Lembah Kinta (Jawi: لمبه كينتا) merupakan suatu lembah yang terletak di tengah-tengah negeri Perak, Malaysia, yang menempatkan bandar raya Ipoh dan kawasan metropolitan yang dicakupinya.

Landskap Lembah Kinta di Ipoh. Gunung Korbu juga boleh dilihat.
Gua batu kapur amat lazim di sekitar Lembah Kinta.

Merangkumi daerah-daerah Kinta dan Kampar, lembah ini dibatasi oleh dua banjaran, iaitu Banjaran Titiwangsa di timur dan Banjaran Keledang di barat, dan disaliri oleh Sungai Kinta. Sungai Kinta mengalir dari Gunung Korbu di Ulu Kinta, Tanjung Rambutan hingga ke Kampung Gajah di selatan. Sungai Kinta bertemu dengan Sungai Perak berhampiran dengan Pulau Inderasakti. Lembah ini juga satu kawasan bersifat karstik, yakni dipenuhi oleh bukit-bukit batu kapur, yang turut menempatkan beberapa gua yang terkenal seperti Gua Tempurung.

Pulau Inderasakti terletak di dalam Sungai Perak dan pernah menjadi kediaman Sultan Perak pada peringkat awal sejarahnya. Pada tahun 1985, ketika pertabalan Sultan Azlan Shah, baginda singgah menziarahi makam sultan Perak di sini.

Lembah Kinta pernah menjadi pusat perlombongan bijih timah yang terbesar di dunia pada suatu ketika dahulu, yang membawa kepada pembangunan pesat bandar raya Ipoh dan kawasan sekitarnya seperti Batu Gajah dan Gopeng.

Ekonomi

sunting
 
Sebuah lombong bijih timah di Kampar, sekitar tahun 1910
 
Tanjung Tualang Dredge No. 5 (TT5)

Pembangunan pesat di Lembah Kinta dipacu oleh kegiatan perlombongan bijih timah kerana kawasan sekitar Sungai Kinta terdapat rizab bijih timah yang sangat besar. Lembah Kinta berjaya membawa orang Cina dari wilayah Guangdong, China yang diuruskan oleh kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San. Kebanyakan mereka berbahasa Hakka dan Kantonis. Orang-orang tempatan dan Eropah juga tidak terkecuali dalam penglibatan perlombongan bijih timah di sini. Di Batu Gajah misalnya, terdapat sebuah kapal korek peninggalan pelombong-pelombong British yang dikenali sebagai Tanjung Tualang Dredge No. 5, yang juga merupakan kapal korek yang terakhir di Malaysia.

Beberapa bandar telah wujud di Lembah Kinta. Antaranya ialah Ipoh, Kampar, Gopeng, Batu Gajah, Pusing, Pasir Putih, Papan, Lahat, Menglembu, Jelapang , Tasek, Bercham, Gunung Rapat dan lain-lain.