Piagam Madinah
Piagam Madinah telah dibuat oleh Nabi Muhammad pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.
Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal:
- 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.
- 24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.
Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.
Piagam Madinah Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah atau di kenali sebagai perlembagaan madinah, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam Madinah.
Langkah pertama
suntingDilakukan oleh Rasulullah dengan mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah menyampaikan ajaran Islam serta tempat pentadbiran Rasulullah.
Langkah kedua
suntingMengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin, bagi mewujudkan persefahaman dan untuk membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar.
Langkah ketiga
suntingMengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar.
Berdasarkan langkah-langkah tersebut maka lahirlah satu perjanjian yang dikenali sebagai piagam Madinah. Perkara utama yang terkandung dalam Piagam Madinah adalah:
- Nabi Muhammad s.a.w. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkaran hendaklah merujuk kepada baginda.
- Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.
- Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.
- Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari serangan oleh musuh-musuh dari luar Madinah.
- Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut,
Tujuan Piagam Madinah
sunting- Menghadapi masyarakat majmuk Madinah
- Membentuk peraturan yang dipatuhi olehh semua penduduk
- Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum
- Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan
- Mewujudkan keamanan di Madinah
- Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat
- Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin
- Membentuk sebuah kesatuan politik dalam mempertahankan Madinah
- Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi
- Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Makkah
Prinsip Piagam Madinah
sunting- Al-Quran dan Sunnah adalah sumber hukum negara.
- Kesatuan umat dan kedaulatan negara
- Kebebasan bergerak dan tinggal di Madinah
- Hak dan tanggungjawab dari segi ketahanan dan mempertahankan negara
- Dasar hubungan baik dan saling membantu antara semua warganegara
- Tanggungjawab individu dan negara pemerintah dalam menegakkan keadilan sosial
- Beberapa undang-undang keselamatan seperti hukuman Qisas dan sebagainya dikanunkan
- Kebebasan beragama
- Tanggungjawab negara terhadap orang bukan Islam
- Kewajipan semua pihak dalam kedamaian
Kandungan Piagam Madinah
suntingBerikut ialah kandungan Piagam Madinah berdasarkan sumber-sumber oleh Mubarakpuri, Kassim Ahmad dan Ibnu Kathir.[1]
- Fasal 1
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang : Inilah surat kenyataan daripada Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi (mentadbir hubungan) orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk Islam daripada Quraisy dengan penduduk Yathrib serta orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan telah berjuang bersama-sama mereka.[2][3]
- Fasal 2
Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza daripada manusia-manusia lain.
- Fasal 3
Bahawa golongan Muhajirin daripada kalangan Quraisy menurut adat semasa mereka saling membayar diat (wang tebusan) bagi darah yang tumpah dalam golongan mereka. Mereka hendaklah bersama-sama menebus daripada kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil yang lazim dalam kalangan orang-orang beriman.
- Fasal 4
Bahawa Bani Auf (dari Yathrib) hendaklah menurut adat lama mereka dan hendaklah bersama-sama membayar wang tebusan; dan setiap suku hendaklah menebus tawanan daripada kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil yang lazim dalam kalangan orang-orang beriman.
- Fasal 5
Bahawa Bani al-Harith (dari Yathrib) bin al-Khazraj hendaklah menurut adat lama mereka dan hendaklah bersama-sama membayar wang tebusan; dan setiap suku hendaklah menebus tawanan daripada kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil yang lazim dalam kalangan orang-orang beriman.
- Fasal 6
Bahawa Bani Saidah (dari Yathrib) hendaklah menurut adat lama mereka dan hendaklah bersama-sama membayar wang tebusan; dan setiap suku hendaklah menebus tawanan daripada kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil yang lazim dalam kalangan orang-orang beriman.
- Fasal 7
Bahawa Bani Jusyam (dari Yathrib) hendaklah menurut adat lama mereka dan hendaklah bersama-sama membayar wang tebusan; dan setiap suku hendaklah menebus tawanan daripada kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil yang lazim dalam kalangan orang-orang beriman.
- Fasal 8
Bahawa Banu al-Najjar (dari Yathrib) hendaklah menurut adat lama mereka dan hendaklah bersama-sama membayar wang tebusan; dan setiap suku hendaklah menebus tawanan daripada kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil yang lazim dalam kalangan orang-orang beriman.
- Fasal 9
Bahawa Bani Amru bin Auf hendaklah menurut adat lama mereka dan hendaklah bersama-sama membayar wang tebusan; dan setiap suku hendaklah menebus tawanan daripada kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil yang lazim dalam kalangan orang-orang beriman.
- Fasal 10
Bahawa Bani al-Nabit (dari Yathrib) hendaklah menurut adat lama mereka dan hendaklah bersama-sama membayar wang tebusan; dan setiap suku hendaklah menebus tawanan daripada kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil yang lazim dalam kalangan orang-orang beriman.
- Fasal 11
Bahawa Bani Aus (dari Yathrib) hendaklah menurut adat lama mereka dan hendaklah bersama-sama membayar wang tebusan; dan setiap suku hendaklah menebus tawanan daripada kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil yang lazim dalam kalangan orang-orang beriman.
- Fasal 12(a)
Bahawa orang-orang yang beriman tidak boleh meninggalkan sesiapa pun yang melarat di antara mereka. Mereka hendaklah bersama-sama membantunya dengan berkebajikan dalam membayar wang tebusan.
- Fasal 12(b)
Hendaklah seseorang yang beriman itu tidak mengambil orang yang merdeka yang di bawah seseorang yang beriman yang lain sebagai sekutu menentangnya.
- Fasal 13
Orang-orang beriman yang bertakwa hendaklah menentang orang yang memberontak atau orang yang cuba menyebarkan ketidakadilan, atau dosa atau permusuhan, atau fasad antara orang-orang yang beriman; dan mereka hendaklah bersatu bersama-sama menentang orang tersebut walaupun jika orang itu anak kepada salah seorang daripada mereka.
- Fasal 14
Tidak seyogianya seseorang mukmin itu membunuh seorang mukmin lain kerana seorang kafir, tidak seyogianya dia menolong mana-mana kafir menentang seseorang mukmin.
- Fasal 15
Bahawa perlindungan Allah itu satu dan sama; yang paling lemah antara mereka (yakni, orang mukmin) mempunyai hak untuk menjamin perlindungan yang akan mengikat mereka semua; dan bahawa orang-orang mukmin hendaklah saling menjamin sesama sendiri terhadap (gangguan) orang lain.
- Fasal 16
Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah diberikan pertolongan dan keadilan. Mereka tidak akan dianiaya dan musuh mereka tidak akan ditolong.
- Fasal 17
Bahawa perdamaian orang-orang mukmin itu satu dan tidak boleh terbahagi. Tiada perjanjian damai yang asing boleh dibuat apabila orang-orang mukmin sedang berperang dalam jalan Allah, melainkan ia sama rata dan mengikat ke atas mereka semua.
- Fasal 18
Bahawa setiap serangan kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua, oleh itu hendaklah disilihgantikan tenaga menentangnya.
- Fasal 19
Bahawa orang mukmin hendaklah menuntut bela setiap darah yang tumpah dalam jalan Allah.
- Fasal 20(a)
Bahawa orang-orang mukmin lagi bertakwa adalah yang terbaik dan paling lurus.
- Fasal 20(b)
Bahawa tidak boleh mana-mana orang musyrik memberikan apa-apa perlindungan kepada nyawa dan harta orang Quraisy, dan dia tidak boleh menghalang mana-mana orang yang beriman (akan haknya) dalam perkara ini.
- Fasal 21
Barang siapa disabitkan dengan cukup bukti[4] membunuh seorang mukmin tanpa sebab yang baik, maka hendaklah dia dihukum balas kecuali jika wali yang terbunuh rela menerima hutang darah. Semua orang beriman akan menentangnya sebagai satu orang, dan mereka terikat untuk mengambil tindakan terhadapnya.[5]
- Fasal 22
Bahawa tidak halal bagi mana-mana orang mukmin yang mengakui isi kandungan Piagam ini, dan percaya kepada Allah dan Hari Kiamat, menolong atau melindungi mana-mana orang pelaku kejahatan. Barang siapa yang menolong orang itu maka ke atasnya laknat Allah dan kemurkaan-Nya pada hari Kiamat kelak, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan dan tidak juga sebarang taubat.
- Fasal 23
Bahawa berbalah walau bagaimanapun kamu dalam sesuatu perkara hendaklah merujukkan perkara itu kepada Allah dan Nabi Muhammad.
- Fasal 24
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah turut serta membelanja sama-sama dengan orang-orang mukmin selama mana mereka itu berperang
- Fasal 25
Bahawa kaum Yahudi daripada Bani Auf adalah satu umat bersama orang-orang mukmin—Yahud dan Muslim bebas mengamalkan agama masing-masing—begitu juga orang-orang yang sekutu mereka dan diri mereka sendiri. Namun sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka ia hanya akan menimpa dirinya dan keluarganya sendiri
- Fasal 26
Bahawa Yahudi Bani al-Najjar (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 27
Bahawa Yahudi Bani al-Harith (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 28
Bahawa Yahudi Bani al-Saidah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 29
Bahawa Yahudi Bani Jusyaim (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 30
Bahawa Yahudi Bani al-Aus (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
- Fasal 31
Bahawa Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf. Namun sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka ia hanya akan menimpa dirinya dan keluarganya sendiri
- Fasal 32
Bahawa suku Jafnah yang bertalian keturunan dengan Yahudi Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu (Bani Tha’alabah)
- Fasal 33
Bahawa Bani Syutaibah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf, dan sikap yang baik hendaklah membendung segala kejahatan.
- Fasal 34
Bahawa orang-orang yang bersekutu dengan Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu.
- Fasal 35
Bahawa para pegawai kepada orang-orang Yahudi (diperlakukan) sama dengan orang-orang Yahudi itu sendiri.
- Fasal 36(a)
Bahawa tiada seorang pun yang menyertai Piagam ini boleh keluar berperang sebagai askar Muslim tanpa persetujuan (Nabi) Muhammad.
- Fasal 36(b)
Tidak boleh dihalang membalas luka atau cedera yang dilakukan oleh mana-mana orang ke atas dirinya; barang siapa membuat kejahatan maka balasannya adalah dirinya dan keluarganya kecuali orang yang dizalimi dan bahawa Allah akan melindungi orang yang menghormati piagam ini.
- Fasal 37(a)
Bahawa orang-orang Yahudi dan mukmin hendaklah membiayai masing-masing.
- Fasal 37-b
Bahawa jika sesiapa memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini, hendaklah ada nasihat mesra dan tingkah laku yang ikhlas di antara mereka. Kesetiaan adalah perlindungan daripada pengkhianatan. Seseorang tidak akan bertanggungjawab atas kesalahan sekutunya. Yang teraniaya mesti dibantu.
- Fasal 38
Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah membiayai bersama-sama orang mukmin selama mana dalam keadaan perang.
- Fasal 39
Bahawa Kota Yathrib adalah terpelihara sempadannya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai piagam ini
- Fasal 40
Bahawa orang yang dilindungi hendaklah dilayan sama seperti orang yang memberi perlindungan, dan dia tidak akan dicederakan dan dia sendiri tidak akan melanggar perjanjian.
- Fasal 41
Seorang wanita hanya akan diberi perlindungan dengan persetujuan keluarganya.
- Fasal 42
Bahawa sekiranya apa juga pembunuhan atau apa juga pertengkaran berlaku antara anggota piagam ini, yang dikhuatiri akan menimbulkan masalah, maka hendaklah ia dirujukkan kepada Allah dan Muhammad pesuruh Allah. Allah meredai apa yang paling dekat dengan takwa dan kebaikan dalam piagam ini.
- Fasal 43
Bahawa tidaklah boleh diberi bantuan perlindungan kepada Quraisy (musuh), begitu juga tidak boleh diberi perlindungan kepada orang-orang yang membantunya.
- Fasal 44
Bahawa hendaklah bantu-membantu mempertahankan kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohnya.
- Fasal 45(a)
Sekiranya mereka mengajak berdamai dan mengekalkannya maka hendaklah mereka berbuat demikian; dan jika mereka membuat ajakan yang serupa kepada orang Islam, orang Islam mesti menyahutnya kecuali dalam kes perang suci.
- Fasal 45(b)
Tiap-tiap orang akan mendapat habuannya daripada anggota yang dia mengikuti.
- Fasal 46
Bahawa orang-orang Yahudi Aus sendiri dan sekutu-sekutu mereka adalah sama rata dengan pihak-pihak lain yang menganggotai piagam ini: dan hendaklah berkelakuan ikhlas dan setia terhadap anggota piagam ini, tanpa melakukan sebarang pelanggaran perjanjian. Dan mereka hendaklah berbuat kebajikan dengan tidak melakukan dosa kerana barang siapa yang berbuat sesuatu maka dialah sendiri yang akan menanggungnya. Dan Allah bersaksi akan kebenaran isi kandungan piagam ini dan merestuinya.
- Fasal 47
Bahawa piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah; dan bahawa dari saat ini barang siapa berpergiaan dari kota Madinah atau menetap di dalamnya dijamin selamat kecuali dia telah berlaku zalim dan berdosa. Allah adalah pelindung bagi manusia yang baik dan bertakwa dan Muhammad adalah utusan Allah.
Pautan luar
suntingRujukan
sunting- ^ Islamweb. (2014, Julai 7). الميثاق الذي وضعه النبي صلى الله عليه وسلم للمسلمين بالمدينة.
- ^ www.mymasjid.net.my
- ^ Ahmad, K. (2014). A short note on the Medina Charter.
- ^ Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. (2017). Pembentukan Masyarakat Baharu. Sirah Nabawiyah (terj. Muhammad Ramzi Omar). Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
- ^ Piagam Madinah - Medina Charter
- The First Written Constitution in the World, Sh. Muhammad Ashraf, Lahore, 1968. Edaran pertama di England, 1941.
- The New Encyclopaedia Britannica, 15th Edition, 1991.
Wikisumber bahasa Melayu mempunyai teks asal berkaitan rencana ini: |