Fiqah ketenteraan Islam

rencana senarai Wikimedia
(Dilencongkan daripada Peraturan perang dalam Islam)


Perundangan peperangan dalam Islam merujuk kepada apa yang diterima dari segi Syariah (hukum-hakam Islam) dan Fiqah (jurisprudens Islam) oleh Ulama sebagai tindakan yang betul bagi orang Islam semasa berperang.

Pembangunan perundangan

sunting

Dalil-dalil berkaitan peperangan

sunting

Perundangan Islam berasaskan dua punca utama yakni al-Qur'an dan Hadis. Dalam al-Qur'an sendiri terdapat beberapa ayat yang digunakan sebagai 'dalil', yang bermaksud bukti atau pedoman.

Al-Qur'an ada memberikan alasan atau sebab musabab seorang Muslim itu harus berperang:

  • “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”[al-Quran 2:190 (Terjemahan oleh Basmeih)]
  • “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.”[al-Quran 2:193 (Basmeih)]
  • “Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran agamaNya); dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[al-Quran 2:244 (Basmeih)]
  • “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.”[al-Quran 8:39 (Basmeih)]

Dalil kewajipan berperang

sunting

Selain itu terkandung juga Perintah Allah berkaitan kewajipan seorang Muslim berperang:

“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”[al-Quran 2:216 (Basmeih)]

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan) dan dirikanlah solat serta berikanlah zakat. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)? Katakanlah (wahai Muhammad): Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap) dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya) dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun.”[al-Quran 4:77 (Basmeih)]

Hukum berperang dalam bulan yang dihormati

sunting

Al-Quran juga memperincikan tentang hukum berperang dalam bulan-bulan tertentu:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati. Katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati) dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).”[al-Quran 2:217 (Basmeih)]

Larangan berundur apabila berhadapan dengan musuh

sunting

Orang Islam diPerintah agar tidak gentar menghadapi musuh:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.
Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu kecuali dia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya dia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah dan tempatnya ialah Neraka Jahannam; sedang Neraka Jahannam ialah seburuk-buruk tempat kembali.”[al-Quran 8:15-16 (Basmeih)]

Memerangi pemimpin yang mencabuli sumpah janji

sunting

Surah At-Taubah menurunkan Perintah Allah supaya memerangi pemimpin yang mencabuli sumpah janji:

“Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).
Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman?
Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.”[al-Quran 9:12-14 (Basmeih)]

Perumusan hukum berkaitan peperangan

sunting

Hukum pertama berkaitan peperangan dirumuskan dalam abad pertama selepas Hijrah. Hukum-hakam ini dirumuskan secara berperingkat-peringkat mengikut tafsiran ayat-ayat al-Qur'an dan Hadis. Tema-tema utama hukum-hakam ini ialah keadilan dalam peperangan, dan keperluan untuk berjihad. Hukum-hakam yang dirumuskan tidak mengaitkan kesumat dan persengketaan bersenjata secara am.[1]

Jihad (Arab untuk 'perjuangan') diberi dimensi ketenteraan selepas penindasan orang Islam oleh kaum Quraisy Makkah. Ia ditakrifkan sebagai perjuangan di jalan Allah oleh umat Islam. Tanggungjawab menjalankan jihad bersifatkan tugas Ummah secara individu dan bersama-sama (kolektif). Justeru, sifat serangan itu penting dalam pentakrifan — jika serangan dilakukan terhadap keseluruhan umat Islam, jihad menjadi kewajipan ke atas semua Muslim. Jihad dibahagikan seterusnya dari segi keperluan baginya di dalam tanah-tanah orang Islam (Darul Islam) dan tanah orang bukan Islam (Darul Harb).[1] Tetapi, sebahagian ulamak mengatakan bahawa Darul Islam dan Darul Harb hanya terpakai di saat perang. Di saat damai, tidak ada Darul Harb, tetapi yang ada adalah Darul Kufur, dimana umat Islam digesa untuk melakukan dakwah menyebarkan agama Islam.

Mengikut dua profesor undang-undang, Shaheen Sardar Ali dan Javaid Rehman, jurisprudens ketenteraan Islam selari dengan peraturan undang-undang antarabangsa moden. Mereka merujuk kepada kedua-dua komitmen yang dibuat ahli OIC (yang mewakili Dunia Islam) kepada undang-undang Islam dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai serasian kedua-dua sistem perundangan.[2]

Etika peperangan

sunting

Patricia Crone, seorang Orientalis, berkata bahawa dalam al-Qur'an, prinsip asas berkaitan pertempuran adalah puak asing harus dilayan seperti puak sendiri. Pertempuran diharuskan bagi tujuan mempertahankan diri, membantu orang Islam lain dan jika syarat-syarat perjanjian dilanggar, tetapi mesti dihentikan jika keadaan ini lenyap.[3][4][5][6] Prinsip pengampunan ditekankan di tengah-tengah kebenaran bagi mempertahankan diri.[3]

Dalam hayat baginda, Muhammad memberi banyak peraturan berkaitan pertempuran dan juga menunjukkan contoh pengendalian perang. Yang paling mustahak daripada peraturan ini diringkaskan oleh Sayidina Abu Bakar, Shahabat Nabi dan Khalifah pertama, dalam bentuk sepuluh peraturan peperangan bagi Tentera Khulafa al-Rasyidin:[7]

Wahai tenteraku! Aku berikan kamu sepuluh perkara; hayatilah dengan baik!!

Berhenti, tenteraku, agar dapat ku berikanmu sepuluh perkara buat pedomanmu di medan perang. Jangan belot atau menyimpang daripada jalan yang benar. Kamu tidak dibenarkan merosakkan jenazah. Jangan kamu bunuh kanak-kanak, atau wanita atau mereka yang sudah tua. Jangan rosakkan tumbuhan pokok, atau membakarnya, terutamanya pohon yang berbuah. Jangan bunuh binatang ternakan musuhmu, selainkan untuk dijadikan makananmu. Kamu berkemungkinan bertemu orang yang hidup sebagai rahib; biarkan mereka.[7]

Mengikut Imam al-Tabari, 'nasihat sepuluh' ini diberikan oleh Sayidina Abu Bakar semasa ekspedisi Usamah ibn Zaid.[8] Dalam Perang Siffin, Khalifah Ali bin Abi Talib menyatakan bahawa Islam tidak membenarkan Muslim memotong bekalan air kepada musuh mereka.[9] Tambahan kepada Khalifah al-Rasyidin terdapat Hadis Nabi yang menggambarkan Penaklukan Muslim terhadap Mesir yang berlaku selepas kewafatan baginda:[10]

Kamu akan memasuki Mesir, tanah di mana qirat [unit wang] diguna. Berlaku baiklah terhadap penduduknya kerana terdapat persaudaraan darah atau perkahwinan...

Hadis riwayat Muslim dan Ahmad[11][12]


Prinsip-prinsip ini dipegang oleh Amr ibn al-As semasa beliau menakluk Mesir. Seorang Kristian sezaman (abad ke-7 M), John dari Nikiu, berkata demikian tatkala penaklukan Iskandariah oleh Amr:

Pada hari ke dua puluh Maskaram, Theodore serta semua pegawai dan tenteranya keluar menuju pulau Cyprus dan meninggalkan bandar Iskandariah. pada masa itu Amr, ketua Muslim, dengan senang memasuki bandar Iskandariah. Dan para penduduk menerimanya dengan hormat; kerana mereka dalam keadaan sukar. Dan Abba Benjamin, Patriark orang Mesir, pulang ke bandar Iskandariah pada tahun ketiga belas selepas beliau melarikan diri daripada orang Rom, dan beliau pergi ke Gereja-gereja dan memeriksa kesemuanya. Dan setiap orang berkata: "Penyingkiran orang Rom dan kemenangan orang Islam ialah disebabkan kezaliman Maharaja Heraclius dan penindasannya terhadap orang Kristian Ortodoks melalui Patriark Cyrus. Inilah penyebab kejatuhan Rom dan penaklukan Mesir oleh orang Islam. Dan Amr bertambah kuat setiap hari dalam kegiatannya. Dan beliau mengenakan cukai yang telah ditetapkan, tetapi beliau tidak mengambil harta Gereja, dan beliau tidak melakukan kerosakan, atau jarah, dan beliau memelihara kesemuanya semasa hayat beliau.[13]

Prinsip-prinsip yang diasaskan oleh Khalifah-khalifah terawal juga dihormati semasa zaman perang Salib seperti ditujukkan oleh Sultan-sultan seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Al-Kamil. Misalnya, selepas al-Kamil menewaskan tentera Frank dan perang Salib, Oliverus Scholasticus memuji hukum-hakam peperangan Islam, dengan menyatakan bagaimana al-Kamil memberi bekalan makanan kepada tentera Frank:[14]

Siapa yang boleh sangsi bahawa kebaikan, persahabatan dan sifat bermurah hati datang daripada Tuhan? Orang yang bapa, anak lelaki dan perempuan, abang dan adik, maut dalam kesakitan di tangan kami, yang tanahnya diambil, yang kami halau dalam keadaan bertelanjang dari rumah, memulihkan kita dengan makanan mereka sendiri semasa kami hampir mati kelaparan dan menunjukkan sikap baik terhadap kami mahupun kami di bawah kuasa mereka.[15]

Treatis-treatis terawal Islam berkaitan undang-undang antarabangsa dari abad kesembilan ke atas merangkumi penggunaan etika Islam, jurisprudens ekonomi Islam dan perundangan ketenteraan Islam terhadap undang-undang antarabangsa,[16] dan menumpukan perhatian kepada beberapa tajuk perundangan antarabangsa moden termasuk undang-undang Triti (Perjanjian); layannan terhadap kedutaan, sandera (orang tebusan), orang pelarian, dan tawanan perang; hak mendapat suaka; Undang-undang peperangan; perlindungan kepada wanita, kanak-kanak dan orang awam yang merupakan orang bukan penempur; kontrak yang melewati baris pertempuran; penggunaan senjata beracun; dan pembinasaan wilayah musuh.[14]

  1. ^ a b Aboul-Enein and Zuhur (2004), p. 3-4
  2. ^ Ali, Shaheen Sardar; Rehman, Javaid. (Winter, 2005) "The Concept of Jihad in Islamic International Law". Journal of Conflict & Security Law. 10 (3) pp. 321–43.
  3. ^ a b Patricia Crone, Encyclopedia of the Qur'an, War article, p.456. Brill Publishers
  4. ^ Micheline R. Ishay, The History of Human Rights: From Ancient Times to the Globalization Era, University of California Press, p.45
  5. ^ Sohail H. Hashmi, David Miller, Boundaries and Justice: diverse ethical perspectives, Princeton University Press, p.197
  6. ^ Douglas M. Johnston, Faith-Based Diplomacy: Trumping Realpolitik, Oxford University Press, p.48
  7. ^ a b Aboul-Enein, H. Yousuf and Zuhur, Sherifa, Islamic Rulings on Warfare, p. 22, Strategic Studies Institute, US Army War College, Diane Publishing Co., Darby PA, ISBN 1-4289-1039-5
  8. ^ Tabari, Al (1993). The conquest of Arabia. State University of New York Press. m/s. 16. ISBN 978-0-7914-1071-4CS1 maint: postscript (link)
  9. ^ Encyclopaedia of Islam (2005), p.204
  10. ^ El Daly, Okasha (2004). Egyptology: The Missing Millennium : Ancient Egypt in Medieval Arabic Writings. Routledge. m/s. 18. ISBN 1-84472-063-2.
  11. ^ Laman Islamweb.net dicapai 26 Ogos 2012 (Inggeris) )
  12. ^ Hadis No 6174, Buku 31 Sahih Muslim Pangkalan data Hadis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia] capaian pada 27 Ogos 2012
  13. ^ John of Nikiû (7th century). "CXX.72-CXXI.3". Chronicle. Dicapai pada 2010-03-31. Check date values in: |year= (bantuan)
  14. ^ a b Judge Weeramantry, Christopher G. (1997). Justice Without Frontiers. Brill Publishers. m/s. 136. ISBN 90-411-0241-8.
  15. ^ {{Cite book|title=Justice Without Frontiers|first=Christopher G.|last=Judge Weeramantry|year=1997|publisher=Brill Publishers|isbn=90-411-0241-8|pages=136–7|postscript=
  16. ^ Kelsay, J. (March 2003). "Al-Shaybani and the Islamic Law of War". Journal of Military Ethics. Routledge. 2 (1): 63–75. doi:10.1080/15027570310000027.

Sumber

sunting
  • Abdullah Muhammad Basmeih Al-Qur'an (Tafsir Pimpinan ar-Rahman) Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Kuala Lumpur, 1980.
  • Abdullah Yusuf Ali The Holy Quran King Fahd Holy Qur-an Printing Complex, Madinah, 1991.
  • Aboul-Enein, H. Yousuf; Zuhur, Sherifa, "Islamic Rulings on Warfare", Strategic Studies Institute, US Army War College, Diane Publishing Co., Darby PA, ISBN 1-4289-1039-5
  • Abu-Nimer, Mohammed (2000–2001). "A Framework for Nonviolence and Peacebuilding in Islam". Journal of Law and Religion 15 (1/2). Retrieved on 2007-08-05.
  • Dāmād, Sayyid Mustafa Muhaqqiq et al. (2003). Islamic views on Human Rights. Tehran: Center for Cultural-International Studies.
  • Crone, Patricia (2004). God's Rule: Government and Islam. New York: Columbia University Press.
  • Javed Ahmad Ghamidi, Mizan (2001). The Islamic Law of Jihad, Dar ul-Ishraq. OCLC 52901690
  • Nicola Melis, Trattato sulla guerra. Il Kitāb al-ğihād di Molla Hüsrev, Aipsa, Cagliari 2002.
  • Madelung, Wilferd (1997). The Succession to Muhammad: A Study of the Early Caliphate. Cambridge University Press. ISBN 0-521-64696-0.
  • Sayyid Abul Ala Maududi The Meaning of the Qur'an, Islamic publications, Lahore, 1967
  • Sayyid Abul Ala Maududi Human Rights in Islam Da'wah Academy, Islamabad, 1998
  • M. Mukarram Ahmed, Muzaffar Husain Syed Encyclopaedia of Islam, Anmol Publications PVT. LTD. 2005, ISBN 81-261-2339-7.


Bacaan lanjut

sunting

Pautan luar

sunting