiah, Gadai sebagai ketua pentadbiran, satu daripada peranan yang agak penting di dalam empayar. Malahan, Bairam kelihatan agak bermewah-mewah dan berlebih-lebihan dalam kehidupannya berbanding Akbar.
Antara yang paling kuat menentang Bairam adalah Maham Anga, ibu saudara Akbar, ketua jururawat dan juga ibu kepada saudara angkatnya, Adham Khan. Maham bijak dan berharap untuk memerintah secara proksi melalui abang Akbar, Adham Khan. Kedua-duanya telah meminta Akbar untuk datang ke Delhi untuk menziarahi mereka pada Mac 1560 dan meninggalkan Bairam di ibu kota, Agra. Di sana beliau telah didesak oleh orang ramai untuk mengambil alih kuasa memerintah empayar dan juga memecat Bairam. Beliau dipujuk untuk memberikan belanja kepada Bairam untuk menunaikan haji di Mekah, sebagai salah satu langkah pemencilan. Bairam terkejut apabila mendengar khabar itu, tetapi tetap setia kepada Akbar walaupun Akbar enggan untuk menemui beliau. Bairam juga diberi pendapat oleh komander-komandernya supaya bertolak ke Delhi untuk "menyelamatkan" Akbar.
Bairam bergerak menuju ke Mekah, tetapi telah ditemui oleh pasukan askar yang dihantar oleh Adham Khan, yang telah diberi kebenaran oleh Akbar; bertujuan untuk mengiringinya keluar daripada wilayah Mughal. Bairam bagaimanapun melihat ini sebagai satu ancaman, lalu menyerang mereka. Namun begitu, Beliau telah ditewaskan dan dihantar sebagai seorang pemberontak ke Akbar untuk dijatuhkan hukuman. Bairam, seorang genius yang telah membantu Mughal mendapatkan semula wilayah-wilayah mereka, juga telah berkhidmat kepada Humayun dan Akbar, telah dihadapkan kehadapan Akbar sebagai seorang banduan. Maham Anga mendesak Akbar supaya menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Bairam, namun perkara yang sebaliknya telah berlaku. Bairam telah diberikan penghormatan, diberi jubah kemuliaan dan Akbar bersetuju untuk membiayai perbelanjaan haji beliau. Bagaimanapun, tidak lama selepas Bairam bertolak ke Mekah, ketika sampai di bandar pelabuhan Khambat, beliau telah menjumpai seorang Afghan yang bapanya telah terbunuh lima tahun dahulu dalam satu pertempuran yang dipimpin oleh Bairam. Melihatkan ini sebagai satu-satunya peluang untuk membalas dendam, dia dengan segera menikam Bairam, yang akhirnya meninggal dunia pada 31 Januari 1561.
Maham Anga dan Adham Khan
[sunting | sunting sumber]Dengan kematian Bairam Khan, Maham Anga melihat peluang sudah terbuka baginya untuk membolot seluruh kuasa yang dipegang oleh Bairam. Kendatipun begitu, percubaannya untuk mendapatkan kekuasaan itu tidaklah berjaya sepenuhnya.
Pada Februari 1561, Adham telah dihantar untuk menawan Malwa, yang dikuasai oleh Baz Bahadur yang tidak mempunyai kemampuan untuk memerintah dengan berkesan. Baz Bahadur adalah seorang pemuzik yang berbakat tetapi tidak berupaya untuk mengawal wilayahnya. Banyak penduduknya telah melarikan diri ke wilayah Mughal. Baz Bahadur melarikan diri apabila angkatan tentera Adham Khan semakin mendekati. Dia meninggalkan segala harta kekayaan dan isteri-isterinya di dalam Harem dan memberi arahan supaya mereka dibunuh sekiranya bandar Sarangpur jatuh ke tangan Mughal. Di sebalik cubaan sida-sida yang bertanggungjawab terhadap Harem, ramai wanita yang terselamat, ini termasuklah Rupmati, yang terkenal kerana terdapat banyak namanya di dalam lagu-lagu Baz Bahadur kerana kecantikannya. Bagaimanapun, apabila Adham Khan tiba, Rupmati dijumpai mati setelah meminum racun kerana tidak rela dirogol oleh Adham Khan.
Tetapi, Adham terlibat dalam menyalahgunakan Harem dan penduduknya yang telah ditawan. Wanita-wanita yang tidak beberapa menarik perhatian dibawa ke hadapan pegawai yang senior dan dibunuh. Mereka juga meminum arak, mengambil bebola candu, seolah-olah ia merupakan satu pesta. Badauni merekodkan sekurang kurangnya seorang daripada ahli mereka telah menegur perbuatan itu tetapi telah dirantai. Rekodnya menyatakan yang "Sayyid-sayyid dan syeikh-syeikh telah datang untuk berjumpa dengan Adham Khan dengan Al-Quran di tangan mereka, namun semua mereka telah dibunuh dan dibakar."Bukan itu sahaja, Adham telah menyimpan majoriti harta kekayaan dan tawanan-tawanan, sebagai ganti hanya tiga ekor gajah sahaja dihantar kepada maharajanya. Apabila gajah-gajah ini tiba dan Akbar mendengar berita itu, naiklah marahnya. Lalu beliau memutuskan untuk berangkat sendiri ke Malwar, bersama dengan satu pasukan kecil askarnya yang setia. Beliau juga telah memukul orang-orang istana yang dihantar oleh Maham Anga untuk menunjukkan kepada Adham yang beliau amat murka.
Adham merasa takut dan dengan segera memohon keampunan daripada Akbar. Akbar mengampunkannya dan harta rampasan yang disimpan oleh Adham telah dirampas. Namun, secara rahsia Adham telah menyembunyikan dua daripada wanita-wanita yang paling memikat dan menarik di kalangan gundik. Sebaik sahaja Akbar mengetahui perkara ini, Maham Anga, membunuh kedua-duanya kerana takut rahsia mengenai Adham mungkin didedahkan oleh mereka kepada Akbar.
Peristiwa-peristiwa ini memyebabkan Akbar tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk mendapatkan kekuasaan yang mutlak untuk dirinya. Konflik itu memuncak apabila pada 1562, Atkah Khan, seorang Afghanistan yang telah dilantik Akbar memegang jawatan yang setaraf dengan perdana menteri, telah ditikam oleh Adham ketika sedang menguruskan hal ehwal pentadbirannya. Adham juga turut menyerang gundik Akbar. Dayang yang sedang berkawal di kawasan itu masuk dan mengunci pintu dan menyebabkan ia terkunci dari dalam. Akbar yang sedar tentang gangguan itu, masuk ke dalam bilik. Adham meletakkan tangannya di atas lengan Akbar, sebagai menunjukkan tanda tidak hormat beliau. Hal ini menyebabkan Akbar menumbuknya sehingga menyebabkan kemungkinan Adham tidak sedarkan diri. Melihatkan perdana menterinya yang telah ditikam, beliau merasa cukup terhadap segala perbuatan yang telah dilakukan oleh Adham Khan selama ini. Beliau telah mengarahkan supaya saudara angkatnya itu dijatuhkan daripada tembok yang tinggi. Namun, ia tidak cukup untuk membunuhnya. Maka, Akbar mahu kali kedua hukuman itu berkesan, iaitu dengan menjatuhkan kepalanya dahulu. Akbar pergi menemui Maham Anga dan menyatakan anaknya telah meninggal dunia. Dengan itu, bulatlah kekuasaan Empayar Mughal di tangan beliau seorang iaitu pada ketika berumur 19 tahun.
Pemulihan semula
[sunting | sunting sumber]Pemerintah-pemerintah Islam terdahulu dahulu, khususnya pengasas Mughal, Babur, membenarkan kebebasan untuk beragama kepada orang Hindu dan agama-agama yang lain. Manakala Akbar pula mempunyai polisi yang menggalakkkan orang-orang daripada agama lain untuk menyertai kerajaannya. Pada satu ketika beliau telah memujuk Kacchwaha Rajput, pemerintah Ambar untuk menyertai perikatannya; dengan mengambil puteri kepada Raja Amber, Hira Kunwari, untuk dijadikan sebagai permaisurinya. Dia mengambil nama Mariam-uz-Zamani dan melahirkan Putera Salim, yang kemudiannya akan menjadi Maharaja Mughal Jahangir. Sementara pemerintah-pemerintah Islam yang lain mengambil isteri mereka daripada orang Hindu, beliaulah orang pertama yang membenarkan isterinya mengamalkan agama mereka, bukan sahaja tanpa halangan, malahan menyediakan segala keperluan yang dimahukan untuk agama mereka. Semasa pemerintahannya, lebih banyak orang Hindu telah diambil bekerja di dalam Pentadbiran Awam, berbanding maharaja Moghul ataupun pemerintah India yang terdahulu.
Pemerintah-pemerintah Rajput yang lain turut mengahwini puteri beliau, cuma dua puak Rajput yang kekal menentang beliau, Sisodiyas di Mewar dan Hadas(Chauhans) di Ranthambore. Rajput adalah pahlawan Hindu yang terkenal, hinggakan askar lain seperti orang Afghan mengambil candu untuk menghilangkan ketakutan ketika bertempur. Kemasukan mereka dalam perikatan menmbantu Akbar mengekalkan kuasanya, kerana Askar Rajput akan berkhidmat kepada mereka hinggalah 100 tahun yang akan datang.
Akhirnya Raja Man Singh dari Amber bersama-sama dengan Akbar menemui pemimpin Hada, Surjan Hada, untuk membuat satu persekutuan. Surjan dengan tidak rela, terpaksa menerima persetujuan itu dengan syarat Akbar tidak berkahwin dengan mana-mana anaknya. Surjan kemudiannya memindahkan kediamannya ke Banaras.
Akbar pernah mengatakan "Seorang raja seharusnya mempunyai niat untuk membuat penaklukan, jangan sampai jiran-jirannya mengangkat senjata menentangnya." Beliau terus meluaskan wilayahnya dengan menawan Malwa (1562), Gujarat (1572), Benggala (1574), Kabul (1581), Kashmir (1586), dan Kandesh (1601) dan lain-lain. Akbar meletakkan seorang gabenor di setiap wilayah yang ditakluk, untuk memerintah di bawah kuasanya.
Akbar tidak mahu istana terletak terlalu dekat dengan Bandar Delhi. Beliau mengarahkan istananya dipindahkan ke Fatehpur Sikri, berdekatan dengan Agra. Namun apabila kawasan itu dibuktikan tidak dapat dipertahankan, beliau telah membangunkan sebuah kem untuk mengawalselia terhadap apa yang berlaku di seluruh empayarnya. Beliau mencuba untuk membangun dan menggalakkan perniagaan. Beliau juga telah menilai sesuatu kawasan supaya dapat dikenakan cukai dengan tepat, di samping menegah pemerasan oleh pemungut-pemungut cukai.
Personaliti Akbar
[sunting | sunting sumber]Akbar adalah seorang raja yang baik hati dan bijak, seorang lelaki yang sentriasa dengan idea-idea baru, dan mempunyai perwatakan sebagai seorang hakim. Sebagai seorang raja beliau berjaya memenangi perhatian dan disanjungi orang-orang di sekelilingnya.
Abul Fazal, dan juga Badayuni yang sering memberi kritikan, menyifatkan Akbar mempunyai pemerintah yang mempunyai keperibadian yang tinggi. Beliau tidak takut untuk dalam mengejar dan juga di dalam medan pertempuran, dan juga "seperti Alexander dari Macedonia, yang sentiasa mengambil risiko tanpa mengira akibat-akibat politikal." Beliau sering memacu kudanya meredah sungai semasa musim-musim hujan dan selamat sampai ke seberang yang di sebelah. Walaupun seorang pemerintah yang amat berkuasa, beliau tidaklah biasa melakukan kekejaman. Beliau telah mengampunkan abangnya Hakim, seorang pemberontak yang sudah insaf. Bagaimanapun, dalam beberapa kes yang terpencil, beliau amat kejam dengan orang bersalah, seperti yang dibuatnya ke atas bapa saudaranya, Muazzam, dan abang angkatnya, Adham Khan.
Beliau dikatakan seorang yang bersederhana di dalam dietnya. Sukakan buah-buahan, dan tidak berapa menyukai daging, yang dihentikan terus pengambilannya pada tahun-tahun yang seterusnya.
Kebanyakan daripada sejarawan-sejarawan berpendapat bahawa Akbar adalah seorang maharaja dirasuk oleh "nafsu" yang keterlaluan kepada perempuan. Dipercayai beliau seorang yang amat kuat meminum arak.
- ... Akbar lazimnya seorang peminum arak yang kuat. Seorang paderi dengan beraninya menegur secara tajam terhadap beliau mengenai perlakuan sumbangnya dengan perempuan. Akbar, yang sepatutnya murka dengan kelantangan paderi itu, tersipu-sipu meminta dirinya.[1]
Abul Fazl turut menerangkan yang maharajanya suka kepada perempuan dan arak. Para sejarawan mempunyai pendapat yang berlainan pada teks yang diceritakan di Ain-i-Akbari. kebanyakannya berpendapat bahawa beliau seorang yang melindungi wanita, terutamanya anak-anak dara. Ini adalah kejayaan pentadbirannya untuk menguruskan hal yang sedemikian meskipun beliau telah membenarkan penjualan arak dan pelacuran berdekatan dengan istana. Kritikan Abu Fazl tidak menyatakan tentang perkara ini, tetapi ramai yang berpendapat dia mengatakan yang sebaliknya.
- .. Baginda telah membuka kedai arak berdekatan dengan istana ... Para pelacur yang diambil dari kedai tidak mungkin dapat dibilang, bilangan mereka sungguh ramai ... Penari-penari perempuan sentiasa dibawa pulang oleh orang-orang istana. Jika ada orang istana yang dikenali ingin mengambil seorang dara, dia terpaksa meminta kebenaran terlebih dahulu daripada Baginda [Akbar]. Sambil itu, lelaki juga turut melacurkan diri mereka, dan kemabukan dan ketidakpedulian akhirnya membawa kepada pertumpahan darah ... Baginda sendiri memanggil sebahagian daripada pelacur untuk mengetahui samada mereka masih mengekalkan dara mereka. (Terjemahan teks yang terpilih dari Ain-i-Akbari ditulis oleh Abdul Fazal di dalam Bahasa Parsi. Diterjemah oleh H. Blochmann) [2]
Pandangan terhadap agama
[sunting | sunting sumber]Pada waktu pemerintahan Akbar, Empayar Mughal mempunyai orang Hindu dan Islam. Perbezaan yang amat mendalam memisahkan kepercayaan Islam dan Hindu. Apabila Akbar memulakan pemerintahannya, kebanyakan orang terlibat di dalam Empayar Mughal adalah orang Islam. Bagaimanapun, golongan pemerintahan secara keseluruhannya terdiri daripada orang Islam. Di dalam masyarakat yang pelbagai ini, Akbar telah menggalakkan toleransi terhadap pelbagai agama. Beliau bukan sahaja mengambil orang Hindu untuk berkhidmat, malahan turut membuang segala perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam. Beliau telah menghapuskan cukai menunaikan haji pada tahun kelapan, dan Jizyah pada tahun kesembilan pemerintahannya, sebagai menunjukkan polisi ketoleransian secara universal. Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan Gereja Katolik, yang sentiasa menghantar para paderi Jesuit untuk berdebat, dan sekurang-kurangnya tiga daripada cucunya telah dibaptis sebagai Katolik (walaupun mereka menjadi Muslim pada kehidupan mereka).
Akbar telah membina satu bangunan yang bernama Ibadat Khana ataupun Rumah Ibadat (House of Worship), dimana beliau telah menggalakkan debat keagamaan. Asalnya, perdebatan ini hanya terbuka kepada orang Sunni, tetapi akibat beberapa pertelingkahan terjadi yang kelihatan tidak elok, Akbar telah menggalakkan orang Hindu, Katolik malahan golongan Ateis untuk turut menyertai perdebatan itu. Beliau cuba untuk mengusaikan perbezaan antara dua agama itu, dan mencipta satu agama baru yang dikenali sebagai Din-i-Ilahi (Agama Tuhan), yang menggabungkan kepercayaan Hindu dan Islam, dan sesetengah elemen daripada Jainisme dan Kristian. Kepercayaan ini, bagaimanapun, bukanlah untuk orang kebanyakan. Hal ini kerana, orang yang memeluk agama ini adalah golongan bangsawan atas di dalam istana Akbar. Setakat ini, para sejarawan hanya mengenalpasti 18 orang yang memeluk agama ini.
Beliau juga telah mengahwini beberapa puteri Hindu, walaupun ramai berpendapat ini hanya bermotifkan politik, bukannya untuk penyatuan agama.
Langkah beliau untuk menjauhi Islam, disambut baik oleh orang Hindu, tetapi tidak disukai oleh orang Muslim. Terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa terdapat masjid-masjid yang ditutup dan dimusnahkan. Disamping itu, sesiapa yang mahu memasuki Harem perlu mengatakan, "Tiada tuhan melainkan Allah, dan Akbar adalah rasulnya", satu ucapan yang direka daripada Syahadah orang Islam. Apabila Akbar membuka kedai arak, dipercayai beliau juga telah menempah darah babi untuk dicampurkan dengan arak. Banyak ulama' mula memprotes langkah-langkahnya, dan Ahmad Sarhindi(digelar sebagai 'mujaddid' atau pembaharu Islam) mengatakan Akbar syirik atas perbuatannya. Dia telah ditangkap oleh Jahangir selepas menaiki takhta. Bagaimanapun, langkah Akbar untuk menyatukan kedua-dua kepercayaan ini, hanya menyebabkan hubungan antara kedua-dua menjadi lebih teruk pada akhir abad ke-16 berbanding ketika beliau mula berkuasa.
Penaung kesenian dan kesusasteraan
[sunting | sunting sumber]Walaupun Akbar seorang yang buta huruf, beliau seorang yang mempunyai minat terhadap sastera. Beliau meminati falsafah, teologi, sejarah dan politik. Beliau telah menyediakan satu perpustakaan yang penuh dengan pelbagai jenis buku dan seorang yang menyukai golongan sarjana. Hal ini menyebabkan beliau amat memahami kesusasteraan Sufi, Kristian, Zoroasrtian(Majusi), Hindu dan Jain. Dijemputnya para sarjana daripada agama-agama yang berlainan untuk berbincang dengannya. Smith menulis bahawa, "sesiapa yang mendengar beliau berhujah tentang ketajaman dan ketepatan mengenai sesuatu dalam perdebatan akan mempercayai bahawa beliau seorang yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam sastera tanpa menyedari beliau seorang yang buta huruf." Penaung kepada tokoh-tokoh sastera, termasuklah Feizi bersaudara dan Abu Fazl. Akbar pernah menugaskan supaya sebilangan kerja-kerja saintifik sanskrit diterjermahkan ke dalam Parsi, disamping menghasilkan Akbarnama, satu rekod mengenai pemerintahan beliau sendiri. Pernaah dikatakan Akbar mengarahkan Jerome Xavier (anak saudara kepada Francis Xavier, seorang mubaligh Jesuit untuk menterjemahkan empat Gospel di dalam Perjanjian Baru ke dalam Parsi.
Akbar juga mempunyai citarasa yang baik terhadap kesenian, senibina dan mekanikal. Banyak kerja tangan, termasuklah Hamzanama dihasilkan semasa pemerintahannya. Beliau juga diingati dalam penghasilan dan penambahbaikan pembuatan senapang (matchlock).
Navratnas
[sunting | sunting sumber]Seperti pemerintah India yang lain, Istana Akbar turut mempunyai Navaratnas ("Sembilan Permata"), yang merujuk kepada sembilan orang yang amat istimewa. Mereka adalah:
- Abul-Fazel - Ketua penasihat Akbar and pengarang Akbarnama, biografi Akbar.
- Faizi
- Mian Tansen - terkenal kerana suaranya dan muzik yang dimainkan
- Birbal - dikenali kerana kebijaksanaannya
- Raja Todar Mal
- Raja Man Singh
- Abdul Rahim Khan-I-Khana
- Fakir Aziao-Din
- Mullah Do Piaza
Sebagai seorang pemerintah agung dan peminat bahan kesenian, Akbar telah memanggil ramai cerdik pandai menghadapnya. terdapat sembilan tokoh yang dikira sebagai berbakat dalam bidang mereka masing-masing, dan mereka dikenali sebagai "nau-rathan", atau Sembilan Permata. Akbar mengumpulkan ramai orang bijaksana, tetapi yang paling terkenal adalah ahli Sembilan Permata.
Abul Fazl (1551-1602) adalah pencatat perkembangan pemerintahan Akbar. Beliau telah menulis sebuah biografi bertajuk "Akbarnama", yang mengambil masa selama tujuh tahun untuk dilengkapkan. Beliau mencatatkan sejarah pemerintahan itu dengan terperinci, dan memberikan gambaran yang aman makmur semasa zaman Akbar. beliau juga menerangkan tentang betapa teratur dan bijaknya pemerintahan kerajaan Mughal di bawah naungan Akbar.
Feizi (1547-1595) adalah saudara Abul Fazl. Beliau merupakan seorang pemuisi, dengan tumpuan di dalam bahasa Parsi. Akbar amat menghormati tokoh ini sehingga melantiknya untuk menjadi guru kepada puteranya. Antara karya beliau ialah "Lilabati", berkenaan matematik.
Mian Tansen adalah seorang penyanyi yang tiada tolok bandingnya. Beliau dilahir ke dalam sebuah keluarga Hindu pada tahun 1520 berdekatan Gwalior. Bapanya bernama Mukund Mishra, yang merupakan seorang pemuisi. Mian Tansen menuntut ilmu muzik dengan bergurukan Swami Haridas dan Hazrat mohammad Ghaus. Beliau menjadi penghibur di istana putera negeri Mewar, dan kemudiannya dipanggil Akbar untuk berkhidmat di istananya pula, menyebabkan putera Mewar sedih dengan pemergian beliau. Tansen menjadi seorang yang terkenal di India dan telah menggubah banyak raga (ritma muzik) klasik. Raga Deepak dan Megh Malhar adalah antara yang termasyhur di India. Tatkala menyanyikan raga-raga ini, Tansen dikatakan suka menyalakan pelita dan mengakibatkan hujan turun. Beliau juga disebut sebagai orang yang mencipta raga Darbari Kanada dan menjadi pengasas cara nyanyian Drupad. Malah para Ghanara masa kini selalu cuba untuk meniru-niru cara klasik Mian Tansen. Beliau dikebumikan di Gwaliar, di mana sebuah makam telah kemudiannya dibina. Terdapat sebuah pohon asam bersebelahan makam itu, dan dikatakan adalah setua makam itu sendiri. Adalah menjadi kepercayaan penduduk tempatan bahawa sesiapa yang mengunyah sehelai daun pohon itu maka dia akan dikurniakan bakat dalam bidang muzik. Tidak dapat dipastikan sama ada Tansen memeluk Islam atau tidak, namun Akbar sangat berkenan dengan beliau sehingga menerima pangkat Mian. Anak beliau Billas Khan mengarang raga Bilaskhani Todi dan anak perempuannya pula Saraswati Devi menjadi seorang penyanyi Drupad yang dikenali ramai.
Birbal (1528-1583) adalah seorang Brahmin yang miskin, dan telah dilantik ke kementerian Akbar kerana kebijaksanaan dan daya fikirannya. Pada awalnya beliau bernama Maheshdas, tetapi dikurniakan nama Raja Birbal oleh Akbar. Baginda Akbar amat mempercayainya kerana kepandaian beliau, dan juga kerana beliau turut berbakat dalam menghiburkan baginda maharaja dan para menteri. Terdapat pelbagai kisah-kisah lucu dan cerdik berkenaan maharaja Akbar dan menteri-menterinya, dan kisah-kisah itu masih diceritakan sehingga masa sekarang. Cerita-cerita itu kebanyakannya mencabar minda dan berisi pengetahuan. Birbal juga adalah seorang ahli sastera dan kumpulan karyanya diselindungi dengan nama samaran "Brahma", dan masih disimpan di Muzium Bharatpur. Raja Birbal terbunuh di medan tempur dalam usaha menamatkan pemberontakan puak-puak Afghan di barat laut India. Terdapat suatu khabar yang mengatakan bahawa Akbar berkabung dalam tempoh yang agak lama setelah mendengar berita itu.
Raja Todar Mal adalah menteri kewangan Akbar, dan beliau bertugas untuk menguruskan pendapatan cukai negara sejak tahun 1560. Beliau memperkenalkan sistem piawai untuk penyukatan berat dan ukuran, hasil dapatan daerah, dan kepegawaian. Cara beliau yang teratur lagi sistematik berkenaan pengutipan cukai kemudiannya menjadi contoh kepada kerajaan Mughal dan British. Selain sebagai seorang menteri, beliau turut melibatkan diri sebagai seorang perwira, dan beliau pernah menyertai Akbar dalam perebutan Benggala dengan pemberontak Afghan. Raja Todar Mal belajar ilmu pemerintahannya daripada Sher Shah, seorang yang juga pernah menjadi seorang pentadbir. Kerana jasanya, Akbar memberikan darjat "Diwan-I-Ashraf" pada tahun 1582 kepada beliau.
Raja Man Singh pula adalah raja Kacchwaha di negeri Amber. (Kaum Kacchwaha kemudiannya menubuhkan Jaipur, berdekatan Amber). Laksamana ini yang amat dipercayai Akbar ialah cucu saudaranya. Keluarga baginda telah diberikan pangkat "amir" ketika dimasukkan ke dalam susun galur kerajaan Mughal. Raja Man Singh banyak berkhidmat kepada Akbar di dalam pelbagai medan tempur, termasuklah menghalang kemaraan Hakim (saudara tiri Akbar, dan wizurai di Kabyul) di Lahore. Beliau juga memimpin tentera untuk menawan Orissa.
Abdul Rahim Khan-I-Khan ialah seorang pemuisi, dan anak kepada penjaga Akbar semasa baginda kecil, Bairam Khan. Selapas Bairam Khan terbunuh akibat perbuatan khianat, isterinya menjadi isteri kedua Akbar.
Fagir Aziao Din dan Mullan Do Piaza merupakan dua penasihat di dalam kementerian Akbar.
Nama-nama lain turut disebut sebagai "permata" di dalam kerajaan Akbar. Antaranya adalah Daswant (pelukis), Abdu us-Samad (penulis khat atau kaligrafi), Mir Fathullah Shiraz (pedagang, ahli falsafah, doktor). Walaubagaimana pun, adalah diakui bahawa Akbar pernah mengumpulkan orang-orang yang bijaksana di dalam kesenian, pentadbiran, dan peperangan.
Tahun-tahun terakhir
[sunting | sunting sumber]Tahun-tahun terakhir Akbar dirundung malang akibat daripada salahlaku anak-anaknya. Dua anaknya meninggal dunia akibat ketagihan arak. Anak ketiga, Salim, yang kemudiannya dikenali sebagai Maharaja Jahangir, sering melancarkan pemberontakan terhadap ayahnya. Asirgarh, sebuah kubu di Deccan, adalah tempat terakhir yang ditakluk oleh Akbar pada 1599 akibat terpaksa menuju ke utara untuk menghadapi anaknya. Dikatakan, kesihatan Akbar merosot akibat malapetaka ini yang akhirnya membawa beliau kepada kematiannya. Beliau telah disemadikan di sebuah makan raja yang indah di Sikandra, dekat dengan Agra.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]Nota kaki
[sunting | sunting sumber]Sumber
[sunting | sunting sumber]- Abu al-Fazl ibn Mubarak Akbar-namah Edited with commentary by Muhammad Sadiq Ali (Kanpur-Lucknow: Nawal Kishore) 1881-3 Three Vols. (Parsi)
- Abu al-Fazl ibn Mubarak Akbarnamah Edited by Maulavi Abd al-Rahim. Bibliotheca Indica Series (Calcutta: Asiatic Society of Bengal) 1877-1887 Three Vols. (Parsi)
- Henry Beveridge (Trans.) The Akbarnama of Ab-ul-Fazl Bibliotheca Indica Series (Calcutta: Asiatic Society of Bengal) 1897 Three Vols.
- Haji Muhammad 'Arif Qandahari Tarikh-i-Akbari (Better known as Tarikh-i-Qandahari) edited & Annotated by Haji Mu'in'd-Din Nadwi, Dr. Azhar 'Ali Dihlawi & Imtiyaz 'Ali 'Arshi (Rampur: Raza Library) 1962 (Parsi)